Wednesday, 13 April 2016

INDAH

BAHASA MALAYSIA ATAU BAHASA MELAYU

Dalam ruangan ini, saya ingin lontarkan pandangan saya sendiri berkenaan bahasa yang kita gunakan sekarang. Adakah bahasa Malaysia atau bahasa Melayu yang kita tulis dan tuturkan.

Rujukan yang dibuat banyak menjurus kepada penggunaan bahasa Melayu berbanding bahasa Malaysia. Ini tentulah disebabkan kemunculan Malaysia adalah terkemudian daripada Persekutuan Tanah Melayu. Namun yang menjadi persoalannya, bahasa Melayu atau bahasa Malaysiakah yang wajar kita utarakan sebagai bahasa bagi negara yang tercinta kini.

Jika kita memandang kepada negara-negara jiran, sebagai contoh Indonesia dan Thailand, mereka menggunakan nama negara sebagai merujuk bahasa yang digunakan. Dalam pada itu, harus kita sedar banyak negara di dunia ini tidak menggunakan bahasa dengan bersandarkan nama negara seperti Britain yang menggunakan bahasa Inggeris (English), Filipina yang menggunakan Tagalog, India yang menggunakan bahasa Hindi dan banyak lagi.

Maka, negara kita Malaysia adakah wajar menggunakan istilah bahasa Melayu atau Malaysia sebagai merujuk bahasa negara ini. Apa yang pasti bahasa-bahasa lain selain bahasa Melayu tidak wajar diutamakan sebagai bahasa kebangsaan sebagaimana yang telah termaktub dalam perlembagaan negara ini, namun perbincangan kita cuma berkisar kepada istilah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia sahaja.

Persoalan mungkin timbul berkaitan pembahasaan negara sama ada memelayukan atau memalaysiakan bahasa. Kekeliruan terus timbul apabila sukatan pelajaran di sekolah ada yang merujuk sebagai bahasa Melayu bagai Tahap 2 dan bahasa Malaysia bagi Tahap 1 sekolah rendah.

Sebagai seorang guru bahasa, saya lebih gemar merujuk bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pertuturan dan bahasa rasmi. Ini berlandaskan struktur bahasa tersebut adalah bahasa Melayu, yang turut menjelaskan bagaimana Amerika Syarikat yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi mereka. Mungkin, ada dalam kalangan kita menyatakan tiada perbezaan antara bahasa Melayu atau Malaysia, kerana kata mereka Malaysia dibentuk dari kata dasar 'Malay' yang merujuk 'Melayu'. Begitulah yang dirujuk dalam pencarian bahasa bagi merujuk bahasa di internet.

Saya pernah diberitahu bahasa asalnya bahasa Melayu hanya tiga perkataan iaitu; besi, padi dan babi. Tetapi adakah penyataan itu benar, kerana hasil kajian ketiga-tiga perkataan itu merujuk kepada ketamadunan Melayu iaitu logam, pertanian dan penternakan (sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu).

Merujuk kepada bahasa Melayu yang berciri keterbukaan, mudah menyerap dan menerap bahasa asing sebagai saduran bahasa sendiri membuatkan bahasa ini terus berkembang. Tidak mati atau pupus sebagai mana bahasa Sanskrit dan bahasa-bahasa minoriti lain di seluruh dunia. Sebagai contoh bahasa Jawa, Banjar, Kampar dan Bugis yang kian sukar didengari ditutur oleh generasi 'Y' kini. Manakala, bahasa Melayu sentiasa bersedia menerima istilah baharu dan memelayukannya sebagai bahasa Melayu. Apatah lagi, ada yang bersuara menyatakan bahawa bahasa Melayu lebih sukar berbanding bahasa Malaysia kelihatan seperti satu retorik dan mainan pihak tertentu sahaja. Ini kerana kedua-duanya sama dan tiada sebarang pindaan kepada sebarang aspek tatabahasa dan ciri-ciri utamanya.

Kangkung, longkang, senapang, kemeja, teknik, proses, khasiat, matematik, aljebra, suria, roti, bakteria, virus, komputer, kongsi, teh, hijab, dan terlalu banyak lagi kosa kata yang telah diterima sebagai istilah bahasa Melayu. Ini ditambah dengan keupayaan pembentukan kata menerusi proses pengimbuhan, penggandaan dan pemajmukan membuatkan istilah tersebut terus bertambah. Sebagai contoh perkataan komputer yang menerima imbuhan apitan menjadi pengkomputeran, penggandaan menjadi komputer-komputer dan pemajmukan menjadi meja komputer dan sebagainya.  

Oleh itu, kita mungkin akan terus menggunakan bahasa Malaysia merujuk Malaysia sebagai negara kita, tetapi tidak dapat disangkalkan bahasa Melayu adalah asal-usulnya dan perlu dipertahankan. Sebagai orang Melayu saya semamangnya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa yang saya tutur dan tulis.

