OLEH :
DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN
012 6650387
PENDAHULUAN
Kita
ialah apa yang kita fikirkan. Banyak isu rumahtangga berpunca daripada cara
seseorang suami atau isteri berfikir, iaitu kerana berfikir secara tidak
rasional. Misalnya, sikap si isteri yang berfikir “Jika suami lambat pulang
kerja, mesti periksa atau siasat kandungan dan rekod perkhidmatan telefon
bimbitnya”. Kononnya untuk dapatkan bukti suami bersikap curang. Jika suami
curang, senanglah si suami di ganyang, dan ditendang, rancangnya. Itulah betah bentak
perasaan curiga si isteri. Walhal, tidaklah benar suami pulang lambat sebab
curang. Hakikatnya pula ialah si suami sebenarnya sedang sibuk bekerja. Bekerja
kuat demi masa depan keluarganya agar hidup selesa lagi bahagia. Umum memaklumi,
zaman kini bukan senang nak dapat duit dan simpan banyak duit, demi keperluan
anak dan isteri seisi keluarga. Ibarat madah orang dahulu “Bukan senang nak senang”, “Bukan susah nak
susah”. Manakala jumhur ahli psikologi kaunseling telah memberi ingatan bahawa
“Kerana silapnya caragaya seseorang itu berfikir, dia akan hidup diselimuti
pelbagai krisis, konflik dan masalah rumahtangga dalam kehidupan hariannya”. Jelasnya,
berfikiran tidak rasional boleh menerbitkan sikap suka berburuk sangka, lempar
salah, curiga siang malam, memfitnah tanpa rasa, berdendam kesumat dan akhirnya
percaya kononnya tindakan keras atau agresif boleh mengatasi semua masalah di
rumahnya.
KEPENTINGAN FIKIR RASIONAL
Kepentingan
kemahiran berfikir secara rasional sangatlah mustahak. Ia bagi mengatasi
isu seperti kes perceraian dalam
kalangan warga kita yang banyak berpunca akibat berfikir secara tidak rasional.
Orang yang berfikir secara tidak rasional akan banyak mengundang rasa tidak
selesai, tidak selamat, kecewa, meluat dan hilang rasa sayang terhadap pasangan
masing-masing, tanpa fakta dan asbab yang konkrit. Realitinya, setiap manusia khususnya
pasangan anda memerlukan sokongan emosi, kepercayaan dan penghormatan. Tanpa
melayan pasangan masing-masing dengan sikap diplomasi yang bercirikan
musyawarah, bersatu, saling mempercayai, bekerjasama dan rasional, mustahil
mahligai keluarga bahagia dapat dibina. Inilah
cabarannya!
PEMIKIRAN TIDAK RASIONAL
Berikut
saya jelaskan intipati ringkas mengenai isu pemikiran tidak rasional dalam
kalangan pasangan yang telah berkahwin khususnya buat rujukan kaum hawa. Bahawa
para ilmuwan dalam bidang kaunseling banyak memberi fokus tentang masalah
berfikir secara tidak rasional ini. Ia bertujuan untuk membasmi masalah
terdapat aduan oleh kalangan suami yang hidup dalam keadaan tidak aman, jiwa mudah
gundah, emosi sering kecewa, murung dan berduka lara. Melalui sesi kaunseling, banyak isu yang saya
terima adalah mengenai sikap caragaya berfikir tidak rasional oleh kalangan pasangan
mereka. Jelasnya, ia banyak terdiri
dalam kalangan kaum wanita. Natijah pemikiran tidak rasional, menerbitkan sikap terlalu cemburu buta,
berburuk sangka dan suka membuat persepsi negatif terhadap pihak suami. Isu utama yang popular
diadukan oleh klien saya adalah mengenai;
1.
Penggunaan wang
2.
Kemudahan telefon bimbit
3.
Kefungsian rakan sekerja
di pejabat
4.
Tempoh waktu bertugas di
luar rumah
5.
Perhubungan perorangan
di tempat kerja
Meskipun
kita diboleh untuk menasihat dan ambil berat akan kompetensi imej personal
suami, namun ia berbeza dengan sikap suka berfikir tidak rasional yang jelas
bercirikan emosional, lempar salah, berburuk sangka dan tak percaya akan
kesetiaan (loyality) suami masing-masing.
Saya jelaskan
perkara tersebut berdasarkan 3 elimen berfikir secara tidak rasional seperti berikut;
1.
