HUBUNGAN
DIPLOMASI DENGAN ASPEK BAHASA DAN BUDAYA BANGSA– SATU TINJAUAN ILMIAH
Oleh :
Dr. Ahmad Kamal bin Ariffin
Abstrak
Ilmu
pengetahuan mengenai hubungan diplomasi dengan bahasa dan budaya masih kurang
dikupas oleh kalangan sarjana sama ada dari dalam mahupun dari luar negara.
Umumnya, bidang diplomasi banyak memberi kesan positif terhadap kemajuan bahasa
dan budaya sesuatu bangsa. Bahasa adalah alat untuk berkomunikasi diantara
sesama manusia bertujuan bagi membina kemajuan hidup khususnya dalam aspek
pembangunan ilmu, bahasa dan budaya sesebuah masyarakat. Oleh hal yang
demikian, perkara ini dikupas bagi mengetahui
apakah hubungan diplomasi dengan aspek bahasa dan budaya secara umum.
Dengannya, boleh dijadikan rujukan penting kepada mereka yang berkepentingan
demi untuk keselamatan negara dan kemajuan bangsa dalam bidang diplomatik,
bahasa dan budaya rakyat Malaysia.
PENDAHULUAN
Memahami, mendalami dan kepedulian masyarakat Malaysia mengenai
hubungan diantara bidang bahasa dan budaya adalah sangat penting lagi menarik.
Ia khususnya bagi kalangan warga pendidik yang terlibat dalam bidang pengajaran
bahasa di sekolah, kakitangan kerajaan khususnya dan kakitangan swasta amnya
yang banyak berkomunikasi dan berurusan secara formal dalam bidang
pentadbirannya sama ada dengan klien dari dalam mahupun dari luar negara.
Perbezaan pendapat dalam kalangan para sarjana mengenai makna hubungan
diplomasi dengan bahasa dan budaya pula dilihat sebagai sesuatu yang positif
bagi pembangunan nilai ilmu itu sendiri. Ia mencakupi dari segi kegunaan dan
kepentingannya bagi membina sebuah negara bangsa bertamadun yang maju dan
mampan kefahamannya dalam bidang diplomatik, bahasa dan budaya, khususnya buat
kalangan kakitangan sektor awam di Malaysia.
MAKNA
DIPLOMASI
Diplomasi berasal dari perkataan Yunani iaitu “diploma” yang
bermakna “dua lipatan” yang merujuk kepada sijil kelulusan yang diperolehi dari
sesuatu program pengajian atau pembelajaran yang sifatnya berlipat dua.
Mengenainya, perkembangan bahasa dunia memperlihatkan bahawa dalam tahun 1700,
kerajaan Peranchis menggunakan perkataan “diplomatique”
yang bermakna lembaga organisasi pegawai yang bertugas. Seterusnya, dalam tahun
1796, Edmund Burke memperkenalkan perkataan diplomasi yang bermakna seni dan
praktik negosiasi diantara wakil-wakil dari negara atau sekelompok negara.
Jelasnya, ia merujuk kepada komunikasi diplomasi diperingkat antarabangsa
diantara para diplomat bagi membincang isu-isu mengenai pelan perdamaian,
perdagangan, perang, ekonomi, pendidikan dan budaya. Ia juga mencakupi perjanjian
antarabangsa yang dirundingkan oleh kalangan diplomat sebelum dipersetujui oleh
kalangan pemerintah tertinggi sesebuah negara di dunia.
Merujuk kepada kamus Oxford Learners Dictionary (2003),
perkataan diplomasi (diplomacy) adalah
bermaksud aktiviti mengelola hubungan antara negara. Ia melibatkan ketrampilan
untuk berurusan dengan orang lain dalam situasi sulit tanpa cara menyakiti
mahupun mengancam pihak lain. Dapatlah dirumuskan bahawa diplomasi bermakna
kebijaksanaan dalam bidang perundingan diantara satu pihak dengan pihak yang
lain mencakupi nilai tolak ansur, empati, halus, sopan, tiada provokasi, saling
memahami, berstrategi dan saling membantu untuk membuat keputusan yang adil
diterima oleh kedua-dua pihak yang berkonflik.