Tuesday, 29 March 2016

PEDOMAN HIDUP INSAN

KATA-KATA HIKMAT
1.     Kata-kata hikmat merupakan ungkapan yang mempunyai makna yang dapat memberi pengajaran, teladan, kesedaran, dan peringatan kepada kita.
2.     Lazimnya, kata-kata hikmat adalah ringkas tetapi mempunyai pengertian yang mendalam dan dapat dijadikan panduan dalam kehidupan harian.
3.     Kata-kata hikmat merupakan sebahagian daripada peribahasa.
4.     Kata-kata hikmat biasanya mempunyai maksud yang tersirat.
5.     Kata-kata hikmat dipetik daripada kitab-kitab suci, kata-kata dan pendapat tokoh, negarawan, cendekiawan, dan sasterawan yang bijak pandai.
6.     Biasanya, kata-kata hikmat digunakan sebagai cogan kata atau kiasan dalam pertuturan dan penulisan.

CONTOH-CONTOH KATA HIKMAT
1. Bahasa Jiwa Bangsa -
     Bahasa merupakan satu identiti atau lambing sesuatu negara
2. Bahasa Menunjukkan Bangsa –
     Pertuturan seseorang membolehkan seseorang itu diketahui bangsanya
3. Bersatu Teguh, Bercerai Roboh –
    Kita akan menjadi kuat sekiranya bersatu dan kita akan menjadi lemah jika kita
    bercerai- berai.
4. Hilang Bahasa, Lenyaplah Bangsa
    Sesuatu bangsa itu dianggap sudah tiada sekiranya bahasanya sudah tidak ditutur lagi
5. Kata Mesti Dikota –
    Setiap janji hendaklah ditunaikan
6. Ilmu Pelita Hati -
    Ilmu pengetahuan dapat memberi petunjuk dan panduan kepada kehidupan
    manusia.
7. Masa Itu Emas -
    Masa adalah sangat berharga
8. Membaca Jambatan Ilmu -
    Ilmu pengetahuan itu dapat ditingkatkan melalui pembacaan
9. Otak Cerdas, Badan Cergas –
    Kita dapat berfikir dengan baik dan sempurna jika mempunyai kesihatan yang baik
10. Pandu Cermat Jiwa Selamat –
      Sekiranya kita memandu dengan berhati-hati, kemungkinan kita ditimpa 
      kemalangan adalah sedikit.
11. Tangan Yang Menghayun Buaian Mampu Menggoncang Dunia –
      Wanita yang secara umumnya bersifat malu dan lemah lembut, mampu
      menyumbang idea dan tenaga kepada pembangunan negara.
12. Bertangguh Pencuri Masa –
      Kerja bertangguh tidak membawa manfaat kepada diri sendiri
13. Ilmu Itu Pelita Hati –
      Ilmu merupakan cahaya yang menerangi hidup seseorang
14. Hidup Ini Adalah Suatu Perlumbaan –
      Kita terpaksa menempuhi pelbagai cabaran dalam kehidupan ini.
15. Kita Harus Memberi Dan Menerima –
      Kita perlu mengamalkan sikap bertolak ansur dan Bantu-membantu antara satu 
      sama lain
16. Kata-kata Lebih Tajam Daripada Mata Pedang
       Kata-kata yang pedas dapat menyinggung dan menghiris perasaan seseorang
17. Muafakat Membawa Berkat –
      Sesuatu perkara yang dilaksanakan atas persetujuan ramai akan membawa kebaikan

Monday, 28 March 2016

AKIBAT TAMAKKAN DUNIA

Dahulu ada seorang lelaki yang datang kepada nabi Isa a.s., ia ingin sekali bersahabat dengan beliau, kerana itu ia berkata : .... "Aku ingin sekali bersahabat denganmu kemana saja engkau pergi." Jawab Isa a.s.: "Baiklah kalau demikian."

    Pada suatu hari berjalanlah keduanya di tepi sungai dan makanlah berdua tiga potong roti, Nabi Isa a.s. satu potong dan satu potong untuk orang itu, sisa satu potong. Kemudian ketika Nabi Isa a.s. pergi minum ke sungai, dan ketika kembali, lalu didapati  roti yang sepotong itu tidak ada, lalu beliau bertanya kepada sahabatnya: "Siapakah yang telah mengabil sepotong roti ?" Jawab sahabat itu: "Aku tidak tahu."

    Maka berjalanlah keduanya, tiba-tiba melihat rusa dengan kedua anaknya, maka dipanggillah salah satu dari anak rusa itu lalu disembelihnya dan dibakar. Kemudian dimakan berdua, lalu Nabi Isa a.s. menyuruh anak rusa yang telah dimakan itu supaya hidup kembali maka hiduplah ia dengan izin Allah, kemudian Nabi Isa a.s. bertanya: Demi Allah, yang memperlihatkan kepadamu bukti kekuasaan-Nya itu siapakah yang mengambil sepotong roti itu ?" Jawab sahabatnya: "Aku tidak tahu."