Awfulizing (Mengerikan dan menghairankan),
misalnya terpengaruh menonton wayang gambar atau cerekarama TV yang menonjol
watak si suami yang ada skandal dengan wanita cantik. Maka ia dilihat sebagai
suatu peristiwa yang amat ditakuti pihak isteri dan amat mengerikan perasaan
mereka. Malah ia juga menimbulkan persoalan menghairankan mereka “Mengapa si suami masih mencari perempuan
lain walhal si isteri juga tidak kurang cantik dan penyantunnya”.
2.
I can’t stand it (Saya tak tahan), misalnya lanjutan daripada banyak cerita yang diperolehi dari
pelbagai sumber kononnya ciri suami liar atau ada skandal ialah misalnya suka
pulang lewat, maka kebetulan si suami
mereka jua begitu keadaan jadual kerjanya, maka ia menerbit rasa “Saya tak tahan alami keadaan begini.
Ia mesti dihentikan”. Lalu, si isteri ambil tindakan mudah lagi semerta dengan
memberi pelbagai soalan provokasi bertujuan untuk pastikan si suami tidak pulang
lewat lagi dan supaya tidak ada skandal di luar.
3.
Demandingness (Terlalu menuntut), misalnya akibat daripada sikap takut suami ada skandal, risau
suami tidak setia dan percaya suami tidak jujur kerana sering pulang lewat,
maka si isteri akan bersikap ‘Terlalu menuntut agar suami pulang awal sambil
mengugut, merayu sambil menangis dan seumpamanya”. Ia menyebabkan si suami
terpaksa tinggalkan kerja, mesyuarat dan seumpamanya demi menjaga hati isteri.
Walhal si suami sebenarnya jujur. Dia pulang lewat sebab bekerja, mengurus,
mesyuarat dan seumpamanya yang menuntut kerja lebih masa dan pengorbanan tenaga
dan intelek yang tinggi.
Berhubung
perkara di atas, ilmu kaunseling kendiri menegaskan bahawa seseorang menjadi
bermasalah jika mempunyai salah satu atau kebanyakan daripada ciri pemikiran
tidak rasional berikut;
1.
Saya mesti disayangi
2.
Orang bersalah mesti
dihukum.
3.
Saya mesti membuktikan
bahawa saya berkebolehan
4.
Masa lampau adalah
penting kerana ia mempengaruhi hidup kita
5.
Saya perlu berpandangan
tidak baik sekiranya saya dikecewakan,
disisih atau tidak dilayan secara adil
6.
Sekiranya satu perkara
itu merbahaya dan menakutkan maka saya mesti memikirkannya dan risau
tentangnya.
7.
Apabila seseorang
bertindak secara tidak adil dan tidak diingini, maka kita harus menyalah dan
mengutuknya
8.
Saya harus melihat
kehidupan saya sangat teruk sekiranya saya tidak dapat mencari penyelesaian
yang baik kepada kehidupan realiti saya.
Seterusnya,
berdasarkan ilmu psikologi pula, seseorang akan mengalami hidup yang tertekan
apabila bersikap seperti berikut;
1.
Terlalu menyalahkan diri
sendiri
2.
Menekankan perkataan
mesti dan patut dalam kehidupan sehariannya.
Hakikatnya,
kehidupan adalah satu proses. Kita berkembang dan akan terus matang berteraskan
daya fikiran yang positif dan bersih. Diri kita akan menjadi pasif, negatif dan
susah berkembang matang seandainya suka bersikap menyalahkan diri sendiri.
Mengenainya, kita hendaklah menukarnya
menjadi alanglah baiknya kita bertanggungjawab terhadap diri sendiri. Kita
hendaklah menerima kegagalan, kesulitan dan kesusahan dengan reda dan
seterusnya bertanggungjawab untuk bangkit semula bagi membina kehidupan
berkeluarga yang berdaya saing, berkasih sayang, patuh syariah dan saling
melengkapi.
Sebagai
hamba Allah yang lemah, adalah tidak rasional jika kita berfikir bahawa setiap
perkara dan tindakan mesti menjadi begitu dan begini, selari dengan kehendak
dan persepsi diri sendiri. Kita hendaklah sedar dan berfikir secara rasional
bahawa hanya Allah yang berkuasa memberi kejayaan atau sebaliknya kepada setiap
manusia yang telah berusaha.
Berikutnya
saya sertakan juga maklumat tambahan mengenai ciri-ciri pemikiran tidak
rasional dalam kalangan suami isteri iaitu seperti berikut;
1.
Kuat merajuk
2.
Lemah semangat
3.
Terlalu menuntut
4.
Merendah diri teramat
5.
Rasa malu yang teramat
6.
Mengalah dan menyalahkan
7.
