ISRA' DAN MI'RAJ
TAZKIRAH MUSLIM
TAJUK : PENGANTAR PSIKOLOGI MUSLIM DI SEBALIK
KISAH ISRA' DAN MI'RAJOLEH : AKHI SUPER AKBA (SMKA SHAMS / UM)
Marilah kita sama-sama jua bersama bagi
memperingati peristiwa penting yang pernah berlaku di bulan Rejab - iaitu
peristiwa paling agung dalam sejarah Islam iaitu peristiwa Israk Mikraj Nabi
Muhammad SAW- Rasul Allah penyuluh zaman hingga hari kiamat.
Firman Allah SWT,
Maksudnya : “ Maha Suci Allah Yang telah
menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di
Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk
memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami.
Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui ”. - Surah
Al-Isra’, ayat:1
Tanggal 27 Rejab setahun sebelum hijrah Rasulullah
SAW ke Madinah Al-Munawwarah mencatatkan peristiwa penting dalam kerasulan
baginda SAW iaitu perjalanan Israk Mikraj. Israk membawa pengertian perjalanan
Nabi Muhammad SAW pada malam hari dengan menuggang Burak bermula dari Masjid
Al-Haram di Makkah Al-Mukarramah ke Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin.
Manakala Mikraj membawa maksud naiknya Nabi
Muhammad SAW ke langit dari Masjid Al-Aqsa ke Sidratul Muntaha.
Sepanjang perjalanan israk Rasulullah SAW ditemani
oleh Malaikat Jibrail AS dan di antara peristiwa-peristiwa yang berlaku
sepanjang perjalanan itu adalah seperti pernyataan dibawah:
1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil
tanaman mereka, apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah
belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum
yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan
sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
2. Tempat yang berbau harum.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau
kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan
anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya)
yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu
mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).
3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala
mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan
pula. Demikian dilakukan berkali-kali.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah
orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan
mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang
ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah
orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan
daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah
lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu
masing-masing mempunyai isteri / suami.
6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan
dilontarkan batu.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah
orang yang makan riba`.
7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak
terdaya memikulnya, tetapi ditambah lagi kayu yang lain.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah
orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan
bibir mereka dengan gunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan
bibir mereka kembali seperti biasa.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah
orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak
melakukannya.
9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan
kuku tembaga mereka.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah
orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela,
menghinakan) orang.
10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari
lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah
orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tetapi sudah terlambat.
11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh
dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah
dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan
mengutamakan dunia daripada akhirat.
12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan
menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah
orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke hari tua.
13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan
Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah
gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di Masjid Al-Aqsa, Rasulullah SAW turun
dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan seluruh para nabi
dan rasul untuk mengerjakan solat dua rakaat.
Selepas itu, Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu
dibawa Malaikat Jibrail AS dua gelas yang berisi arak dan susu. Baginda memilih
susu lalu diminumnya. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Baginda membuat
pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan
menjadi sesat.
Dan sepanjang perjalanan mikraj Rasulullah SAW
ditemani oleh Malaikat Jibrail AS dan di antara peristiwa-peristiwa yang
berlaku sepanjang perjalanan itu:
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga.
baginda naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu
Hafzhah).
1. Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Malaikat
Jibrail AS masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian
dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat
orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat hodoh dan buruk. Penzina
lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
2. Langit Kedua: Rasulullah SAW dan Malaikat
Jibrail AS naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi
'Isa AS dan Nabi Yahya AS.
3. Langit Ketiga: Rasulullah SAW dan Malaikat
Jibrail AS naik langit ketiga, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Yusuf AS.
4. Langit Keempat: Rasulullah SAW dan Malaikat
Jibrail AS naik langit keempat, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Idris AS.
5. Langit Kelima: Rasulullah SAW dan Malaikat
Jibrail AS naik langit kelima, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Harun AS yang
dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
6. Langit Keenam: Rasulullah SAW dan Malaikat
Jibrail AS naik langit kelima, lalu masuk dan bertemu dengan para nabi.
