OLEH:
DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN
PAKAR KAUNSELING KELUARGA
TEL : 012 6650387
EMEL : abbaakba@yahoo.com
PENDAHULUAN
Ilmu
psikologi tingkahlaku penting untuk dipelajari oleh masyarakat kita. Ia bertujuan
mencegah krisis dan konflik dalam rumahtangga. Dengan adanya ilmu psikologi
tingkahlaku, membolehkan setiap pasangan membina sikap empati, toleransi dan
menerima kekurangan pasangan masing-masing dengan reda dan hati terbuka. Kelak,
akan wujudlah suasana komunikasi yang saling memaafi, spontan, mesra, harmoni
dan menerima tanpa syarat. Setiap pasangan akan sering terasa selamat, selesa
dan dihargai. Berhubung perkara
tersebut, dijelaskan bahawa diantara ilmu psikologi tingkahlaku yang perlu
dipelajari oleh kalangan ahli masyarakat kita sama ada sudah dan belum kahwin iaitulah
mengenai ilmu mekanisme bela diri.
MAKSUD MEKANISME BELA DIRI
Mekanisme
bela diri bermaksud proses tingkahlaku seseorang yang dilakukan bertujuan bagi
mengurangkan stress, kebimbangan dan ketidakyakinan diri. Ia boleh berlaku di
pelbagai lokasi misalnya di dalam rumah, di tempat kerja, di pusat membeli
belah, di dalam rumah ibadat dan seumpamanya.
Umumnya, mekanisme bela diri ini dilakukan secara tanpa sedar. Namun,
mempelajari dan memakari kaedah penggunaannya akan menjadikan seseorang suami
atau isteri itu hidup dalam ketrampilan, bijak berkomunikasi, arif untuk memberi
refleksi perasaan, perhatian dan pandangan terhadap lawan bicaranya ketika
bercakap sama ada di dalam mahupun diluar rumah.
Ironinya,
sesiapa sahaja dalam kalangan individu yang mempunyai kemahiran dan ilmu
mekanisme bela diri ini pada hemat saya akan punyai konsep kendiri yang kuat,
profesional dan miliki imej yang mampan. Jelasnya, orang yang profesional
menurut Prof. Hamka (1969) tidak mudah panik, bila bercakap penuh yakin, jika
dikritik dia terima dengan hati terbuka, kepercayaan kendirinya kukuh dan ilmu
pengetahuannya yang luas mengenai tingkahlaku manusia menjadikan dia sentiasa
berupaya menguasai diri dan persekitarannya.
JENIS-JENIS MEKANISME BELA DIRI
Berikut
adalah jenis-jenis ilmu mekanisme bela diri yang boleh dibaca, dipelajari, difahami
dan dipraktikkan dengan tujuan untuk mengelak krisis dan konflik dalam
rumahtangga. Malah, dengan mempelajarinya, seseorang itu akan bertambah cekap
dalam membina seni berkomunikasi terhadap pasangan masing-masing khususnya dan
anak-anak amnya demi pengwujudan institusi keluarga yang utuh bahagia sehingga
ke hujung nyawa. Ia adalah seperti
berikut;
1.
Represi
Iaitu seseorang itu berupaya membuang, melupus atau
melupakan pengalaman-pengalaman duka, pedih dan negatifnya pada masa lampau.
Misalnya pernah dihina, difitnah, gagal dalam pelajaran dan seumpamanya. Dengan
kejayaan melupa dan menyingkirkan perasaan dan kisah duka yang lampau,
seseorang itu akan lebih fokus membina kehidupan yang hebat pada masa sekarang,
hari ini dan akan datang. Pengajarannya ialah, sikap tidak yakin dan lemah
semangat akibat kisah silam yang buruk tidak membantu membina efikasi diri bagi
membina kejayaan dan kebahagiaan hidup berkeluarga pada masa depan. Setiap
orang pernah buat silap dan pernah alami kegagalan. Dengan melakukan represi,
akan timbul keyakinan, fokus diri dan motivasi dalaman diri yang hebat.
