Wednesday 26 August 2015

ASAS PERIBADI UNGGUL

Baginda SAW telah bersabda yang bermaksud;


“Sesungguhnya sangat mengagumkan seorang mukmin, sebab segala keadaannya adalah baik dan mungkin tidak terjadi yang demikian kecuali bagi seorang mukmin yang jika dia mendapat nikmat dia bersyukur, maka syukur itu sangat baik baginya dan bila menderita kesusahan dia bersabar, maka sabar itu sangat  baik baginya” – (Hadith riwayat Muslim).

Wednesday 19 August 2015

NIKMAT ALLAH

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ ﴿٢﴾ وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّـهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ
Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta” (QS. Al Ankabut: 2-3)

KEMAHIRAN INSANIAH







PENGENALAN
Kaunselor yang ingin memberikan perkhidmatan kaunseling yang baikperlu menguasai serta menggaplikasikan beberapa kemahiran-kemahiran asaskaunseling/membantu. Kecekapan menguasai kemahiran-kemahiran ini sangat berguna ketika berhadapan dengan klien yang berada dalam ketidakseimbangan emosi dan psikologi.
Antara kemahiran yang asas dalam membantu adalah kemahiran membina perhubungan, kemahiran menggalakkan klien bercakap, kemahiran membalas, kemahiran penstrukturan, kemahiran menyoal, kemahiran parafrasa, kemahiran mendengar, kemahiran memimpin secara langsung, kemahiran berkomunikasi, kemahiran melakukan dorongan minima, kemahiran membuat refleksi perasaan, kemahiran membuat interpretasi, kemahiran membuat klarifikasi, kemahiran meneroka, kemahiran pemfokusan, kemahiran mencabar, kemahiran berempati, kemahiran menghadapi kesenyapan, kemahiran mengetahui teori dan teknik-teknik kaunseling, kemahiran memberi maklumat, kemahiran merumus, kemahiran meninjau klien, kemahiran konfrontasi dan kemahiran menyemak persepsi.

KEMAHIRAN-KEMAHIRAN ASAS KAUNSELING

Sebelum sesi kaunseling dimulakan, kaunselor seharusnya menyemak rekod-rekod klien untuk mendapatkan maklumat yang dianggap berguna. Kaunselor juga harus menyemak diskripsi tugas klien. Ini mungkin berguna untuk membantu dalam menilai prestasi dan proses membina matlamat kemudian nanti. Selain itu, kaunselor juga hendaklah menyediakan tempat dan masa yang sesuai untuk berbincang tanpa banyak gangguan.
Seterusnya dalam satu sesi kaunseling yang berjaya, kaunselor haruslahcuba menjadikan klien berasa selesa pada awal setiap sesi. Nyatakan sebab pertemuan dengan jelas, sambil menekankan yang kaunselor berasa prihatin dengan keadaan yang dihadapi oleh klien dan bersedia memberikan bantuan. Jika tidak klien akan berasa terancam dan menjadi defensif.
Kemahiran Mendengar
Kemahiran mendengar merupakan satu kemahiran yang paling asas dan penting dalam sesi kaunseling. Dalam hal ini, kaunselor perlu lebih banyak meluangkan masanya mendengar daripada menyampuk percakapan klien. Untuk benar-benar memahami apa yang telah diperkatakan oleh klien,kaunselor perlu memberikan tumpuan dan pemerhatian yang sepenuhnya untuk mendengar semua percakapan klien tersebut.
Selain dari tutur kata, gerak geri klien semasa bercakap juga patut dilihat dan didengar sama. Dikatakan bahawa segala tingkah laku klien itu turut memainkan peranan yang penting dalam menyampaikan makna sesuatu pengucapannya itu.
Gerak geri bukan lisan seseorang dikatakan dapat menggambarkan perasaannya yang sebenar. Ini termasuklah perasaan hatinya, pemikiran mental dan fizikalnya. Ia dapat menunjukkan sama ada klien berada dalam keadaan yang selesa ataupun sebaliknya.
Mendengar merupakan kemahiran yang paling penting dalam proses kaunseling. Pemahaman yang tepat hanya akan diperolehi dengan adanya pendengaran yang baik. Di dalam konteks kaunseling, terdapat beberapa perkara yang perlu di dengar iaitu isi kandungan yang diperkatakan, perasaan yang dilahirkan melalui tingkah laku tanpa lisan dan juga mendengar perasaan yang dinyatakan.
Oleh itu dikatakan proses mendengar melibatkan seluruh deria yang terdapat pada diri kaunselor. Telinga digunakan untuk mendengar apa yang diperkatakan, mata untuk melihat bagaimana gerak laku semasa perkataan atau ayat dituturkan, hidung juga turut menghidu bau-bau yang ada di sekeliling dan kadang kala deria sentuhan sebagai bersalaman dan sebagainya.
Apabila kita memberikan tumpuan sepenuh pada klien tanpa berbelah bahagi, ini bererti kita menyediakan diri untuk mendengar. Di sini terdapat beberapa panduan dalam meningkatkan kemahiran seperti dinyatakan di bawah;
· Kaunselor mesti memahami tujuan klien berada di situ
· Untuk mendapatkan maklumat yang terperinci, kaunselor perlu memberi fokus bukan sahaja kepada perkataan tetapi juga kepada nada dan cara yang diperkatakan.
· Kaunselor perlu mengelak daripada membuat penilaian kepada klien terlebih awal.
· Kaunselor perlu lebih tahan berhadapan dengan gangguan-gangguan sama ada yang datang dari luar seperti bunyi bising atau gangguan dari dalam diri seperti bisik-bisikan hati sendiri.
Oleh yang demikian, amat penting bagi kaunselor mendengar dan memahami dengan lebih peka, sama ada dari segi suara mahupun tingkah laku bukan lisan klien. Dengan berbuat demikian, barulah kaunselor dapat benar-benar memahami mesej klien dengan lebih sempurna. Secara tidak langsung, tindakan ini dapat menunjukkan kesediaan kaunselor untuk berhadapan dengan klien. Kaunselor boleh menunjukkan kemahiran mendengarnya dengan beberapa cara seperti berikut ;
1. Menyatakan semula
Kaunselor menyebut semula apa yang telah dikatakan oleh kliennya dengan tepat

2. Menggambarkan semula
Kaunselor akan memfokus pada isi kandungan serta perasaan klien. Akan tetapi, kaunselor perlulah menggunakan perkataannya sendiri supaya menunjukkan kaunselor benar-benar faham dan mendengar percakapan klien tadi.
3. Memberikan respons
Jones (2004) menjelaskan terdapat 10 kemahiran mendengar dengan aktif iaitu seperti di bawah;
Kemahiran 1: Memiliki sifat menghormati dan menerima
Kemahiran 2 : Memahami sudut pandangan klien
Kemahiran 3 : Menghantar mesej suara yang baik
Kemahiran 4 : Menghantar mesej badan yang baik
Kemahiran 5: Gunakan kata-kata pembuka, ganjaran dan soalan terbuka.
Kemahiran 6: Parafrasa
Kemahiran 7: Membuat refleksi perasaan
Kemahiran 8: Menunjukkan kefahaman konteks perbualan
Kemahiran 9: Mengurus resistan di peringkat awal
Kemahiran 10 : Elakkan perkataan jangan
Kemahiran Membina Perhubungan
Kemahiran membina perhubungan merupakan langkah yang paling awal dalam sesi kaunseling. Tujuannya adalah untuk membina perhubungan yang mesra, saling mempercayai dan rasa selamat antara kaunselor dan klien supaya klien sedia berbincang. Tahap ini termasuklah memberi perangsang kepada klien agar sentiasa tenang dengan memberikan tanggapan pertama yang positif.
Kaunselor mesti membina suasana sekeliling dan tingkah laku yang meyakinkan dan menunjukkan kemesraan. Dalam kemahiran ini terdapat beberapa sub kemahiran asas seperti membina suasana alam sekeliling, suasana terapeutik, ruang untuk berkomunikasi, penampilan diri, ekspresi muka, kontak mata, pergerakan tangan dan kaki, nada suara, senyuman dan akhir sekali cara cara duduk dalam kaunseling.
Kemahiran ini digunakan oleh kaunselor untuk membawa klien menghadapi realiti dengan cara menyelaraskan mental, emosi, tingkah laku, komunikasi lisan dan bukan lisannya. Dalam erti kata lain, ia bertujuan untuk memperbetulkan dalih ataupun ketidakseimbangan kenyataan yang diberikan oleh klien.
Namun, kaunselor perlu berhati-hati semasa menggunakan kemahiran ini kerana sekiranya klien tersebut belum lagi bersedia menghadapi konfrontasi, klien itu akan merasakan bahawa dirinya terancam. Ini adalah kerana klien itu tidak faham bahawa konfrontasi yang dibuat sebenarnya bukan bersifat agresif dan menentang, tetapi bertujuan untuk menyedarkan klien tentang ketidakseimbangan kenyataan yang diberikannya.
Dalam membina kemahiran perhubungan, beberapa perkara perlu diambilkira iaitu;
      • membina suasana alam sekeliling
      • suasana terapeutik
      • ruang untuk berkomunikasi
      • penampilan diri
      • ekspresi muka
      • kontak mata
      • cara duduk dalam sesi kaunseling
      • pergerakan tangan dan kaki
      • senyuman
      • nada suara
      • menggalakkan klien bercakap
Membina suasana alam sekeliling
Oleh sebab sesi perbincangan kaunseling selalunya mengambil masa kira-kira 30 minit atau lebih sedikit serta tajuk perbincangan adalah serius, maka tempat yang sesuai amat diperlukan. Kerusi meja yang sesuai perlu digunakan seperti kerusi yang tidak menyakitkan pinggang atau bergoyang-goyang sehingga mengganggu tumpuan atau pemikiran. Keadaan bilik haruslah tidak terlalu panas, tidak terlalu sempit dan tidak terlalu bising. Tidak ada bau yang tidak menyenangkan seperti bau tandas yang berdekatan dengan seting sesi kaunseling. Selain itu, tempat menjalankan sesi kaunseling mestilah kemas supaya tidak menyakitkan penglihatan klien dan kaunselor.
Suasana terapeutik
Suasana yang aman dan tenang tanpa gangguan seperti yang dinyatakan tadi membolehkan serta memudahkan perbincangan, penghayatan perasaan dan penglahiran idea-idea tanpa rasa terancam. Oleh itu suasana terapeutik yang menyenangkan membolehkan sesi kaunseling berjalan dengan lebih lancar lagi.
Ruang untuk berkomunikasi
Setiap individu mempunyai ruang di sekeliling tubuh badannya. Ruang itu membesar atau mengecil bergantung kepada keadaan. Dalam kaunseling, kemahiran mengurus ruang ini penting bagi menentukan proses kaunseling dapat berjalan dengan baik dan berkesan tanpa gangguan fizikal dan psikologikal. Kaunselor haruslah sensitif akan perkara-perkara yang dapat menjadi petunjuk dalam menentukan ruang antara kaunselor dengan klien. Antara perkara yang perlu dibincangkan termasuklah agama, jantina, umur, budaya dan latar belakang etnik serta tajuk perbincangan.
Dalam sesi kaunseling, jarak atau ruang antara klien dan kaunselor harus dianggarkan tidak terlalu dekat sehingga mengganggu perbincangan dan tidak perlu terlalu jauh sehingga menyukarkan kedua-dua pihak. Jarak antara 1-1.5 meter dapat menimbulkan rasa selesa dan klien berasa beliau diberikan perhatian yang baik. Dalam menentukan jarak yang sesuai, klien perlu mengambil tempat dahulu. Seterusnya, kaunselor membetulkan jarak yang dirasakan selesa oleh kedua-dua pihak untuk berunding.
Penampilan Diri
Pandangan pertama kali amat penting dalam menentukan keberkesanan hubungan yang akan terjalin seterusnya. Sekiranya klien berasa selesa dan gembira dengan keadaan dan raut wajah serta cara kaunselor berpakaian, ini merupakan ciri pertama yang menentukan kejayaan sesi seterusnya. Kaunselor dan klien harus berpakaian mengikut norma-norma tempatan. Penampilan kaunselor yang boleh mengganggu tumpuan klien adalah seperti bau minyak wangi yang terlalu kuat, berpakaian yang menjolok mata, berpakaian terlalu selekeh atau badan terlalu berbau busuk
Ekspresi muka
Dalam sesi kaunseling, ekspresi muka dapat membantu menerangkan erti mesej yang hendak disampaikan. Oleh itu, adalah penting bagi para kaunselor mempamerkan ekspresi muka atau wajah yang dapat menyakinkan klien. Wajah atau mimik muka adalah hasil kombinasi daripada sinaran atau pandangan mata, kedutan dahi, muka dan hidung dan riak yang lahir daripada muka semasa berinteraksi.
Misalnya muka menjadi merah ketika marah atau malu. Ekspresi muka yang tidak sama dengan kata-kata menimbulkan reaksi kurang senang klien. Misalnya mulut tersenyum tetapi nada suara mengejek. Senyuman begini tidak akan ditafsirkan sebagai petanda persahabatan yang baik.
Kontak Mata
Fungsi kontak mata adalah untuk membolehkan kaunselor memberi tumpuan, menunjukkan minat, menunjukkan tanda hormat, menggalakkan perundingan, menimbulkan rasa penerimaan, menimbulkan rasa percaya mempercayai, menimbulkan rasa keselesaan dan menimbulkan rasa kesungguhan. Kontak mata bukan bererti kaunselor memandang tepat pada biji mata klien, tetapi menumpukan pandangan ke arah muka klien. Ini juga tidak bermakna kaunselor memandang tidak berhenti-henti atau tidak bergerak-gerak kepada klien.