Berhubung dengan perkara tersebut juga, Harwanto (2008:2-3) dalam laporannya menyatakan terdapat sebanyak
38 bidang diplomasi iaitu seperti berikut;
- Diplomasi Kuno
- Diplomasi Bangsawan
- Diplomasi Kotak Tunai
- Diplomasi Paksaan
- Diplomasi Budaya
- Diplomasi Penipuan
- Diplomasi Berbeza Makna
- Diplomasi Demokratik
- Diplomasi Kejantinaan
- Diplomasi Secepat Mungkin
- Diplomasi Duit
- Diplomasi Perisian
- Diplomasi Kapal Perang
- Diplomasi Tentera Berkapal
- Diplomasi Peluru Berpandu
- Diplomasi Baharu
- Diplomasi Minyak
- Diplomasi Lama
- Diplomasi Terbuka
- Diplomasi Prestij
- Diplomasi Pencegahan
- Diplomasi Awam
- Diplomasi Sumber
- Diplomasi Pemakaman
- Diplomasi Penyatuan
- Diplomasi Berwayar
- Diplomasi Teknologi
- Diplomasi Lembut
- Diplomasi Senyap
- Diplomasi Penjaga Kedai
- Diplomasi Tentera
- Diplomasi Rahsia
- Diplomasi Pelik
- Diplomasi Beras
- Diplomasi Perkahwinan
- Diplomasi Munafik
- Diplomasi Dunhill
- Diplomasi Asap
Seterusnya menurut Richard (2005:4) diplomasi menjadi suatu
kaedah yang paling utama bagi memulih, memelihara dan mempertahan peradaban
sesuatu bangsa. Ia menurutnya berbeza dengan peperangan yang merupakan tindakan
ketenteraan yang mengakibatkan kehancuran kepada sesuatu peradaban dan kemajuan
sesebuah negara.
MAKNA
BAHASA
Nabi Adam A.S adalah manusia pertama dicipta oleh Allah Taala.
Baginda telah menerima ilmu bahasa sebagai ilmu yang pertama diterimanya. Ilmu
bahasa itu adalah mengenai nama semua jenis benda yang terdapat di atas muka
bumi ini. Dalilnya ialah bahawa Allah telah berfirman dalam al Quran (al
Baqarah : 31) maksudnya;
“Dan Dia (Allah) telah mengajar Nabi Adam mengenai nama segala
benda dan gunanya (di atas bumi)”.
Berhubung dengan perkara tersebut juga, Allah telah menjelaskan
mengenai kepentingan bahasa dalam kehidupan manusia dengan berpandu kepada al
Quran (al Rahman:1-4) yang bermaksud;
“Tuhan yang amat pemurah serta melimpah-limpahkan rahmat-Nya.
Dialah yang telah mengajar (manusia) al Quran. Dialah yang mencipta manusia.
Dialah yang telah mengajar manusia pandai bercakap (berbahasa)”.
Junjungan Nabi Muhamad Saw sendiri menerima wahyu berupa ayat al
Quran pertama yang menyata akan kepentingan bahasa kepada manusia. Dalilnya
ialah merujuk kepada firman Allah dalam
al Quran (al Alaq:1-5) yang bermaksud;
“Bacalah dengan nama
Tuhanmu yang menciptakan manusia. Dia telah mencipta manusia daripada segumpal
darah. Bacalah, dan tuhanmulah yang paling pemurah, yang mengajar manusia
dengan perantaraan kalam (yang berkaitan dengan kemahiran menulis dan membaca).
Dia mengajar manusia apa-apa yang tidak diketahuinya”.
Jelasnya, bahasa adalah wahana ilmu. Imam Al Ghazali (abad ke 12
M) menjelaskan bahawa ilmu bahasa sangat penting. Ia umumnya disebut ilmu mukadimah. Ilmu
mukadimah juga disebut ilmu asas yang merupakan alat untuk mengetahui isi kitab
al Quran dan sunnah Rasul Saw. Ilmu alat pula terdiri daripada ilmu bahasa dan
tatabahasa yang meskipun tidak termasuk dalam ilmu syariah, namun ia perlu
dipelajari demi kemaslahatan agama. Ia juga adalah kerana semua agama lahir
berkembang melalui bahasa. Al Ghazali (1980:143) pula menjelaskan bahawa ilmu
bahasa sangat penting untuk pemerolehan ilmu dan perkembangan ilmu
keseluruhannya. Ia sangat berkait rapat antara pendidikan bahasa dengan
pendidikan umum, khususnya dalam konteks bidang diplomatik, budaya dan bahasa
itu sendiri. Inilah yang disebut bahasa merentasi kurikulum.
Mengenainya, Awang Sariyan (2009:5) menjelaskan bahawa terdapat
dua peranan bahasa di dalam hidup manusia iaitu pertama bahasa sebagai suatu
cabang ilmu dan kedua bahasa sebagai wahana penyerapan ilmu ke dalam diri
manusia. Jelas Awang Sariyan (2009:1) lagi,
pemikir-pemikir Islam yang ulung seperti al Ghazali dan al Farabi
misalnya dan juga pemikir-pemikir besar
dalam tradisi Barat seperti Descartes, Wittgenstein dan Chomsky meletakkan
bahasa sebagai juzuk penting dalam kehidupan insani. Manakala bahasa menurut British Council (2017:6) pula dinyatakan sebagai “The
bedrock of the world’s cultural heritage. Very language offers a rich and
unique insight into different ways of thinking and living as well as into the
history of the myriad of cultures and peoples across the globe.”