Kesannya, wajah menjadi lebih ceria dan imej diri akan kelihatan sihat
bertenaga. Pasangan pun seronok dan selesa lihat wajah anda yang ceria. Sebab
“nothing to hide”. Everything is ok.
2.
Sublimasi
Iaitu seseorang itu melepaskan tenaga, keinginan dan
nafsu seks berlebihan atau agresif dirinya kepada satu tindakan yang positif
dan bermanfaat buat diri dan orang lain. Misalnya dia lepaskan keinginannya
untuk mengamuk terhadap pasangan kepada aktiviti berfaedah misalnya melukis
gambar pemandangan, menulis lirik dan bait puisi yang menarik dan aktiviti
menghafal sesuatu fakta ilmu. Pengajarannya ialah dengan adanya kemahiran dan
kefahaman kaedah sublimasi ini, seseorang boleh menghindar dirinya daripada
perlakuan yang negatif seperti mengamuk, onani tanpa ruhsoh dan mencedera orang
lain. Sikap buruk jika dilihat orang, boleh mengakibatkan hilang rasa hormat
orang terhadap diri sendiri.
3.
Pembentukan
reaksi
Iaitu seseorang yang bersikap bertentangan
dengan perasaan dan hatinya sendiri bertujuan untuk mengelak krisis dan
konflik. Misalnya seorang isteri yang bersikap mesra dan melayan suaminya
dengan penuh hormat dan peduli, namun realitinya dia sangat marah terhadap
suaminya kerana terlalu boros berbelanja untuk membeli rokok dan pakaian
personal. Pengajarannya ialah dengan sikap menjaga imej luaran yang
manis,senyum dan mesra, ia boleh membantu wujudkan persekitaran keluarga yang
aman dan sentosa. Ketidakpuasan hati terhadap sikap negatif suami itu akan
dibincangkan pada hari lain, saat dirinya sudah tenang, rasional dan bersedia
untuk menasihat suami dengan penuh kasih sayang, bukan nak marah-marah
menengking.
4.
Projeksi
Iaitu sikap seseorang yang menyalahkan sesuatu perkara
atau orang lain kerana tidak boleh terima kelemahan atau kesilapan sendiri.
Misalnya seorang isteri yang menyatakan punca baju yang digosok itu koyak
adalah disebabkan alat penggosok itu sudah rosak. Sedangkan realitinya berpunca
daripada kecuaian isteri tersebut. Pengajarannya, sikap sebegini bertujuan
supaya mengelakkan dirinya daripada dimarah atau ditengking oleh suaminya. Dia
lebih arif dengan karektor suaminya. Justeru, dengan memberi alasan sebegitu,
dia selamat daripada tertekan dengan lidah tajam dan sikap baran pasangannya.
5.
Pindahgantian
Iaitu sikap seseorang yang marah kepada seseorang namun
dialihkan kemarahannya kepada orang lain yang tidak punyai kuasa berbanding
dirinya. Misalnya seorang isteri yang tengah marah kepada suaminya, namun
dialihkan kemarahan tersebut kepada sasaran lain iaitu kepada anaknya. Ia
bertujuan untuk mengurang dan melepaskan kemarahannya. Pengajarannya, setiap
pasangan berhak untuk bertindak sedemikian bagi mengurang dan menghilangkan
kemarahan. Namun, ia mesti dielak atau
jangan diulang selepas membaca tulisan saya ini bagi menjauhi sikap murung dan
kesedihan dalam kalangan anak-anak.
6.
