OLEH:
DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN
012 6650387 /abbaakba@yahoo.com
PAKAR KAUNSELING KELUARGA
Pusat Asuhan Pertiwi
Kuala Pilah.
PENDAHULUAN
Setiap individu yang ingin atau sedang berkahwin mendambakan
untuk memiliki pasangan hidup yang sihat zahir dan bathinnya. Ada yang telah
berkenalan baharu berkahwin. Ada yang sebelum berkahwin telah lama bercinta.
Malah ada jua yang setelah berkahwin baharu bercinta. Sebelum berakad nikah,
mereka tidak mengetahui hati budi, caragaya berfikir, kepercayaan diri dan
personaliti pasangan masing-masing. Namun, atas dasar restu pilihan ibubapa,
mereka turutkan dan sedia bersatu mengikat ikatan perkahwinan. Mereka awalnya
pasrah, berserah dan bertawakal. Setelah menikmati hidup sebagai pasangan suami
isteri, beberapa hari kemudiannya, lebih kurang antara 7 hingga 14 hari,
baharulah dilihat beberapa karektor tidak normal pada pasangan masing-masing. Ia
terus dilihat, dinilai, diperhati dan difikirkan bagi membuat keputusan sama ada
untuk merawatinya atau meninggalkannya. Saat itu, berlegar dalam kotak minda,
ayat-ayat refleksi minda iaitu ikutkan hati mati, ikutkan rasa binasa dan
ikutkan akal minda berjaya”.
MAKSUD
KECELARUAN PERSONALITI
Kecelaruan personaliti bermaksud ketidakstabilan
trait personaliti yang menimbulkan gangguan pada dirinya. Ia juga merupakan
sikap atau tingkahlaku yang wujud dalam diri seseorang dan ia tidak selari
dengan kebiasaan amalan budaya masyarakat setempatnya. Misalnya, sikap anak
menantu memulia dan melayan kerenah ibubapa mertua adalah bagus dan sihat,
sebaliknya sikap anak menantu tidak melayan ibubapa mertua dengan baik dan
bercakap kasar dengan ibubapa mertua adalah tidak normal dan petanda adanya
penyakit kecelaruan personaliti.
MANUSIA DAN JENIS
KECELARUAN PERSONALITI
Jenis-jenis kecelaruan personaliti yang sering dialami oleh
kalangan individu yang barangkali dialami oleh pasangan masing-masing adalah;
1.
Kecelaruan paranoid
Iaitu seseorang yang suka menyoal orang lain tentang
nilai kesetiaannya atau kepercayaan pasangannya terhadap dirinya. Pengidap
paranoid juga seorang yang suka berkonflik dan berdendam dengan pasangannya
jika dia teruk dikritik atau dicemuh. Mereka yang mengidap paranoid juga
seorang yang pemarah dan mudah bersikap kasar terhadap pasangannya. Keadaan
hidup seperti itu menyebabkan pasangannya rasa tidak selesa dan tertekan ketika
berada di dalam rumah.
2.
Schizoid
Iaitu seseorang yang tidak berminat dalam soal
hubungan seks terhadap pasangannya. Seseorang pengidap schizoid juga tidak
hirau akan pujian atau kritikan pasangannya. Mereka juga tidak suka bercakap
banyak dengan pasangannya dan lebih suka menyendiri di dalam rumah misalnya di
dalam bilik. Ia menyebabkan pasangannya rasa terabai dan kecewa. Komunikasi
dalam keluarga menjadi hambar. Kedua-dua pasangan akan menghadapi banyak episod
duka dalam kehidupan berkeluarga seperti ini.
3.
Schizotypal
Iaitu seseorang yang punyai caragaya bercakap yang
tidak jelas, suka berkhayal dan terlalu banyak berilusi. Mereka yang mengidap schizotypal
juga merupakan pasangan yang terlalu pendiam dan suka menyendiri, tiada kawan
rapat dan terlalu suka bercakap perkara-perkara yang bersifat mistik,ilusi dan
talipathy. Keadaan memiliki pasangan sebegininya menjadikan pasangan yang
sebaliknya hidup dalam keadaan serba keliru ragu-ragu dan pening kepala
memikirkan sikap pelik pasangannya.
4.
Antisosial 1
Seseorang yang mengalami kecelaruan Antisosial 1 ini
umumnya boleh berlaku sejak berumur atas 15 tahun. Ciri-ciri pengidap
Antisosial 1 ialah jika bersekolah dianya selalu ponteng, mudah terlibat dengan
gejala lari dari rumah, suka bergaduh dengan orang lain dengan menggunakan
senjata merbahaya, mudah bersikap kejam terhadap binatang dan orang lain jika
dia marah, suka membakar sesuatu objek dan suka menipu. Sikap negatif
sedemikian akan menyebabkan pasangannya mudah berada dalam keadaan stres dan
risau akan nasibnya pada masa depan.
