Tuesday 8 January 2019

ISU PERKAHWINAN PASANGAN TINGGAL BERJAUHAN KERANA TUNTUTAN KERJAYA



OLEH : DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN
PAKAR KAUNSELING KELUARGA
012 6650387


SOALAN 01
Bagi pasangan yang tinggal berjauhan atau PJJ, bagaimana caranya mereka menepis dugaan yang melanda?

Jawapan saya;

Dugaan atau ujian semua datang daripada Allah. Allah duga manusia untuk melihat sejauhmana kita;

1.      Taat
2.      Patuh
3.      Syukur

Kehadratnya. Banyak dalam kalangan para Rasul, Nabi-nabi dan para alim ulama menghadapi pelbagai dugaan dalam hidup mereka. Ada yang diduga dengan alami penyakit kronik seperti Nabi Daud, difitnah macam apa yang dialami oleh Nabi Yusuf, ibu bapa benci dan bakar macam apa yang jadi kepada Nabi Ibrahim, hatta Nabi Muhammmad Saw sendiri difitnah sebagai lelaki yang gila, mabuk kuasa dan kaki betina. Namun, akhirnya Allah tolong dengan kemanisan hidup berupa kesembuhan, ketenangan, kejayaan dan keimanan kukuh kepada Allah.

Justeru, untuk hidup jadi pasangan bahagia, akarnya ilmu, batangnya amal, dahannya akhlak dan buahnya adalah imej soleh dan solehah. Orang  soleh dan solehah disebut insan bertakwa. Orang bertakwa menurut Nabi Saw mesti ada sikap takwa. Orang bertakwa tidak boleh berfikir misalnya “Menepis dugaan”, sebab kita tak boleh tepis dugaan atau ujian atau rintangan yang diberi Allah, sebab itu adalah iradah (kehendak) Allah. Macam mana kita nak disebut takwa kalau kita tak yakin dengan doa kita kehadrat Allah. 

Di sini saya nak kongsi 2 perkataan penting dalam sahsiah hidup. Pertama Amali dan Kedua Alami. Amali bermakna kita mesti amal caragaya hidup sentiasa ingat Allah, tak putus doa supaya Allah jauhi diri dan pasangan dan seisi keluarga kita daripada tidak dapat 4 perkara iaitu;

1.    Hidayah Allah (petunjuk dari Allah)
2.    Irsyad Allah (pimpinan dari Allah)
3.    Tasdid Allah (sokongan dari Allah)
4.    Ta’jid Allah (bantuan dari Allah)

Pantang hidup seorang muslim ialah;

1.    Buruk sangka sebab Nabi Saw kata orang suka berburuk sangka sebenarnya seorang yang kaki bohong.
2.    Tak jaga sembahyang
3.    Ambil makanan haram
4.    Sumber rezeki haram
5.    Melakukan maksiat

Insya Allah, meski hidup pasangan berjauhan macam askar Malbatt Malaysia yang bekerja untuk negara dan PBB (Persatuan Bangsa Bangsa Bersatu) di negara yang sedang berantakan di Afrika seperti di Somalia, Namibia dan Angola, hidup tetap tenang dan bahagia sebab masing-masing pasangan berpegang teguh kepada caragaya hidup seorang mukmin sejati.

Makna Alami pula ialah bermakna apa sahaja yang kita alami pada masa depan adalah natijah daripada apa yang kita pernah lakukan pada masa sebelumnya. Jika sebelumnya kita seorang yang;

1.    Jaga solat
2.    Jaga adab
3.    Jaga pemakanan
4.    Jaga sumber kewangan
5.    Jaga maruah agama, diri dan keluarga……
maka datanglah apa sahaja dugaan dari Allah, samada dugaan berupa kesenangan atau sebaliknya, maka jati diri sebagai mukmin tetap utuh teguh ibarat tembok besar China yang dari dulu hingga kini tetap teguh berdiri sampai penghujung dunia.  Begitulah benarnya!


SOALAN 2
Sebenarnya, apakah dugaan bagi pasangan yang tinggal berjauhan?

Jawapan saya;

Jumhur ilmuwan bidang psikologi mengingatkan orang awam bahawa Anda ialah Apa yang anda fikirkan. Jika anda cenderung berfikiran negatif, maka ia akan beri kesan negatif kepada jasmani (mudah mengelabah), emosi (diselubungi kebimbangan tanpa sebab), rohani (amal ibadah jadi tidak terjaga) dan intelek (minat belajar dan membaca tiada).
Oleh itu, dugaan bagi pasangan yang tinggal berjauhan datangnya daripada caragaya seseorang berfikir. Jika fikirannya tidak berfokus untuk;
1.    Menjaga amal ibadah
2.    Menjauh diri daripada perkara mengundang fitnah
3.    Menjauhkan maksiat
….maka akan timbul pelbagai bala kepada diri sendiri. Sebab itu Confusius (pendeta China) zaman dulu ada sebut;

“Beware your thoughts, they become your words. Beware your words, the become your actions, beware your actions, they become your habits, beware your habits, they become your nature, beware your nature, they become your destiny.”  

Jelasnya, jadilah orang yang sentiasa bersikap baik, nescaya dirimu  akan sentiasa tenang, bersemangat dan fokus untuk berbuat amal kebaikan (Amali). Sikap Amali yang baik seperti setia, jujur, ihsan, tabah, jaga solat dan jauhi perkara syubhat dan maksiat akan menjadikan hidup kita sentiasa dibawah rahmat Allah Taala. Bila berada dalam kerahmatan, datanglah apa sahaja dugaan, pasti kita akan hadapinya dengan sikap reda dan tawakal kehadrat Allah Taala.