Mempunyai daya toleransi
yang rendah
KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA RASIONAL, SIHAT DAN SELAMAT
Marilah kita
bersyukur kerana dilahir sebagai seorang muslim. Kita adalah insan yang bertuah
kerana di sisi kita ada al Quran yang diturun oleh Allah sebagai panduan hidup.
Jelasnya, di dalam al Quran mengandungi saranan daripada Allah agar setiap
ummat manusia berfikir secara rasional., Asas daya pemikiran rasional ialah
apabila kita berfikir secara baik dan betul. Bermula dengan pemikiran rasional,
akan membentuk sikap yang baik. Apabila kita bersikap baik, maka seluruh tubuh
kita akan sihat. Hati menjadi sihat. Buah fikiran kita sihat. Malah persepsi
kita juga sentiasa sihat dalam menaakul dan menginterprestasi setiap kejadian
yang berlaku disekeliling kita.
Kepentingan caragaya berfikir ditekankan oleh Allah di dalam al
Quran. Ia dinyata dengan kalimat seperti
Tafakkur, Ta’akul,
Ta’abbur,
Tazakkur
dan Tadabbur.
Begitu juga Allah memotivasi ummat manusia agar rajin mengguna pancaindera supaya
berfikir, iaitu berdasar kalimat dalam al Quran seperti bashara, nadzara dan sami’a.
Huraian berhubung perkara di atas adalah seperti berikut;
Tafakkur (memikirkan)
Setiap pasangan suami isteri mesti membudaya sikap berfikir
mengenai keesaan Allah. Fikirkanlah mengenai;
1. Betapa tingginya nilai jodoh anda.
2. Nikmat tubuh
badan yang sihat lagi sempurna
3. Kemampuan untuk
bergerak tanpa cacat dan cela.
4. Comelnya
anak-anak dengan sekalian bakat dan potensi mereka
5. Cukupnya duit dan
harta buat kita mudah beribadah dan bergembira bersama.
Mengenainya Allah telah berfirman yang maksudnya;
“Katakanlah : “Aku tidak
mengatakan kepadamu, bahawa perbendaharaan Allah ada padaku. Dan tidak aku
mengetahui perkara ghaib, dan aku tidak juga mengatakan bahawa aku seorang
malaikat. Aku tidak mengikuti kecuali apa yang diwahyukan kepada ku”.
Katakanlah : ”Apakah sama orang yang buta dengan orang yang melihat?” maka
apakah kamu tidak memikirkannya. (Al-An’am : 50)
Ta’akul (Mengguna Akal)
Setiap pasangan suami isteri mesti membudaya sikap menghargai
nikmat akal yang Allah kurniakan. Untuk menjadi pasangan suami isteri yang
ideal, dipuji dan dikasihi, maka hendaklah bertindak seperti berikut;
1. Mengguna akal
untuk memakmur keluarga
2. Mengguna akal
untuk menjadi insan yang dikasihi Allah
3. Mengguna akal
untuk mencegah seisi keluarga daripada maksiat
4. Mengguna akal
untuk menyempurna amanah Allah agar selamat hidup di dunia dan akhirat.
5. Berfikir kreatif
dan kritis untuk meningkatkan iman dan amal bukannya berfokus untuk tingkatkan
dosa dan noda melalui pelbagai sumber wang haram, internet, harta dan pangkat
diri.
Mengenainya, Allah telah berfirman dalam al Quran yang bermaksud;
“Mengapakah kamu menyuruh orang lain berbuat baik, sedangkan
kamu melupakan dirimu sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab? Maka tidakkah
kamu mengguna akal ”. (Al-Baqarah : 44).
Ta’abbur (Memerhati Dengan Teliti)
Setiap pasangan suami isteri mesti membudaya sikap suka
memerhati dengan teliti akan setiap kejadian makhluk dan alam ciptaan Allah di
dunia ini. Ia penting untuk membina;
1. Ilmu
2. Iman
3. Amal
Hidup tanpa ilmu adalah buta. Hidup tanpa amal adalah sia-sia.
Tanpa sikap peduli dan sensitif terhadap kejadian alam dan peristiwa yang sedang
berlaku di sekeliling kita, maka kita akan sukar untuk menikmati perasaan takut
kepada Allah. Misalnya peristiwa petir kilat yang sangat kuat yang berlaku di
Putrajaya, kejadian gempa bumi di Lombok dan kejadian Tsunami di Palu, Sulawesi
baru-baru ini. Ia ternyata membuktikan betapa hebatnya kuasa Allah Taala.