Terdapat dalam kalangan sarjana barat yang sama pendapat dengan
Awang Sariyan mengenai bahasa sebagai wahana ilmu iaitu misalnya Maryland (1977), Bullock
(1976), Halliday (1985), Greenwood (1985) dan Tickoo (1986). Mengupas
mengenainya, para sarjana tersebut bersependapat bagi mengungkapkan bahasa
sebagai “language across the curriculum”. Manakala menurut Wardhaugh (2002:13) bahawa
bahasa ialah ilmu pengetahuan mengenai peraturan atau perundangan dan cara
berkaitan kita bercakap dengan orang lain. Setiap bahasa harus dilaksana dengan
sebutan penulisan ayat dan sebutan bunyi bahasa Melayu yang betul.
Bahasa juga menurut Amir Awang (2009:7) berperanan mengembangkan
potensi bahasa tersebut agar individu itu dapat menjalani kehidupan sebagai
manusia yang mampu melaksana amanah dan tanggungjawab sebagai tunjang
kebudayaan dan tamadun seperti yang telah dibincangkan sebelum ini. Pertalian
antara pendidikan bahasa dengan pendidikan umum pada peringkat individu dapat
dijelaskan dengan meninjau hubungan diantara bahasa dengan diri, akal, dan
ilmu. Diri manusia sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam al Quran, surah
Al Hijr (26-29) dan surah Al Mu’minun (12-14) terdiri daripada dua bahagian
iaitu jasad dan roh. Jasad dikenal sebagai diri yang zahir sementara roh
dikenal sebagai diri yang batin, iaitu diri yang hakiki. Selain roh, diri yang
batin dalam al Quran disebut juga al Qalb, al Nafs dan al Aql (Syed Muhammad, 1991:15). Bahasa
merupakan bahagian atau fakulti ilmu yang terletak dalam akal dengan pengertian
bahawa bahasa pada asasnya ialah fitrah yang sedia ternurani dalam akal apabila
manusia lahir ke dunia (Al Ghazali, 1980:12). Teori kenuranian bahasa ini
dibincangkan oleh ahli-ahli falsafah barat pada abad ke 17 dan 18 misalnya
Descartes, Kant, Cudworth.
Mengenainya, Allah telah menegaskan di dalam al Quran bahawa
bahasa berfungsi utama buat manusia menerima ilmu dengan merujuk kepada Surah
al A’raf (Ayat 172) yang bermaksud;
“Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak
Adam dari tulang sulbi mereka, dan aku (Tuhan) mengambil kesaksian daripada
mereka : Bukankah aku tuhanmu? Mereka (keturunan anak-anak Adam) menjawab :
Benar, bahkan kami bersaksi. Dengan demikian kamu tidak akan berkata pada hari
kiamat kelak : Sesungguhnya kami tidak diberi peringatan tentang hakikat tauhid
ini”.
Ayat diatas menjadi bukti pengesahan oleh Allah bahawa telah
berlaku proses komunikasi diantara Allah dengan manusia, menggunakan
perantaraan bahasa, bertujuan sebagai proses menerima dan berkembangnya ilmu
daripada Allah kepada manusia, melalui para Rasulnya (pesuruhnya).
Berhubung dengan perkara tersebut juga, Zdenek (1997:11) telah
menyatakan bahawa bahasa adalah alat komunikasi antara anggota masyarakat
berupa bunyi yang dihasilkan oleh alat ucapan manusia. O’Neil (2003:31) pula menyatakan bahawa
bahasa merupakan alat dan medium untuk memunculkan erti penting atau signifikan
atau bermakna. Manakala menurut Duranti (2001:1) dalam komunikasi seharian,
salah satu alat yang paling sering digunakan adalah bahasa, baik bahasa lisan
mahupun bukan lisan iaitu melalui penulisan. Menurut Fairclough (1989:3) pula,
bahasa mempunyai fungsi-fungsi tertentu yang digunakan berdasarkan keperluan
seseorang, iaitu sebagai alat untuk mengekspresi diri, sebagai alat untuk
berkomunikasi, sebagai alat untuk mengadakan integrasi dan beradaptasi sosial
dalam lingkungan atau situasi tertentu, juga sebagai alat untuk memimpin
sosialisasi sesebuah masyarakat.
Bahasa yang baik menurut
Hassan (2002:5) pula ialah berkait dengan aspek kaedah, iaitu peraturan bahasa.
Berkaitan dengan peraturan bahasa, ada 4 hal yang harus diperhatikan iaitu
masalah;
- Tatabahasa
- Pilihan kata
- Tanda baca
- Ejaan
Peribahasa Melayu ada menyebut “Bahasa Jiwa Bangsa” yang
bermaksud bahasa ialah ciri pengenalan atau identiti bangsa. Menurut Datuk Dr.