SOALAN 3
Bagi pasangan yang tinggal berjauhan, bagaimana cara nak kukuhkan hubungan dengan pasangan?

Jawapan saya;

Manusia ada perasaan. Apabila zahir dan batin kita bersih, jiwa luhur, akal budi fokus ingat Allah, maka perasaan pasangan kita akan jadi;
1.    Yakin kesetiaan pasangannya
2.    Rasa selamat sentiasa
3.    Hati tenang bahagia

Sebab pasangan masing-masing disedari dianya orang yang baik, soleh dan benar. Ia persis macam kepercayaan Saidatina Khatijah kepada pasangannya Nabi Muhammad Saw.
Maka kita selaku mukmin, mesti ikut nilai dan wibawa Amal mahmudah (baik) seperti kedua-kedua mentor teragung kepada Ummat Islam berkenaan.

SOALAN 4
Bagi kebanyakan kes pasangan yang tinggal berjauhan, selalunya isteri yang berkorban menjaga anak-anak, jadi apakah sumbangan suami?

Jawapan saya;

Setiap orang adalah peranan. Didiklah daya fikir dan akan budi kita agar;
1.    Tidak  berkira tentang nilai role dan status kita sebagai suami atau isteri
2.    Mendahulu nilai ihsan yang akan menjadikan kita tidak langsung berkira-kira siapa yang mesti buat kerja dan berkorban lebih dalam hal menjaga anak, beri makan anak, memimpin anak hingga soal kewangan keluarga.
3.    Sentiasa syukur dengan segala nikmat yang Allah kurniakan

Mesti ingat, setiap pasangan suami isteri termasuk yang tinggal berjauhan, mesti ada nilai pengorbanan. Misalnya, tentulah seorang isteri, tidak akan mampu memikul tugas suaminya yang terpaksa  menjaga hutan negara selama lebih sebulan di sempadan Malaysia Thailand, sebab kudrat dan profesion si isteri tidak melayakkannya berbuat begitu. Begitulah sebaliknya. Sikap menghargai, mensyukuri dan hormat di antara satu dengan lengkap dengan niat saling melengkapi, yang selebih dan terkurang, disandarkan sahaja kepada rahmat dan pahala daripada Allah Taala.

Apa yang penting, tidak akan masuk syurga kepada setiap suami yang tidak bertanggungjawab menjaga kebajikan isteri dan anak-anak iaitu dari segi;

1.    Tempat tinggal yang selamat
2.    Kewangan yang mencukupi
3.    Bimbingan agama yang berterusan (boleh meskipun berjauhan melalui video call, whattapps, telegram dan emel).


SOALAN 5

Sebaiknya, dalam berapa lama tempoh yang ideal pasangan tinggal berjauhan?

Jawapan saya;

Tempoh yang ideal untuk tinggal berjauhan bagi kalangan suami isteri tidak dibahas dengan empirik oleh kalangan pakar psikologi. Apa yang penting, sikap empati oleh setiap pasangan, khususnya pihak suami. Berdasarkan pengalaman saya, masalah pasangan berjauhan ini boleh diatasi dengan;

1.    Sikap tolak ansur
2.    Bersikap asertif (terus terang)
3.    Berani buat keputusan
4.    Bertanggungjawab

Sebab, ada perempuan yang tak sanggup berjauhan dengan suaminya. Bukan seminggu, malah ada yang tak sanggup walau sehari pun. Jadi, si isteri pun ada yang miliki skil tinggi memujuk rayu suami. Maka, kerana itu, ada suami yang berani berhenti kerja, buat kerja lain demi si isteri nya yang manja, terlalu berharap dan amat handal memujuk.

Saya juga nak tambah hujah seperti berikut. Ia penting demi kerukunan rumahtangga dan supaya si suami bersikap wibawa, bertanggungjawab atau gentlemen.

Jelasnya, tempoh masa berjauhan kerana kerjaya ni, ia bersifat intrapersonal, subjektif dan tertakluk kepada akal budi masing-masing. Jangan sampai si suami atau si isteri tidak melaksana tanggungjawab, sudahlah. 

Ingatlah kembali aku janji setiap pasangan  semasa melaksana lafaz taklik selepas melakukan akad nikah dahulu. Maklumat berhubung lafaz taklid tersebut adalah seperti  berikut;
Lafaz taklik adalah lafaz talak taklik (talak tergantung) yang dibaca dan dilafazkan oleh si suami selepas akad nikah dilakukan. Jelasnya, lafaz taklik  bermaksud suami mengaitkan talak dengan sesuatu sifat atau syarat, sama ada mempunyai hubungan dengan isterinya, suami sendiri atau orang lain. Semua negeri mempunyai lafaz taklik, dan ia sudah menjadi suatu kemestian. Lafaz taklik ini  ada dicatatkan di dalam Sijil Perakuan Nikah pasangan yang sudah berkahwin, di negara kita. 

Seringkali intipati  (lafaz taklik) ini tidak langsung difahami kerana al maklum pada masa ia dilafazkan, perasaan gembira dalam kalangan pasangan sedang mekar berkembang utuh kerana baru berkahwin. Dan selepas akad nikah sebenarnya jiwa masih kosong dan dengan terketar-ketar serta darah gemuruh lantas membaca tanpa penghayatan  apa yang dibaca. Tidak ramai suami kembali membaca dan memahami takliq selepas kahwin dan surat nikah disimpan dalam fail tanpa dirujuk semula demi kebaikan.

Lafaz talak taklik  misalnya bagi pasangan yang bernikah di Selangor adalah seperti berikut;
“Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khuluk.”

Selamat maju jaya semua.

Amin.