Sunday, 21 May 2017

PUSAT ASUHAN PERTIWI




Sistem ejaan Rumi bahasa Melayu yang baharu dikuatkuasakan pada 16 Ogos 1972. Hal ini bermakna bahawa sudah 43 tahun sistem ini digunakan. Namun begitu, kita dapati banyak sekali kesalahan ejaan yang masih berlaku. Kemungkinan besar pengguna bahasa masih keliru, maka pengejaan perkataan tertentu kadang-kadang betul dan kadang-kadang salah. Hal ini dikesan pada surat rasmi, kertas cadangan, risalah, dan sebagainya, serta pada papan tanda di jalan raya dan di premis perniagaan.


Yang sering kita temukan ialah kesilapan ejaan kata majmuk. Antaranya ialah tengahari, samada, aturcara, dan alatulis. Sehingga Ogos 1972, kesemuanya memang dieja secara bercantum, tetapi mengikut peraturan ejaan baharu, kata-kata majmuk tersebut hendaklah dieja secara terpisah, iaitu tengah hari, sama ada, atur cara, dan alat tulis

Perkataan daripada bahasa Arab juga masih mengelirukan pengguna bahasa Melayu. Kita selalu menemukan perkataan Ramadhan, wudhuk, redha, dan sebagainya. Mengikut sistem ejaan Rumi baharu, gabungan huruf “dh” tidak digunakan lagi, sebaliknya menggunakan “d” sahaja. Ejaan yang sepatutnya ialah Ramadan, wuduk, dan reda. Hal ini menimbulkan pertikaian kerana sebutan Arabnya sudah hilang dan dikhuatiri akan menimbulkan makna yang berbeza daripada istilah asal. Oleh itu, bunyi [dh] dibolehkan dalam penyebutan, tetapi [d] hendaklah diguna pakai dalam penulisan.

Demikian juga dengan tanda koma di atas (’) yang sesekali masih digunakan oleh pengguna bahasa Melayu tertentu, antaranya wudhu’, isya’, dan ijtima’. Dalam sistem ejaan Rumi baharu, (’) bukanlah huruf, tetapi tanda bacaan yang mempunyai peranannya yang tersendiri. Dengan itu, bentuk itu digantikan dengan huruf “k”, menjadikan ejaannya ialah wuduk, isyak, dan ijtimak. Selain itu, terdapat juga perkataan yang tidak menggunakan “k”, misalnya ulama’, sepatutnya dieja ulama sahaja.

Kesalahan ejaan terdapat juga pada perkataan melibatkan tanda sempang (-). Contohnya, ko-kurikulum, anti-dadah, dan pra-bayar tidak memerlukan tanda sempang, sebaliknya perlu dieja kokurikulum, antidadah, dan prabayar. Selain itu, ejaan ko kurikulum, anti dadah, dan pra bayar yang digunakan oleh sesetengah pengguna juga merupakan kesalahan ejaan. Bentuk ko, anti dan pra itu dirapatkan dengan perkataan yang mengikutinya kerana bentuk-bentuk tersebut tidak boleh berdiri sendiri.

Perkataan yang memerlukan tanda sempang pula tidak diletakkan tanda tersebut,  antaranya ke59, 80an, dan 1990an. Bentuk perkataan-perkataan tersebut mencantumkan huruf dengan angka. Peraturan bagi keadaan itu ialah kesemuanya perlu diletakkan tanda sempang di antara huruf dengan angka yang digunakan, menjadi ke-59, 80-an, dan 1990-an. Selain itu, ada juga yang mencantumkan huruf kecil dengan huruf besar, seperti kehendakNya, seMalaysia, dan proArab. Ejaan kesemua perkataan tersebut perlu menggunakan tanda sempang di antara huruf kecil dan huruf besar, iaitu kehendak-Nya, se-Malaysia, dan pro-Arab.

Satu lagi kesalahan ejaan yang ketara ialah ejaan bagi kata berimbuhan. Masih kita temukan ejaan di kawal, di guna, di tukar, dan sebagainya. Sepatutnya kata berimbuhan tersebut dieja dikawal, diguna, dan ditukar, kerana di ialah imbuhan, iaitu bentuk yang tidak dapat berdiri sendiri dan perlu dicantumkan dengan perkataan yang mengikutinya. Bentuk itu berbeza daripada di sini, di kedai, dan di atas, kerana di tersebut ialah kata sendi nama yang bermaksud tempat dan dapat berdiri sendiri. Penggunaan ejaan yang tepat wajar dititikberatkan oleh semua pengguna bahasa Melayu. Sekiranya timbul kekeliruan, hal tersebut boleh diatasi dengan merujuk pakar bahasa Melayu, atau buku panduan ejaan atau kamus yang berwibawa. Kita harus membiasakan diri berbahasa dengan betul dalam semua aspek bahasa, dan berusaha untuk membetulkan kesilapan yang biasa kita gunakan dari semasa ke semasa. Hal ini akan memelihara keharmonian bahasa kita dan dapat menggambarkan jati diri atau jiwa bangsa kita. Bahasa Jiwa Bangsa.

No comments:

Post a Comment