Seterusnya bertemu dengan Nabi Musa AS. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh
oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk
70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
7. Langit Ketujuh: Rasulullah SAW dan Malaikat
Jibrail AS naik langit kelima, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Ibrahim
Khalilullah AS yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur di hadapan beberapa
kaumnya. Nabi Ibrahim AS bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah pada
malam ini. Umatmu adalah umat yang terakhir dan terlalu dha'if, maka berdoalah
untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu ‘la haula wa la
quwwata illa billah’” Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim AS bersabda,
"Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik
tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: ‘suhanallah,
walhahamdulillah, wa la ilah illa allah, wallahu akbar, wa la haula wa la
quwwata illa billahil ‘aliyyil azim’. Bagi orang yang membaca setiap kalimah
ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberapa
peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS masuk ke
dalam Baitul-Makmur dan mengerjakan solat (Baitul-Makmur ini betul-betul di
atas Baitullah di Mekah).
8. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut
"al-Kursi" pada dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W.
menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah,
sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan
dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah.
Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan
itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah SAW dapat menyaksikan pula
sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke
syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik pennjaganya.
9. Tangga Kesembilan: Di sini pada pucuk pokok
Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW. masuk ke dalam nur dan naik ke Mustawa dan
Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur
'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya
tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
10. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di
Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT
dengan mata kepala baginda, lantas sujud dan bermunajat kepada Allah SWT.
Kemudian, Allah SWT memfardhukan solat 50 waktu kepada Rasulullah SAW dan umat
Islam.
Selesai munajat, Rasulullah SAW di bawa menemui
Nabi Ibrahim AS dan kemudian menemui Nabi Musa AS lalu menyuruh Rasulullah SAW
merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu
sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima
waktu), akhirnya Allah SWT perkenan memfardhukan solat lima waktu sehari
semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
Setelah daripada itu, Rasulullah SAW turun ke
langit dunia semula dan seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang
Buraq untuk pulang ke Makkah Al- Mukarramah pada malam yang sama. Dalam
perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya
menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada
satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18
bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.
(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)
Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan
hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan setiap kali 27 Rejab
menjelang tiba. Apa yang lebih penting adalah kita hendaklah menghayati
pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan
menjauhi perkara sebaliknya. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan
pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan
kepada kita agar sentiasa mengingati Allah SWT dan takut akan kekuasaan-Nya.
Sekiranya kita dapat menghayati dan mengambil
pengajaran daripada peristiwa penting ini, kebarangkalian besar kita mampu
mengelakkan diri kita daripada melakukan kemungkaran yang dilarang oleh Allah
SWT dan berlumba-lumba untuk melakukan perkara-perkara kebaikan yang diperintah
oleh Allah SWT. Peristiwa Israk Mikraj juga, untuk menguji umat Islam bahawa
adakah percaya atau tidak akan peristiwa tersebut.
Orang kafir quraisy Makkah di zaman Nabi Muhammad
SAW langsung tidak mempercayai peristiwa itu, malahan memperolok-olokkan
baginda sesetelahnya bercerita kepada mereka dan ramai di kalangan umat Islam
ketika itu murtad kerana tidak mempercayai peristiwa Israk Mikraj baginda SAW
dalam tempoh masa yang singkat berlakunya dan tidak masuk akal. Tinggallah
segelintir umat Islam yang keimanan mereka tinggi dan teguh yang membenarkan
serta mempercayai peristiwa yang dialami oleh baginda SAW.
Pensyariatan kefardhuan solat lima waktu sehari
semalam merupakan pensyariatan secara langsung daripada Allah SWT kepada
Rasulullah SAW berbanding pensyariatan Islam yang lain dengan perantaraan
Malaikat Jirail AS dan sebagainya.
HARAPLAH SELAGI BERNAFAS.
No comments:
Post a Comment