Hassan Ahmad (Berita Harian : 03:19 September 2007), bahawa bahasa tidak hanya
bererti sebagai sistem linguistik yang terdiri daripada lambang-lambang bunyi (fonetik
atau fonem) sahaja, malah ia adalah lambang budaya dan fungsi atau peranan
bahasa sebagai sistem perhubungan sosial dalam masyarakat.
Orang yang tahu berbahasa, tahu adat berbahasa, tidak akan
menggunakan bahasa yang salah dari segi peraturan sosialnya apabila
berkomunikasi atau berbual dengan orang tua mereka atau ketua masyarakat
mereka. Bahasa juga ialah penanda identiti atau jati diri sesuatu bangsa.
Perkataan bangsa tidak lagi bererti kelas sosial atau adat orang itu tetapi
sebagai identiti atau kesatuan sosiopolitik atau tamadun supraetnik yang dalam
bahasa Inggeris disebut “nation”. Jelasnya, kita mengenal
bangsa Melayu berdasarkan bahasa yang mereka miliki dan gunakan. Bahasa inilah
yang menjadi alat pembentuk tamadun bangsa Melayu sepanjang sejarahnya. Bahasa
juga digunakan sebagai alat pemikiran untuk menghasilkan ilmu dan karya-karya
besar kesusasteraan dan seni sesuatu bangsa.
Perkara penting mengenai bahasa juga ialah apabila sesuatu
bahasa itu sudah tidak terpakai lagi maka lambat laun hilanglah bangsa itu.
Sikap meminggirkan bahasa akan melenyapkan bangsa sendiri dalam negara bangsa
yang dibina sejak berkurun lamanya. Tidak maju sesuatu bangsa itu tanpa adanya
bahasa (Berita Harian, 12 April 2007: Hlm 03)
MAKNA
BUDAYA
Perkataan budaya adalah disebut juga adab. Daripada akar kata
budaya dan adab, munculnya kata terbitan kebudayaan dan peradaban. Umumnya,
bidang budaya juga dikaji oleh banyak bidang disiplin ilmu mencakupi bidang
umpamanya sosiologi, psikologi, sejarah dan juga antropologi. Masing-masing
bidang tersebut mempunyai skop bidang ilmu yang tersendiri. Jelasnya, budaya
berasal daripada perkataan Sanskrit “Budhaya” yang bermaksud budi dan akal.
Maksudnya yang lebih mendalam ialah budaya adalah berkaitan hal-hal mengenai
budi pekerti dan akal fikiran manusia. Manakala menurut Koentjaraningrat
(1979:17) kebudayaan adalah keseluruhan daripada apa yang telah dihasilkan oleh
manusia melalui hasil daya pemikirannya. Sehubungan dengan itu, kebudayaan
adalah merupakan hasil daripada budaya itu sendiri.
Kroeber dan Kluckhohn (1944) pula menyatakan terdapat 6 jenis
makna budaya. Ia adalah seperti berikut;
- Budaya menurut deskriptif menekankan kepada unsur-unsur kebudayaan misalnya adat resam, bentuk seni tari dan adat istiadat sesuatu kaum.
- Budaya menurut historis menekankan bahawa kebudayaan itu diwarisi secara kemasyarakatan
- Budaya menurut normatif menekankan kepada aturan hidup dan tingkahlaku
- Budaya menurut psikologis menekankan kegunaannya dalam penyesuaian diri pada persekitarannya
- Budaya menurut struktural menekankan pada sifat kebudayaan, sebagai suatu system yang berpola dan teratur
- Budaya menurut genetik menekankan pada terjadinya sebagai hasil karya manusia
Budaya
Secara Umum
Sulaeman (2012:11) berpendapat makna budaya secara umumnya
sangat subjektif kerana ia mencakupi aspek pengetahuan, kepercayaan, kesenian,
moral, undang-undang, adat dan apa sahaja perkara yang berhubung dengan
kerjasama atau permuafakatan yang dibina dalam sesuatu kelompok masyarakat yang
besar. Ia juga melibatkan skala penempatan geografi yang luas dan persempadanan
negara bangsa yang jelas, melibatkan perkongsian nilai kuasa politik dan
kesefahaman ekspektasi budaya dalam masyarakat sesebuah negara.
Budaya
Dalam Politik
Budaya dalam politik menurut Louis (1999:3) bermaksud sesebuah
kerajaan meletakkan deskripsi budaya negaranya sebagai satu dasar yang berupa
kepentingan negaranya, menyumbang kepada keutuhan patriotisme dan ciri-ciri
kebangsaan, nilai kepercayaan, amalan strategik rakyat dan identiti sesebuah
negara. Ia juga berfungsi bagi mempromosi akan budaya serta kedaulatan negara
untuk makluman ke negara lain. Menjadi tanggungjawab sesebuah kerajaan untuk
melindungi dan memajukan kebudayaan kebangsaan bagi negara masing-masing.