Cara duduk dalam sesi kaunseling
Seorang kaunselor itu harus peka serta dapat membaca dan melihat bahasa badan yang dilahirkan oleh kliennya. Kedudukan dan pergerakan badan ini juga memberi nada dan makna dalam hubungan kaunseling. Cara duduk boleh menggambarkan penerimaan kita terhadap orang lain. Seseorang yang bersikap terbuka dan mesra akan duduk condong sedikit ke arah orang yangbercakap dengannya. Manakala orang yang bersifat tidak menerima, lebih cenderung duduk menyandar ke belakang menjauhi kliennya.
Kaunselor yang baik akan duduk condong sedikit ke hadapan menghadapi kliennya yang menandakan beliau menerima dan bersedia untuk membantu. Beberapa ciri penting perlu diamalkan oleh kaunselor iaitu jangan duduk menyandar di kerusi sambil menggoyang-goyangkan badannya secara tidak berhenti, jangan menyilang kaki dengan kaki sebelah di atas lutut, atau sambil tangan diletak di belakang tengkuk dan menyadar. Kaunselor juga jangan menjadi terlalu rigid dan tidak bergerak langsung.
Pergerakan tangan dan kaki
Pergerakan tangan dan kaki yang sesuai dapat memudahkan komunikasi tetapi pergerakan yang terlalu banyak kadangkala akan menjadi halangan dalam komunikasi antara kaunselor dengan klien. Contohnya klien yang ‘nervous’ kadangkala melahirkan rasa cemasnya dengan menggoyangkan kakinya dengan tidak berhenti-henti. Pergerakan tubuh badan biasanya dipelajari berasaskan budaya masing-masing. Berikut ialah beberapa contoh pergerakan tangan;
Berpeluk tubuh
-Pergerakan tubuh ini membawa erti seorang yang tertutup, kurang selamat atau kurang bersedia untuk berbincang, merasa negatif terhadap diri dan bersifat defensif.
Tangan di dalam kocek
Tangan di dalam kocek seolah-olah menyembunyikan sesuatu. Kedua-dua belah tangan memegang kuat pada tangan kerusi- merasa takut atau risau
Tergaru-garu
Pergerakan tangan yang tergaru-garu seolah-olah menunjukkan rasa ragu-ragu dan tidak pasti
Menggigit jari
Klien yang menggigit jari boleh menunjukkan rasa tertekan, cemas dan risau
Senyuman
Senyuman kaunselor boleh meredakan ketegangan emosi di pihak klien. Klien akan berasa lebih selesa dan mudah untuk memulakan perbincangan. Senyuman juga harus diberikan mengikut kesesuaian dalam sesi kaunseling. Sekiranya senyuman tidak sesuai, klien akan silap memberi interpretasi.
Senyuman klien juga harus difahami oleh kaunselor. Klien mungkin akan tersenyum untuk menutup rasa takut, risau keliru atau serba salah, malu dan sebagainya. Kepekaan kaunselor melihat senyuman ini sangat penting untuk memastikan sesi kaunseling yang dijalankan itu sesuai menepati matlamatnya.
Nada suara
Nada suara membantu dalam memahami kontak dan situasi perkara yang dirundingkan. Dengan mendengar nada suara, kaunselor dapat memahami klien dengan lebih tepat. Nada suara selalunya membawa emosi yang terkandung di dalam sesuatu perkataan atau ayat.
Contohnya perkataan ‘sayang’ jika disebut dengan nada yang lembut bererti sayang yang sebenar. Tetapi jika ‘sayang’ yang disebut dengan nada yang keras, mungkin bererti marah. Adalah penting bagi kaunselor mendengar nada suara kerana ia akan memberi peluang kepadanya untuk memahami emosi klien seperti nada tegang, geram atau marah dan sebagainya.
Kemahiran menggalakkan klien bercakap
Kaunselor menggalakkan klien bercakap dengan menggunakan soalan-soalan jenis terbuka. Semasa klien bercakap, kaunselor perlu mendengar dengan penuh teliti dan penuh empati. Sementara itu, semasa klien bercakap, kaunselor harus mendengar dan memberi perhatian, memberi respons yang minima seperti mengganggukkan kepala dan sebagainya untuk menggalakkan terus bercakap.
Kemahiran membalas (responding)
Membalas kata-kata merupakan suatu kelebihan kepada manusia. Dengan membalas kata-kata, manusia dapat mewujudkan hubungan yang baik antara satu dengan lain. Tujuan utama seseorang bertindak balas ke atas kata-kata orang lain adalah untuk menggalakkan penglibatan masing-masing di dalam perbualan itu. Secara umumnya kemahiran membalas terdiri daripada sub kemahiran iaitu kemahiran penstrukturan, dorongan minima dan kemahiran mendengar.
Contoh satu
Klien :Macam-macam yang saya rasa…adakah saya akan
difahami, diterima, dianggap kawan… Macam-macamlah…”
Kaunselor : “Macam-macam difikirkan sebelum datang ini.”
Contoh dua
Klien : “Saya nak bincang masalah keluarga saya…”
Kaunselor : “Hmmm… silakan”
Klien :”Saya tidak tahu apa yang berlaku dalam
hidup saya.”
Kaunselor : (angguk).
Kemahiran penstrukturan
Penstrukturan merupakan satu kemahiran yang sangat penting di dalam sesuatu sesi kaunseling. Ini adalah kerana sekiranya penstrukturan dilakukan dengan baik dalam sesuatu sesi kaunseling itu, ia akan dapat membina hubungan yang mesra dengan klien. Proses penstrukturan boleh dilakukan sama ada dalam bentuk formal atau tidak formal.
Terdapat dua persoalan yang penting dalam penstrukturan, iaitu perlukah penstrukturan itu dilakukan secara formal dan bilakah masa yang sesuai untuk melakukannya. Oleh yang demikian, kaunselor perlu pandai dalam melakukan penstrukturan.
Penstrukturan formal adalah perlu sekiranya klien merupakan klien rujukan atau klien itu baru datang untuk sesi kaunseling buat pertama kali. Penstrukturan formal tidak perlu sekiranya klien itu pernah berjumpa dengan kaunselor sebelum ini ataupun sekiranya klien itu ingin terus menceritakan masalahnya.
Dalam penstrukturan, kaunselor harus menerangkan peranan/tanggungjawab kaunselor dan klien sebelum memulakan sesi kaunseling. Biasanya, sesi kaunseling akan mengambil jangka masa selama 30 minit hingga 45 minit. Segala perbincangan antara kaunselor dengan klien adalah dirahsiakan.
Penstrukturan yang mudah dan ringkas ini dapat membantu klien memahami apa yang akan dilaksanakan dan apa yang diharapkan daripadanya. Segala perkara yang dibincangkan nanti akan dirahsiakan oleh kaunselor. Ini akan menimbulkan rasa selamat dan percaya kepada kaunselor dan klien akan menceritakan apa sahaja yang mengganggu atau timbul dalam fikirannya.
Contoh penstrukturan 1
“…Dalam sesi ini, saya sebagai seorang kaunselor dan anda pula sebagai klien. Sesi ini akan mengambil masa lebih kurang 45 minit. Peranan saya secara ringkasnya untuk mendengar, memahami dan cuba untuk membantu anda. Peranan anda adalah untuk menceritakan apa yang mengganggu hidup anda. Sesi ini akan dirahsiakan dan kerahsiaan ini terbatas sekiranya isu yang dibincangkan melibatkan keselamatan nyawa anda.”
Contoh penstrukturan 2
Ks : “Mungkin ia akan membantu jika saya memberitahu tentang
perkara asas dalam kaunseling”
Kl : “Baiklah”
Ks : “Tujuan kaunseling adalah untuk membantu dan membimbing andadalam membincangkan bersama persoalan anda. Tugas sayasebagai seorang kaunselor adalah untuk mendengar dan memahami apa yang anda rasa dan fikirkan. Kemudian kita akan bersama-sama mencari langkah-langkah bagi persoalan anda”.
Kl : “Baiklah. Tapi apa pula yang perlu saya lakukan, Encik”
Ks : “Tugas anda adalah membantu saya untuk memahami apa
yang anda rasa dan fikirkan. Anda perlu memberi maklumat, membuat keputusan yang sesuai dan memberitahu saya perkara-perkara yang perlu untuk mencapai objektif anda”.
Kl : “Susah untuk menangani masalah saya ni Encik”
Ks : “Itulah menjadi pokok utama di sini. Kita akan cuba bersama-
sama memfokuskan pada sasaran atau objektif kaunseling ini.Pada waktu ini kita hanya sebahagian kecil daripada permasalahan anda, dan kita akan bersama-sama menanganinya dari yang ringan kepada yang lebih berat”.
Kl : “Oh begitu..Jadi, maksud encik kita cuma bincangkan satu
persoalan sahaja dalam satu masa ?”
Ks : “Tepat sekali. Satu lagi, saya mahu anda tahu bahawa kaunselingadalah secara sukarela. Anda boleh menamatkan sesi pada bila-bila masa. Sesi ini adalah peribadi dan sulit. Saya tidak akan memberitahu kepada sesiapa masalah anda kecuali dengan izin anda. Sesi kita akan mengambil masa lebih kurang 45 minit. Selalunya, ia akan memerlukan beberapa sesi, bergantung kepada keperluan anda. Sekarang, anda ada apa-apa soalan?”
Ks : “Tidak ada. Saya jelas dengan penjelasan yang telah encik berikan”.
-Contoh Penstrukturan 3
Ks : “Aqel, jika tak keberatan, boleh tak saya rekodkan sesi ini? Ini
untuk tugasan saya. Saya akan buat transkrip, dan pensyarah saya akan baca. Okey, kalau Aqel tidak selesa, saya akan berhentikan rekod ini bila-bila masa. Saya akan tunjukkan apa yang telah saya tulis jika Aqel mahu. Jika, selepas ni, Aqel tak benarkan saya gunakan rekod ini, saya tidak akan gunakan, dan kita akan mulakan sesi ini sekali lagi”.
Kl : “Baiklah, saya ada sesuatu nak bincangkan dengan encik”.
Ks : “Apa yang Aqel nak bincangkan hari ini ?”
Kl : “Kawan saya. Dia sangat teruk”.
Kemahiran Menyoal
Soalan merupakan kaedah yang paling banyak digunakan dalam sesebuah sesi kaunseling. Ini adalah kerana ia merupakan cara yang paling mudah untuk mendapatkan sesuatu maklumat. Biasanya, soalan akan ditanya oleh kaunselor dan dijawab oleh klien.
Soalan-soalan yang dikemukakan haruslah berkaitan dengan usaha menggalakkan klien menjelajah dan memahami perasaannya. Di samping itu, soalan yang ditanya perlu mempunyai tujuan yang tertentu dan berupaya untuk menarik perhatian klien untuk meluahkan perasaan dan masalahnya tanpa merasa dirinya terggugat.
Namun, kaunselor perlu pastikan bahawa soalan yang hendak ditanya itu sesuai, mudah difahami dan memudahkan klien untuk menjawabnya dengan penuh rela. Selain itu, soalan boleh juga digunakan untuk menggalakkan atau mengurangkan percakapan klien. Dalam usaha kaunselor memahami lebih lanjut perkara yang ingin dirundingkan oleh klien, menyoal adalah satu cara yang perlu dilaksanakan.
Matlamat menyoal adalah untuk mendapatkan maklumat dengan cepat, mendapatkan maklumat lanjut dan akhir sekali untuk mendapatkan kepastian. Di dalam sesi kaunseling terdapat dua bentuk soalan yang dapat digunakan iaitu soalan tertutup dan soalan terbuka.
Kemahiran menyoal juga boleh menambahkan keupayaan kaunselor untuk mengumpul maklumat dengan lebih spesifik. Ia membantu kaunselor memahami butir-butir klien dengan lebih mendalam bagi membolehkannya membuat keputusan yang tepat berdasarkan maklumat yang tepat itu. Terdapat dua jenis soalan yang boleh digunakan oleh kaunselor iaitu soalan jenis terbuka dan tertutup.
Jenis-jenis soalan
Terdapat beberapa jenis soalan. Antaranya ialah soalan yang menggunakan perkataan “boleh”, “apa”, “bagaimana” dan ”kenapa”. Soalan-soalan ini mempunyai tujuan masing-masing. Contohnya soalan yang menggunakan ‘boleh” cenderung lebih terbuka dan kurang kawalan ke atas klien. Soalan “apa” membawa klien bercakap tentang fakta dan spesifik tentang situasi.
Soalan “bagaimana” pula membawa klien bercakap tentang proses dan urutan atau emosi. Soalan “kenapa” memulakan temubual, membuka era baru dalam perbincangan. Soalan ini juga membantu klien dalam penerokaan diri dan membantu klien mencari sebab yang mempengaruhi tingkah laku, pemikiran dan emosinya.
Soalan “boleh” : “Boleh saya tahu apa yang menyebabkan Dila marah pada kawan baik Dila itu?
Soalan “apa” : Apa yang menyebabkan Dila mengambil tindakan tak balik rumah.
Soalan “bagaimana”:Bagaimana agaknya perkara ini boleh berlaku?
Soalan “kenapa”: Kenapa semua orang tak percayakan saya”

