Monday, 19 October 2015

MEMPERKASA PERTAHANAN NEGARA

TAJUK : MENYINGSING MINDA MEMPERKASA PERTAHANAN NEGARA. KAITANNYA DENGAN ILMU SAINS DAN TEKNOLOGI.
OLEH : CR. Ahmad Kamal bin Ariffin, 012 6650387.
Ketua
Pusat Asuhan Pertiwi
Kuala Pilah
Negeri Sembilan Darul Khusus
Catatan; Makalah ini tidak sesuai untuk dibaca oleh orang yang malas cari rezeki dan suka mengumpat dikeheningan malam ini.
PENDAHULUAN
Salam tuan tuan. Apakah yang tuan tuan sedang fikirkan sekarang. Tuan tuan sedang risau dengan persekitaran nuansa negara bangsa kita? Ya....saya juga dapat merasakan apa yang tuan tuan sedang rasa. Sesungguhnya, manusia miliki rasa, pemikiran dan perasaan. Lima pancaindera manusia ini, adalah anugerah terbesar daripada Allah Taala buat sekalian tuan tuan. Ia adalah datangnya daripada mata (lihat), hidung(bau), kulit (sentuh), telinga (dengar) dan lidah (rasa). Dalam menerima dan mengalami saat gering, perang atau kehilangan, semua lima (5) pancaindera manusia itu akan memberi refleksi terhadap nurani, intipati jiwa dan rohani kita. Dekat dihati saya, betapa teruknya manusia dinihari. Kerana wang dan kuasa, manusia sanggup menganiaya, menipu, mencuri, memfitnah dan menjual agama. Air liur dan mesin komputer diguna semahunya, demi keuntungan yang sementara. Akhirnya tanah kita habis dijual ke tangan orang asing. Raja semakin gila kuasa. Ahli politik semakin tak sedar diri. Ulamak semakin ramai yang hipokrit. Akhirnya para kanak-kanak di SMK Harian, tadika, cumi ciki, taski, kindergarden dan seumpamanya tidak terbela masa depannya. Belia berijazah dan berdiploma semakin ramai menganggur di kampung. Pemimpin tidak malu duduk di pejabat mempengerusi mesyuarat tanpa noktah dan visi yang jelas. Mereka gagal membina peluang kerjaya kepada generasi muda negara. Mereka gagal mendakwahkan perihal muslim, Islam dan ihsan buat semua kaum di Malaysia tanpa mengira agama dan ras keturunan.
LELAKI MUSLIM MESTI MEMIMPIN. ASAS MEMIMPIN IALAH MEMBINA KEKUATAN PERTAHANAN UMMAH
Apa sebab pertahanan. Apa kaitan pertahanan dan persenjataan. Mengapa Jepun bermula Januari 2015, mula mewujudkan dasar pertahanan baharu, untuk menghasilkan senjata canggih berskala besar dan terunggul di dunia? Ingatlah tuan-tuan, kekuatan negara bangsa kita, bermula daripada hari ini. Maka kita jelaskan bahawa, ada 4 dimensi pertahanan, barang pasti penting untuk kita ambil perhatian. Ia adalah;
-Pertahanan Berdikari
-Pertahanan Manyeluruh
-Diplomasi Pertahanan
-Persenjataan ampuh mengiringi pertahan negara.
Melalui prinsip-prinsip ini Malaysia perlu berhasrat untuk mendapatkan satu pasukan pertahanan yang kuat, yang mampu mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara dari ancaman, boleh berdepan dengan isu-isu keselamatan dalam negeri melawannya secara bersendirian, tanpa perlu bergantung kepada bantuan asing. Sehubungan dengan itu negara perlu memperlengkapkan pasukan keselamatan dengan sokongan logistik asas, sumber tenaga manusia dan industri pertahanan yang berdaya maju bagi memastikan operasi pasukan ini mampu kekal dan bertahan pada setiap masa, ketika dan keadaan. Keperluan berperang diguna bagi mempertahankan dari ancaman serta sebagai faktor sampingan dan bukan dengan tujuan yang agresif dan melampau. Negara tidak bercita-cita menyerang negara lain tetapi tetap bersedia mempertahankannya jika diserang.
ATM
Persediaan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kuat, seimbang dan kredible telah mesti dipastikan pelaksanaannya. Ini termasuklah usaha-usaha menubuhkan pasukan Angkatan Bersama. Kesatuan tindakan antara Tentera Laut, Darat dan Udara perlulah digembelingkan dalam semua segi dan tindakan.
