Wednesday 18 October 2017

FIKIR SIASAH UMMAH

Kita mesti lebih maju berbanding negara lain dari segi;

1. keilmuan
2.kenegaraan
3.keagamaan

Jika tidak, negara bangsa kita boleh kembali dijajah dan terjajah.



Asas kekuatan dan keselamatan bangsa kita ialah bucu paling tajam di atas (rujuk segitiga).

Apa yang kamu tahu?
Rujuk dan semak al Quran dan al Hadis.


Jika ada sifatnya, maka berhak untuk kamu buat keputusan untuk "pilih" atau "toleh".


Insya Allah.

Selamat berjaya wahai Akhi.


Akhikum Fillah,


Dr. Ahmad Kamal bin Ariffin.
abbaakba@yahoo.com
012 6650387.

Wednesday 4 October 2017

KEPENTINGAN PERANCANGAN STRATEGIK DALAM INSTITUSI KELUARGA BAHAGIA



OLEH;
DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN - 012 6650387




PENDAHULUAN

Kepimpinan  keibubapaan yang strategik  ialah merujuk kepada kalangan ibubapa yang mampu mengenalpasti dan jelas dengan persoalan berikut;

1.    Apakah urusan-urusan yang perlu ditumpukan untuk peningkatan kualiti setiap kalangan ahli dalam sesebuah keluarga?
2.    Bagaimana prestasi pendidikan anak-anak pada masa kini?
3.    Ke manakah hala tuju keluarga anda?
4.    Bagaimana cara dan cadangan anda untuk mencapainya?
5.    Apakah isu-isu kritikal yang dihadapi oleh kalangan ahli keluarga anda kini?
6.    Apakah budaya keluarga anda sekarang?
7.    Apakah yang anda pelajari daripada setiap kejayaan dan kegagalan yang dihadapi oleh setiap ahli keluarga anda?
8.    Jika anda dapat menentukan masa depan keluarga anda, apakah yang anda harapkan daripadanya?

BERSEDIA UNTUK BERUBAH

Sebuah institusi keluarga yang berdaya maju adalah sebuah keluarga yang dipimpin oleh ibubapa yang sanggup dan mampu menerima serta melakukan perubahan demi kebaikan jati diri dan imej institusi keluarganya. Perubahan pula lazimnya seringkali mengundang pelbagai tekanan dan cabaran. Ibarat laying-layang, ia senantiasa perlu tekanan udara untuk dia terbang lebih tinggi. Justeru, kepentingan pengurusan sebuah keluarga yang strategik adalah merupakan wadah yang dapat memberi peluang kepada penglibatan setiap ahli keluarga. Manakala proses pemikiran strategik akan mengurangkan tekanan hasil daripada perubahan tersebut.

Pengurusan strategik sebuah keluarga memerlukan penyelarasan dalam keputusan-keputusan yang berkaitan seperti berikut;

1.    Tahap kewangan keluarga
2.    Tahap pendidikan anak-anak
3.    Budaya komunikasi ahli keluarga
4.    Perkembangan psikososial ahli keluarga
5.    Amalan hidup  beragama setiap ahli keluarga


Pembentukan strategi untuk merancang bagi mencapai matlamat pengwujudan sebuah keluarga yang cemerlang dan bahagia perlu bermula dengan pembentukan strategi. Langkah-langkah strategi adalah seperti berikut;

1.    Mengadakan visi keluarga
2.    Menetapkan misi strategik keluarga
3.    Menentukan matlamat keluarga yang strategik





VISI KELUARGA

Visi keluarga yang terbaik adalah bercirikan perkara berikut;

1.    Realistik
2.    Ringkas dan jelas
3.    Tekal dan berterusan
4.    Terancang dengan rapi
5.    Bahasanya mudah difahami
6.    Konsisten dalam kenyataan dan tindakan
7.    Ada sasaran tarikh (tahun) untuk mencapainya
8.    Berupaya menyakinkan dan merangsang tindakan ahli keluarga
9.    Cara penyampaian yang bersesuaian dengan setiap ahli keluarga

Aspek menyampaikan visi keluarga merupakan satu proses yang sangat sukar dan penting dalam usaha untuk menjadikan visi tersebut sebagai visi yang dikongsi bersama oleh setiap ahli keluarga.
Kewujudan pelbagai visi boleh menimbulkan kekeliruan kepada kalangan ahli keluarga anda. Akibatnya visi keluarga anda tidak akan berjaya dicapai. Contoh satu visi keluarga yang berkualiti adalah seperti berikut;

“Keluarga Ahmad (nama bapa yang menjadi ketua keluarga) adalah sebuah keluarga Islam yang berilmu tinggi dan berdaya maju dalam bidang ekonomi menjelang tahun 2020.”