SOALAN TERTUTUP

Soalan tertutup ini ialah soalan yang menghadkan kepada satu atau beberapa perkataan sahaja dan jawapan ini dapat memberikan maklumat yang khusus. Contohnya “adakah anda datang bekerja semalam?. Dan siapakah yang pergi bersama awak ke Langkawi?
Tujuan mengadakan soalan tertutup kepada klien adalah untuk mendapatkan kepastian bagi sesuatu fakta dan mendapatkan maklumat yang khusus. Selain itu, soalan tertutup juga dapat memberhentikan orang daripada terlalu banyak bercakap serta memberi arah tertentu di dalam perbincangan.
Soalan tertutup adalah soalan yang khas yang cukup sekadar dijawab dengan gerak balas yang ringkas, tepat dan padat. Ia lebih spesifik dan memerlukan jawapan yang mempunyai satu atau dua perkataan sahaja, seperti ‘ya’ atau ‘tidak’. Contoh soalan tertutup ialah “Kamu akan datang esok”?Soalan ini berguna kerana mengambil masa yang singkat sekali untuk mendapatkan jawapan yang tepat dan padat.
Soalan tertutup digunakan untuk tujuan seperti menggalakkan sesi kaunseling daripada terkeluar dari topik perbincangan, memenuhi jurang maklumat yang spesifik dan mengurangkan percakapan klien yang banyak.Contoh soalan tertutup adalah seperti di bawah;
Contoh Satu
“…Bila perkara ini telah berlaku?.”
Contoh kedua
“Berapa lama hubungan ini telah terjalin?.”
Soalan tertutup digunakan untuk tujuan seperti
- menggalakkan sesi kaunseling daripada terkeluar dari tajuk perbincangan
- memenuhi jurang maklumat yang spesifik
- mengurangkan percakapan klien yang banyak