Bagi menyokong keupayaan pertahanan Malaysia, dua elemen penting perlu diberi perhatian. Elemen-elemen tersebut ialah industri pertahanan tempatan dan sains dan teknologi pertahanan. Keutuhan kedua elemen ini, selain dari memantapkan pertahanan negara, dapat menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi rakyat dan pembangunan negara.
Dalam melengkap dan memantapkan prinsip pertahanan berdikari, antara lain, kerajaan telah mengambil pendekatan “Pertahanan Menyeluruh” yang bermaksud bahawa rakyat, kerajaan dan badan bukan kerajaan (termasuk pihak swasta) bersatu hati dan usaha untuk mempertahankan negara.
Pendekatan ini mempunyai lima elemen utama iaitu Kesiagaan Keselamatan, Keutuhan dan Perpaduan Masyarakat, Kesiagaan Awam, Daya Tahan Ekonomi dan Keutuhan Psikologi.
Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Anfal ayat 60 yang membawa maksud:
“Dan sediakanlah untuk menghadapi mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggentarkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya sedangkan Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalas dengan cukup kepada kamu dan kamu tidak akan dianiayai (dirugikan).”
Justeru, bagi menjayakan konsep ini, langkah mempersiapkan jatidiri dan kemahiran untuk tujuan pertahanan menyeluruh terhadap komuniti bukan tentera harus diberi peranan seawal mungkin.
LATIHAN MEMANUSIAKAN PATRIOTISME INSAN;
Bermula seawal Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), anak-anak muda harus mula disedarkan tentang peranan ini dan dilanjutkan kepada penglibatan sebagai anggota pasukan simpanan (PSS), Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) di IPT, Pasukan Latihan Anggota Sukarela (PLAS) di Politeknik, Kolej dan sebagainya.
Seterusnya Malaysia menyedari bahawa dalam usaha memperkasakan pertahanan negara, kita tidak dapat bertindak secara sendirian. Di samping itu, kerjasama yang erat dengan negara-negara sahabat secara langsung akan dapat mengelak dan menghalang konflik dan tercetus, meningkat atau merebak yang mana akan menjejaskan keamanan dan kestabilan.
Pendekatan secara halus ini juga berjaya membawa kemodenan kepada ATM melalui pemindahan teknologi dan perkongsian pintar antara industri pertahanan dan organisasi sains dan teknologi tempatan dengan rakan-rakan dari negara luar.
Sains dan teknologi merupakan satu elemen penting dalam pembangunan teknologi pertahanan masa kini. Kebanyakan perkakasan dan kelengkapan pertahanan berlandaskan teknologi tertentu yang hanya boleh dikendalikan melalui pengetahuan dan kemahiran khusus dalam bidang tersebut.
Dalam ketenteraan, sokongan sains dan teknologi diaplikasikan secara meluas pada setiap masa dalam pelbagai bidang dan peringkat sama ada di medan perang mahupun ketika aman.
Berlandaskan asas tersebut, STRIDE telah diwujudkan dalam Kementerian Pertahanan. STRIDE merupakan satu-satu organisasi yang berfungsi untuk membekalkan kepakaran saintifik dan teknikal kepada ATM. Pemahaman lengkap dalam sesuatu teknologi ketenteraan menyokong ATM melaksanakan misi ketenteraan dengan berkesan.
Pengurusan R&D pertahanan telah memberi penekanan yang lebih menyeluruh supaya R&D pertahanan dapat ditumpukan kepada bidang-bidang yang berupaya memberi manfaat kepada ATM dan industri pertahanan tempatan, antaranya:
1. Pengurusan R&D pertahanan
2. Strategi program R&D pertahanan
Dalam perlaksanaan projek R&D, beberapa kriteria diutamakan iaitu projek mempunyai kepentingan tinggi, harus mempunyai nilai praktis atau komersial dan penglibatan industri pertahanan. Kini, tedapat 11 projek R&D yang sedang aktif dijalankan di STRIDE.
Kekuatan pertahanan melibatkan hubungan dengan negara luar malah sifat berbaik-baik dan juga usaha memperoleh teknologi moden darinya sentiasa diterapkan bagi menyeimbangi kemajuan yang telah mereka perolehi.
