OLEH : DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN (012 6650387)
PENDAHULUAN
Hubungan suami isteri sangat unik dan dinamik jika ia dikembang
tumbuhkan dengan nilai ilmu, komunikasi
berkesan dan kesedaran jelas mengenai “role dan status” masing-masing. Isu
mengenainya ialah, tidak semua pasangan suami isteri mampu membina hubungan
perorangan mereka sebagai sahabat sejati sama ada di dalam mahupun di luar
rumah. Umumnya, nilai sahabat sejati boleh menerima kekuatan, kekurangan,
kelebihan dan keistimewaan masing-masing tanpa buruk sangka dan busuk hati.
Dengan adanya nilai persahabatan, semua perkara dan masalah akan dihadapi dan
diatasi dengan riang, selesa, berfikiran terbuka, mesra, tolong menolong,
saling bekerjasama dan melengkapi antara satu sama lain.
DILEMA HUBUNGAN SUAMI ISTERI
Umumnya, banyak kalangan
suami dan isteri terperangkap dengan soal apa yang boleh dan tak boleh dalam
aspek status masing-masing sebagai suami dan isteri. Ironinya, hak utama
seorang suami daripada isterinya misalnya;
1. Dilayani
2. Dihormati
3. Diambil peduli
4. Dijaga maruahnya
5. Dijaga harta miliknya.
Manakala hak utama seorang isteri daripada suaminya pula ialah;
1. Dikasihi
2. Dilindungi
3. Diambil peduli
4. Dijaga kebajikan
5. Dibimbing agar sentiasa patuh syar’ie.
Namun, proses penyampaian makna kasih sayang, tanggungjawab,
kebajikan dan hala tuju institusi keluarga itulah yang perlu dimahiri dan
dipakari oleh setiap pasangan suami isteri.
Analogi seni komunikasi perorangan diantara suami dan isteri dalam
sesebuah rumahtangga ini ialah dengan nilai seni komunikasi persahabatan, membebas dan menghindar diri daripada sikap;
1. Authoritarian (kuku besi) oleh pihak suami terhadap isteri
2. Laissez Faire (tak bertanggungjawab) oleh pihak suami terhadap
isteri mahupun oleh pihak isteri terhadap pihak suami
3. Ammarah (pemarah) yang melihat diri lebih berkuasa, berhak dalam
membuat keputusan dan mesti betul akan segala tindakannya.
Junjungan
besar Nabi Muhammad Saw telah berpesan maksudnya “Seseorang ada diatas perangai
sahabatnya (pasangannya). Maka hendaknya seseorang itu meneliti siapa yang dia
jadikan sahabatnya (pasangannya)”. (Hadis riwayat Abu Dawud dan Ahmad).
Jelasnya, berdasarkan hadis Nabi Saw itu, setiap pasangan mesti muhasabah diri
dan bina cita-cita kendiri untuk menjadi sahabat yang soleh kepada pasangan
masing-masing. Tanpa cita dan kesedaran, setiap pasangan akan lebih bersikap
menunggu dan bergantung kepada pasangan masing-masing untuk berbuat baik dahulu
berbanding berlumba untuk memulakan amal soleh, berbuat baik dan berbakti buat
pasangan masing-masing.
FITRAH
KEINGINAN PASANGAN
Dari segi ilmu psikologi
komunikasi, 7 perkara berikut adalah ingatan utama yang mesti dihayati bagi
membina nilai persahabatan sejati dalam hubungan komunikasi diantara suami dan
isteri. Ianya adalah bahawa setiap suami dan isteri itu ingin;
1. Disayangi bukan
dipergunakan
2. Difahami bukan dihukum
3. Diterima bukan disisih
4. Dihormati bukan diperkecil
5. Ditolong bukan dirosakkan
6. Merasa selesa bukan
dikutuk
7. Berkembang bukan rencat
Menjelaskan lagi
akan hal tersebut, Imam Al Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin ada menyatakan
bahawa;
“Jalinan tali
persahabatan antara dua orang seperti halnya akad nikah suami-isteri. Dalam
pernikahan terdapat hak yang harus dipenuhi sebagaimana disebutkan sebelumnya
pada pembahasan nikah. Demikian pula dalam persahabatan ada kewajipanmu untuk
memenuhi hak saudaramu, baik yang berkaitan dengan harta, jiwa, tutur kata, dan
hati: dengan memberikan maaf, keikhlasan, menunaikan janji, dan meringankan
beban.”
KESIMPULAN
Jika ingin membina hubungan suami isteri yang berdiplomasi,
setia dan bahagia, merujuk ilmu psikologi komunikasi, perlu diambil pengajaran bahawa
terdapat 3 perkara yang akan merosakkan hubungan iaitu sikap pemarah, angkuh
dan suka mengungkit akan kelemahan pasangan.
Sembari itu, dalam ilmu psikologi komunikasi juga, kita diingatkan
bahawa terdapat 3 perkara utama yang menjadi dambaan setiap pasangan iaitu
harapan positif oleh pasangan, keikhlasan pasangan dan kejujuran pasangan
mereka. Dengan adanya asas-asas ilmu
seni persahabatan bagi kalangan suami
isteri ini, akan terbitlah 3 perkara yang sangat diidam oleh setiap pasangan
iaitu suasana hidup berkeluarga yang sentiasa berkasih sayang, cinta yang
mendalam dan ketinggian budi pekerti.