MISI KELUARGA

Misi keluarga adalah bermaksud langkah atau daya usaha untuk bertindak untuk mencapai visi keluarga anda. Misi sifatnya mesti jelas, mantap dan mampu menjana ke arah merealisasikan visi keluarga anda. Diantara ciri  misi keluarga yang berkualiti ialah seperti berikut;

1.    Mudah dan senang diingat
2.    Berkait rapat dan menyokong sepenuhnya visi
3.    Boleh menjadi budaya kepada setiap ahli keluarga anda
4.    Menjawab kepada persoalan bagaimana untuk mencapai visi keluarga anda

Contoh misi keluarga ialah seperti berikut;

Berusaha mencapai visi keluarga dalam aspek amalan hidup  beragama, gigih menimba dan menguasai ilmu pengetahuan, pengurusan dan amalan yang mantap dalam aspek kewangan, kebersihan dan komunikasi perorangan.


MENENTUKAN MATLAMAT STRATEGIK

Bagi mencapai misi bagi setiap sudut kehidupan khususnya hala tuju  kerjaya seisi ahli keluarga, maka matlamat strategik institusi keluarga mesti ada. Ciri-ciri matlamat strategik yang baik mestilah mencabar, boleh dicapai dan boleh diukur.  Dalam langkah menentukan matlamat strategik keluarga anda, dua proses utama yang terlibat ialah mengenalpasti isu-isu strategik dan membuat analisis dari segi kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman (ANALISIS SWOT).  Analisis  SWOT sangat membantu untuk memastikan tindakan anda bagi menacapai visi dan misi keluarga berjalan dengan lancar dan bersepadu.

KESIMPULAN

Perancangan stragtegik untuk mencapai visi dan misi keluarga amat penting diambil perhatian dan diamalkan oleh kalangan ibubapa yang ingin mewujudkan sebuah institusi keluarga yang bahagia. Ia baik untuk memastikan setiap ahli keluarga anda bebas daripada masalah kecelaruan emosi, masalah komunikasi dan konflik yang boleh merencatkan keharmonian sesebuah institusi keluarga. Selain perancangan strategik institusi keluarga yang berkaitan, pengurusan strategik sebuah institusi keluarga yang bahagia hanya akan boleh menjelma setelah pihak kepimpinan ibubapa melaksana plan tindakan yang telah dirancang dengan berkesan,  seterusnya melaksanakan pemantauan sejauhmana pelaksanaan sesuatu perancangan itu berjaya dilaksana dengan penuh motivasi, fokus diri dan ikhlas dari semasa ke semasa. Usaha berterusan dalam memastikan setiap ahli keluarga melaksana visi dan misi keluarga yang bahagia pasti akan menghadapi pelbagai rintangan berupa tekanan emosi, kecelaruan tingkahlaku, kegagalan, fitnah jiran taulan dan seumpamanya. Namun ia mesti dihadapi dengan sabar dan tawakal kerana ia adalah fitrah hidup manusia. Ia selari dengan apa yang telah ditegaskan oleh Allah Taala dalam al Quran yang bermaksud; “Maha Suci Allah Yang di tangan-Nyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu, yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya.” (QS al-Mulk [67]: 1-2)

Sunday 1 October 2017

REZEKI BERKAT KELUARGA SIHAT



OLEH : DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN, 012 6650387
PAKAR KAUNSELING KELUARGA
MALAYSIA.


PENDAHULUAN

Semua pasangan suami isteri yang sihat dari segi emosi dan mental punyai impian untuk miliki sebuah institusi keluarga yang bahagia. Ironinya, masyarakat mempersepsi imej sebuah keluarga yang bahagia banyak berdasarkan kepada trait-trait berikut;

1.       Bebas daripada krisis kesihatan
2.      Bebas daripada krisis kewangan
3.      Miliki pengangkutan yang berkualiti
4.     Saiz rumah dan lokasi rumah yang bagus
5.      Punyai jiran tetangga yang berpekerti mulia
6.      Budaya bercakap seisi keluarga yang harmoni
7.     Miliki perolehan sumber kewangan yang mampan

Berkaitan dengan itu, jumhur ahli psikologi Islam berpendapat bahawa kunci utama bagi membina sebuah institusi keluarga yang harmoni, aman, bahagia serta bebas daripada sakit poket dan sakit penyakit ialah kerana  natijah daripada rahmat rezeki yang berkat. Persoalannya, apakah ilmu sebenar yang berhubung rezeki yang berkat menurut syariat Islam?  Jelasnya, terdapat juga pandangan kalangan bijak pandai yang berkata bahawa rezeki yang berkat itu bersifat “Sedikitnya cukup, banyaknya boleh diagih-agihkan”.