Umum memaklumi, Malaysia telah menjalin hubungan pertahanan rasmi dengan 23 buah negara, yang meliputi negara di rantau ASEAN, Eropah, Amerika, Afrika dan Australia. Selaras dengan pendekatan Islam Hadhari, jalinan hubungan mula ditambah kepada beberapa negara lagi pada tahun lalu yang secara langsung memberi manfaat kepada negara. Ternyata hubungan yang terjalin amat menguntungkan negara dan berjaya menyumbang kepada keupayaan pertahanan negara. Segala prinsip dan pendekatan yang digunapakai ini dapat menyumbang kearah kebaikan dan menjadikan Malaysia sebagai Negara Islam yang progresif dan membangun. Prinsip yang diamalkan ini menjadikan Malaysia sebagai contoh Negara Islam yang terpuji maju dan bertamadun.
Menyedari betapa pentingnya kerjasama serantau dan bantuan luar, Malaysia telah menjalankan kerajasama antaranya Program Kerjasama Pertahanan Malaysia (Malaysian Defence Cooperation Programme – MDCP) yang bertujuan memberi latihan dalam bidang ketenteraan, sains pertahanan dan teknologi kepada anggota tentera dan kakitangan awam negara-negara luar yang terlibat dalam bidang pertahanan.
Jenis-jenis bantuan adalah:
1. Kursus-kursus jangka pendek dan panjang, lawatan sambil belajar, penempatan dan bantuan profesional dalam bidang sains dan teknologi pertahanan selain tuisyen secara percuma.
2. Pembiayaan program yang dibuat kerajaan Malaysia, negara-negara pelatih atau pihak ketiga negara luar dengan perbelanjaan dibahagi antara kedua-dua negara.
3. Negara-negara peserta – Program ini dihadkan kepada negara-negara membangun dengan keutamaan kepada negara-negara ASEAN, OIC, Kepulauan Pasifik, Afrika Utara, Asia Barat, Afrika, Eropah Timur dan Tengah, Amerika Selatan dan Carribean.
4. Permohonan bantuan – semua bantuan di bawah program ini ditawarkan kepada anggota tentera da nkakitangan awam yang erlibat di dalam bidang pertahanan di negara-negara asing melalui Kedutaan Malaysia dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di luar negara atau Kedutaan Asing di Malaysia.
Usaha yang sama, juga dibuat bagi melebarkan skop dan bidang teknologi dan keilmuan bagi mempastikan pertahanan yang kukuh dapat dikekalkan serta terus maju tanpa pergantungan seterusnya membantu pertahanan negara yang kuat dan mapan. Ini akan mengekalkan pertahanan negara kepada kawasan utama, kawasan berkepentingan ekonomi dan kawasan strategik kekal terpelihara.
Sehingga kini, kerajaan telah membangunkan industri pertahanan memandangkan industri ini ialah satu bidang ekonomi yang berkaitan dengan aktiviti-aktiviti pengeluaran, penyelenggaraan, pembaikan, baik pulih, rombak rawat, naik taraf dan pemodenan semula peralatan ketenteraan yang digunakan. Pembangunan dalam industri pertahanan hanya bermula pada awal tahun 1970-an apabila kerajaan memutuskan untuk mewujudkan satu industri pertahanan tempatan bagi memenuhi peralatan ketenteraan strategik ATM.
Bahagian Industri Pertahanan dipertanggungjawabkan untuk membangunkan industri pertahanan bagi mengurangkan pergantungan negara kepada bekalan pertahanan dan penyelenggaraan dari negara luar. Di antara pendekatan yang digunakan adalah perlaksanaan program ‘offset’ dalam semua perolehan peralatan pertahanan kapital kerajaan menerusi kontrak secara rundingan bagi produk-produk yang boleh dihasilkan syarikat industri pertahanan tempatan dan pelantikan sebagai kontraktor utama bagi projek-projek pertahanan.
Selain itu, pendekatan secara hubungan pertahanan dua hala dalam industri pertahanan juga merupakan strategi penting bagi mewujudkan kerjasama industri pertahanan dari segi ‘strategic alliances’ dan ‘smart partnerships’. Malaysia telah menjalinkan kerjasama dalam industri pertahanan dengan negara-negara seperti Perancis, Itali, Rusia, United Kingdim, Pakistan dan India di mana telah wujud Jawatankuasa Kecil Kerjasama Industri Pertahanan masing-masing.
Walaupun kerajaan memberikan perhatian dalam pembangunan pertahanan negara, semua akur bahawa Islam merupakan agama yang menganjurkan kedamaian kepada umat manusia. Peperangan dalam Islam tidak berupa penjajahan kaum, pengeksploitasian, perampasan harta atau penghinaan kehormatan tetapi sebaliknya merupakan peperangan yang mewujudkan kepentingan manusia serta faedah-faedah untuk masyarakat seperti penyebaran nilai kerohanian yang tinggi melalui ibadat, penyebaran kerjasama untuk kebaikan dan kemuliaan masyarakat dan kerjasama membasmi kejahatan, jenayah dan kekejaman.
