Sunday, 28 January 2018

ADAB MENGHADAPI FITNAH LISAN










Oleh : Dr. Ahmad Kamal bin Ariffin, 012 6650387
Malaysia


PENDAHULUAN

Pada suatu hari, Nabi Muhammad SAW menyatakan kepada sahabatnya Muaz bin Jabal bahawa di dunia ini, terdapat tiga anugerah daripada Allah buat hambanya yang bertakwa. Pertama berupa anugerah pasangan hidup yang baik. Kedua orang yang baik. Dan ketiga kenderaan yang baik.

DILEMA SIKAP MANUSIA

Ada dalam kalangan warga kita merasa tidak selesa dengan orang lain. Mereka diuji dengan miliki orang yang tidak menepati piawai untuk menjadi orang yang baik. Misalnya suka memfitnah dan dengki dengan kelebihan yang kita ada. Ia lebih diburukkan lagi jika ia memberi kesan kepada keharmonian keluarga kita. Ia boleh menimbulkan rasa marah, benci dan tidak aman. Ia juga boleh memberi kesan kepada kerukunan institusi sesebuah keluarga.

Hakikatnya manusia lebih mengenali akal budi / peribadi ahli keluarga, adik beradik dan anak-anaknya sendiri. Jelasnya, anak adalah zuriat, harta dan amanah Allah. Anak adalah faktor yang boleh menjadikan ibubapa bahagia dan selamat hidup di dunia dan akhirat. Anak  yang soleh, doanya makbul dan boleh menyelamatkan ibubapanya di dalam alam barzakh. Anak yang soleh juga, akan menjadi penghibur hati setiap ibubapa ketika di dunia lagi. Misalnya cemerlang dalam sahsiah, kurikulum dan kokurikulum. Kecemerlangan anak-anak ketika di sekolah memberi impak positif kepada motivasi keibubapaan dalam kalangan ibubapa.

Begitulah juga adanya pasangan hidup, adik beradik, sahabat dan jiran yang mempunyai akhlak mulia. Mereka akan menjadi sumber inspirasi hidup yang membahagiakan ahli keluarga dan sesiapa sahaja yang hidup dengannya. Sabda Nabi Saw maksudnya “Sebaik-baik manusia ialah  mereka yang paling baik akhlaknya” – HR At Tabrani. Sembari itu, ada kata-kata pujangga Inggeris yang menyatakan seperti berikut “ Don’t live your life with hate in your heart. You’ll only be hurting yourself more than people you hate”.

MUHASABAH DIRI

Justeru, kita mesti tenang dan tabah dalam hadapi pelbagai rintangan hidup. Sebenarnya, setiap cabaran dan rintangan hidup ini, semua  daripada Allah. Allah bagi ujian  untuk kebaikan kita sebenarnya, Cuba kita banyakkan  muhasabah diri. Cuba kita koreksi diri untuk mengenalpasti punca setiap kejayaan dan kegagalan yang pernah kita alami. Kelak kita pasti merasa syukur tak terkata, betapa sebenarnya nikmat kebaikan yang telah Allah kurniakan kepada kita begitu besar. Kita pasti tidak mampu membalas segala jasa daripada Allah kepada kita. Firman Allah, maksudnya “Dan (Dia) menyempurnakan untukmu nikmat-Nya lahir dan batin” (Luqman: 20).

Berkata seorang Sufi bernama Muqatil, “Adapun (nikmat) yang lahir (nampak) adalah Islam, sedangkan yang batin adalah ditutupnya kemaksiatan yang dilakukan kalian.”

Kes kaunseling yang saya kendalikan banyak menyentuh isu kalangan ibubapa yang tidak mempercayai anak kandungnya sendiri. Jika kita sedang alami masalah sebegini, maka kita mesti semak dan nilai semula mengapa ibubapa kita tidak mempercayai kita? Tentu ada asas dan sebabnya. Adakah sebelum ini kita pernah melakukan sesuatu maksiat atau kemungkaran yang menjadikan ibubapa kita murka dan kecewa. Lalu apabila ada kalangan orang kita mengadu kepada ibubapa kita tentang sesuatu perlakuan kita yang negatif, maka adakah kita berhak merasa benci, marah dan tak puas hati? Jika sebegitu yang kita alami, apakah reaksi kita yang terbaik?