SOALAN TERBUKA

Soalan jenis ini bertujuan menjemput perbincangan, penjelasan dan huraian yang panjang lebar. Ia tidak memerlukan jawapan yang khusus. Soalan terbuka ini dapat menimbulkan rasa selesa pada diri klien dan rasa diterima. Matlamat bertanyakan soalan terbuka adalah untuk menggalakkan penerokaan dan pengembangan kepada perkara yang sedang dirundingkan.
Selain itu, soalan terbuka dapat memberi ruang kepada klien meluahkan perasaannya mengikut arah yang dipilihnya sendiri dan dikhususkan oleh kaunselor. Oleh itu klien lebih dapat mengawal perundingan. Soalan terbuka juga membolehkan klien memberi maklumat tanpa menimbulkan rasa defensif dan membolehkan klien mengeluarkan pendapat sendiri.
Soalan terbuka seterusnya memberi peluang kepada klien memberikan penjelasan tentang sesuatu perkara mengikut pandangannya sendiri tanpa dinilai terlebih dahulu. Contoh-contoh soalan terbuka adalah seperti “bagaimanakah kejadian itu boleh berlaku?” Atau “sejauh manakah kejadian itu mengganggu hidup anda?”
Soalan terbuka akan memberi peluang kepada klien untuk menerokai dan membincangkan segala yang dialami dan dirasainya. Ia turut menggalakkan klien untuk bercakap dengan lebih banyak ataupun memberikan penjelasan yang lebih jelas. Lazimnya, soalan terbuka menggunakan kata soal seperti “siapa”, “apa”, “di mana” dan “bagaimana”. Contoh soalan terbuka ialah seperti “Apa pendapat kamu tentang adik kamu?”
Soalan jenis ini membolehkan klien untuk bebas bercerita atau menerangkannya. Terlalu banyak mengaju soalan terbuka akan mengganggu pendengaran kaunselor. Soalan terbuka boleh diselang-seli dengan respons lain yang dapat menggalakkan klien berbincang.
Oleh itu, adalah penting untuk kaunselor mengetahui bila dan bagaimana untuk menggunakan kedua-dua soalan terbuka dan tertutup dalam sesi kaunselingnya. Kaunselor perlu menyedari, kesan dan implikasi daripada soalannya terhadap kliennya. Gabungan dua jenis soalan ini dapat digunakan mengikut kesukaan dan keperluan kaunselor bergantung kepada jenis maklumat yang diperlukan.
Soalan terbuka digunakan untuk tujuan di permulaan sesi kaunseling, untuk mendapatkan maklumat lebih jelas dan menggalakkan klien yang pendiam untuk bercakap
Walau bagaimanapun kaunselor perlu memastikan bahawa tidak terlalu banyak soalan ditanya pada satu masa. Ini adalah kerana klien akan keliru dan tidak tahu soalan mana yang hendak dijawab terlebih dahulu. Soalan yang bermula dengan “mengapa” yang memerlukan klien membuat penjelasan perlu dielak kerana mungkin akan menakutkan klien. Soalan-soalan sensitif juga harus dielakkan.
-Contoh soalan terbuka
“Kalau tidak keberatan, boleh anda kongsikan penderitaan anda tersebut dengan saya.’
“Agaknya bagaimana hal ini boleh berlaku.”
“Boleh tolong jelaskan lagi maksud renggang itu.”
-Perbandingan contoh soalan terbuka dan tertutup
Untuk mendapatkan gambaran dengan lebih jelas mengenai makna jenis soalan terbuka dan tertutup, beberapa contoh perbandingan dilakukan.
Soalan tertutup : “Adakah saudari merasa jemu?.”
Soalan terbuka : “Boleh saudari jelaskan mengapa saudari merasa jemu?.”
Soalan tertutup : “Adakah saudara selalu bermasam muka dengan rakan saudara?.”
Soalan terbuka : “Boleh beritahu saya sebab-sebab yang anda
selalu bermasam muka dengan rakan saudara?.”
Soalan tertutup :“Bila saudara merasa marah dengan ibu
saudara?.”
Soalan terbuka :“Apakah sebab saudara marah pada ibu
saudara?.”
Jones (2004) menjelaskan kaunselor perlu membuat perkara yang perlu diambilkira dalam membuat soalan seperti berikut;
Tujuan soalan
Kaunselor yang efektif bertanya soalan yang mengundang kepadaperkembangan pemahaman masalah klien dan dirinya.
Jumlah soalan
Kaunselor boleh bertanya soalan yang hanya bertumpu kepada masalah semasa atau soalan yang lebih umum.
Tahap intimasi
Kaunselor perlu bersifat sensitif kepada soalan yang boleh memberi kesan kepada intimasi perhubungan.
Seterusnya Jones (2004) menjelaskan jenis-jenis soalan adalah seperti berikut;
§ Soalan terbuka dengan soalan tertutup
§ Soalan berbentuk klarifikasi
Soalan yang memberi peluang untuk mengembangkan apa
yang telah diperkatakan.
      • Soalan yang memerlukan maklumat spesifik
Soalan jenis ini bertujuan mengumpul maklumat konkrit mengenai masalah klien dan maklumat spesifik berfokus kepada bagaimana, apa, bila dan di mana. Soalan bagaimana termasuk ”bagaimana anda rasa atau bertingkah laku” Soalan ”bagaimana” adalah amat berguna untuk mendapatkan data untuk menunjukkan bagaimana klien bertingkah laku.
Soalan ”apa” termasuk ”apa yang berlaku”, ”berikan saya contoh apa yang telah berlaku”, ”apa yang anda lihat sebagai masalah”, ”apakah agaknya kesan apabila melakukan perkara di atas”.
Salah guna soalan
Kadang-kadang soalan digunakan secara salah dan berlebihan oleh kaunselor. Apabila ini berlaku, ianya memberi kesan kepada keberkesanankaunseling dan juga perhubungan kaunselor dan klien. Penulis-penulis seperti Gazda et al (1977) dan Patterson (1974) memberi komen mengenai kesan negatif penggunaan solaan yang salah. Dua perkara yang sering disalahgunakan ialah yang berkaitan dengan kuantiti dan kualiti soalan.
Penggunaan kuantiti soalan yang tidak bersesuaian akan membentuk kebergantungan, meletakkan tanggungjawab ke atas kaunselor, mengurangkan penerokaan kendiri, menghasilkan maklumat yang tidak tepat, menghasilkan perasaan defensif, ke atas klien dan membentuk kemahiran membantu yang rendah.
Contoh soalan yang berfokus kepada perasaan dan reaksi fisikal
-Bila anda mula rasai perasaan ini?
-Ceritakan dengan lebih lanjut lagi mengenai perasaan anda
-Apa perasaan anda sekarang?
Contoh soalan yang berfokus kepada pemikiran
-Apakah fikiran anda sebelum/semasa/selepas situasi ini?
-Apakah yang anda rasakan sebelum apa yang anda rasakan sekarang?.
-Berapa kerapkah anda berfikir begini?
-Apakah kekuatan dan potensi anda dalam perkara ini?.
Contoh-contoh soalan yang berfokus kepada komunikasi/aksi
- Bagaimana anda bertingkah laku?
- Apa yang anda katakana?
- Apa yang berlaku sebelum ini?
- Apakah kesan-kesan di atas tindakan anda itu?
Kemahiran Parafrasa
Kemahiran memparafrasa ini ialah respons kaunselor setelah mendengar isi dan memerhati tingkah laku klien. Pemahaman kaunselor ini dinyatakan dalam bentuk ayat yang agak pendek tetapi tepat dan padat maksudnya. Parafrasaialah respons kaunselor setelah mendengar isi dan memerhatikan tingkah laku klien. Matlamat utama ialah memudahkan penerokaan ke atas klien.
Membuat parafrasa adalah penting untuk menunjukkan kaunselor mendengar dan memahami apa yang dikatakan oleh klien. Parafrasa sangat sesuai digunakan di peringkat awal hubungan kaunseling kerana parafrasa merupakan pernyataan semula kenyataan dan mesej yang dibawa oleh klien untuk mendapatkan kepastian.
Selain itu parasfrasa juga digunakan untuk membuat refleksi kepada apa yang dikatakan oleh klien. Tujuan utama parafrasa digunakan oleh kaunselor adalah untuk menunjukkan kepada klien bahawa mesej yang diberikan mula difahami oleh kaunselor. Ia juga bagi memastikan yang kaunselor mendapat mesej yang betul dari klien serta memberi peluang kepada klien mendengar kembali apa yang dirasa dan dikatakannya.
Namun begitu, kaunselor perlu mahir dalam membuat parafrasa. Kaunselor perlu memastikan bahawa maksud asal mesej klien itu tidak berubah. Parafrasa juga boleh dilakukan oleh kaunselor untuk membantu klien yang tiba-tiba sahaja terputus atau hilang mesej asasnya. Ini adalah kerana klien mungkin akan terkeluar dari tajuk perbincangan sekiranya parafrasa tidak dibuat. Tujuannya adalah untuk mengingatkan klien bahawa beliau sepatutnya menyambung semula topik perbincangan tadi.
Contoh Satu
Klien : “Saya tahu dia seorang yang baik. tapi…saya belum bersedia untukmenerimanya…tetapi saya juga susah hendak menolaknya.”
Kaunselor : “ Nampaknya, anda dalam dilema, belum bersedia