Budaya
Dalam Diplomasi Awam
Menurut Ki Won Hong (2011: 26) budaya dalam aspek
diplomasi awam bermaksud masyarakat
sesebuah negara yang menggalak pertukaran budaya dengan masyarakat antarabangsa
yang lain untuk membina nilai budaya
hidup berintegriti dan berkredibiliti. Ia dapat dikembangkan serta dipelajari
berasaskan aspek diplomasi budaya awam melalui media massa, internet, kerjasama
diplomatik, pameran budaya antarabangsa dan aktiviti sukan. Sehubungan dengan
itu, budaya diplomasi awam boleh dikembang dan diamalkan sebagai mekanisme
perhubungan antarabangsa antara sesebuah negara melalui aktiviti budaya,
pameran seni kreatif, kerjasama pendidikan kerjaya, kerjasama pertandingan seni
lukis dan tarian dan pelbagai bentuk festival antarabangsa yang berkaitan.
HUBUNGAN
BAHASA DAN BUDAYA
Sangat sukar sebenarnya untuk mengupas mengenai hubungan bahasa
dan budaya. Ia adalah merupakan suatu aspek yang kompleks kerana ia berkaitan
caragaya manusia memahami aspek proses kognitif manusia semasa berkomunikasi
antara mereka, meskipun berlainan bangsa, bahasa dan budaya. Namun, menurut
Duranti (2001:17), Bahasa adalah budaya dan budaya adalah Bahasa. Menurut,
O’Neil (2005:8) bahawa bahasa sebagai alat untuk menjelaskan sesuatu perkara
dan peristiwa yang sedang berlaku dan pandangan
seseorang mengenainya yang mempunyai kaitan dengan nilai budaya sesuatu
masyarakat yang didiaminya. Jelasnya, setiap manusia dan kelompok manusia
fitrahnya ialah memiliki cara berfikir, kepercayaan dan mekanisme diri yang
tersendiri bagi mencapai cita-cita kendiri dan mengelakkan diri daripada gagal
didalam sesuatu gerak kerja dan juga kehidupan seharian.
Tsui dan Tollefson (2007:19) pula menyatakan hubungan diantara
bahasa dan budaya adalah berkait dengan dialektikal iaitu berkaitan polisi dan identiti budaya bangsa. Ia memerlukan kajian mendalam
bagi membongkar apakah hubungan diantara keduanya. Seterusnya dapat menilai dan
membongkar mengenai bagaimana polisi bahasa itu berkembang dan bagiamana ia
memberi kesan terhadap identiti budaya sesebuah negara bangsa. Justeru, Tsui dan Tollefson (2007 :
19) menjelaskan lagi bahawa ilmu pengetahuan mengenai perkaitan bahasa dan
budaya sesebuah negara bangsa boleh difahami berdasarkan ilmu sejarah mengenai
bagainama polisi bahasa digubal dan apa implikasinya kepada budaya masyarakat
sejak zaman dahulu hingga kini.
Stern (2009: 207) pula menyatakan bahawa bahasa bukanlah wujud
sebagai sebahagian daripada budaya sesebuah masyarakat yang menyentuh dari
aspek kepercayaan dan amalan hidup seharian manusia. Manakala menurut Zdenek
(1998:41) bahasa adalah kunci perkembangan panduan hidup manusia dan juga
sebagai alat untuk pembangunan ekonomi dalam sosialisasi masyarakat.
Manakala Awang Sariyan (2009:5) pula menyatakan bahawa budaya
adalah berkaitan keperluan manusia, dibentuk secara interaktif, dan ia dibentuk
berasaskan 3 aspek iaitu;
- Keperluan asas individu
- Keperluan asas masyarakat
- Keperluan simbolik kepada individu dan masyarakat
Stern (2009:15) juga
berpendapat budaya merujuk kepada ekspektasi manusia dalam sesebuah
masyarakat. Menurutnya lagi, makna
budaya adalah berkait dengan bagaimana seseorang memahami pengertiannya
berkaitan dengan elimen budaya,
keperluan budaya hidup yang pelbagai dan luas perlu dikupas secara seimbang.
Hakikatnya, menurut Stern (2009:53) lagi,
konsep pengertian budaya yang
sebenar adalah bagaimana manusia berkembang dan hidup sebagai individu dan
bermasyarakat, hingga akhirnya jelas perkaitan penggunaan bahasa dan kesan
penggunaan perkataan yang hebat dalam membina kemajuan sesebuah institusi
masyarakat. Walaubagaimanapun, secara umumnya, menurut Zdenek (1998:41) bahawa
bahasa adalah kunci kepada terbinanya budaya manusia sejak zaman dahulu
manakala budaya dari aspek masa depan adalah berkait dengan caragaya pemikiran,
kepercayaan dan kefahaman masyarakat yang hidup pada zaman tersebut. Perkara
ini ada hubungannya dengan peribahasa Orang berbudi kita berbahasa, orang
memberi kita merasa”.
