OLEH:
DR.
AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN, 012 6650387
PUSAT
ASUHAN PERTIWI
KUALA
PILAH
02 FEBRUARI 2017
PENDAHULUAN
Daripada mata
turun ke hati. Hati adalah pusat kebahagiaan, ketulenan dan keunggulan
personaliti setiap insan. Seseorang yang memiliki hati yang disebut sebagai
tulus ikhlas, baik dan suci akan memiliki jiwa yang sihat, tubuh yang kuat dan
semangat juang yang sentiasa positif. Hati juga di sebut kalbu. Menurut Nabi
Muhammad SAW, maksudnya, “Didalam tubuh badan manusia ada seketul darah. Jika
ia baik, maka baiklah seluruh tubuh badan manusia. Jika ia buruk, maka buruklah
seluruh tubuh badan manusia. Maka ianya adalah kalbu (hati nurani) – (HR
Muslim).
CABARAN HIDUP
Manusia yang
hidup dalam abad ke 21 kini mengalami banyak cabaran. Cabaran hidup pula
merujuk kepada ingatan oleh baginda Rasulullah SAW, sesudah tamat peperangan
Badar, maka terdapat ujian yang lebih berat selepas peperangan itu, iaitu ujian
berat melawan hawa nafsu sendiri. Dalam kontek kehidupan kita dewasa ini di
Malaysia, dengan bermula di alam sekolah rendah, menengah hinggalah ke alam
universiti, manusia itu mengalami pelbagai kesulitan dan dugaan. Di sekolah
rendah sebagai contoh, anak-anak orang miskin atau sederhana akan menerima
tekanan emosi sangat tinggi lantaran keperluan mencari pelbagai bahan rujukan
yang memerlukan komputer dan internet sebagai alat bantu belajar mereka ketika
di rumah. Meskipun serba kekurangan, mereka umumnya akan tetap berusaha sedaya
upaya untuk merealisasikannya. Ia adalah caragaya proses pembelajaran baharu
generasi murid era PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah) yang umumnya menggalak
murid agar berupaya melaksana KBKK (kemahiran berfikir kreatif dan kritis)
melalui kurikulum pengajaran dan pembelajaran (PdP) mereka di dalam bilik
darjah.
Murid
akan disaran oleh guru untuk mencari bahan rujukan pembelajaran dan kemudian
menyiapkan tugasan kerja rumah yang perlu didokumentasikan. Hasil
pendokumentasian tugasan kerja rumah itu kemudiannya akan dinilai oleh guru di
sekolah. Maksudnya, murid sekolah rendah dan menengah (khususnya bagi murid
PT3) perlu akan sebuah komputer dan printer untuk mereka menghasilkan tugasan
yang telah diberikan oleh kalangan guru mereka. Bagi kalangan murid yang kurang
upaya dari segi kemudahan pembelajaran seperti komputer, internet dan printer
tersebut, maka apabila mereka sampai sahaja didalam bilik darjah, mereka akan
tertekan sekali lagi dengan hasil kerja mereka yang tidak seberapa berbanding
dengan murid yang datang daripada latar belakang keluarga yang kaya atau senang.
Mereka (murid yang berlatar belakang
keluarga yang senang) mempunyai kemudahan peralatan bahan bantu belajar yang
sofistikated dan lengkap untuk mereka menyiapkan tugasan oleh guru ketika di
rumah. Sembari itu, kalangan murid yang berlatar belakang keluarga yang susah
atau miskin, mereka akan mudah terasa rendah diri dan tertekan dari segi;
- Hasil printing warna yang dipersembahkan
- Hasil pendokumentasian tugasan kerja yang menarik, kemas dan berplastik
Maklumat isu
psikososial berkaitan adalah perkara penting yang banyak dikongsikan oleh
kalangan guru bimbingan dan kaunseling di sekolah rendah dan menengah seluruh negara. Manakala seterusnya, perlulah
diambil peduli oleh setiap pemimpin warga pendidikan, ibubapa dan PIBG yang prihatin,
bahawa masalah tekanan untuk belajar dalam proses PdP ini juga sedang dan masih
berlaku diperingkat menara gading (universiti). Pelajar yang terdiri daripada
anak-anak orang susah atau miskin pasti akan menerima tekanan mental dan emosi
yang tinggi. Mereka banyak belajar untuk hidup bertabah dan berdikari tatkala
mereka sedang berjuang untuk tamatkan pengajian di IPT. Maklumat, panduan,
ingatan, bimbingan dan bantuan perlu diberi kepada kalangan murid dan pelajar
kita yang datang dari kalangan status SES yang rendah berkenaan bagi memastikan
generasi masa depan yang berjiwa besar, sihat, berefikasi dan empati tinggi. Hanya
murid dan pelajar yang benar-benar berhati suci, tabah dan fokus terhadap
berfikir untuk mengatasi cabaran belajar sebagai pelajar yang serba kekurangan
akan berjaya menggapai segulung ijazah yang diidamkan. Inilah yang saya
perhatikan sedang berlaku dalam masyarakat kita dewasa kini.