menerima dia tapi juga susah hendak menolaknya.”
Contoh dua
Klien :“Dah lama saya menunggu keputusan darinya… selama tiga belas tahun, satu respons pun tidak ada.”
Kaunselor : “Selama 13 tahun, anda menunggu respons darinya
tapi satu respons pun tidak ada.”
Ishammudin Hj. Ismail (1999) menjelaskan bahawa tujuan kemahiran parafrasa adalah
· Mengulangi semula kepada klien kata-kata yang baru disebutkan.
· Menjelas dan memberikan tumpuan kepada apa yang klien baru sebutkan.
· Memberitahu klien bahawa kaunselor mendengar apa yang diperkatakan.
· Mendorong klien untuk meneruskan penerokaan
· Menggelak kekeliruan dan ketidaksefahaman
· Membantu klien untuk berfikir dan menumpukan perhatian terhadap situasi,orang, objek atau idea dengan lebih jelas.
Kemahiran memimpin
Kemahiran memimpin boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu
Memimpin secara tidak langsung
Tujuan memimpin secara tidak langsung membolehkan klien memulakan dan mengambil tanggungjawab terhadap sesi yang sedang berjalan. Selain daripada itu, tujuan memimpin secara tidak langsung ialah untuk menjemput klien untuk menceritakan atau memperincikan ceritanya.
Contoh soalan yang menunjukkan memimpin secara tidak langsung ialah;
apa yang anda nak bincangkan hari ini?”
“Barangkali, kita boleh mulakan sesi dengan anda beritahu saya di mana anda sekarang?”
“Bolehkah anda beritahu saya lebih lanjut tentang perkara itu?”
Kemahiran memimpin secara langsung
Kemahiran memimpin secara langsung menggalakkan klien memperincikan, menjelaskan atau menggambarkan apa yang diperkatakan. Antara tujuan kemahiran memimpin secara langsung ialah untuk menentukan tujuan untuk memimpin, meluahkan dengan perkataan yang dapat memperincikan secara khusus, menggunakan soalan terbuka dan membolehkan klien bebas mengikut pimpinan anda. Dalam kemahiran memimpin, adakalanya terdapat elemen cadangan seperti;
“beritahu saya tentang ibu anda?”
“Boleh anda gambarkan apa yang berlaku baru-baru ini?”
Kemahiran Berkomunikasi
Kemahiran berkomunikasi merupakan satu kemahiran yang sangat penting bagi seorang kaunselor. Kaunselor perlu mengelakkan daripada menggunakan perkataan-perkataan yang sukar difahami oleh klien. Kaunselor patut menggunakan ayat-ayat yang biasa dan bukannya dari buku-buku akademik. Ini adalah kerana bukan semua klien adalah berpelajaran tinggi atau mempunyai pengetahuan yang begitu luas.
Dengan itu, kaunselor perlu cuba untuk menggunakan perkataan yang mudah supaya klien tidak berasa rendah diri bila berdepan dengan kaunselor. Di samping itu, elakkan juga penggunaan ayat-ayat yang panjang dan berbelit-belit. Ini bertujuan untuk mengelakkan klien daripada menjadi keliru dan tidak faham apa yang telah dikatakan oleh kaunselor.
Komunikasi bukan lisan pula melibatkan gerak badan, kontak mata dan postur badan kaunselor. Kaunselor boleh menggangguk kepalanya, membesarkan matanya bagi menunjukkan minat, memberikan postur duduk yang mencodong ke hadapan sedikit dan lain-lain lagi gerak balas.
Lima cara utama dalam menghantar komunikasi
-Mesej lisan: Mesej yang dihantar melalui perkataan
-Mesej vokal: Mesej yang dihantar melalui suara. Contohnya melalui volum, artikulasi dan nada.
-Mesej badan: Mesej yang dihantar melalui bahasa badan. Contohnya melalui renungan, kontak mata, ekspresi muka, postur badan, pakaian.
-Mesej sentuhan
-Mesej yang berbentuk aksi.
Kemahiran melakukan dorongan minima
Dorongan minima diperlukan untuk memberikan sokongan dan dorongan kepada klien untuk meneruskan perbincangan. Dorongan minima merupakan respons atau ungkapan ringkas ataupun pergerakan positif yang menggalakkan klien terus bercakap dan memberikan penjelasan. Di antara contoh dorongan minima adalah seperti “hm…m, teruskan, “lepas itu”, “kemudian”, “jadi”, “terangkan lagi”, “oh….”, sentuhan, angguk kepala, kerutan di dahi, senyuman, ya dan lain-lain lagi.
Tujuan kaunselor mengadakan dorongan minima adalah untuk memberangsangkan klien untuk terus bercerita. Selain itu, ia menunjukkan kaunselor sedang mendengar dan faham apa yang sedang diperkatakan oleh klien.
Ishammuddin Hj. Ismail (1999) menjelaskan tujuan melakukan mendorong minima;
a. kaunselor memberi perhatian
b. menolong penerokaan kendiri klien
c. supaya klien terus bercakap
d. mempengaruhi arus perbualan
Kemahiran Membuat Refleksi Perasaan
Jones (2004) mendapati kemahiran membuat refleksi perasaan melibatkan keupayaan kaunselor berkomunikasi dan mengalami perasaan klien
Seterusnya Jones (2004) menjelaskan refleksi perasaan melibatkan kemahiran pihak yang menghantar dan menerima
Kemahiran pihak penerima
      • Memahami mesej muka dan badan klien
      • Memahami mesej suara klien
      • Memahami mesej lisan klien
      • Memahami reaksi emosi diri
      • Mengambilkira konteks mesej yang disampaikan oleh klien
Kemahiran pihak yang menghantar
      • Bertindak balas dalam cara yang menunjukkan kaunselor memahami perasaan klien melalui perkataan dan frasa
      • Memeriksa ketepatan pemahaman kaunselor
Refleksi perasaan merupakan pengulangan atau menyebut semula percakapan klien dalam satu rangkai kata yang pendek tetapi padat.Pengulangan yang dibuat oleh kaunselor lazimnya, hanyalah sebagai pembayang yang mencerminkan perasaan atau keseluruhan isi yang disampaikan oleh klien tadi. Membuat refleksi perasaan bukanlah sekadar mengulang semula perkataan yang diluahkan oleh klien, tetapi merupakan satu cara untuk membuat kesimpulan tingkah laku tingkah laku klien yang dapat membayangkan isi, pemikiran, perasaan dan tindakannya sendiri.
Kaunselor akan cuba untuk memahami apa yang di alami atau dirasai oleh klien secara emosi. Dengan itu, klien akan tahu bahawa perasaan dan tanggapan yang akan diluahkan oleh klien, tetapi merupakan satu cara untuk membuat kesimpulan tingkah laku klien yang dapat membayangkan isi, pemikiran, perasaan dan tindakannya sekali.
Kaunselor akan cuba untuk memahami apa yang dialami atau dirasai oleh klien secara emosi. Jadi, klien akan lebih terdorong untuk menyatakan segala perasaannya dengan lebih mendalam lagi kepada kaunselor tersebut tanpa was-was lagi.
Walau bagaimanapun, kaunselor bukan sahaja perlu cuba untuk memahami perasaan klien yang telah dinyatakan atau disebutkan dalam mesejnya, tetapi perlu cuba untuk memerhatikan perasaan yang tidak dinyatakan atau disebut oleh klien. Sebagai contohnya, mungkin klien itu kelihatan muram dan tidak bermaya tetapi klien tersebut tidak menyatakan perasaannya dalam bentuk lisan, Jadi, kaunselor perlu bijak dan merefleksikan perasaan klien itu, tidak kira sama ada perasaan itu dinyatakan atau tidak.
Tujuan utama kaunselor membuat refleksi perasaan ini ialah untuk memberikan pemusatan kepada perasaan klien sebenar dan bukannya perasaan helah semata-mata. Selain itu, ia juga membolehkan klien untuk melihat kembali perkara-perkara yang telah dikatakan olehnya tadi dengan lebih jelas dan terang daripada yang asal. Walau bagaimanapun, kemahiran membuat refleksi perasaan ini bergantung rapat kepada kebolehan klien untuk menentukan perasaan dan tanda bagi perasaannya (Amir Awang, 1987).
Kemahiran refleksi merupakan satu usaha memahami klien dari sudut pandangan klien itu sendiri. Dalam kemahiran ini pula dibahagikan kepada tiga bahagian penting iaitu refleksi isi, refleksi perasaan dan refleksi pengalaman.
Refleksi isi
Refleksi isi ialah pernyataan semula oleh kaunselor mengenai idea yang disampaikan oleh klien. Idea ini dinyatakan semula oleh kaunselor dengan menggunakan perkataan yang ringkas, padat dan tepat. Refleksi isi yang tepat membolehkan klien berasa bahawa beliau didengari dengan betul dan difahami. Akan tetapi terdapat perhatian yang harus diketahui oleh kaunselor tersebut. Contohnya jangan membuat refleksi isi yang terlalu panjang dan jangan menggunakan perkataan yang sama berulang-ulang kali.