Khayal
Iaitu sikap seseorang yang cuba atasi ketakutan atau
ketidakyakinan diri dengan mengkhayalkan suatu keadaan yang hebat, gemilang dan
pemberani. Ketika itu, lupalah dia akan
ketakutan atau ketidakyakinan diri yang sedang dialami hasil kaedah mengkhayalkan
suasana persekitaran yang positif itu. Misalnya, keadaan seseorang ibu atau
bapa yang sedang risau ketika menunggu keputusan peperiksaan UPSR anaknya di
sekolah. Maka dengan teknik khayal tersebut, ia boleh mereda dan menimbulkan
perasaan positif dalam nuraninya. Pengajarannya, kita memerlukan kemahiran
untuk mengurus emosi bagi mengelakkan stress mahupun kebimbangan. Dengan adanya
kemahiran khayal kendiri dalam menghadapi situasi yang mencabar, akan
membolehkan seseorang mampu terampil di hadapan masyarakat dengan imej yang
tenang. Ia bagus untuk mewujud suasana yang positif dan menjadikan orang
disekitar kita rasa selesa dan selamat, khususnya buat pasangan masing-masing.
7.
Identifikasi
Iaitu sikap seseorang yang suka mendekati, bergaul dan
berdamping dengan orang yang terkenal. Ia bertujuan bagi membina keyakinan
kendirinya disamping bertujuan mendapat penghormatan daripada orang lain yang
melihatnya.Pengajarannya ialah tidak salah jika seseorang suami atau isteri itu
berkawan dan berhubung baik dengan seseorang yang terkenal sama ada dalam kalangan
pemimpin mahupun selebriti. Namun, kita mesti ambil perhatian mengenai apakah
objektifnya. Perlu diingat, diantara isi dengan kulit, kita hendaklah
mengutamakan isi. Jika kulitnya sahaja kelihatan hebat namun isi kendiri
seseorang itu kosong atau tidak berilmu dan tidak berbakat, maka lambat laun
orang akan meluat dan tidak hormat. Ia boleh jadi ibarat sekadar melukut di
tepi gantang. Hidup segan mati tak mahu. Pengajarannya, setiap orang tidak
salah untuk mengguna pendekatan identifikasi ini namun biarlah diiringi dengan
niat yang baik, pastikan diri sendiri penuh ilmu di dada dahulu dan sedia
membantu diri sendiri dan orang lain yang memerlukan.
8.
Ganti rugi
Iaitu seseorang yang berusaha untuk menutup kelemahan dan
kekurangannya dengan suatu daya tindak usaha yang boleh menimbulkan rasa
teruja, hormat dan bangga orang lain terhadap potensi dirinya. Misalnya
seseorang suami yang sedar dirinya bertubuh pendek dan tidak berbakat dalam memasak,
sebaliknya dia berusaha sungguh-sungguh
untuk jadi pakar dan hebat dalam bidang kemahiran membaiki kereta dan
permainan catur. Dengan ilmu dan kemahiran tersebut, dia dapat banyak kejayaan
berupa sijil, hadiah dan wang ringgit. Implikasinya,
pihak isteri dan anak-anaknya menjadi bangga dan bertambah sayang kepadanya
dari semasa ke semasa. Pengajarannya ialah mengupaya diri dengan kemahiran
psikologi ganti rugi kendiri tidaklah salah. Namun, kita mesti pastikan sikap
kita bukan bergantung dengan puji-pujian orang lain. Jika kita terus bergantung
dengan pujian orang, dikhuatiri kita mengalami penyakit “gila pujian” dan ia
tidak baik untuk kesihatan hati sendiri.
9.
Penafian
Iaitu sikap seseorang yang tidak mahu menerima hakikat
akan kesilapan atau kelemahan dirinya sendiri. Sikap seseorang bagi mengguna
pendekaran “penafian” bertujuan untuk mengelak stress diri daripada menerima
kritikan, dipandang rendah dan hina. Pengajarannya, sikap seseorang bagi
menggunakan teknik berfikir secara “penafian” ada baiknya. Misalnya, seseorang
suami yang didapati gagal di dalam ujian memandu kereta tidak mengakui bahawa
dianya seorang yang cuai dan kurang cekap. Sebaliknya diberi “penafian” dengan
alasan faktor nasib tidak menyebelahinya. Justeru, dengan penuh yakin, bolehlah
pihak suami keluar duit dan buat ujian memandu sekali lagi sehingga berjaya
lulus.