Di dalam ilmu kaunseling, ada disebut istilah mekanisme bela diri. Ada bukti dan kes kaunseling yang menunjukkan bahawa komunikasi perorangan dalam kalangan ahli masyarakat kita telah menunjukkan bahawa terdapat dalam kalangan manusia yang  “rasa tidak bersalah meskipun mereka telah membuat salah. Mereka berlakon seolah-olah mereka benar, baik dan bijak. Walhal kalangan orang dewasa  yang memerhatikannya sedar akan keburukan peribadinya. Justeru, aduan dibuat dengan objektif untuk mencegah  keburukan sikap negatif tersebut berpanjangan”. Terpulanglah kepada pihak berwajib untuk menanganinya.

STRATEGI MENGATASI MASALAH FITNAH

Namun, jika sebaliknya, maka saya  berikan strategi berikut bagi menyelesaikan konflik ini;

1.                  Kita  perlu membuat aduan kepada pihak yang berkepentingan. Bercakaplah dengan baik  dan jelaskan dengan hujah yang konkrit / berfakta bahawa kita adalah mangsa orang yang mulutnya jahat.
2.                  Kita wajib buktikan  yang diri  tidak bersalah. Seterusnya tunjukkan bukti bahawa orang itu berniat jahat dan ingin merosakkan keharmonian hidup orang lain.
3.                  Kita boleh guna perkataan seperti berikut;
           “Saya mengaku saya bukanlah insan yang sempurna. Namun saya berhak bercakap benar. Saya tidak lakukan perbuatan seperti yang dinyatakan olehnya. Saya tahu dosa yang besar jika membohongi ibubapa atau ahli keluarga saya sendiri”.
4.                  Boleh tunjukkan pernyataan positif  berupa ingatan daripada Allah Taala tentang hukum orang yang memfitnah dan orang yang tidak memeriksa terlebih dahulu sesuatu berita yang tidak jelas akan kebenarannya daripada seseorang yang lain;

Allah berfirman, maksudnya:-

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”. [Al Hujurat : 6].


KESIMPULAN

Marilah kita menilai pernyataan berikut. Tujuannya adalah untuk memuhasabah diri sendiri supaya boleh membina institusi diri dan keluarga yang aman damai, berkasih sayang dan mempercayai antara satu sama lain. Pernyataan tersebut berbunyi; “Wahai para penyebar berita palsu (fitnah)! Wahai para pendusta! Hai orang yang tidak senang melihat orang mukmin saling berbaik baik sehingga dipisahkan! Hai orang yang tidak suka melihat kaum mukmin aman! Hai para pencari aib orang yang baik! Tahanlah lidahmu, kerana sesungguhnya kamu akan diminta pertanggungjawaban kata-kata yang engkau ucapkan. Allah telah berfirman maksudnya;
“Tiada suatu ucapanpun yang diucapkan, melainkan ada padanya Malaikat pengawas yang selalu hadir”. [Qaf : 18].
Tahanlah lidahmu! Jauhilah perbuatan bohong dan janganlah menyebar fitnah! Janganlah menuduh kaum muslimin tanpa bukti, dan janganlah berburuk sangka kepada mereka! Seakan-akan aku dengan engkau, wahai saudaraku, berada pada hari kiamat; hari kerugian dan hari penyesalan. Sementara para seterumu merebutmu. Yang ini mengatakan “Engkau telah menzalimiku”, yang lain mengatakan “Engkau telah menfitnahku”, yang lain lagi mengatakan, “Engkau telah mengaibkanku”. Sementara engkau tidak mampu menghadapi mereka. Engkau mengharap kepada Rabb-mu agar menyelamatkanmu dari mereka, namun tiba-tiba engkau mendengar. Semoga Allah memberi taufik dan hidayah kepada kita semua. Sesungguhnya dengan hati, perasaan dan daya fikiran yang baik dan positif, insya Allah  kehidupan manusia akan bebas daripada penyakit jiwa dan kedukaan yang berpanjangan.  Amin.

Sunday, 21 January 2018

DEMI MASA




OLEH;
DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN
MALAYSIA




PENDAHULUAN

Definisi Pengurusan masa

Pengertian masa dari segi bahasa ialah waktu, zaman, saat dan detik. Dari segi istilah masa bermakna tika2 waktu atau zaman yang dilalui oleh individu yang menjalankan kehidupan. Dikaitkan dengan pengurusan masa, ia memberi  makna suatu ilmu yang berkaitan dengan teknik dan cara seseorang itu mengurus, membahagi dan mengatur masa sehariannya supaya dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

KEPENTINGAN PENGURUSAN MASA

Pengurusan masa penting kepada pelajar kerana penggunaan masa yang baik dapat mendisiplinkan kita dalam melaksanakan aktiviti spt pembelajaran. Disiplin yang dimaksudkan disini adalah kita mesti melakukan jadual harian, contohnya;
1.      Masa membaca buku atau mengulangkaji
2.      Waktu bermain atau beribadah
3.      Waktu menonton televisyen
4.      Waktu menyelesaikan kerja sekolah
5.      Waktu membantu ibu dan ayah
6.      Waktu menziarahi rumah kawan

Semua aktiviti yang disebutkan ini perlu dijadualkan dan dilibatkan berapa lamakah aktiviti atau perlakuan itu berlaku. Ianya perlukan disiplin yang jitu dari kita. Oleh itu, seharusnya kita harus memberi perhatian kepada kedua-dua perkara itu kuantiti dan kualiti masa yang kita gunakan.