PUNCA PENYAKIT HATI DALAM KALANGAN REMAJA KINI
Remaja adalah entiti
penting dalam sesebuah keluarga. Setiap pasangan suami isteri, pasti
mengidamkan anak yang membesar menjadi remaja yang sihat, berilmu dan berimej
unggul dalam kalangan masyarakatnya. Anak yang cemerlang, pasti menguja dan
membanggakan ibubapanya. Jelasnya, banyak penyakit hati manusia yang
mengakibatkan munculnya isu kecelaruan personaliti, emosi dan disipin diri
dalam kalangan remaja atau murid sekolah pada hari ini berpunca daripada;
- Masalah kewangan
- Masalah komunikasi
- Masalah tidak menjaga solat
- Masalah ekosistem keluarga yang negatif
- Masalah tidak jelas matlamat hidup
Jika kita
perhalusi 5 punca masalah kendiri remaja di atas, ia adalah berpunca daripada
soal hati yang;
- Tidak berfokus terhadap iman dan takwa
- Tidak dibajai dengan motivasi diri yang berterusan
- Tidak dikembang tumbuhkan dengan persekitaran yang membina, positif, berkasih sayang dan harmoni
- Tidak dimurnikan oleh sokongan gerak kerja pasukan pembimbing rakan sebaya dan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang berkesan di sekolah
- Tidak memiliki kalangan guru mata pelajaran biasa atau guru agama Islam atau guru pendidikan jasmani dan sukan yang benar-benar berkemahiran tinggi untuk menjadi sumber inspirasi yang sihat, mapan dan berdaya saing dengan di sekolah sebagai medan menimba ilmu dan di rumah sebagai medan untuk beribadah.
Membina konsep
kendiri yang unggul kuncinya adalah pada hati yang subur dengan iman, ilmu dan
amal. Tiga aspek sahsiah itu bukan mudah dimiliki. Namun, ia boleh
dimiliki berasaskan kepada sikap sabar,
taat, berdisiplin dan fokus untuk mencapai cita-cita kerjaya masing-masing. Ia
mesti bermula sedari alam sekolah tadika lagi. Ia boleh dibentuk laksana
melalui konsep falsafah “berdikit-dikit lama-lama jadi bukit”. Disinilah letaknya
peranan guru panduan kerjaya yang disebut oleh Datuk Seri Mohd Najib (mantan
Menteri Pendidikan Malaysia) dalam tahun 2001. Kini guru panduan dikenali
sebagai guru bimbingan dan kaunseling
sepenuh masa di sekolah rendah dan menengah seluruh Malaysia.
Seterusnya, bahawa
pada suatu hari, baginda Rasullullah SAW telah menyatakan bahawa “Sesungguhnya Allah tidak melihat
kepada rupa paras dan luaran kamu. Tetapi Allah melihat kepada hati kamu” (HR
Muslim). Begitulah juga Saidina Ali RA telah menyatakan bahawa “Bekas-bekas Allah di dalam dunia ini
adalah hati”. Hati adalah tempat turunnya rahmat dan ilmu pengetahuan. Seterusnya,
para alim ulamak Islam telah membahagikan hati kepada 4 jenis, iaitu;
- Hati yang tercemar; iaitu jenis hati manusia yang terdapat sifat yang disebut hasad dengki, angkuh, sombong, ujub dan takabur.
- Hati yang pecah; iaitu jenis hati manusia yang terdapat padat sifat manusia yang melakukan maksiat. Misalnya, setiap kali dia melakukan maksiat, maka dianya akan juga melakukan maksiat selepas itu. Misalnya maksiat tidak menutup aurat, suka mengumpat dan bergaul bebas.
- Hati yang tertutup; iaitu jenis hati manusia yang suka membangkang atau mempertikaikan peraturan Allah dan Rasulnya. Begitulah juga dalam keadaan hidup manusia pada masa kini, sikapnya suka mempertikai atau memperlekahkan peraturan atau hudud yang telah ditetapkan oleh Allah.
- Hati yang suci; iaitu jenis hati manusia yang jernih, bersih da menerima taufik dan hidayah daripada Allah. Pemilik hati yang suci ini adalah terdiri daripada manusia yang suka berbakti kepada ibubapa, menghadiri majlis ilmu, memuliakan orang lain dan sentiasa menurut perintah Allah dan menjauhi dirinya daripada maksiat.