Memerhati dengan niat untuk menambah iman dan mengukuh ibadah merujuk perkara
di atas akan menjadikan kita insan yang menghargai pasangan masing-masing,
takut bersikap tidak bertanggungjawab dan lalai daripada melunas ibadah wajib
selaku muslim.
Mengenainya, Allah telah berfirman dalam al Quran yang bermaksud;
“…maka ambillah pengajaran wahai orang yang mempunyai
pandangan”. (Al-Hasyr : 2)
Tazakkur (Mengambil Peringatan)
Setiap pasangan suami isteri mesti membudaya sikap empati terhadap
hak Allah terhadap diri kita. Banyak krisis rumahtangga berlaku disebabkan
manusia kini menumpu hidup kepada;
1. Kepentingan nafsu
duit, seks dan hiburan sendiri
2. Gagal melihat
anak dan pasangan hidup sebagai amanah.
3. Gagal bersyukur
akan anugerah seorang isteri atau sebaliknya
Apa yang banyak berlaku kini, manusia bangun sahaja tidur terus
ingat;
1. Kerja dan kerjaya
2. Untung,
keuntungan dan laba niaga dan nama.
3. Telefon bimbit
(untuk bernikmat dunia melalui whattsapp, instagram, FB dan seumpamanya
Inilah cabaran utama kita. Kita mesti ikut perintah Allah
bukannya perintah Iblis. Iblis perintah kita untuk perkara negatif seperti
berkaitan di atas. Dengan berfikir rasional untuk Tazakkur (Mengambil
Peringatan), maka kita akan jadi pasangan yang;
1. Sentiasa rasa
takut akan kematian
2. Sentiasa ambil
berat soal halal dan haram
3. Sentiasa ingin
berlumba untuk berbakti kepada pasangan terlebih dahulu, bukannya mengutama demi
keperluan nafsu sendiri.
Ingatlah, tugas utama isteri ialah membina kesejahteraan
jasmani, emosi, rohani dan intelek suaminya. Allah amat kasihi kepada para
isteri yang solehah. Begitulah sebaliknya. Mengenainya, Allah telah berfirman
yang bermaksud
“Dan dia dibantah oleh kaumnya. Dia berkata” Apakah kamu hendak
membantahku tentang Allah, padahal sesungguhnya Allah telah memberi petunjuk
kepadaku.” Dan aku tidak takut kepada (malapetaka dari) sembahan yang kamu
persekutukan dengan Allah kecuali di kala Tuhanku menghendaki sesuatu (dari
malapetaka) itu. Pengetahuan Tuhanku meliputi segala sesuatu. Maka apakah kamu
tidak mengambil peringatan?” (Al-An’am : 80)
Tadabbur (Mempertimbangkan)
Pertimbangan hidup kita terhadap setiap tindakan dan gerak kerja
mesti di atas rasional untuk mendapat reda Allah. Dengannya kita akan
menjauhkan diri daripada bersikap individualistik, oportunis dan hasad.
Misalnya Allah telah berfirman dalam al Quran yang bermaksud;
“Maka apakah mereka tidak memerhatikan al-Quran? Kalau sekiranya
al-Quran itu bukan dari Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang
banyak di dalam al-Quran ” (An-Nisa’ : 82)
Bashara (Memerhatikan)
Pemerhatian kita setiap hari mesti berfokus untuk mendapat ilmu
pengetahuan dan menambah iman dalam nurani kita. Iman boleh bertambah dan
berkurang setiap hati. Apabila kita fokus untuk melihat setiap perkara secara
rasional dan positif, dan mengelak mata daripada memerhati aurat orang yang
bukan mahram atau suka mencari-cari akan sikap buruk orang lain, maka akan
terbit sifat hati yang sentiasa tenang dan sentiasa berzikir sambil memerhati
keesaan Allah meskipun dengan melihat terbangnya lalat atau langau di depannya.
Mengenainya Allah telah berfirman yang bermaksud;
“Dan apakah mereka tidak memerhatikan bahawa Kami menghalau
(awan yang mengandungi) air ke bumi yang tandus, lalu kami tumbuhkan dengan air
hujan itu tanaman yang daripadanya menjadi makanan binatang ternakan dan mereka
sendiri. Maka apakah mereka tidak memperhatikan”. (As-Sajdah : 27).
Nadzara (Melihat)
Setiap pasangan mesti berusaha melihat setiap kejadian yang
menimpa mereka sekeluarga adalah datang daripada Allah. Setiap kejadian itu
pasti ada hikmah dan ibrahnya. Apa yang mustahak, kita mesti melihat dengan
mata hati yang bersifat takwa dan reda. Apabila kita melihat sesuatu untuk
mendapat hidayah Allah, pasti hati menjadi tenang dan sikap sabar akan
menyelimuti diri kita.