Refleksi perasaan

Kemahiran merefleksi perasaan ialah penyataan semula oleh kaunselor tentang perasaan dan sikap yang dinyatakan oleh klien. Tujuan kaunselor melakukan refleksi perasaan adalah untuk memberi tumpuan kepada klien mengenai perasaan atau sikap yang sedang dialami oleh klien. Selain itu, ia juga meningkatkan segala tanda-tanda perasaan yang ada pada diri klien dan akhir sekali memberi ruang untuk klien mengeluarkan perasaan dengan cara yang baik dan memberi kelegaan kepadanya.
Refleksi pengalaman.
Refleksi pengalaman dibuat setelah kaunselor memerhatikan gerak-geri tubuh badan semasa sesuatu pengalaman diperkatakan oleh klien. Oleh itu kemahiran refleksi bukan sahaja diperlukan bagi perkara-perkara yang didengar dengan mulut tetapi apa yang dilihat seperti cara duduk, gerak geri, nada suara, pernafasan, wajah dan sebagainya yang ditunjukkan oleh klien semasa sesi kaunseling dijalankan.
-Contoh satu
Klien : “Baru-baru ini, saya ada pesan Astro kat rumah…” ramailah jiran-jiran yang datang tengok…. Tetapi masalahnya, mereka kata saya nak tunjuk lagak. .Berlagaklah tu… sombonglah tu.”
Kaunselor: “Anda dituduh berlagak dan sombong dengan Astro baru oleh jiran-jiran.”
-Contoh dua
Klien :“Sejak peristiwa tersebut, saya rasa disisihkan oleh adik saya. Dia buat saya macam orang luar. Langsung dia tidak peduli kat saya…tegur pun tidak. Saya rasa sedih sangat.”
Kaunselor: “Anda merasa sedih sangat bila adik anda menyisihkan anda dan tidak mempedulikan anda.”
-Contoh ketiga
Klien: “Saya ni lain sikit, saya tak boleh dicabar. Saya tak suka orangmengutuk peribadi saya..”
Kaunselor: “Tuan benar-benar marah bila ada orang campur tangan dalam hal peribadi tuan.”
Ishamuddin Hj Ismail (1999) mendapati tujuan refleksi perasaan ialah;
a. Menggalakkan klien meluahkan perasaan sama ada yang positif atau negatif mengenai sesuatu perkara.
b. Kaunselor memperkatakan mengenai perasaan klien yang samar-samar dan menyatakan segala tanda-tanda perasaan yang ada pada diri klien (perasaan yang tersirat).
c. Refleksi boleh membantu klien mengalami perasaannya secara mendalam supaya ia boleh menyedari tentang situasi yang tidak selesai.
d. Membantu klien supaya menyedari tentang perasaan yang sedang menguasainya ketika itu.
e. Memberi ruang dan peluang kepada klien meluahkan perasaannya dengan cara yang baik dan akan memberi kelegaan kepadanya
Aktiviti
- Buat latihan ini secara berpasangan.
- Ambil giliran untuk bercakap dan mendengar. Individu yang bercakap akan memilih satu tajuk yang dirasakan selesa. Sementara mendengar, bantu pasangan anda untuk bercakap dengan membuat refleksi.
- Semasa mendengar dan memberi respons, beri perhatian kepada mesej vokal, badan serta bukan lisan.
Kemahiran Membuat Interpretasi
Kemahiran membuat interpretasi merupakan satu proses yang digunakan oleh kaunselor untuk memberikan maklum balas atau “feedback” kepada klien supaya klien berupaya untuk melihat masalahnya dari satu sudut berbeza. Selain itu, interpretasi digunakan untuk merujuk dan membuat tafsiran untuk maksud tersirat dalam mesej klien.
Oleh yang demikian, kaunselor perlu betul-betul menguasai kemahiran ini terlebih dahulu sebelum digunakan supaya ianya dapat dilakukan dengan lebih tepat dan betul. Ini adalah kerana sekiranya kaunselor membuat interpretasi yang salah, ia boleh menyebabkan gangguan dalam proses kaunseling yang sedang berjalan itu. Interpretasi akan dikatakan berjaya sekiranya ia boleh meransang pemahaman dan memberi fokus ke atas masalah klien.
Kemahiran ini merupakan satu proses yang aktif di mana kaunselor menjelaskan perkara atau isu yang di bawa oleh klien mengikut fahaman kaunselor dan dari perspektif yang baru. Kemahiran ini bererti memberi penghuraian kepada klien supaya klien dapat melihat peristiwa yang berlaku dari perspektif yang berlainan.
Dalam kemahiran membuat interpretasi ini, kaunselor akan menambah kenyataan yang dibuat oleh klien, terutamanya setelah kaunselor dapat memahami perkara yang tersembunyi atau perasaan yang tersembunyi yang mana klien sendiri mungkin tidak menyedarinya secara sengaja atau tidak sengaja.
Apabila klien memberikan maklumat kepada kaunselor mengenai masalah klien, tafsiran daripada kaunselor boleh menimbulkan celik akal klien. Semasa kaunselor membuat interpretasi, kaunselor haruslah menggunakan bahasa yang mudah difahami.
Tujuan kaunselor membuat interpretasi adalah untuk membantu klien mentafsir peristiwa hidup mereka. Selain itu, ia membantu klien melihat perkara yang tidak dapat dilihatnya dengan mudah, tersorok atau tidak disedarinya.
Ishamuddin Hj. Ismail (1999) menjelaskan tujuan interpretasi ialah;
a. Kaunselor menawarkan satu bentuk ruang rujukan (perspektif) yang baru. Masalah adalah sama, yang diubah adalah persepsi iaitu dengan memberi alternatif atau wawasan kepada perkara yang diperkatakan.
b. Mengenal pasti perhubungan-perhubungan antara mesej-mesej dan tingkah laku klien yang berterus-terang dan yang berbentuk kiasan.
c. Membantu klien untuk lebih memahami terhadap perkara-perkara yang tidak dapat dilihat (yang tersirat ) dengan mudah.
d. Menokok tambah pemahaman diri klien atau memberi wawasan (celik akal) supaya klien dapat mencapai perubahan yang diingini.
-Interpretasi dalam bentuk metafora dan fantasi
Salah satu cara membuat interpretasi adalah melalui berfantasi (daydream) yang menggunakan gambaran bahasa metafora. Contohnya adalah seperti di bawah;
Saya berfantasi tentang apa yang Rizal katakan tadi. Saya gambarkan Rizal menelusuri jalan kayu yang rapuh, menuju ke simpang jalan, dan tidak dapat memutuskan mana satu jalan yang ingin ditujui. Rizal tidak pasti, lantas melambung syiling dan berlari girang ke arah jalan yang telah diputuskan berdasarkan syiling tersebut. Adakah ia sesuai?.
Metafora juga digunakan untuk memberikan reaksi kepada seseorang.
“Dalam banyak keadaan saya melihat anda sebagai “teddy bear” yang lembut dan besar yang berada di satu tempat dengan pelbagai posisi.”
Metafora juga digunakan untuk meninjau perkataan tentang tindakan yang khusus yang digunakan klien untuk menerangkan pengalamannya. Diantaranya;
imej visual: “saya melihat cahaya
bunyi: “bunyi itu kelihatan”
kinestestik: “Idea itu mencengkam saya”.
Tujuan penggunaan metafora adalah untuk memberi pengalaman kepada klien untuk memahami dirinya dan kaunselor meletakkan dirinya untuk mempengaruhi kliennya. Selain daripada itu, penggunaan klien adalah juga untukmemperluaskan bahasa deria klien melalui pertanyaan seperti bagaimana kehidupan klien diteruskan, bagaimana klien melihat kisah silamnya dan bagaimana masa hadapannya.
Kemahiran Membuat Klarifikasi
Kemahiran ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat atau penjelasan yang lebih lanjut daripada klien apabila klien menggunakan perkataan atau ayat yang tidak jelas, tidak spesifik, umum ataupun kabur ketika menyatakan permasalahannya ituMembuat klarifikasi juga adalah satu penjelasan terhadap perkara yang samar kepada satu fokus yang lebih tepat.
Jadi, dengan menggunakan kemahiran klarifikasi ini, klien perlu menerangkan tajuk yang diceritakannya itu dengan lebih lanjut atau dengan lebih mendalam. Ini bukan sahaja membolehkan kaunselor memahami mesej klien dengan lebih mendalam, malah ia membolehkan klien itu sendiri lebih memahami kekeliruan yang timbul.
Antara tujuan membuat klarifikasi ialah;
a. Membantu klien memberikan penjelasan yang lebih baik.
b. Mengelak kaunselor daripada membuat sebarang andaian.
c. Memberi peluang dan ruang klien untuk lebih meneroka diri sendiri.
d. Menyemak ketepatan kata-kata klien.
-Contoh;
Saya agak keliru di sini, jadi saya akan cuba nyatakan semula
apa yang saya fikir tentang apa yang telah diperkatakan tadi’
-Contoh;
Saya kurang jelas bagaimana perasaan anda tentang perkara itu, boleh anda ringkaskan dan gambarkannya?”
Kemahiran membuat kontrak
Kaunselor mendapatkan persetujuan dan perjanjian daripada klien supaya ada tanggungjawab dan kesungguhan untuk melaksanakan apa yang dipersetujui. Kontrak biasanya dibuat pada kes-kes yang memerlukanperubahan tingkah laku klien seperti ponteng, merokok, mencuri, menipu, meniru dan lain-lain. Kontrak boleh dibuat secara lisan atau bertulis.
Kemahiran Meneroka
Dalam sesi kaunseling, kemahiran meneroka merupakan salah satu lagi kemahiran yang penting bagi menjayakan sesi kaunseling. Ini adalah kerana tanpa penerokaan, sesi kaunseling tidak akan berjalan dengan lancar. Kaunselor tidak akan dapat memahami masalah yang dihadapi oleh klien dengan lebih lanjut lagi ataupun dengan lebih mendalam.
Oleh yang demikian, seorang kaunselor perlu memastikan bahawa dirinya telah menguasai kemahiran ini bagi menjayakan sesuatu sesi kaunseling itu. Kaunselor boleh meneroka dengan lebih lanjut dengan menggunakan soalan-soalan tertentu, di mana klien perlu menjelaskan dengan lebih teliti masalah yang dihadapinya itu.
Kemahiran Pemfokusan
Dengan adanya kemahiran memfokus, kaunselor boleh mengarahkan aliran perbualan klien kepada bidang yang diingininya. Selain itu, kemahiran ini sangat berguna sekiranya kaunselor mempunyai klien yang menceritakanmasalah dengan tidak jelas atau klien yang tidak berfokus dalam penceritaannya.Tujuan kemahiran ini digunakan ialah untuk memastikan klien tidak akan bercerita sehingga terkeluar daripada topik perbualan.
Oleh yang demikian, kaunselor perlu pandai memilih tajuk apa yang perlu difokuskan. Selain itu, kaunselor juga perlu membantu klien memberi fokus kepada perasaan tersembunyi semasa dalam sesi kaunseling itu. Sekiranya kaunselor tidak mempunyai kemahiran memfokus ini, maka kedua-dua klien dan kaunselor akan keliru dan tidak jelas mengenai persoalan klien.
Biasanya kemahiran ini dilakukan apabila kaunselor memilih satu perkataan atau ayat pendek daripada percakapan klien dan memberi penekanan kepada perkataan tersebut.
Kaedah pemfokusan dengan satu perkataan adalah efektif untuk membantu klien bercakap. Kemahiran ini boleh juga dalam bentuk dorongan minima. Tujuan utama membuat pemfokusan adalah untuk mengurangkan kekeliruan klien atau sesuatu yang klien kurang jelas.
Kemahiran mencabar
Kemahiran mencabar adalah untuk memperakui dengan jujur, secara langsung dan menarik perhatian klien apa yang sedang berlaku dan apa yang sedang dirumuskan. Konstruk kemahiran mencabar melibatkan seperti mengenal pasti perasaan diri sendiri sebagai kaunselor, menjelaskan dan berkongsi pengalaman dan memberi maklumbalas dan pandangan.
Jones (2004) menjelaskan kemahiran mencabar perlu mempunyai ciri seperti di bawah;
      • Mulakan dengan membuat refleksi
Kaunselor perlu memulakan respons dengan menunjukkan bahawa dirinya telah mendengar dan memahami mesej klien.
      • Klien mencabar diri
Di mana perlu, bantu klien untuk mencabar diri mereka. Dengan membuat refleksi mesej yang bercampur, klien boleh memilih untuk membuat rumusan.
      • Jangan Melampau Batas
Kaunselor perlu menyedari bahawa dirinya tidak mencabar klien sehingga membawa kesan yangburuk kepada klien.
      • Klien Yang Mengambil Tanggungjawab
Kemahiran Berempati
Empati adalah proses untuk memahami emosi dan perasaan seseorang. Dengan adanya kemahiran berempati ini, kaunselor dikatakan berkeupayaan untuk memahami emosi dan dapat merasai apa jua yang dirasai oleh klien tersebut. Dengan ini, klien akan merasakan bahawa kaunselor itu memang seorang pendengar yang baik, memahami keadaannya serta mengambil berat tentang dirinya kerana kaunselor berupaya untuk memahami situasi sebenar yang dialaminya.
Emosi seseorang tidak mudah difahami oleh pihak kedua. Jadi, untuk menguasai kemahiran ini terlebih dahulu, kaunselor perlu berupaya untuk membezakan antara emosi dan sikap. Emosi adalah perasaan yang dialami seseorang, manakala sikap adalah kepercayaaan tentang kejadian semasa, lepas dan masa depan.
Selain itu, kaunselor perlu juga memerhatikan perkara-perkara lain. Pertama sekali, kaunselor perlu perhatikan tanda-tanda yang ada pada klien seperti nada suara dan mimik muka. Secara ringkasnya, memahami diri klien memerlukan satu penilitian yang mendalam. Selain itu, kaunselor juga perlu peka terhadap semua tingkah laku bukan lisan klien serta percakapannya bagi memahami perasaan yang dialami klien dengan lebih mendalam. Kaunselor juga boleh membawa pengalaman perasaan kliennya kepada pengalaman perasaannya sendiri bagi memahami kliennya.
Kemahiran Menghadapi Kesenyapan
Kaunselor perlu bijak dalam mengendalikan kesenyapan semasa sesi kaunseling berjalan. Kaunselor perlu tahu masa yang sesuai untuk sama ada menggalakkan klien terus bercakap atau terus mengekalkan kesenyapan itu. Kesenyapan ini merupakan satu petanda yang baik kerana ia memberikan masa kepada kaunselor dan klien untuk memikirkan tindakan apa yang seharusnya diambil seterusnya.
Selain itu, ia juga memberikan peluang kepada klien yang tidak sempat menghabiskan hujahnya tadi berfikir kembali dengan tenang mengenai hujahnya itu atau mengingat kembali sesuatu yang barangkali dia terlanjur mengatakannya atau mahu mengubah fikirannya.
Kesenyapan yang berlaku banyak memberikan peluang kepada klien dan kaunselor untuk mengimbas kembali diri masing-masing semasa sesi kaunseling tersebut. Ia juga memberi peluang kepada kaunselor untuk mendengar apa yang dikatakan oleh klien dengan lebih berkesan, dapat memerhatikan gerak geri klien dengan lebih teliti, menilai hubungan pemikiran, perasaan dan tindakan kliennya dengan lebih baik serta lain-lain lagi.
Walaupun begitu, kaunselor haruslah mengelakkan kesenyapan yang terlalu panjang kerana ia akan menghentikan terus pokok cerita yang diperbincangkan tadi. Secara ringkasnya, adalah penting bagi kaunselor untuk membenarkan keadaan senyap ini setelah klien dan kaunselor telah melakukan perkara penting. Klien perlu diberi masa untuk memikirkan sesuatu tanpa sebarang gangguan.