PRINSIP ASAS PENGURUSAN MASA

1.      Mengubah tabiat lama yang negatif.
Tabiat lama selalu juga disebut habit. Tabiat yang negatif ini perlu dibuang dalam diri setiap individu. Jika selama ini kita merupakan seorang yang selalu menangguhkan kerja maka kita perlu mengambil perhatian terhadap perkara ini. Selalunya kita menangguhkan tugasan dan menyiapkan ‘last minute’. Tabiat seumpama ini perlu diubah. Oleh itu, kita mesti mengubah tabiat ini supaya lebih awal menyiap tugas2 agar pada waktu yang lain kita dapat memberi tumpuan yang lebih kepada aktiviti yang lain.

2.      Komunikasi
Komunikasi dapat memberikan implikasi yang besar jika kita tidak dapat menggunakan dengan berkesan dan terbaik. Contohnya, semasa guru tiada di dalam kelas, kita sering berbual-bual kosong dengan kawan2 tentang hiburan dan perkara yang sia-sia yang tiada kaitan langsung dengan pembelajaran. Ini sebenarnya satu pembaziran yang amat ketara dan merugikan.

Komunikasi intrapersonal biasanya ada dalam setiap individu. Komunikasi ini mengatakan seolah-olah soalan ini adalah bodoh. Maka penggunaan komunikasi intrapersonal yang negatif ini perlu di lawan dan di tentang. Oleh itu komunikasi intrapersonal ( bertanya guru ) dengan sebaik mungkin. Dengan membuang komunikasi intrapersonal yang negatif itu maka wujudlah keyakinan dalam diri.

3.      Penumpuan
Selalunya kita akan berasa bosan dan jemu apabila perkara tersebut berkaitan dengan pelajaran. Kita jarang memberi tumpuan terhadap pelajaran yang diberi oleh guru. Namun apabila bercerita tentang hiburan, tumpuan akan diberi sepenuhnya walaupun dalam keletihan. Oleh itu pengubahsuaian suasana perlu diubah supaya kita dapat memberikan konsentrasi dalam pelajaran dan gangguan lain perlulah dielakkan.

4.      Rehat
Manusia perlulah berehat dalam setiap perkara. Rehat adalah factor penting dan sering dikaitkan dengan tidur. Contohnya kita perlu berehat selama 15 minit pada waktu tengahari untuk mengembalikan kecergasan. Justeru itu pengurusan waktu rehat dengan tidur adalah penting untuk pembelajaran yang berkesan.

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan dapat disimpulkan bahawa pengurusan masa yang baik adalah penggunaan masa yang berkualiti. Kualiti masa dapat dicapai dengan adanya prinsip asas bagi kita menguruskan masa. Justeru itu ia akan menjadikan sesuatu pembelajaran itu lebih berkesan dan bermakna.



TEKNIK PENGURUSAN MASA

1. Menggunakan “ Rancangan Bertindak “

Rancangan Bertindak dikaitkan dengan susunan tugasan dan tanggungjawab yang perlu dilakukan pada hari itu mengikut keutamaan. Sebagai contoh MESTI dilakukan MAHU dilakukan. Kemudian cuba habiskan perkara yang anda ingin lakukan mengikut keutamaan. Jika anda tidak sempat menghabiskan kerja anda untuk hari tersebut, catatkan aktiviti yang belum dijalankan pada kertas baru untuk keesokkan harinya. Ulang perkara yang sama apabila anda hendak memulakan kerja pada hari esok.

2. Menghapuskan tabiat “ Tangguh dan tunggu “ dengan mengingati 3 perkara di bawah:
A.     Kelmarin sudah berlalu
B.     Esok masih belum berlalu
C.     Hari ini peluang masih ada
3. Penuhkan masa lapang
Masa lapang boleh dipenuhi semasa menunggu bas, dalam perjalanan, semasa menunggu giliran di pejabat pos dan sebagainya untuk melakukan kerja ringan seperti membaca , menulis nota atau setidak-tidaknya berfikir.