    Kemudian keduanya meneruskan perjalanan hingga sampai ke tepi sungai, lalu Nabi Isa a.s. memegang tangan sahabatnya itu dan mengajaknya berjalan hingga sampai ke seberang, lalu ditanyalah sahabatnya itu sekali lagi: "Demi Allah, yang memperlihatkan kepadamu bukti ini, siapakah yang mengambil sepotong roti itu ?" Sahabat itu menjawab: "Aku tidak tahu."

    Kemudian berjalanlah keduanya ketika berada di hutan dan keduanya sedang duduk-duduk, Nabi Isa a.s. mengambil tanah dan kerikil/anak batu, lalu diperintahkan: "Jadilah emas dengan izin Allah." Maka dengan tiba-tiba tanah dan kerikil itu berubah menjadi emas, lalu dibagi menjadi tiga bahagian, kemudian beliau berkata: "Untukku sepertiga, dan kamu sepertiga, sedang sepertiga ini untuk orang yang mengambil roti." Serentak sahabat itu menjawab: "Akulah yang mengambil roti itu." 

    Nabi Isa a.s. berkata: "Maka ambillah semua bahagian ini untukmu." Lalu keduanya berpisah. Kemudian orang itu didatangi oleh dua orang yang akan merompak harta itu dan membunuhnya lalu orang itu (sahabat Isa a.s.) berkata: "Lebih baik kita bagi tiga saja." Ketiga orang itu menjadi setuju, lalu menyuruh salah seorang pergi ke pasar berbelanja makanan, maka timbul perasaan orang yang berbelanja itu, dan berkata dalam hatinya: "Untuk apa kita membagi wang/harta, lebih baik makanan ini saya bubuh racun saja biar keduanya mati, dan ambil semua harta itu." 

    Lalu diberinya racun makanan itu. Sementara orang yang tinggal itu berkata: "Untuk apa kita membagi harta ini, lebih baik jika ia datang, kita bunuh saja, lalu harta itu kita bagi dua." Maka ketika datang orang yang berbelanja itu, segera dibunuh oleh keduanya, lalu hartanya dibagi menjadi dua, kemudian keduanya makan dari makanan yang telah diberi racun itu, maka matilah keduanya, dan tinggallah harta itu di hutan, sedang mereka mati di sekitar harta itu.

    Kemudian ketika Nabi Isa a.s. berjalan di hutan dan menemukan (melihat) hal itu, maka iapun berkata kepada sahabat-sahabatnya: "Inilah contohnya dunia, maka berhati-hatilah kamu kepadanya."

Sumber : Kitab Ihya Ulumuddin Karangan Imam Ghazali

Monday, 14 March 2016

Dinamika Tatabahasa Melayu

Vokal dalam bahasa Melayu terdiri daripada [a], [e], [e], [i], [o] dan [u]. Vokal [e] terdiri daripada e taling dan e pepet.

Vokal bergading boleh ditemui dalam kebanyakan perkataan bahasa Melayu seperti perkataan 'taat', 'saat', 'muat', 'buat', 'kain', 'sains', dan sebagainya. Cara penyebutannya kelihatan seperti terasing dan agak janggal, namun lidah Melayu memudahkannya dengan sekali sebut tetapi seperti terdapat huruf tertentu ditambah di antara gandingan vokal tersebut. Sebagai contoh, perkataan 'laut' tidak akan disebut sebagai [la.ut] tetapi kedengaran seperti adanya penambahan /w/ dalam sebutan tersebut menjadi [la.wut]. Tetapi perlu diingat bahawa cara mengejanya tetap 'laut', dan salah jika dieja sebagai 'lawut'. Ini turut menjelaskan bahawa perkataan tersebut mempunyai dua suku kata bukan satu suku kata.

Masalah akan timbul dalam kalangan pelajar yang kurang membaca atau kurang terdedah dengan perkataan yang mengandungi vokal berganding ini, kerana mereka akan menambah huruf tertentu kerana terpengaruh dengan sebutan daripada penutur jati, seperti perkataan 'kuih' mungkin dieja sebagai 'kuwih' disebut [ku.wih].

Diftong pula kelihatan hampir sama dengan vokal berganding namun vokal tersebut dibunyikan serentak, seperti perkataan 'amboi' disebut [am.boi] bukan disebut [am.bo.i]. Diftong dalam bahasa Melayu terdiri daripada [oi], [au] dan [ai].

Perlu diingat bahawa perkataan 'gulai' yang disebut [gu.lai] tidak sama dengan [gu.la.i] kerana [gu.lai] menggunakan diftong [oi] manakala [gu.la.i] adalah kata dasar 'gula' yang menerima pengimbuhan akhiran [-i].