HUBUNGAN
DIPLOMASI DAN BAHASA
Hubungan diplomasi dan budaya bermaksud sikap tolak ansur yang
merupakan satu kuasa lembut (soft power) yang mencakupi pertukaran idea,
maklumat, kerja seni dan aspek lain berhubung budaya bagi sesebuah negara dan
rakyatnya dalam usaha bagi mewujudkan kesefahaman dalam kalangan rakyat yang
terdiri daripada pelbagai bangsa dan budaya (Wikipedia, 27 April 2017). Menurut
Hwajung (2011:8), umumnya deskripsi budaya dibahagi kepada 3 aspek iaitu aspek
budaya secara umum, budaya dalam politik dan budaya dalam diplomasi awam.
Bahasa memainkan peranan sangat penting dalam aspek bidang
diplomasi atau geopolitik. Ia sangat penting kerana aspek perencanaan bahasa
dalam sesebuah negara boleh memain peranan menjaga keutuhan sesuatu bangsa dan
negara, mengukuh eratkan hubungan antarabangsa dan bertujuan memajukan bidang
ilmu pengetahuan, ekonomi dan perindustrian. Berhubung dengan perkara tersebut
juga, bahasa dapat dikembang majukan aspek penggunaannya bagi kalangan masyarakat pelbagai bangsa di
serata dunia dengan syarat keadaan politik sesebuah negara itu stabil dan rancangan
perkembangan bahasa bagi sesuatu negara bangsa itu sistematik. Keutuhan sesuatu
bahasa dalam dunia sangat penting atas rasional ia bukti yang menunjukkan
wujudnya sesuatu bangsa.
Berhubung perkara tersebut, Yani (2014:1) menyatakan, hubungan
bahasa dan diplomasi boleh dikupas berdasar kepada persoalan berikut;
- Apakah hubungan diplomasi dan perencanaan bahasa dalam kalangan masyarakat manusia pelbagai bangsa di dunia?
2. Apakah hubungan diplomasi dengan perencanaan bahasa di dalam sesebuah negara?
Seterusnya, Yani (2014:2) menyatakan
bahawa bahasa adalah berfungsi sebagai;
- Bahasa rasmi sesebuah negara
- Bahasa pengantar di dalam dunia pendidikan
- Alat perhubungan pada peringkat dalam negara mahupun luar negara bagi kepentingan ekonomi, diplomatik dan pendidikan
- Alat pengembangan budaya, ilmu pengetahuan dan teknologi.
Dapatan kajian oleh Yani (2014:6) mendapati bahawa keadaan geopolitik sesebuah
negara mempengaruhi perencanaan bahasa di dalam negara berkenaan. Misalnya,
keadaan geopolitik di negara Eropah yang stabil berpengaruh besar terhadap
kemajuan bahsaanya sehingga boleh mempengaruhi penggunaannya oleh ahli
masyarakat biasa dan para pegawai diplomat negara lain. Justeru, kesan daripada
kekuatan kemajuan ilmu, politik, ekonomi, diplomatik, persenjataan mahupun
pertahanan negara-negara Eropah, bahasa bangsanya juga turut berjaya
mempengaruhi bangsa lain untuk menjadikan bahasa bangsa Eropah itu sebagai
bahasa rasmi negaranya.
Misalnya adalah seperti berikut;
- Djibouti = bahasa rasminya bahasa Peranchis
- Comoros = bahasa rasminya bahasa Peranchis
- Chad = bahasa rasminya bahasa Peranchis
- Niger = bahasa rasminya bahasa Peranchis
- Bolivia = bahasa rasminya bahasa Sepanyol
- Peru = bahasa rasminya bahasa Sepanyol
- Malawi = bahasa rasminya bahasa Inggeris
- Cameroon = bahasa rasminya bahasa Inggeris
- Bahamas = bahasa rasminya bahasa Inggeris
- Jamaica = bahasa rasminya bahasa Inggeris
- Namibia = bahasa rasminya bahasa Inggeris
- Rwanda = bahasa rasminya bahasa Inggeris
- Afrika Selatan = bahasa rasminya bahasa Inggeris
- Singapura = bahasa rasminya bahasa Inggeris bersama bahasa Mandarin, Melayu dan Tamil
- Tanzania = bahasa rasminya bahasa Inggeris
- Colombia = bahasa rasminya bahasa Sepanyol
- Guatemala = bahasa rasminya bahasa Sepanyol
- Panama = bahasa rasminya bahasa Sepanyol
- Mexico = bahasa rasminya bahasa Sepanyol
- Uruguay = bahasa rasminya bahasa Sepanyol
(Sumber : http://en.wikipedia.org.