KES KEGANASAN
RUMAHTANGGA
Akibat daripada hati yang rapuh dan tidak beriman
juga, boleh mengakibatkan manusia menjadi ganas, rakus dan kejam. Kita ambil
contoh misalnya dalam tahun 2015, telah berlaku sebanyak 3,343 kes keganasan rumah tangga dan daripada
jumlah itu, sebanyak 2,528 kes membabitkan golongan wanita. Manakala Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk
Seri Rohani Abdul Karim (02 Oktober 2015, Utusan Malaysia) pula menjelaskan bahawa
jumlah tersebut berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja
Malaysia (PDRM) yang juga rakan strategik kementeriannya. Menurut
beliau juga, kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan melibatkan penderaan
fizikal, mental, seksual, sosial dan ekonomi hingga menyebabkan mangsa
mengalami trauma yang rumit. Jelasnya, individu yang kukuh iman, sihat mental
dan miliki konsep kendiri yang unggul tidak akan terlibat dengan kes keganasan
yang berkaitan. Maka langkah proaktif sangat penting bagi membasmi masalah
tersebut daripada terus berkembang dan membiak dalam institusi keluarga rakyat
Malaysia ini.
PENYAKIT HATI
DAN KAEDAH MERAWATNYA
Dewasa ini, media massa sering melaporkan banyak kes
yang berpunca daripada sakit hati, kecil hati, makan hati dan kemudian
terbitlah tragedi yang terhasil kerana sampai hati. Contohnya kes;
- Isteri memotong kemaluan suami
- Suami membunuh isteri
- Anak membunuh ibubapa
- Cucu membunuh datuk dan nenek
- Murid bergaduh di sekolah
- Guru ditumbuk di sekolah
- Guru bergaduh sesama guru di sekolah
- Murid mangsa buli
- Jiran bertumbuk dengan jiran
- Ahli dewan parlimen bercakaran
- Pemimpin masyarakat saling bertikam lidah
Tragedi, masalah
dan krisis psikosial tersebut perlu dibasmi dan dicegah melalui pendekatan
dakwah, kaunseling dan bimbingan yang berstrategi. Manakala strategi tersebut
bukan sahaja perlu dijaya dalam bentuk pelaksanaan yang melibatkan sesebuah
organisasi atau komuniti, malah ia juga mesti dikembangkan tumbuhkan dari aspek
kesedaran kendiri setiap individu. Diantara kaedahnya ialah;
- Membudaya amalan taubat, bertaubat dan bertaubat nasuha (azam tidak ulangi lagi kesilapan lalu).
- Membudaya amalan membaca Al Quran dan maksudnya (di dalam rumah dan juga pejabat)
- Mempererat hubungan ukhwah semangat persaudaraan dalam kalangan keluarga dan rakan taulan
- Mengamal solat malam (Tahajud)
- Mengamal puasa sunat (Isnin dan Khamis)
- Banyakkan zikir (ingati Allah)
- Membaca bahan bacaan yang positif misalnya buku motivasi oleh Dr. Tuah Iskandar dan Dr. Abdullah Aidh Al Qarni.
- Banyakkan berfikir akan keesaan Allah. Lihatlah kebesaran Allah dengan adanya siang dan malam, adanya matahari, adanya air lautan yang dalam dan anda dikelilingi tumbuhan flora dan fauna menghijau yang saujana mata memandang.
- Mendapatkan khidmat kaunseling oleh pakar dalam bidang berkaitan.
- Mendampingi alim ulamak
KESIMPULAN
Kita ini semua dijadikan oleh Allah untuk
menyembahnya, berjuang untuk syurganya dan mengelak diri daripada dihujam ke
dalam api neraka di akhirat kelak. Kejayaan setiap orang berpunca daripada
keadaan komunikasi yang terbit daripada hati-hati insan yang hidup di dalam sesebuah
rumahtangga. Justeru, jika bahagia institusi keluarga, maka akan bahagialah
seseorang itu diluar rumahnya. Hanya orang yang bertakwa akan nikmati nikmat
kebahagiaan yang sebenarnya, sama ada ketika di dunia mahupun diakhirat kelak.
Firman Allah dalam Al Quran (Surah Ar Raad : 28) maksudnya “ Orang-orang yang
beriman itu hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah,
hanya dengan mengingati Allah lah hati kamu menjadi tenteram”. Manakala
junjungan besar Nabi Muhammad SAW telah bersabda maksudnya “ Perumpamaan orang
yang mengingati Allah berbanding orang yang tidak mengingatinya adalah ibarat
orang yang hidup berbanding orang yang mati”. (HR Bukhari). Manusia yang
hatinya suci akan sentiasa berasa syukur dan cukup dengan apa yang dia telah
ada, sebaliknya manusia yang hatinya kotor akan sentiasa berasa keperluannya
belum tercapai, serba kekurangan dan mudah marah. Dia akan hidup derita akibat
kesilapan dirinya sendiri yang tidak mahu berusaha memiliki hati yang suci dan berjiwa
penyayang.
No comments:
Post a Comment