OLEH :
DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN
PENGASAS
PUSAT ASUHAN PERTIWI MALAYSIA
PENDAHULUAN
Sempena bulan Ramadan al
Mubarak 1439 ini, suka saya membawa fikiran kita semua mengenai bimbingan oleh Allah
Taala melalui baginda Nabi Muhammad Saw agar ummatnya berpuasa dan beribadah dengan
baik dan sebanyaknya. Bulan Ramadan ini jelasnya mengandungi banyak
keistimewaan yang perlu dihayati dan dinikmati. Sebagai muslim, sukacita saya mulakan
mengenai fadhilat bulan Ramadan, disamping amal ibadah yang tersurat dan
tersirat yang wajar kita ambil peduli demi menambah bekalan kita semua sebelum
masuk kubur nanti. Inilah perkara utama menjadi pedoman pasangan suami isteri
mithali, di sepanjang zaman.
RAMADAN ADALAH BULAN MENDIDIK
KETAKWAAN
Umumnya, bulan Ramadan mendidik
kita belajar menahan lapar, dahaga, marah dan semua perkara yang boleh
membatalkan puasa. Kemudian kita belajar untuk bersabar dengan didasari sikap
takwa kepada Allah. Ia boleh mendidik kita untuk mencapai ketakwaan kepada
Allah. Allah telah tegaskan perkara ini di dalam al-Quran maksudnya;
“Wahai orang-orang yang beriman,
kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu
daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”. (Al-Baqarah;183)
RAMADAN ADALAH BULAN MEMBUKA PINTU
SYURGA
Nabi Muhammad SAW
seperti yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim menyatakan “Ketika bulan
Ramadan, dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan
kemudian syaitan akan dibelenggu. Maka peluang umat Muslim untuk menuju jalan
yang lurus akan terbuka luas. Maksudnya di bulan Ramadan, umat Islam memiliki
peluang luas untuk menuju ke syurga Allah SWT.
RAMADAN ADALAH BULAN MENGANDUNGI
LAILATUL QADAR
Lailatul qadar merupakan
malam yang lebih baik dan mulia daripada seribu bulan. Jumhur ulama berpendapat
bahawa Lailatul Qadar berlaku pada sepuluh malam yang terakhir. Barangsiapa
yang dapat berjumpa dengan Lailatul Qadar, dia adalah seorang yang beruntung
kerana pahala amal ibadatnya ibarat beramal dan beribadat seribu bulan. Maka ia
adalah satu rahmat Allah yang sangat besar buat umat Islam ini.
Nabi Muhammad SAW seperti
yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari menjelaskan bahawa barangsiapa yang
menjalankan ibadah puasa dengan iman dan ihtisab (niat yang baik), nescaya akan
diampuni dosa-dosa yang telah lampau. Maksudnya, jika kita bersungguh-sungguh
dan berlumba-lumba melaksanakan ibadah di bulan Ramadan ini, maka dosa-dosa
yang telah lalu akan diampuni oleh Allah sama ada ia dosa kecil atau besar.
RAMADAN ADALAH BULAN PENUH KEBERKATAN
Sebagaimana yang kita
tahu, umat Islam memiliki kesempatan untuk berada di dalam bulan yang suci ini
untuk mendapatkan keberkatan hidup sepanjang masa yang bernilai sama dengan
seribu bulan. Biasanya umat Islam akan berlumba-lumba melakukan amalan untuk
mendapatkan keberkatan dalam hidup mereka. Ramadan adalah bulan yang sangat
mulia dan penuh keberkatan kerana umat Islam sentiasa berlumba-lumba untuk
melakukan amal kebaikan untuk mendapatkan keredaan daripada Allah SWT dan mereka
akan takut untuk melakukan perkara yang mungkar dan maksiat.
RAMADAN ADALAH BULAN YANG MEMILIKI
PAHALA BERLIPAT GANDA
Ibadah yang telah
dikerjakan di bulan suci Ramadan, Allah SWT akan melipat ganda balasan pahala dari
apa yang umat Islam kerjakan dan balasan itu adalah sebanyak 70 kali ganda. Hal
ini sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang telah diriwayatkan oleh Imam
Bukhari dan Imam Muslim. Oleh itu, umat Islam diseru supaya melakukan amal
kebaikan dan amal jariah seperti bersedekah, solat sunat dan membaca al-Quran sebanyak mungkin bagi menambah nilai pahala
masing-masing.