5.
Antisosial 2
Seseorang yang mengalami kecelaruan Antisosial 2 ini
juga umumnya boleh bermula sejak berumur 15 tahun. Diantara ciri-cirinya ialah
tidak suka menerima sesuatu tanggungjawab sama ada di dalam atau di luar rumah,
tidak suka kepada peraturan, suka ponteng kerja, suka berkelakuan kasar
terhadap orang lain, tidak bertanggungjawab terhadap anak-anaknya dan mementingkan
diri sendiri misalnya berkaitan makanan dan pakaian. Sikap sedemikian boleh
menyebabkan pasangannya hidup menderita dari segi zahir dan bathin.
6.
Borderline
Seseorang yang mengalami kecelaruan Borderline
sering mengalami tekanan emosi didalam hidupnya. Dia juga seorang yang mudah
merasa kesunyian, seorang yang pemboros ketika berbelanja dan cenderung merasa
untuk membunuh diri jika alami sesuatu stres. Tingkahlakunya mudah berada dalam
keadaan tidak stabil dan hubungan interpersonalnya banyak bercirikan pemikiran
yang melampau dan sifat kurang sensitif terhadap perasaan dan kebajikan
pasangannya. Mereka juga mudah mengikut perasaan panas baran dan mudah bergaduh
dengan pasangannya mahupun ahli keluarganya. Ia menyebabkan pasangannya rasa
kecewa dan tidak selamat untuk terus hidup bersama pasangannya.
7.
Histrionik
Seseorang yang mengalami kecelaruan histrionik suka
kepada pujian dan penghargaan oleh orang lain khususnya daripada pasangannya. Mereka
juga sangat mementingkan kecantikan fizikalnya dan sangat kecewa jika tidak
diberi perhatian, pujian dan penghargaan oleh pasangannya. Mereka juga sangat
pentingkan diri sendiri dan mudah marah jika apa yang diingininya tidak
diperolehi. Apabila bercakap, pemikirannya tidak selari dengan apa yang
dicakapkan. Jelasnya, mereka sering bercakap diluar topik perbincangan atau
perbualan yang sedang dibincangkan bersama pasangannya. Sikap sebegini
menjadikan pasangannya tidak selesa dan boleh menimbulkan krisis komunikasi
perorangan.
8.
Narcissistic
Seseorang yang mengalami kecelaruan narcissistic
umumnya bersikap pentingkan diri sendiri dan suka mengambil kesempatan terhadap
pasangannya. Suka bercakap perkara yang bombastik sehingga dirinya kelihatan
terlalu berangan besar macam Mat Jenin. Mereka juga suka bercakap besar dan syok
sendiri seolah-oleh merekalah yang terbaik atau terhebat. Mereka juga bersikap
agresif apabila mengkritik dan memalukan orang yang dikritiknya, termasuklah
pasangannya ketika di dalam rumah. Mereka juga syok sendiri seolah-olah dirinya
orang sangat berwibawa, justeru dia mahu pasangannya memberi penghormatan dan
layanan istimewa.
9.
Avoidant
Seseorang yang mengalami kecelaruan Avoidant umumnya
suka bercakap di depan orang ramai namun sangat takut untuk menjawab soalan
daripada para peserta. Mereka juga suka bersikap membesar-besarkan sesuatu
berita, menjadikan dirinya ibarat wartawan badut. Mereka juga sangat sensitif
emosinya dan tidak suka menerima kritikan daripada orang lain. Apabila dirinya
dikritik teruk, dia akan mudah untuk menangis, dan apabila sedang alami sesuatu
tekanan hidup, dia akan mudah menampakkan masalahnya pada ekspresi wajahnya. Pasangannya memerlukan kekuatan hati dan jiwa
bagi menghadapi pasangan hidup yang sedang alami kecelaruan Avoidant ini.
10.
Dependent
Seseorang yang mengalami kecelaruan dependent tidak
mempunyai keyakinan diri bagi membuat sesuatu keputusan didalam keluarganya. Mereka
juga mempunyai masalah dari segi ketidakyakinan terhadap diri sendiri dan
sangat takut jika dimarahi atau ditinggalkan oleh pasangannya. Mempunyai
egosentrik yang sangat rendah. Sangat tidak selesa jika tinggal dirumah seorang
diri. Malah, mereka juga sangat takut untuk membuat sesuatu keputusan untuk
dirinya. Pasangannya akan mudah rasa bosan dan akan hilang hormat terhadap
kredibiliti pasangan hidup yang sebegini.
11.