Kemahiran melakukan percanggahan

Kemahiran melakukan percanggahan wujud dalam dua bentuk iaitu percanggahan dalam tingkah laku bukan lisan dan tingkah laku lisan.
-Percanggahan dalam tingkah laku bukan lisan
Percanggahan ini berlaku apabila mesej yang disampaikan tidak selaras dengan pergerakan badan. Contohnya bercakap tentang satu-satu topik tetapi dilihat dari segi tingkah laku bukan lisan terdapat gerakan yang tidak sepadan.
-Percanggahan dalam pernyataan lisan.
Percanggahan dalam pernyataan lisan berlaku apabila dalam satu kenyataan terdapat dua idea yang bercanggah
Contohnya;
Dia adalah seorang ketua yang adil tetapi dia selalu pilih kawan saya untuk menghadiri seminar.”
-Ketidakselarasan antara mesej lisan, vokal dan juga mesej badan.
“Anda katakan anda rasa gementar tetapi anda nampak gembira
sahaja. Senyum setiap masa”.
-Ketidakselarasan antara kata-kata dengan aksi
“Anda kata anda sayangkan dia, tapi anda langsung tidak ada masa untuk dia dan sentiasa sibuk”.
-Ketidakselarasan antara memberi dan mengotakan kata-kata
“ Pada waktu yang sama, anda katakan anda hendak
menghubungi dia tetapi anda sentiasa mencari alasan untuk
tidak melakukannya.
-Ketidakselarasan antara kenyataan sekarang dan sebelumnya
“ Dulu anda katakana anda sukakan kawan anda tu, tapi sekarang lain pula”.
Kemahiran Mengetahui Teori dan Teknik-Teknik Kaunseling
Dengan adanya kemahiran mengetahui teori dan teknik kaunseling,kaunselor akan menjadi lebih yakin dan bersedia untuk berhadapan dengan klien. Dengan adanya kemahiran ini, kaunselor akan lebih berupaya untuk menolong klien menghadapi masalah yang dihadapi itu.
Namun begitu, kaunselor perlu tahu bagaimana dan bila masanya untuk menggunakan kemahiran teori dan teknik-teknik kaunseling yang ada padanya. Kaunselor juga perlu bijak dalam memilih teknik apa yang patut atau sesuai digunakan apabila berhadapan dengan klien-klien yang berlainan.
Kemahiran memberi maklumat
Kemahiran memberi maklumat memerlukan sedikit ketelitian di mana kaunselor berkongsi fakta dan maklumat dengan klien. Antara jenis maklumat adalah kategori kepakaran seperti instrumen ujian, kemahiran merancang dan membuat keputusan, merancang kerjaya, perancangan keluarga dan membuat keputusan bersara.