Mengenainya Allah telah berfirman dalam al Quran yang bermaksud;
“Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta bagaimana ia
diciptakan”. (Al-Ghasyiah : 17)
Sami’a (Mendengar).
Telinga yang Allah kurnia mesti difokus untuk perkara yang
berhubung;
1. Penghargaan
2. Mendapat ilmu
3. Menambah iman
4. Mendapat maklumat
5. Mengelak
malapetaka
Banyak kes kaunseling keluarga yang saya kendali berpunca sikap
pasangan yang malas mendengar kata bicara pasangannya. Ia dapat dilihat pada
sikap misalnya;
1. Mata tidak fokus
terhadap wajah isteri khususnya pada matanya
2. Mengguna telefon
bimbit tatkala isteri sedang bercakap dengannya
3. Ekspresi muka
tidak senyum sebaliknya masam dan macam boring je
4. Melihat-lihat
jam, dinding dan objek lain tatkala isteri sedang bercakap dengannya
5. Tangan dan kaki
bersilang (menunjukkan sikap tak hormati orang lain yang sedang bercakap
dengannya).
Semasa kita bercakap, hendaklah kita fokus kepada 3 perkara
iaitu;
1. Mendengar
perasaannya
2. Mendengar isi
pernyataan
3. Mendengar
pengalamannya
Berhubung perkara di atas Allah telah berfirman maksudnya;
“Dan apakah tidak menjadi petunjuk bagi mereka, beberapa banyak
umat sebelum mereka yang telah Kami binasakan sedangkan mereka sendiri berjalan
di tempat-tempat kediaman mereka itu. Sesungguhnya pada yang demikian itu
terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah). Maka apakah mereka tidak mendengar?” (As-Sajdah
: 26
Terdapat
banyak ayat al-Quran yang menerangkan tentang berfikir dan galakan berfikir.
Ilmu yang terdapat di dalam al-Quran tidak akan dapat dihabiskan kerana ianya
bersifat mukjizat sepanjang zaman. Walaupun Islam menggalakkan umatnya supaya
berfikir sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran dan al hadis. Allah juga
sentiasa menyuruh umat manusia agar berfikir tentang penciptaannya kerana
daripada situ kita akan dapat mengenal dan mengagungkan Allah Taala.
Ahli
psikologi barat mempopularkan ayat “Anda ialah apa yang anda fikirkan”.
Manakala banyak kalangan cerdik pandai Melayu bersepakat untuk mempopularkan
pernyataan bahawa anda ialah apa yang anda baca, makan, lakukan dan amalkan.
Membaca al Quran, al Hadis, kitab karangan alim ulama silam seperti Ibnu Jauzi,
Imam al Ghazali, Prof. Hamka dan Dr. Aidh Abdullah Al Qarni akan menjadikan jiwa
kita subur dengan iman, amal dan akhlak mulia. Ingatlah pesanan alim ulama
bahawa;
1.
Setiap tindakan kita
mesti diniat bagi mendapat reda Allah
2.
Setiap perkara baik dan
buruk adalah datangnya daripada Allah
3.
Setiap amalan kita akan
dibalas oleh Allah meskipun sebesar zarah
Dengan
3 ingatan berhubung daya berfikir rasional selaku muslimin di atas, akan
membantu seseorang itu agar bersikap;
1.
Saling melengkapi
kekurangan pasangannya
2.
Sentiasa berfikiran
positif terhadap pasangannya
3.
Sentiasa mendoakan
kesejahteraan pasangannya
4.
Menjaga aib pasangan
demi maruah dan harga diri
5.
Sentiasa menghargai setiap daya tindakan pasangannya
KESIMPULAN
Ternyata
sekali krisis dan konflik dalam hubungan suami isteri boleh dicegah juga
dipulih dengan adanya kemahiran berfikir secara rasional. Allah menggalak umat
manusia agar berfikir secara rasional. Apabila kita rasional, kita akan
bersikap adil, kritis dan kreatif. Setiap pasangan suami isteri mesti mengambil
berat persoalan caragaya berfikir ini disebabkan cara berfikir yang tidak
rasional bukan sahaja boleh merosak kesihatan emosi dan mental pelakunya,
malahan akan turut memberi impak kepada orang yang hidup disekitarnya. Sayangilah
diri anda dan pasangan anda dengan berfiir secara rasional berpandukan ilmu, iman,
akal dan budi. Insya Allah berbahagialah anda duniawi dan ukhrawi.