KEPENTINGAN  REZEKI BERKAT

Dari segi bahasa berkat atau “barakah” bermaksud bertambah dan berkembang. ia menunjukkan ‘kebaikan yang banyak’. Punca rezeki jadi berkat, mudah bertambah dan cukup dari semasa ke semasa menurut Nabi Muhammad Saw seperti yang telah diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal ialah kita budayakan sikap suka bersedekah. Misalnya, berlaku suatu hari apabila Nabi Muhammad Saw bertanya kepada sahabatnya (Muaz), mahukah kamu aku beritahu punca rezeki kamu berkat bercukupan. Maka dijawab oleh sahabatnya mahu. Maka Nabi Saw menjelaskan bahawa ummat baginda akan sentiasa murah rezeki dari segi makanan, duit dan ilmu pengetahuan jika ia suka memberi dan bersedekah dengan perkara yang sama. Sebaliknya, sikap kedekut, memakan riba, memberi dan menerima rasuah, menipu dalam jual beli, mencuri harta orang lain dan memakan harta anak yatim akan menjadikan seseorang itu rezekinya tidak berkat. Kesannya ialah timbul penyakit tekanan emosi, mudah stress, ditimpa pelbagai krisis hidup dan wajahnya akan kelihatan masam, menakutkan dan tidak dipercayai oleh orang kebanyakan.

Kesan hidup dengan rezeki yang tidak berkat banyak diperkata dan dibahas oleh kalangan ahli psikologi. Diantara tanda-tanda hidup orang yang rezekinya tidak berkat ialah;

1.       Ada kerja tetapi kerjanya tidak pernah siap
2.      Ada tindak usaha tetapi hasilnya tidak berbaloi
3.      Ada duit banyak namun terlalu cepat sangat habis
4.     Ada banyak masa tetapi sentiasa terlepas begitu sahaja
5.      Ada banyak kawan tetapi tidak seorang pun sudi membantunya
6.      Ada bakat istimewa tetapi tidak boleh dimanfaat oleh diri sendiri dan orang lain.

Setiap ahli keluarga mesti ambil berat soal rezeki berkat (halal) ini kerana jika dikesamping atau dipandang remeh, ia akan menatijahkan barah psikososial ummah yang impaknya bukan sahaja memberi imej buruk terhadap bangsa Melayu malah ummah Islam itu sendiri. Bukan senang nak masuk syurga dan bukan senang nak miliki hidup yang bahagia. Ia memerlukan ilmu, penghayatan, latihan, amalan, teladan dan pengorbanan. Allah Taala telah berfirman maksudnya; “Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa yang ada di bumi yang HALAL lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana Sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh Yang terang nyata bagi kamu”. (al-Baqarah: 168)


KAEDAH MERAIH REZEKI BERKAT

Setiap hajat jika ingin mudah diraih kuncinya ialah doa. Nabi Muhammad Saw pernah bersabda maksudnya;

“Doa adalah senjata (sumber) kepada orang mukmin (selamat)” – Hadis Riwayat Abu Ya’la. Saya sertakan doa murah rezeki dan seterusnya diberkati hidup bersumber rezeki yang halal seperti berikut;

. اللَّهُمَّ اكْفِنِي بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِني بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِـوَاكَ
“Ya Allah, cukupilah aku dengan (rezeki)-Mu yang halal (hingga aku terhindar) dari yang haram. Kayakanlah aku dengan kenikmatan-Mu selain-Mu“.
Sembari itu, jika kita rujuk kepada al Quran, maka terdapat 8 doa mohon  kemurahan dan keberkatan rezeki oleh Allah iaitu :
  1. Ayat seribu dinar : Surah At Talaaq Ayat ke 2 dan ke 3
  2. Doa Nabi Muhammad S.A.W : Surah Ali Imran Ayat ke 27
  3. Doa Nabi Muhammad S.A.W : Surah Saba’ Ayat ke 36
  4. Doa Nabi Muhammad S.A.W : Surah Saba’ Ayat ke 39
  5. Doa Nabi Isa A.S : Surah Al Maidah Ayat ke 114
  6. Doa Nabi Musa A.S : Surah Al Qasas Ayat ke 24
  7. Doa Nabi Ibrahim A.S : Surah Ibrahim Ayat ke 37
  8. Doa Nabi Ibrahim A.S : Surah Al Baqarah Ayat ke 126