pada 02 Mei 2017)
HUBUNGAN
DIPLOMASI DAN BUDAYA
Kajian berkaitan hubungan diplomasi dan budaya telah diadakan
sejak abad ke 18 lagi. Namun, menurut Chyntia (2006:1) kajian mengenai hubungan
diplomasi dengan dua bidang berikut adalah lebih banyak dalam bidang ekonomi
dan politik antarabangsa. Menurut Chyntia(2006:3) makna diplomasi budaya pada
awal abad ke 19 bermaksud pertukaran idea mengenai bentuk dan sifat budaya
sesuatu masyarakat kepada masyarakat yang lain bertujuan bagi menjelas dan
meningkatkan kefahaman masyarakat atau kaum lain mengenai idea, bentuk, sifat,
nilai dan pengajaran yang diperolehi pada sesuatu budaya.
Manakala Pauline dan
Geoffrey (2013:71) pula menyatakan, diplomasi budaya telah diadakan sejak zaman
empayar Rome lagi. Ia merujuk kepada delegasi yang diberikan informasi mengenai
kebudayaan bangsa Itali yang kemudian secara tidak langsung menjadikan budaya
bangsa Itali berkembang ke nagara lain yang dijajahnya. Manakala menurut
Qwalter (1994:20) diplomasi budaya menjadi aspek yang sangat penting mengatasi
bidang diplomasi tradisional dan kuasa
bidang pertahanan. Manakala menurut Richard (2005:2) pula, dunia umumnya menerima
hujah bahawa diplomasi budaya adalah sangat berhubung rapat dalam aspek menjana
ketamadunan sesuatu bangsa.
Diplomasi budaya juga menurut Richard (2005:4) menekankan aspek
hubungan antara budaya yang digantikan oleh kehadiran konsep negara bangsa yang
memperlihatkan diplomasi budaya dilaksanakan diantara negara berbeza yang
berdaulat. Sebelum perang dunia pertama, sebahagian besar diplomasi budaya
dilaksana secara informal. Namun, ia berubah kemudiannya apabila diplomasi
budaya ditujukan kepada negara bangsa yang melahirkan apa yang disebut sebagai
“Universalisme” budaya Peranchis melalui filem “The Sun King” dan Amerika
Syarikat melalui filem “City of the
hill”.
Sejak daripada itu, negara-negara membangun yang lain telah
mengadaptasi hubungan diplomasi dengan budaya sebagai sebahagian dari strategi
kebijakan hubungan luar negara mereka. VOKS (The All Union Society For Cultural Relations With Foreign Countries)
menjadi alat kepada kerajaan Soviet Union bagi berkolaborasi dengan negara
kelompok barat yang pro mereka. Di Eropah Barat misalnya, gerakan-gerakan
seperti itu telah dimulakan oleh negara Peranchis melalui pembentukan Alliance
France dalam tahun 1883. Ia menekankan pentingnya bahasa untuk menghubungkan
Peranchis dengan negara luar. Negara Itali pula mendirikan Dante Aligheru Society dalam tahun 1889 bagi mempromosi kebudayaan
bangsa Itali mereka. Seterusnya, pemerintah Jerman mendirikan Goethe Institute dan pemerintah
Inggeris pula menggunakan British
Council sebagai jambatan untuk mengembang budaya dan pengaruh
psikopolitik mereka. Strategi kefahaman
sedemikian juga ditiru oleh negara-negara membangun yang lain di Asia.
Mengenainya, timbul satu persoalan iaitu bagaimana pula dengan Malaysia dan
negara Asean yang lain?
Negara China misalnya menggunakan kaedah bidang diplomasi budaya
bagi mengurangkan ketegangan hubungan diplomatiknya dengan negara Jepun. Malah,
Jepun juga menggunakan diplomasi budaya sebagai sebahagian dari kebijakan
bidang diplomatik negara. Ia boleh dilihat melalui penubuhan Japan Foundation dan International House of
Japan. Melaluinya, negara Jepun telah berusaha bagi memelihara dan
meningkatkan hubungan diplomatik yang
baik dengan semua negara anggota Asean. Bermula dengan diplomasi budaya, Jepun
dapat memasarkan hasil produktiviti bangsa mereka yang berjaya menjana
pembangunan ekonomi, budaya, bahasa, pendidikan dan perindustrian negara Jepun.
Menurut Anthony (1974:21) pula, US Department of State (1959)
telah menjadikan hubungan diplomasi dan budaya sebagai satu perkara khusus
(maudhuk) yang bermaksud “Ia merupakan satu kontrak langsung dan berlanjutan
antara pelbagai masyarakat dari negara yang pelbagai”. Jelasnya, ia bertujuan
untuk membentuk kepercayaan dan kefahaman masyarakat antarabangsa yang lebih
baik bagi mencapai objektif yang saksama antara pemerintah sesebuah negara”.