RAMADAN ADALAH BULAN TURUNNYA AL-QURAN
Pada tarikh 17 Ramadan
merupakan hari Nuzul Quran iaitu telah diturunkan kitab suci al-Quran kepada
Nabi Muhammad SAW sebagai pedoman dan menjadi petunjuk bagi seluruh umat Islam
untuk mencapai keredhaan Allah SWT. Hendaklah kita memperbanyakkan doa dan
amalan di hari turunnya al-Quran agar kita mendapat keberkatan yang lebih. Ia
ditegaskan oleh Nabi Muhammad Saw dalam sabdanya yang bermaksud “Barangsiapa
beribadah (menghidupkan) bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharap pahala,
maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu. (Hadis riwayat Bukhari
dan Muslim)
Dalam hadis lain yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa
Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya: "Umatku telah
dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan
kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang
berpuasa (Ramadan) adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman
kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka
sehinggalah mereka berbuka puasa". Allah mempersiapkan serta
menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan
meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan
mendatangimu. Pada bulan ini (Ramadan), syaitan-syaitan yang
durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka (manusia) ke arah
maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadan. Pada
malam terakhir Ramadan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan."
Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah,
adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW:
"Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah
menyempurnakan tugasnya."
JANGAN CEMARI BULAN
SYAWAL DENGAN ISU “BALIK KAMPUNG GILIRAN RUMAH IBUBAPA SIAPA
Umum memaklumi adanya
isu menjelang syawal iaitu pada setiap tahun, pasangan suami isteri akan beraya
di rumah ibubapa siapa menjelang 1 Syawal. Jika masalah ini tidak diatasi, ia
boleh menyebabkan;
1. Imej institusi keluarga muslim menjadi buruk
2. Mengundang dosa sama ada kepada pihak suami mahupun isteri
CARA ATASI MASALAH
Masalah tersebut
berpunca daripada kelemahan komunikasi. Maksudnya komunikasi tidak berkesan dalam
kalangan suami isteri. Malah banyak juga dapatan pemerhatian saya bahawa
pasangan suami isteri tersebut tidak jelas mengenai “role” dan “status” mereka sebagai
seorang anak, isteri dan suami.
Kunci keberkesanan
komunikasi ialah niat murni yang terbit daripada hati yang bersih. Maksudnya,
suami isteri dalam kalangan rakyat kita mesti miliki hati yang bersih bagi
mengelak masalah di atas. Dengan adanya hati yang bersihi, kita mudah wujudkan
persekitaran;
1. kemuliaan natijah sebuah kemaafan
2. kebahagiaan natijah sikap kesyukuran diri yang tinggi
3. kemurahan rezeki natijah sikap suka bersedekah meskipun
dengan sepotong roti.
Seterusnya, nasihat saya
ialah sebelum membuat keputusan untuk balik ke mana tahun ini, pasangan suami
isteri mesti;
1.
Semak potensi kewangan
institusi keluarga sendiri terlebih dahulu. Elakkan berhutang dan persepsi
negatif oleh pihak ibubapa di kemudian hari.
2.
Bersikap asertif.
Maksudnya berlaku jujur untuk menilai potensi keluarga sendiri akan rasional
untuk pulang ke kampung atau sebaliknya. Ia mengambil kira kos pengangkutan,
kesihatan keluarga dan potensi kewangan semasa kita. Justeru, jika tidak dapat
pulang, maklumkanlah kepada kedua-dua pihak ibubapa dan ibubapa mertua
masing-masing. Rasionalkan mereka mengapa tidak dapat pulang berhari raya pada
tahun ini.
3.
Bersikap sabar dalam
menghadapi persepsi, respon negatif mahupun kritikan daripada kedua-dua belah
pihak ibubapa jika ada situasi seperti itu. Apa yang penting, jangan bersikap
negatif dan melawan mereka. Ia disebut adab dan akhlak terhadap ibubapa.
UJIAN HIDUP BERUMAHTANGGA
Lumrah dunia, ada waktu kita senang dan ada waktu kita
susah. Susah dan senang biarlah setiap pasangan suami isteri mengurus dan
menyelesainya dengan sikap kasih sayang dan tolong-menolong. Jauhkan sikap ego,
hipokrit dan penting diri dalam mengurus keluarga masing-masing.