Seterusnya, bagi memastikan rezeki kita berkat, maka kita mesti memastikan perkara yang berhubung latarbelakang, sebab musabab dan perkara penting berkaitan rezeki yang kita usaha dan miliki iaitu dari segi;

1.       Barangnya
2.      Sumbernya
3.      Prosesnya
4.     Bahannya
5.      Pilihannya
6.      Caranya

Ini adalah kerana, rezeki (duit, makanan, pakaian, kenderaan, rumah kediaman dan seumpamanya) akan diguna, dimakan dan dinikmati bukan sahaja untuk diri sendiri malah juga buat pasangan dan anak-anak  sendiri. Malah, menurut Nabi Muhammad Saw, setiap apa yang kita usahakan dan nikmati di dunia ini akan dipersoal kembali oleh Allah di padang mahsyar kelak. Perkara ini disebut dalam Sunan At-Tirmidizi  bahawa diriwayatkan oleh Abdullah ibn Masud bahawa Nabi SAW telah bersabda maksudnya, “Kedua-dua kaki anak Adam (manusia) tidak akan melangkah dari hadapan Allah pada hari kiamat sebelum dia akan ditanya lima hal. Umurnya, untuk apa dia habiskan. Masa mudanya, untuk apa dia habiskan. Hartanya, cara apa dia perolehi dan untuk apa dia telah gunakan, serta apa yang dia perbuat dengan ilmunya.”.

Seterusnya bagi memiliki setiap rezeki yang diterima sama ada banyak atau sedikit itu mendapat keberkatan daripada Allah S.w.t maka kita perlulah juga meneliti perkara berikut :

1. Kita tidak meninggalkan sebarang perintah Allah seperti sembahyang dan mengeluarkan zakat sepanjang tempoh kita mencari rezeki.
 2. Kita tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang dan maksiat seperti menipu, tidak amanah, tidak menepati masa, bertangguh kerja dan seumpamanya tatkala di tempat kerja.
3. Kita bekerja dengan niat untuk membantu diri sendiri dan orang lain dengan penuh ihsan, jujur dan tekun.
4. Kita menjaga lidah dan anggota badan kita daripada merosakkan maruah diri, keluarga dan orang lain.
5. Kita yakin bahawa Allah yang memberi kita rezeki. Justeru, kepada Allah sahaja kita berserah, mengadu dan berharap.

TANDA NIKMATI REZEKI BERKAT

Menurut Ibnu Hajar al Asqalani (1448M) bahawa tanda seseorang itu miliki rezeki yang berkat ialah;

1.       Dia semakin baik dari segi karektor
2.      Dia istiqamah dengan imej sahsiah terpuji.

Mengenainya, umum mengambil maklum tentang ungkapan “Anda ialah apa yang anda makan”. Jika kita makan makanan yang datang daripada duit rompakan, rasuah, riba dan seumpamanya, maka natijahnya ialah negatif. Bersusah dahulu bersenang kemudian. Jangan ambil mudah berhubung halal dan haram dalam mencari rezeki. Ini kerana, jika seseorang manusia selagi hayatnya ada, jika dia amalkan sikap makan rasuah, ambil rasuah atau memberi rasuah, maka hakikatnya dia sedang menyediakan dirinya untuk diazab oleh Allah di alam akhirat nanti. Pentas hidup setiap kita didunia ini adalah untuk dinilai, diuji dan diambil peduli oleh setiap ummah.