PERSENJATAAN DALAM MEKANISME PERANG DUNIA TERDAHULU;
Dalam sejarah peperangan umat-umat terdahulu, mereka tidak melancarkan sesuatu peperangan atas dasar kepentingan individu atau kumpulan tertentu tetapi melihat peperangan sebagai faedah ke arah kedamaian dan kesejahteraan sejagat. Inilah dia jihad sebenar. Jihat ke jalan Allah ialah jihad mewujudkan kebaikan, keamanan dan keadilan di dalam masyarakat berpandukan kepada as-Sunnah dan al-Quran.
Seharusnya diakui, semua jenis perang adalah dahsyat lagi memilukan, namun Perang Dunia Pertama, WW1 adalah titik tolak kepada penggunaan senjata kimia yang paling dahsyat. Jika melihat kepada kejadian sebelumnya, menurut Coleman (2005), pada 22 April 1915, tentera Jerman melepaskan gas klorin semasa menentang tentera Bersekutu, Allies di Langemarck, berdekatan di Ypres. Awan akrid yang terhasil terus menyelubungi tentera Bersekutu menjadikan tentera Bersekutu batuk-batuk, sesak nafas, hingga muka menjadi kebiru-biruan, kemudian mati. Untuk para tentera Bersekutu selebihnya yang sempat melarikan diri ke pusat bantuan perubatan juga tidak mampu ditolong oleh pakar perubatan memandangkan doktor juga tidak mampu melakukan apa-apa. Padahal, semenjak Deklarasi Hague 1899 lagi, yang menegah pengunaan senjata projektil kimia itu, sepatutnya diteladani. Namun, kata Coleman lagi, sewaktu Profesor Fritz Haber, peneraju peperangan berasaskan gas, gas warfare yang memenangi anugerah Nobel untuk bidang kimia pada tahun 1919, telah membuat sebuah kenyataan yang sangat menakutkan dan akan berterusan menghantui umat manusia, bunyinya “Untuk masa hadapan, ketenteraan takkan mengabaikan gas beracun, kerana ianya adalah sebuah bentuk pembunuhan yang teragung.” Namun, yang kelakarnya, pada tahun yang sama jugalah, Victor LeFebure, pengarang buku The Riddle of The Rhine: Chemical Strategy in Peace and War berkata, “Keamanan kimia, yang dijamin oleh sekadar tandatangan, adalah bukan keamanan langsung.” Protokol Geneva 1929 yang turut menegah penggunaan senjata kimia masih tidak berkesan. Begitu juga dengan Konvensi Peperangan Kimia, Chemical Warfare Convention CWC bermula pada tahun 1997, namun penggunaan senjata kimia masih berterusan. Semua situasi ini membuatkan kita terfikir, betapa benarnya kata-kata Haber tadi.
Menurut Romano & King (2002), pada abad ke-20, tentera Amerika Syarikat, AS dihadapkan dengan empat pengkelasan untuk senjata kimia iaitu: (1) Yang bersifat menyesak nafas seperti phosgene, (2) yang bersifat menggugat darah seperti cyanide, (3) agen pelepuh seperti sulfur mustard, gas mustard, dan (4) gas saraf seperti sarin. Semasa Perang Dunia Pertama, phosgene sangat efektif dalam menghasilkan kecederaan dalam paru-paru, sebagaimana ia akan mengurangkan pengambilan oksigen pada tubuh. Beberapa minggu selepas phosgene kali pertama digunakan, akhirnya bahan penyesak tersebut digandingkan sekali dengan agen penggugat darah seperti chlorine untuk menyebabkan maut lebih cepat. Untuk cyanide pula, ianya lebih kepada senjata biokimia, dan sekalipun mangsa sembuh—sepertimana yang terjadi kepada haiwan-haiwan kajian makmal, namun sisa-sisa cyanide yang tinggal cukup untuk membawa kesan kepada kecacatan cerebrum dan cerebellum. Kemudian, untuk agen pelepuh seperti gas mustard, contoh terbaik boleh dilihat sepanjang perang Iraq-Iran sekitar tahun 1980, dimana kesannya tidaklah membawa maut, sekadar fizikalnya kecederaan pulmonari, kulit, dan mata, namun sangat menyeksakan. Laporan menunjukkan kesan neuropsikiatrik seperti mangsa kehilangan tumpuan, kehilangan libido, dan kepasifan yang tinggi. Untuk agen saraf, keterlibatan tentera AS dalam Perang Teluk, Gulf War, mengundang pemerhalusan untuk penggunaan dan kewaspadaan terhadap gas sarin. Lantas, tentera AS disiapsiagakan dengan taktik pengambilan ubat pyridostigmine bromide sebagai penangkis untuk sebarang kesan serangan sarin yang digunakan oleh tentera Iraq sekitar tahun 1991 di Perang Teluk Parsi.
