Tsa’labah merupakan seorang sahabat Nabi SAW. Nama sebenarnya ialah Tsa’labah bin Abdul Rahman, remaja berusia 17 tahun yang ada misi dan visi yang hebat, terang lagi jelas. Tiada suatu pun yang mampu membuatkan matlamat hidupnya goyah sehinggalah menghembuskan nafas yang terakhir.
Setelah memeluk Islam, beliau selalu mengikuti Rasulullah SAW mengajar. Jika Rasulullah berhajatkan sesuatu, Rasulullah SAW akan khabarkan kepada Tsa’labah dan beliau akan menunaikannya.
Suatu hari Rasulullah menyuruh Tsa’labah mencari sesuatu. Ketika dalam pencarian barang yang dihajati Rasulullah itu, Tsa’labah telah melalui beberapa deretan buah rumah.
Tanpa disangka salah sebuah rumah yang dilaluinya itu pintu belakang rumah tersebut tiba-tiba terbuka ditiup angin. Ketika itulah Tsa’labah secara tidak sengaja terpandang ke dalam bilik air rumah tersebut dan terlihatlah oleh beliau seorang perempuan sedang mandi.
"A'uzubillah (Aku berlindung kepada Allah)! Ya Allah aku takut nanti malaikat Jibril memberitahu kepada Rasulullah SAW! Ya Allah, aku takut turunnya ayat quran yang menyenaraikan aku dalam golongan orang yang berbuat dosa! Ya Allah ..." begitulah rintihan Tsa’labah.
Dia merintih sehingga dia lupa akan barang yang dipesan oleh Rasulullah SAW. Dia melarikan diri dan terjumpa satu bukit di pinggir Madinah yang di puncaknya ada sebuah gua. Tsa’labah masuk ke dalam gua tersebut dan asyik menangis. Merasa kesal yang amat sangat dengan dosanya itu. Walhal apa yang berlaku itu bukanlah disengajakannya.
Sementara itu, Rasulullah SAW menantikan kepulangan Tsa’labah. Sudah beberapa hari berlalu, namun Tsa’labah tidak balik. Lalu Rasulullah SAW mengarahkan Syaidina Umar RA untuk mencari Tsa’labah.
Akhirnya Syaidina Umar al-Khatab berjumpa Tsa’labah di tempat persembunyiannya di puncak bukit itu.
Umar berkata "Tsa’labah, Rasulullah mahu berjumpa kamu."
"Kenapa? Sudah turunkah ayat al-Quran tentang dosaku? Sudah beritahukah Jibril kepada Rasulullah? Aku tidak mahu masuk neraka, aku tidak mahu masuk neraka," kata Tsa’labah dalam ketakutan yang amat sangat.
Oleh kerana Tsa’labah sudah teramat lemah, lalu Syaidina Umar RA memimpinnya pulang ke rumah. Apabila Rasulullah SAW menziarahi Tsa’labah, Tsa’labah sedang terlentang lalu Rasulullah SAW meriba kepala Tsa’labah.
Tetapi Tsa’labah mengetepikan kepalanya. Rasulullah bertanya, "kenapa wahai Tsa’labah?"
"Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini tidak layak untuk berada di ribamu," kata Tsa’labah.
"Apa yang kamu mahu Tsa’labah?"
"Ya Rasulullah, aku mahukan keampunan Allah"
"Apa cita-cita kamu wahai Ta'labah?"
"Cita-cita aku hanya syurga Allah. Tolonglah doakan moga Allah mengampunkan dosa-dosaku."
Lalu Rasulullah SAW berkata, "wahai Tsa’labah aku menjamin kepadamu apa yang kamu mahu dan cita-citamu. Inilah bukti taubatmu."
Tidak lama selepas itu, Tsa’labah menghembuskan nafasnya yang terakhir di atas riba Rasulullah SAW.
Ketika jenazah Tsa’labah siap dikafan dan tiba masa untuk dikebumikan, Rasulullah SAW pun datang tetapi agak lewat. Para sahabat membuka jalan kepada Rasulullah untuk rapat ke kubur Tsa’labah. Sungguh pun begitu, Rasulullah berjalan merapati kubur Tsa’labah dalam keadaan perlahan dan seperti tersekat-sekat.
Sahabat-sahabat bertanya, "wahai Rasulullah, kami telah membuka jalan, mengapa Rasulullah berjalan dengan tidak selesa?"
Rasulullah menjawab, "kamu tidak dapat melihat betapa ramainya malaikat yang hadir menghantar Tsa’labah ke kubur."
No comments:
Post a Comment