Seterusnya, ia juga disebut sebagai satu “Dimensional meaning linked to
political manipulation and subordination, and it has also been relegated to the
backseat of diplomatic interaction”.
Manakala Friederich (1976:11) pula menjelaskan bahawa diplomasi budaya
adalah hasil tugasan bijaksana para ahli politik antarabangsa dalam melakukan
propaganda. Ia menjadi dasar strategi hubungan komunikasi diplomasi bagi
sesebuah negara dan digunakan bagi menjelaskan sesuatu isu melalui aspek nilai
budaya misalnya dari aspek caragaya bercakap, penyiaran laporan media,
perhubungan melalui surat menyurat atau telefon dan elimen kesantunan dalam
membuat sesuatu keputusan bagi menghasilkan kesaksamaan dan kepuasan hati
kedua-dua pihak atau kesemua pihak yang sedang berbincang. Mengenainya, Joseph
(2011:106) menjelaskan bahawa hubungan bidang diplomasi dan budaya banyak
dikembangkan sejak beratus tahun dahulu melalui kegiatan bantuan biasiswa
pendidikan, pertukaran pelajar dan pegawai, persidangan, seminar dan saluran
informasi media massa. Malah, menurut
Jessica dan Mark (2010:13), hubungan diplomasi dan budaya telah menjadi satu
polisi penting sesebuah kerajaan dengan tujuan menyokong langkah sesuatu
kerajaan mengeksport budaya bangsa mereka agar dicontohi oleh bangsa lain
disamping dapat mencapai objektif dasar luar negara masing-masing.
KAJIAN
LANJUTAN MENGENAI DIPLOMASI BAHASA DAN BUDAYA
Menyedari pentingnya aspek bahasa dan budaya dalam bidang
diplomasi hubungan antarabangsa serta kekurangan bahan rujukan ilmiah dalam
bidang berkaitan, adalah wajar bagi kalangan ahli akademik, para pengkaji dan
pengamal dalam bidang berkaitan untuk mengadakan kajian lebih mendalam
berhubung perkara tersebut bagi menjawab persoalan kajian berikut;
1. Apakah bentuk diplomasi budaya yang telah dan akan dilaksana
oleh kerajaan Malaysia bagi memacu kejayaan negara dalam bidang diplomasi
bahasa dan budaya?
2. Apakah bentuk kerangka kegiatan diplomasi budaya diantara negara
Malaysia dengan negara Asean, Asia, Eropah, Afrika, Timur Tengah, Amerika Utara
dan Amerika Selatan?
3. Sejauhmana sumbangan kerajaan Malaysia dalam memartabatkan
bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa dengan tujuan menjana pembangunan
dalam bidang diplomatik, keselamatan, ekonomi, kesenian, pendidikan dan
kebudayaan?
4. Sejauhmana sumbangan kerajaan Malaysia dalam memartabatkan
budaya Malaysia sebagai alat perpaduan diantara pelbagai bangsa dan negara luar
di peringkat Asean, Asia dan juga dunia?
KESIMPULAN
Diplomasi, bahasa dan budaya saling berkaitan. Ia berkembang dan
berdaya maju melalui proses komunikasi yang berkesan melibatkan kalangan
pemimpin, diplomat, pendidik, peniaga, agamawan dan budayawan. Berkembangnya
sesuatu bahasa jelas diiringi dengan berkembangnya budaya sesuatu bangsa yang
kuat misalnya bangsa Inggeris, Sepanyol dan Peranchis. Ketiga-tiga bangsa
contoh tersebut terbukti melalui ilmu sejarah bahawa mereka datang ke negara
lain bukan sahaja untuk berdagang dan
menjajah, malah mereka berjaya
mengembangkan penggunaan bahasa, budaya dan agama mereka. Di Malaysia, ia
berlaku sejak tahun 1511 hinggalah tahun 1957, merujuk kepada kedatangan negara
bangsa penjajah seperti Portugal, British dan Jepun terhadap bangsa Melayu di
Semenanjung Malaysia dan pribumi Sabah dan Sarawak. Diplomasi bahasa terbukti
menghasilkan kemerdekaan bagi negara Malaysia manakala diplomasi budaya menjadikan tarian zapin, silat gayung, wayang
kulit dan baju batik dipelajari dan diguna amalkan oleh banyak bangsa di serata
dunia pada hari ini. Melalui kaedah diplomasi, masyarakat sesebuah negara
bangsa yang berbeza dapat bekerjasama, saling memerlukan dan menghargai,
belajar mempelajari bahasa dan budaya bangsa lain dan seterusnya dapat membina
kehidupan yang harmoni di dunia ini.
No comments:
Post a Comment