Obsessive compulsive
Seseorang yang mengalami kecelaruan obsessive
compulsive cenderung untuk bersikap
terlalu teliti terhadap sesuatu perkara atau tugasan yang diberikan sama ada
buat dirinya atau pasangannya. Mereka juga seorang yang bersikap terlalu rigid,
berkira dan berfikiran tertutup. Mereka juga seorang yang tidak suka kepada
nilai amalan budaya yang baharu dan suka kepada perkara yang bersifat lama atau
tradisional. Sangat suka mendominasi pasangannya dan syok sendiri merasa
dirinya sahaja yang betul. Secara tidak rasional menganggap semua kerja mesti
mengikut caranya sahaja dan tidak menghargai bakat dan potensi orang lain.
Sikap sebegini menjadikan pasangannya mudah makan hati dan kecewa.
12.
Passive aggressive
Seseorang yang mengalami kecelaruan passive
aggressive adalah seseorang yang suka membuang masa, menangguhkan kerja dan
tidak fokus terhadap tanggungjawab yang telah diamanahkan buatnya. Mereka juga
suka memberi alas an bahawa dia terlupa. Tidak suka diberi sesuatu arahan atau
tanggungjawab dan menganggap orang lain lebih layak untuk melaksanakan tugas
tersebut. Suka lari daripada topik perbincangan semata-mata kerana sikap
malasnya untuk menjadi seorang yang lebih produktif. Pasangan sebegini sangat
dibenci oleh pasangannya lantaran sikap malas dan tidak bertanggungjawab.
BAGAIMANA UNTUK MERAWAT 12
KECELARUAN PERSONALITI BERKENAAN
Jika pasangan anda jelas didapati ada masalah kecelaruan personalit, maka dicadangkan bagi mendapatkan bimbingan pakar misalnya
kaunselor keluarga, alim ulamak atau
ahli psikiatris di hospital bagi menolongnya. Pertolongan boleh diadakan dengan
objektif supaya dia;
1.
Mendapat celik akal
2.
Mengubah tingkahlaku
3.
Mengukuh imej
4.
Membina jati diri
5.
Membina konsep kendiri
6.
Mengukuh iman dan amal
Ada satu kisah yang dirujuk kepada ilmuwan terkenal
dunia iaitu Ibnu Sina (seorang ulamak, ahli perubatan dan ahli sains ulung
Islam). Ibnu Sina pada suatu hari sedang
berada di dalam majlis santapan diraja Sultan Turki. Tiba-tiba seorang
pramusaji didapati tubuhnya kaku, matanya terbeliak besar dan susah untuk
bercakap. Maka dibantulah oleh Ibnu Sina untuk proses kesembuhan. Ibnu Sina
menggunakan pendekatan Terapi Psikologi bagi menyembuhkan kecelaruan emosi yang
sedang dialaminya akibat terlalu rindu kejauhan terhadap pasangannya yang
sedang berada di luar negara. Kaedah rawatannya tidaklah boleh saya jelaskan
disini melainkan ia boleh dibincangkan melalui medium yang lain.
Hati yang mati, ego kendiri yang tidak terkawal dan
perasaan buruk sangka yang keterlaluan boleh mengundang keceleruan personaliti.
Bahawa tekanan hidup semasa
kecil
dan krisis berat yang pernah dialami pada masa lalu juga boleh mengakibat
kecelaruan personaliti kepada seseorang jika dianya tidak mempunyai;
1.
Hati yang ikhlas
2.
Jiwa
yang tabah
3.
Fikiran yang
bersih
4.
Semangat juang
yang tinggi
5.
Tidak mudah
mengalah
6.
Tidak dibantu
KESIMPULAN
Suatu hari, Nabi Muhammad SAW mengingatkan para
sahabatnya dengan bersabda, maksudnya;“Kita baharu kembali dari satu peperangan
yang kecil untuk memasuki peperangan yang lebih besar”. Maka para sahabat kaget
lalu bertanya “Peperangan apakah itu Ya
Rasullullah”, maka jawab baginda Rasul SAW “ Peperangan melawan hawa nafsu” –
Hadis riwayat Al Baihaqi. Ingatlah, bahawa kemarahan, kemalasan,
keinginan, keghairahan dan kebertanggungjawab diri semuanya berasas kepada
nilai nafsu. Nafsu ada 2 iaitu nafsu baik dan nafsu buruk. Jika kamu menolong
memulih pasanganmu agar bebas daripada kecelaruan personaliti diatas, maka ia
termasuk sikap yang mulia yang terbit daripada nafsu egosentrik yang positif (intrinsic
motivation). Dan begitulah juga sebaliknya. Maka hendaklah kita semua saling
melengkapi, tolong menolong dan bersatu padu bagi membina institusi keluarga
bahagia yang bebas daripada kecelaruan personaliti. Dengan rasa empati untuk mengambil kira faktor latarbelakang
pasangan anda, insya Allah akan terbit rasa peduli dan kasihan belas terhadap
dirinya. Ia ibarat mesej pantun Melayu lama,
Harum
sungguh bunga kemboja
Bunga
karangan cantik tersemat
Janganlah
membaca kulit sahaja
Telitilah
kandungan sehingga tamat.