Mengenainya, banyak laporan yang saya terima seperti
berikut;
1.
Ada pasangan suami
isteri dah lebih 10 tahun tak pulang beraya di rumah ibubapa pihak isteri.
Alasannya kerana ibubapa pihak isteri “mulut seram”, suka membanding-banding
dengan menantu yang lain kerana materialistik.
2.
Ada pasangan suami
isteri yang dah lebih 15 tahun tak pulang beraya di rumah ibubapa suami kerana
si isteri tidak disukai ibubapa suami.
3.
Ada juga suami isteri
tak pernah membawa keluarganya pulang ke kampung ibubapa masing-masing untuk
berhari raya lebih daripada 10 tahun disebabkan faktor jarak
4.
Ada juga suami isteri
tak pernah membawa keluarganya pulang ke kampung ibubapa masing-masing untuk
berhari raya lebih daripada 10 tahun disebabkan faktor masalah kewangan
5.
Ada juga suami isteri
tak pernah membawa keluarganya pulang ke kampung ibubapa masing-masing untuk
berhari raya lebih daripada 10 tahun disebabkan faktor merajuk.
6.
Ada juga suami isteri
tak pernah membawa keluarganya pulang ke kampung ibubapa masing-masing untuk
berhari raya lebih daripada 10 tahun disebabkan faktor krisis dengan adik
beradik lain.
Bagi membina keutuhan
institusi keluarga menjelang Syawal 1439 yang akan tiba, saya ingin ingatkan
diri saya dan para pembaca yang saya kasihi dengan pernyataan berikut;
1.
Jangan kita lupa bahawa
setiap suami punyai amanah bahawa ibunya lebih utama dari isterinya
2.
Jangan kita lupa bahawa
setiap isteri punyai amanah bahawa suaminya lebih utama dari ibubapanya
3.
Jangan kita lupa bahawa
setiap ibubapa punyai amanah bahawa anak perempuannya mesti mengutamakan
suaminya dari ibubapanya
4.
Jangan kita lupa bahawa
setiap suami punyai amanah bahawa mengutamakan ibubapanya sendiri melebihi
isterinya
5.
Jangan kita lupa bahawa
setiap anak lelaki punyai amanah bahawa tanggungjawab menjaga ibubapa tergalas
dibahu mereka dan bukan pada anak perempuan
6.
Jangan kita lupa bahawa
setiap anak perempuan punyai amanah bahawa dia lebih terikat dengan
tanggungjawab kepada suami lebih dari ibubapanya sendiri.
Dengan mengamati dan
memahami mesej yang tersurat dan tersirat daripada pernyataan di atas, ia pasti
boleh membantu membina celik akal kepada kalangan peminat ruangan tulisan saya
ini untuk mengemudi bahtera keluarga masing-masing dengan pedoman agama dan
beramal sebagai insan celik agama. Elakkan mengurus keluarga secara syok
sendiri, ikut emosi, lempar salah, cenderung fitnah dan nafsu ammarah
semata-mata.
KONKLUSI
Tahap pengetahuan, pegangan agama dan
status sosioekonomi seseorang akan mempengaruhi keputusan seseorang untuk
membuat keputusan ke mana dia akan bercuti sempena 1 Syawal yang bakal
menjelang tiba. Sembari itu, saya amat yakin para pembaca sudah jelas bahawa
isu ini boleh ditanggapi dengan bijak apabila kita tahu “role” dan “status”
kita pada hari ini. Insya Allah, dengan adanya pengetahuan mengenai kaedah
untuk merancang dan memutuskan keputusan perjalanan kita menjelang 1 Syawal
nanti, kita akan terus hidup peka bagi membina ikatan kasih sayang dengan
semangat kesetiaan, kesedaran dan kepedulian mengenai erti sebuah kasih sayang,
pengorbanan dan kepatuhan sebagai seorang hamba Allah, anak, menantu, suami,
isteri dan mentor kepada banyak orang yang kita jagai dan pimpini walau dimana
jua kita berada. Jadilah pemimpin yang berwibawa kerana sesungguh setiap insan
adalah pemimpin di muka bumi Allah yang fana ini. Selamat berpuasa dan selamat berbahagia
semua.