JENIS REZEKI BERKAT

Setiap pasangan yang beriman, mesti menyedari bahawa untuk mendapat rezeki yang berkat, kita mesti tahu apa jenisnya. Ia bagi membantu pemikiran dan hati kita agar sedar hala tuju dan fokus diri berhubung setiap tindakan yang kita lakukan. Dari segi psikologi, fitrah setiap manusia ingin rezekinya berkat dan mendapat reda Allah. Berikut adalah jenis-jenis keberkatan menurut perspektif Islam;

1.       Keberkatan zahir : iaitu kekayaan fizikal atau materi berupa harta benda seperti kenderaan, rumah dan peralatan elektronik yang membantu memudahkan seseorang itu beribadat dan menjadi hamba Allah yang soleh.
2.      Keberkatan tersembunyi : iaitu seseorang yang memiliki akal yang cerdas, kesihatan yang baik dan tidak mengalami sebarang penyakit yang boleh mengganggu kebahagiaan dan keharmonian hidupnya.
3.      Keberkatan akhirat : iaitu seseorang yang tergerak hatinya untuk beribadat kepada Allah (solat sunat, mengaji al Quran dan bersedekah di masjid) bertujuan untuk mendapat keredaan Allah.

Sehubungan dengan itu, jelas bahawa rezeki yang berkat bukan semata-mata merujuk kepada aspek duit atau wang ringgit atau emas yang banyak dimiliki. Sebaliknya, rezeki yang berkat juga adalah berhubung dengan kesihatan, kecerdasan, kemahiran, keimanan hinggalah adanya sifat ihsan yang dimiliki oleh seseorang. Maka hendaklah bersyukur banyak-banyak kehadrat Allah jika seseorang itu Allah kurniakan pasangan (samada suami atau isteri) yang sikapnya penuh kasih sayang, warak, jujur, rela berkorban, pendengar yang setia dan menjadi “role model” kepada setiap ahli keluarganya.

Firman Allah yang bermaksud: “Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi,(kemakmuran) tetapi mereka mendustakan [ayat-ayat Kami] itu, maka Kami siksa mereka (dengan kemiskinan dan kekacauan ) disebabkan perbuatannya”. Al-‘Araf (96).

HUBUNGAN REZEKI BERKAT DAN KELUARGA SIHAT

Banyak bukti yang terkumpul dalam sirah pengalaman hidup saya sebagai pakar kaunseling keluarga di Malaysia mendapati jika seseorang suami atau isteri memberi makan minum, pakaian dan rumah tempat tinggal hatta kereta motor yang mereka guna bersumber rezeki yang haram, akan menghadapi krisis-krisis rumahtangga yang kadangkala tak sanggup untuk saya dengar dan sukar untuk saya interpretasikan. Misalnya isu;

1.       Ada kereta, tetapi kereta asyik rosak
2.      Ada kawan, tetapi kawan makan kawan
3.      Ada jiran, tetapi jiran tak hormati hak jiran
4.     Ada pekerjaan, tetapi asyik tukar-tukar pekerjaan
5.      Ada isteri, tetapi isteri tidak taat kepada perintah isteri
6.      Ada kemahuan untuk berjaya, tetapi susah nak bertindak dan mencuba jaya.
7.     Ada anak tetapi anak mengalami kecelaruan mental (Mental Illness Disorder)

Menyedari betapa keluarga yang sihat dari segi hubungan komunikasi, perorangan dan sikap hormat dan saling melengkapi, bertitik tolak daripada rezeki yang berkat atau halal, maka perkara ini mesti diberi perhatian penuh oleh setiap pasangan suami isteri demi untuk memastikan nilai “rumahku syurgaku” dapat dibina mahupun dipertahankan.





KESIMPULAN

Mencegah lebih baik daripada merawat. Kita boleh mencegah dari terjerumus ke lembah  suasana hidup berkeluarga yang tak bahagia natijah daripada terbelenggu dengan hidup bersumber rezeki yang tidak berkat. Rezeki yang berkat (halal) sangat penting dalam hidup kerana ia adalah sunnah Nabi Muhammad Saw, dituntut oleh Allah dan akan dihisab oleh Allah pada alam mahsyar kelak. Biarlah kita bersusah dahulu dan bersenang kemudian. Biarlah hidup kita patuh syariat dengan tujuan terhindar daripada masalah hidup yang berat, tidak bernoktah dan dipandang hina oleh masyarakat.  Dengan adanya rezeki yang berkat, keluarga jadi sihat dan mudahlah masalah diatasi secara muafakat. Akhirnya, suka saya kongsikan intipati lirik lagu kumpulan  muzik Indonesia “Wali Band” bertajuk Yang Penting Halal yang berbunyi;
Biar kerjaku begini, biar gajiku sebegini
Yang penting halal untukmu yang ku beri
Pedih ya memang pedih, letih jangan ditanya lagi
Yang penting halal untukmu yang ku beri