10. Rosot kembali
Iaitu sikap seseorang yang memilih untuk bersikap seperti
keanak-anakan (macam perangai kanak-kanak). Ia bertujuan untuk memastikan
dirinya dapat perhatian, dimanja, tidak dibenci atau dimarahi. Misalnya sikap
seorang isteri yang memberi respon terhadap persoalan oleh suaminya “Mengapa
lauk ini tak sedap, masin dan macam ada sesuatu yang tak kena? Apa yang awak
buat di dapur?”. Lalu dijawab oleh si isteri dengan suara yang manja,
mengada-ngada dan keanak-anakkan. Natijahnya, si suami berubah sikap daripada
terlalu marah bertukar jadi senyum dan tak jadi marah, sebaliknya ketawa ghairah
gembira. Pengajarannya, sikap seseorang sama ada pihak suami atau isteri jika
menggunakan teknik “rosot kembali” dalam menghadapi sesuatu konflik atau
masalah dalam rumahtangga tidaklah berdosa atau lemah sifat sahsiahnya. Namun,
ia perlu dilakukan dengan niat yang baik. Niat dan seni komunikasi yang menarik
sangat penting bagi mengelak isu pihak suami atau isteri atau anak-anak bertambah
meluat atau kecewa.
11. Rasionalisasi
Iaitu sikap seseorang yang memberi alasan tertentu
bertujuan untuk merasional orang lain supaya bersetuju dan menyokong pendapat
dan keadaan dirinya sekarang. Misalnya, sikap seseorang suami yang memberi
alasan bahawa “semua suami diluar sana juga balik lewat malam ke rumah sebab
mencari rezeki yang halal”. Sedangkan realitinya, dia bukan lewat pulang ke
rumah kerana bekerja, sebaliknya melepak atau bersembang dengan rakan-rakan
sebayanya di restoren mamak diluar sana. Dengan alasan yang diberikan, dia
harap isterinya boleh terima dengan fikiran yang rasional. Pengajarannya,
bukanlah mudah untuk mengguna teknik “rasionalisasi” ketika memberi alasan
kepada pasangan masing-masing bagi mengatasi sesuatu masalah atau isu, termasuk
isu pulang lewat ke rumah. Kejujuran, keikhlasan dan kebertanggungjawaban
adalah kunci kepada kejayaan untuk mengguna teknik perhubungan perorangan ini.
Kebanyakan orang yang bijak tidak mudah terpengaruh dengan alasan yang tidak
rasional kerana kelemahan dari segi isi, fakta dan perasaan orang yang memberi
alasan tersebut.
KESIMPULAN
Ilmu mekanisme bela diri jelasnya sangat baik untuk
dipelajari dan difahami oleh setiap ahli masyarakat kita. Kita maklum bahawa
setiap orang ingin miliki pasangan yang ideal, penyayang, bertanggungjawab dan
kreatif dalam hal ehwal menjaga kebajikan, keharmonian dan keselamatan seisi
keluarga. Ia ditambah lagi dengan laporan oleh Majlis Kaunselor Sedunia bahawa
punca robohnya rumahtangga dan huruharanya sesebuah organisasi berpunca
daripada masalah komunikasi yang tidak berkesan. Maka jalan keluar bagi
membendung masalah dalam keluarga adalah ilmu psikologi komunikasi perorangan
ini iaitu “Teknik Mekanisme Bela Diri Bagi Menjana Komunikasi Yang Berkesan Di Dalam
Sesebuah Institusi Keluarga”. Realitinya, pen dan pisau jika dilihat dan diguna
dengan niat yang baik akan menghasilkan produk yang baik dan bermanfaat buat
semua orang. Sebaliknya, ia menjadi senjata membunuh dan menyakitkan tubuh
insan jika di guna dengan niat dan tindakan yang negatif. Begitulah dengan ilmu
mekanisme bela diri ini. Bacalah dan ambil pengajaran darinya. Setiap tindak
tanduk manusia jelasnya punyai mesej yang tersirat disebalik yang tersurat. Sesungguhnya
ilmu itu boleh datang dan pergi seiring dengan niat dan konsep kendiri kita.
No comments:
Post a Comment