Jika kita berbalik kepada Protokol Geneva tadi untuk tahun 1925 pula, menurut Martin (2006), jika diperhatikan dengan teliti, sebenarnya Protokol Geneva melarang sebarang penggunaan senjata yang bersifat penyesak, beracun atau sebarang gas, dan bakteriologik (biologikal) dalam tatacara peperangan. Berikutan sejarah Manchuria yang merakamkan kezaliman tentera Jepun yang mewujudkan Tentera Kwantung pasca kalahnya Russia dalam Perang Russia-Jepun 1905. Tentera Kwantung diwujudkan dalam menjaga kepentingan ekonomi Jepun, dan sepanjang 15 bulan bermula dari September 1931 hingga akhir tahun 1932, tentera Jepun berjaya menakluk seluruh pelusuk Manchuria, membolehkan tentera Jepun mengeksploit apa sahaja sumber yang ada di kawasan terbabit termasuklah sumber manusia. Mejar Ishii Shiro, seorang pegawai perubatan tentera Jepun mulanya ingin menjalankan eksperimen biologi terhadap manusia di sebuah daerah industri dalam Harbin yang diberi nama sebagai daerah Nan Gang, namun dia menyedari bahawa eksperimen ini tidak boleh dijalankan secara terbuka, lalu kawasan eksperimen dipindahkan di Beiyinhe, 100 km jauh dari selatan Harbin. Sekali seorang penduduk tempatan dipilih menjadi subjek kajian, subjek kajian tersebut akan kekal menjadi subjek kajian, sampailah akhir hayat. Tidak ada orang yang hidup tinggal selepas kajian dijalankan.
Tahun 1937, tahanan di kawasan rahsia di Beiyinhe terbabit ada yang berjaya melepaskan diri dan ramai yang merusuh, lalu fasiliti tersebut ditutup, namun penutupan fasiliti ini bukanlah tanda pengakhiran, bahkan hanya sebuah permulaan untuk kajian yang lebih bersifat ekstensif. Kerana tahun sebelumnya, 1936, pada bulan Ogos, waktu itu Ishii Shiro (sudah dilantik menjadi Leftenan Kolonel) mengepalai Tentera Kwantung biro pembersihan air, Water Purification Bureau, atau Boeki Kyusui Bu, dan mengambil-alih 6 km2 kawasan perladangan yang turut menampung petempatan sebanyak 10 buah kampung. Kemudian, diambilnya sebanyak 200 tahanan untuk dijadikan subjek kajian lanjut. Sebanyak 3000 tahanan berbangsa cina terbunuh dan dibakar akibat eksperiman ini, namun itu hanya anggaran memandangkan banyak bukti yang dimusnahkan dikala akhir-akhir perang, dan barangkali jumlah nyawa yang terkorban adalah lebih besar lagi. Tidak tamat di sini, ada dua lagi unit kajian yang berlangsung yang memakan korban: Unit 100 dan Unit Ei 1644. Unit 100 bertempat di Changchun dikepalai oleh pegawai veterinar, Mejar Wakamatsu Yujiro. Unit 100 adalah khusus untuk sebarang kajian peperangan-bio pertanian dan veterinar, dan tidak berkait serta bebas daripada operasi Unit 731 pimpinan Leftenan Kolonel Ishii di Ping Fan. Fokus kajian Unit 100 adalah untuk memajukan senjata biologi untuk kegunaan sabotaj dalam peperangan, khususnya melibatkan penggunaan tanaman dan haiwan. Namun, kegunaan manusia sebagai subjek kajian turut ada, dan ternyata juga kejam. Unit Ei 1644 pula, pada April 1939, diwujudkan di sebuah hospital binaan penduduk bangsa cina di Nanking, dan ianya diwujudkan atas arahan Leftenan Kolonel Masuda, salah seorang liutenan di bawah Ishii. Di tingkat empat hospital tersebut, adalah sebuah ruang untuk mengurung tahanan yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Selepas tahanan tersebut dijalankan eksperimen ke atasnya, mayat mereka kemudiannya dibakar pada lewat malam. Ruang gas yang memiliki tingkap pemerhati digunakan untuk menjalankan sebarang eksperimen penghasilan senjata kimia. Unit Ei 1644 sering menjadi penyokong Unit 731, termasuklah bertanggungjawab dalam penghasilan agen bakteria dan penghasilan kutu. Di akhir era peperangan, apabila segala eksperimen itu terdedah kepada pengetahuan ramai, Ishii serta para saintis yang terlibat diberi pengampunan secara bersyarat: Syaratnya mereka harus kongsikan juga dapatan kajian mereka.