Kemahiran Merumus
Merumus adalah pernyataan atau pengikatan semula bahagian isi dan perasaan penting yang telah dikatakan oleh klien dalam sesi kaunseling tersebut. Rumusan adalah lebih meluas jika dibandingkan dengan parafrasa. Kemahiran merumus ini bertujuan untuk menyedarkan klien dan mengimbas kembali apa yang telah dibincangkan semasa sesi kaunseling itu.
Kaunselor boleh membuat rumusan sama ada di permulaan, di tengah atau pun di akhir sesi kaunseling. Namun kebiasannya, rumusan dibuat pada hujung sesi kaunseling, iaitu membuat rumusan keseluruhan. Di samping itu, kaunselor juga boleh membuat rumusan di tengah-tengah sesi kaunseling itu sekiranya klien itu sudah hendak masuk ke topik pebincangan yang baru. Ini adalah supaya klien dan kaunselor tidak keliru dan mencampur adukkan semua topik yang telah diperbincangkan.
Ishamuddin Hj. Ismail (1999) menjelaskan tujuan merumus ialah;
a. Menghubungjalinkan beberapa elemen daripada mesej klien
b. Mengenal pasti satu paten atau tema yang konsisten atau yang selalu timbul berhubung kait dengan mesej tersebut.
c. Supaya klien mendengar semula kata-katanya.
d. Supaya tidak ada berlaku distorsi (distortion)
e. Sesuai digunakan apabila sesi terhenti atau terbantut
f. Dalam kesenyapan yang berpanjangan, rumusan boleh mempercepatkan proses kaunseling.
g. Sintesis aspek-aspek emosi, tingkah laku dan pemikiran klien.
-Rumusan untuk memulakan sesi
Contoh;
“Pada sesi yang lalu, kita telah bincangkan tentang perasaan Azura terhadap ibu mertua serta perselisihan faham dengannya ketika melahirkan anak. Azura merasakan diri Azura bersalah dan bimbang. Sejak itu, hubungan Azura dengan mertua tidak baik. Kita juga bincangkan pelan tindakan pada minggu itu. Bagaimana?. Adakah berjalan dengan baik?.
-Rumusan pertengahan sesi
Contoh;
“Setakat ini, saya lihat perancangan Kamal tidak berjalan dengan lancar. Sekali lagi, Kamal rasa bersalah apabila melihat idea itu dimanipulasi. Namun, satu idea boleh dilakukan. Kamal telah dapat berbincang dengan Lina tentang bidang tugasnya, dan inilah kali pertama anda boleh bercakap tanpa bertengkar. Kamal nampaknya mungkin dapat membuat perancangan susulan pada minggu hadapan. Adapan ini benar?.
-Rumusan di akhir sesi
Contoh;
“Di dalam sesi ini, kita telah berbincang mengenai perasaan Anita terhadap ibu mertua dengan lebih terperinci. Beberapa perkara yang perlu diberi perhatian. Pertama, pelan yang kita bincangkan tidak berjalan dengan baik, tapi Anita dapatbercakap dengan mentua tentang satu perkara tanpa menjerit. Seperti dibincangkan, kita telah kenal pasti beberapa tingkah laku Anita yang perlu diubah seperti lebih relaks dan mengubah topik bila Anita rasakan diri Anita mula nak marah. Saya juga gembira dengan idea Anita di akhir sesi ini mengenai cara bercakap dengan ibu tentang sesuatu isu. Adakah ini mencukupi untuk sesi ini?.
Kemahiran meninjau klien.
Kemahiran meninjau klien membolehkan kaunselor meninjau klienmelalui tingkah laku lisan dan bukan lisan. Kemahiran ini juga dapat membina hubungan. Selain daripada itu, kemahiran meninjau klien juga dapat memberi responss yang tepat. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah tingkah laku lisan dan bukan lisan, percanggahan dan konflik serta gaya yang disesuaikan dengan individu yang datang dari pelbagai budaya.
Kemahiran Konfrontasi
Kemahiran ini hanya dilaksanakan setelah terbentuk hubungan yang baik antara klien dengan kaunselor. Semasa kemahiran konfrontasi dijalankan, kaunselor harus menggunakan nada yang lembut yang mengandungi unsur-unsur ambil berat agar mesej yang disampaikan tidak tersalah tafsir oleh klien. Biasanya kemahiran konfrontasi akan digunakan oleh kaunselor kepada klien dalam situasi-situasi tertentu seperti dinyatakan di bawah;
a. Terdapat percanggahan antara apa yang dikatakan oleh klien tentang dirinya dengan apa yang dilakukannya.
b. Apabila terdapat percanggahan di antara apa yang dikatakan pada satu masa dengan apa yang dikatakan pada masa yang lain.
c. Tingkah laku bertentangan dengan apa yang dikatakan
d. Pengalaman kaunselor dengan klien bertentangan dengan apa yang dikatakan oleh klien mengenai dirinya
e. Menyatakan tentang tingkah laku klien yang didapati tidak sesuai, sebagai maklumat tambahan mengenai diri klien.
Tujuan kaunselor mengadakan kemahiran konfrantasi adalah untuk memberikan klien satu pandangan lain dalam usaha meneliti diri dan membantu mengurangkan blind sport dalam membantu klien melihat dirinya dengan lebih tepat.
Contoh satu
“Tadi anda kata anda ingin berjaya, tetapi nampaknya anda langsung tiada persediaan untuk berjaya”.
Contoh dua
“Tadi saya dengar anda rasa kecewa dengan pensyarah itu, tapi dalam masa yang sama , anda rasa takut berhadapan dengan pensyarah itu untuk mengetahui isu yang sebenar”.
Contoh tiga
“Saya nampak wajah anda gembira walaupun menceritakan perkara
yang agak sedih. Agaknya ada perkara yang tak kena ke?”’
Tujuan konfrontasi mengikut Ishamuddin Hj. Ismail (1999) adalah seperti berikut;
a. Membenarkan klien menerokai mekanisme bela diri yang menghindari pemahaman dan tindakannya.
b. Membantu klien mengenal pasti satu kontradisi, rasionalisasi, helah atau salah interpretasi
c. Membantu klien menerokai bahagian-bahagian perasaan, pengalaman dan tingkah laku yang klien sendiri merasa berat untuk menghadapinya.
d. Menunjukkan kepada klien apa yang sedang berlaku pada diri klien.
e. Supaya tingkah laku klien menjadi lebih bersepadu.
Contoh Satu;
“Pada sesi lepas Effa dah bincangkan dengan saya mengenai kekecewaan Effa terhadap rakan sejawat yang selalu menaruh perasaan dengki dengan apa yang Effa buat. Dalam masa yangsama Effa juga merasa sedih kerana walaupun sudah lima bulanEffa berkhidmat, Effa belum lagi mendapat gaji. Jadi kali ini adakah Effa mahu mendapat gaji.”
Contoh dua;
“Pada sesi yang lepas Qayyam dah bincangkan dengan saya tentang halangan yang Qayyum hadapi untuk mencapai cita-cita Qayyum sebagai seorang pensyarah. Jadi, pada hari ini apa katakalau kita menyemak kembali apa agaknya langkah-langkah yang boleh diambil oleh Qayyum untuk mencapai cita-cita tersebut.”
Kemahiran menyemak persepsi
Kemahiran menyemak persepsi ini ialah mengesahkan persepsi kaunselor tentang apa yang klien katakan. Apabila kemahiran ini dilakukan, klien akan merasa beliau lebih difahami. Garis panduan untuk membuat penyemakan persepsi ialah membuat parafrasa apa yang kaunselor fikir kaunselor telah dengar. Selain daripada itu, kaunselor juga meminta pengesahan klien secara terus terang tentang ketepatan persepsi kaunselor terhadap apa yang telah diperkatakan oleh klien.Dalam menyemak persepsi, kaunselor juga akan membenarkan klien membetulkan persepsinya jika andaian kaunselor adalah tidak tepat.
Kemahiran Mengurus kesenyapan
Biasanya kesenyapan berlaku semasa sesi kaunseling apabila klien berfikir tentang beberapa idea yang dibincangkan. Dalam sesetengah situasi, klien akan menjadi senyap semasa sesi kaunseling untuk mengorganisasikan semula pemikirannya. Walau bagaimanapun, kesenyapan yang sedemikian dikatakan amat bermanfaat apabila klien meneruskannya untuk satu atau beberapa jangka masa untuk memikirkan isi kandungan yang dibincangkan melalui cara seperti di bawah;
i. mengulangi semula satu atau beberapa perkataan terakhir yang telah diungkapkan.
ii. menyatakan semula isi kandungan daripada beberapa kenyataan terakhir yang di buat.
iii.menanyakan semula soalan tentang isu-isu yang telah di bawa dalam perbincangan.
Kesenyapan boleh berlaku untuk tiga sebab yang berbeza iaitu;
i.Pada permulaan sesi temuduga, klien mungkin berasa malu dan risau terhadap proses kaunseling. Dalam keadaan yang sedemikian, kaunselor boleh mengambil langkah-langkah tertentu untuk mengurangkan ketegangan supaya klien dapat mengurangkan perasaan negatifnya dan membincangkan persoalan yang dibawa bersama dengan bebas.
ii.Klien tidak tahu apa yang sepatutnya dibincangkan seterusnya.
iii.Klien berkemungkinan sedang berfikir tentang apa yang telah diperkatakannya. Dalam keadaan yang sedemikian, kaunselor haruslah bersabar sehinggalah klien bersedia untuk memberikan tindakbalas kepada kaunselor.
Kesenyapan juga membawa erti bahawa klien sedang mengalami kesulitan dalam meluahkan perasaannya mahupun menceritakan ideanya. Dalam keadaan yang sedemikian, kaunselor seharusnya membantu klien secara lisan dengan menyatakan kenyataan seperti :
“Bagaimana saya boleh membantu sekiranya kamu berasa takut terhadap saya”.
Kesenyapan juga berlaku apabila klien mengalami ketegangan emosi. Dalam keadaan yang sedemikian, kaunselor haruslah menunggu sehinggalah klien berasa lega dan selesa untuk bercakap. Sesetengah klien yang tidak mempunyai kemahiran bersosial memerlukan sesi temuduga lebih lama untuk membincangkan pokok persoalannya.
Klien berkemungkinan akan mempelajari bagaimana meluahkan perasaannya dan membincangkan idea pemikirannya dalam beberapa perkataan sahaja ataupun bergantung terhadap orang lain untuk memulakan sesi dan mengambil tanggungjawab mencari jalan penyelesaian. Dalam keadaan yang sedemikian, kaunselor haruslah membantu klien memperolehi kemahiran sosial yang perlu untuk komunikasi yang lebih efektif secara lisan dan bukan lisan.
Kesenyapan jarang berlaku untuk satu jangka masa yang lama jika sesi temuduga dikendalikan oleh kaunselor yang terlatih. Bagaimanapun, kesenyapan juga merupakan satu halangan untuk melanjutkan sesi temuduga. Oleh itu, Wolberg (1954) telah mencadangkan perkara-perkara berikut sekiranya kesenyapan berlaku;
1. Kaunselor boleh memfokus terhadap tumpuan perhatian klien dengan menyatakan. “Adakah kamu mendapati susah untuk bercakap “.
2. Sekiranya masih tidak mendapat maklum balas daripada klien, kaunselor boleh menyatakan, “ Saya berasa hairan mengapa kamu senyap”.
3. Kemudian kaunselor berkata, “Mungkin kamu tidak tahu apa yang harus kamu katakan”
4. Mungkin kamu cuba untuk merangka apa yang akan diperkatakan kemudian”.
5. Mungkin kamu kecewa”.
6. Komen yang seterusnya ialah, “Mungkin kamu takut untuk menceritakan apa yang difikirkan dalam fikiran kamu”.
7. Akhir sekali, sekiranya kesenyapan masih berterusan, kaunselor boleh berkata, “Adakah terdapat sesuatu yang menyebabkan kamu berasa susah untuk bercakap”.
Dalam kebanyakan contoh yang telah diberikan, apabila klien masih lagi senyap, kaunselor haruslah berkata, “apa kata kita hanya duduk di sini untuk seketika dan mungkin kamu akan memberitahu saya apa yang sedang difikirkan”. Selepas itu, kaunselor boleh cuba sekali lagi untuk mendapatkan respons klien. Sekiranya klien masih memberikan responss yang sama, kaunselor haruslah menamatkan sesi dengan memberikan jaminan kesediaannya pada masa akan datang untuk memberikan perkhidmatannya kepada klien.
RUMUSAN
Secara umumnya, untuk menjadi seorang kaunselor yang berjaya adalah tidak mudah kerana ia memerlukan kemahiran-kemahiran yang tertentu. Kaunselor harus memahami segala kemahiran yang dipelajari dan tahu mengaplikasikan ke atas klien pada tempat, masa dan keadaan yang sesuai.
Sekiranya kemahiran yang diaplikasikan tidak sesuai digunakan maka ia mempengaruhi seluruh proses kaunseling sepeti menyukarkan klien menyelesaikan masalah mereka akibat kehilangan keyakinan dan kepercayaan terhadap kaunselor.
Selain mempunyai kemahiran-kemahiran yang baik, seorang kaunselor yang berjaya juga harus mempunyai personaliti yang baik. Ini kerana perhubungan kaunseling tidak dapat dipisahkan daripada ciri-ciri personaliti kaunselor.
Contoh-contoh personaliti kaunselor yang baik ialah seperti mesra, jujur, menerima tanpa syarat dan berempati. Sifat mesra dan jujur kaunselor akan dirasakan oleh klien apabila berinteraksi dengan klien.
Kaunselor juga harus berpandangan terbuka atau mengelakkan diri daripada pandangan yang negatif atau serong terhadap klien. Kaunselor juga harus berkebolehan memasuki ruang rujuk atau dunia klien dan membenarkan dirinya mengalami proses mental dan emosi yang dialami oleh klien sambil memahami dan menghayati permasalahan klien.


-haraplah selagi bernafas-