Kemajuan Jepun dalam perkembangan kajian kimia dan biokimia mereka sentiasa menarik, sekalipun zalim kelihatannya. Namun, sampai suatu masa, khususnya tahun 1995, akhirnya kehebatan itu memakan diri mereka sendiri, dengan senjata gas saraf iaitu sarin yang dilepaskan oleh kumpulan Aum Shinrikyo. Menurut USACHPPM (2000), biasanya ada beberapa jenis agen saraf yang berkebolehan untuk membawa mudarat seperti sarin [GB], tabun [GA], soman [GD], serta VX. Secara asasnya, agen ini semua adalah organophosphorus esters.
Maka menurut Martin (2006) lagi, bermulanya tahun 1993, kumpulan Aum Shinrikyo telah membina fasiliti kajian baru di tingkatan 8 di sebuah bangunan yang juga dimiliki mereka. Di fasiliti kajian inilah Aum Shinrikyo menghasilkan Bacillus anthracis dan memasang penyembur besar untuk menyebarkan anthrax. Selain itu, Aum Shinrikyo ini juga dipercayai bahawa telah bereksperimen dengan Coxiella burnetti dan cendawan beracun, serta telah menghantar satu kumpulan khas mereka sendiri ke Zaire—sewaktu Zaire dilanda wabak Ebola dalam sekitar tahun 1990 hingga 1995, untuk mereka mendapatkan virus Ebola itu sendiri sebagai bahan senjata mereka. Dan kemudian, pada tahun 1995, Aum Shinrikyo mengubah tatacara serangan, daripada senjata biologikal kepada senjata kimia, makna kata tepat pada tarikh 20 Mac 1995, mereka terus melepaskan gas sarin.
Begitu banyak konvensi, begitu banyak protokol, begitu banyak apa-apa sahaja persidangan, samada di peringkat negara mahupun antarabangsa, namun masih tidak mampu mengekang kemajuan dan risiko besar penggunaan sebarang senjata canggih. Seharusnya kita sedar, memang senjata nuklear itu memiliki kesan memusnah lebih besar, namun pembinaannya juga memerlukan masa panjang dan teknologi yang hebat. Bahkan sebarang program pembangunan nuklear akan menarik perhatian ramai dan mengundang kebimbangan serta mengarah kepada perseteruan—sepertimana berseterunya Amerika Syarikat dengan Iran dan Korea Utara sebagai salah satu contoh. Hal ini nyata berbeza dengan projek pembangunan senjata biologi, biokimia, atau kimia, di mana boleh dijalankan dalam skala kecil, namun masih memiliki kesan yang begitu besar, bahkan masih boleh meragut begitu banyak nyawa dalam satu-satu masa
ILMU RASUL SAW DALAM PERSENJATAAN DAN PEPERANGAN
Rasulullah saw. sangat mengambil berat terhadap persediaan ketenteraan umat Islam pada setiap masa. Persediaan ini merangkumi kekuatan aqidah, kekuatan peralatan senjata serta kekuatan ilmu (kemahiran) melalui latihan. Sesuai dengan perintah Allah : “Dan bersiap sedialah sekuasa kamu daripada segala kekuatan dari pasukan berkuda yang bersedia bagi menakutkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh –musuh lain yang kamu tidak ketahui sedang Allah mengetahui. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasan bagi kamu, dan kamu tidak akan dizalimi.” - Al Anfal 60
Kekuatan aqidah Sebelum terjun ke medan peperangan, Rasulullah saw. telah mendidik para sahabat dengan aqidah yang kukuh. Keimanan yang sungguh kepada Allah sehingga menjadikan sahabat - sahabat sanggup menanggung apa sahaja perintah dan berkorban samaada menang atau syahid. Rasulullah saw. juga memerintahkan sahabat supaya ikhlas berjuang kerana Allah. Baginda sering kali berpesan apabila menghantar pasukan yang berangkat , “ Berperanglah dengan nama Allah dan di jalan Allah” ( HR Ahmad, Muslim dan lain-lain – daripada sebuah hadis yang panjang )
Di samping itu Rasulullah saw. juga memotivasi para sahabat, antara katanya “ Ketahuilah kamu sekalian, bahawa syurga itu di bawah kilatan mata pedang." ( HR Bukhari, Muslim dan Abu Daud ) Kekuatan teknologi Kekuatan teknologi peperangan merujuk kepada semua kelengkapan ketenteraan; senjata , pengangkutan , komunikasi kemahiran strategi dan sebagainya. Langkah-langkah Rasulullah saw. dalam meningkatkan teknologi ketenteraan Teknologi Asing Peralatan tentera yang lebih canggih pada masa itu dimiliki oleh Rom dan Parsi ( kuasa besar ). Rasulullah saw telah menghantar utusan dua orang sahabat , Urwah bin Masud dan Ghailan bin Salamah ke Jarashy , Damshik ( di bawah kuasa Rom ) bagi mempelajari cara membuat Manjanik dan Dabbabah ( kereta perisai )
Belanjawan perang Rasulullah saw. juga memperuntukkan belanjawan khusus untuk kelengkapan perang. Imam Tarmizi menyatakan dari Omar Al Khattab bahwa harta-harta Bani Nadhir ( Yahudi ) yang dirampas ( harta fai ) telah diserah kepada Rasulullah saw. Lalu Nabi saw mengambil sebahagian daripadanya dan selebihnya untuk membeli kuda dan senjata sebagai persediaan perang fisabilillah. Ibnu Ishak menceritakan dalam perang bani Quraizah, bahawa Rasulullah saw telah mengutuskan Saad bin Zaid Al Ansari membawa tawanan perang Bani Quraizah ke Najd, lalu ia membeli dengan orang tawanan itu kuda dan senjata untuk Baginda saw. Rasulullah saw. menggalakkan para sahabat memberi infaq fisabilillah untuk membiayai persiapan peperangan.
Diriwayatkan bahwa dalam peperangan Tabuk , Saidina Othman menginfaqkan 900 ekor unta, 100 ekor kuda dan 1000 dinar. Saidina Abu Bakar menyerahkan seluruh hartanya 4000 dirham . Saidina Umar membelanjakan separuh daripada hartanya. Disamping itu ramai lagi sahabat-sahabat menginfaqkan harta mereka termasuk muslimat yang datang kepada Rasulullah saw. menginfaqkan harta perhiasan mereka berupa gelang , rantai dan sebagainya. Pengangkutan tentera Rasululllah saw. sangat menggalakkan sahabat memaksimakan penggunaan binatang kenderaan dalam medan jihad. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda, “ Barang siapa berperang pada jalan Allah dengan menunggang unta , maka dipastikan ia masuk syurga. ( Nailul authar ) . Dalam satu hadis yang lain Rasululah saw. bersabda, “ Mengikat kuda sehari untuk berperang pada jalan Allah , lebih baik daripada dunia dan isinya” ( Nailul Authar ).
Rasulullah saw. sentiasa meningkatkan pengunaan kuda dalam angkatan tentera . Bermula dari 2 ekor kuda dalam peperangan Badar , 50 ekor kuda dalam perang Uhud hinggalah 10,000 ekor kuda dalam perang Tabuk. * Kuda pada masa itu adalah binatang yang mahal dan hanya mampu dimiliki oleh orang kaya sahaja. Latihan Ketenteraan Latihan Disipilin Rasulullah saw. adalah pemimpin tentera yang pertama dalam sejarah bangsa Arab melatih anggotanya dengan disiplin dan peraturan. Solat lima waktu dan berjemaah serta puasa menjadikan sahabat-sahabat sebagai anggota yang berdisiplin, mudah disusun atur, sedia mendengar perintah serta tabah menghadapi kesengsaraan perang. Baginda saw adalah pemimpin ketenteraan pertama yang menyusun saf ketika memulakan peperangan. Pasukan tentera tidak dibenarkan menyerang sehinggalah diarahkan oleh Rasulullah saw. Semasa perang berkecamuk Rasulullah saw sentiasa memberi arahan serangan kepada pasukan-pasukan tertentu.
Latihan Fizikal dan senjata Rasulullah saw sentiasa menekan latihan kekuatan dan kemahiran bersenjata. Baginda saw. pernah mengatakan ,” Seorang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah daripada seorang mukmin yang lemah. “ Uqbah bin Amir meriwayatkan bahawa Rasulullah saw. pernah berkhutbah , “ Bersiaplah untuk menghadapi mereka dengan sekuat tenaga yang kamu boleh. Kekuatan adalah memanah, kekuatan adalah memanah, kekuatan adalah memanah. “ (HR Imam Ahmad ). Pada satu peristiwa yang lain ketika melihat pertandingan memanah, baginda saw. bersabda “Panahlah wahai anak –anak Ismail kerana datuk mu adalah pemanah. “ ( HR Imam Bukhari dan Ahmad) Diriwayatkan bahawa Baginda saw pernah berkata, “ Jika seseorang kamu pandai memanah kemudian ia meninggalkannya , dia bukan dari golongan kami”. ( HR Imam Ahmad) Latihan kepimpinan , Strategi dan Taktik Rasulullah saw. bukan sahaja memimpin sendiri operasi ketenteran bahkan beliau saw. menyediakan latihan dan persiapan kepada sahabat –sahabat mengenai kemahiran memimpin peperangan .
Bermula dengan Rasululah saw. sendiri menunjukkan contoh kepimpinan mengawasi strategi peperangan, dan perang saikologi. Baginda saw. melatih mereka bagaimana menyusn pasukan tempur dan bagaimana membuat keputusan dengan bermesyuarat . Rasululah saw juga mengajar sahabat mengenai operasi sulit ketenteraan, membuat serangan mengejut bagi mengelakkan perlawanan sengit serta megurangkan jumlah kematian Selain melatih, Rasulullah saw. juga memberi tugasan praktikal. Sahabat-sahabat diarah memimpin sendiri sariyah –sariyah kecil dan besar. Proses ini membina keyakinan diri kepada sahabat-sahabat . * Sariyah adalah peperangan yang tidak disertai oleh Rasulullah saw.
Kesungguhan Rasulullah saw. dalam mempertingkatkan kekuatan Pertama kali menghadapi tentera Kafir Quraish di Badar, tentera Islam sangat lemah, iaitu seramai 313 orang dan 2 ekor kuda serta senjata tidak lengkap. Dalam perangan Uhud Rasulullah saw. telah meningkat kekuatan dengan 700 tentera , 100 orang daripadanya memakai baju besi dan 50 tentera berkuda serta sepasukan pemanah yang kuat. Kekuatan tentera ditingkatkan lagi hingga 3000 orang dalam perang Ahzab, sepasukan pemanah yang lebih kuat serta peralatan senjata yang lebih lengkap. Semuanya ini dilakukan oleh Rasulullah saw. kerana memahami kepentingan kekuatan tenteran dalam persiapan perperangan.
Ketika Ghazwah Fathul Makkah, Rasululah saw. Menyusun 10,000 tentera serta lengkap bersenjata. Selepas itu mara ke Hunain dengan 12000 tentera hasil tambahan orang-orang Makkah yang baru memeluk Islam. Perang Tabuk yang menuntut persiapan awal dan besar kerana jauh dan menghadapi tentera kuasa besar Rum. Rasulullash saw. mengerahkan 30,000 anggota dengan 10,000 pasukan berkuda serta bersenjata lengkap. Walaupun Rasulullah saw sentiasa mempertingkatkan kekuatan tetapi kekuatan tentera musuh sentiasa lebih besar terutama ketika berhadapan dengan Rum dan tentera Quraish kecuali dalam Fath Makkah. Ini adalah kerana kekuatan Islam adalah baru muncul pada masa itu. Namun begitu dalam banyak perperangan Rasulullah saw mencapai kejayaan kerana kekuatan keimanan serta kepandaian menggunakan senjata dan strategi yang baik.
KESIMPULAN
Semua pejuang Islam wajib bangkit daripada persekitaran zon selesa, asyik cakap membesar pena dan duit, suka menangguh kerja dan takut kepada musuh. Kita mesti menyatukan ummah dengan membina kekuatan ilmu berteraskan pendidikan akidah, tauhid, muamalah, Al Quran, Al Hadis, sains dan teknologi seterusnya bagaimana merancang untuk memimpin dunia. Kita wajib berjiwa besar. Islam sepatutnya memerintah bukan nya diperintah. Apabila kita sudah celik duniawi dan ukhrawi, pasti kita terkejut betapa nyawa ummat Islam sedunia ibarat semakin berada di hujung tanduk. Haraplah selagi bernafas.
"BERSATU KITA TEGUH, BERCERAI KITA BODOH".

No comments:

Post a Comment