4. Tahu dan pandai untuk mengatakan “ Tidak “
Perkataan tidak perlu digunakan pada perkara yang nada anggap boleh mengganggu rutin harian anda.

5.      Merancang jadual waktu belajar dan harian
Perancangan jadual waktu adalah penting dalam kehidupan. Tujuan perancangan jadual waktu dibuat agar hidup kita lebih tersusun dan bermakna.


PENGURUSAN MASA DAN STRATEGI PEMBELAJARAN

1. Sikap yang positif
Pelajar tidak mungkin berjaya sekiranya mereka tidak ada dorongan yang kuat terhadap kejayaan. Mereka adalah sentiasa bersikap positif terhadap hidup dan berjuang ke arah kecemerlangan. Sikap takut dan belajar ala kadar merupakan resipi ke arah kegagalan.

2. Disiplin masa
Proses pembelajaran memerlukan disiplin kerja dan pengurusan masa dengan baik dan teratur. Seseorang itu tidak mungkin lulus dengan cemerlang tanpa sesuatu perancangan masa yang baik.

3. Merancang Penggunaan Masa
Pelajar perlu faham bahawa skop kurikulum sekolah pada masa ini agak luas. Banyak perkara yang perlu dipelajari pada waktu yang singkat. Oleh itu, pelajar perlu merancang untuk menjimatkan masa belajar, mengurangkan tenaga yg diperlukan untuk belajar di samping dapat menjalankan aktiviti belajar dengan cara efisien.

4. Mendahulukan yang utama
Melalui perancangan, pelajar dapat mengimbangan pengagihan masa belajar mengikut jumlah masa yang ada. Pelajar tidak sepatutnya memberi tumpuan yang berat kepada kurikulum sekolah dan mengabaikan aktiviti kokurikulum yang lain.




5. Tabiat dalam bilik darjah
Pelajar yang suka berkhayal dalam bilik darjah dikenali sebagai “ ponteng psikologi “. Dengan itu, persediaan yang cukup harus dilakukan dalam bilik darjah untuk meningkatkan daya ‘kesegaran’ dalam pembelajaran.

6. Bagaimana membuat persediaan pembelajaran
Penyelidikan di Amerika Syarikat telah mendapati bahawa pelajar-pelajar yang bersedia untuk menghadapi pelajaran di bilik darjah akan meraih kecemerlangan dalam peperiksaan. Mereka bukan sahaja bersungguh-sungguh, tetapi juga membuat persediaan.

7. Gunakan perpustakaan dan pusat sumber
Ramai di antara pelajar yang menggunakan perpustakaan untuk membaca buku atau membuat temujanji sahaja. Penggunaan perpustakaan atau pusat sumber ini dengan sebaiknya akan mendatangkan banyak manfaat kepada pelajar.

8. Jaga kesihatan anda
Badan yang lemah dan kesihatan mental yang terganggu tidak dapat membantu untuk mencapai kejayaan. Langkah-langkah berikut dapat membantu anda:

I.   Sentiasa bersikap tenang
II.  Makanan yang berkhasiat
III. Senaman yang berterusan
IV. Bersikap positif dan rasional
V.          Riangkan hati dan senyum


PENGURUSAN MASA MENURUT ISLAM

Islam menggesa supaya masa digunakan dengan baik dan sentiasa diawasi kerana dalam setiap masa ada kelebihannya yang tersendiri. Setiap individu hendaklah memperuntukan masa seperti berikut :

I.   Masa beribadat kepada Allah-sembahyang, puasa, zakat, haji dan lain-lain
II.  Masa bekerja-mengikut bidang pekerjaan masing-masing dan tidak bercanggah dengan syariat Islam.
III. Masa untuk menambahkan intelektual-melalui pembelajaran formal atau tidak, pembacaan, pendengaran, pembincangan, menghadiri majlis ilmu.
IV. Masa bekeluarga-capai kebahagiaan bergantung kepada kebijaksanaan menguruskan masa
V.  Masa bermasyarakat dan bersosial-gotong-royong, bersukan, berpersatuan, kerja amal dan sebagainya.
VI. Masa berehat-memulihkan tenaga dan fikiran bagi meneruskan kehidupan.

PENUTUP

Secara kesimpulan, sikap menangguh kerja ini dilakukan kerana beberapa faktor;

·         Tidak sukakan kerja yang dipertanggungjawabkan
·         Sikap bosan
·         Sikap malas
·         Takut kerana tidak tahu melakukan kerja berkenaan
·         Takut akan kegagalan
·         Berasa tugas itu sesuatu yang sukar
·         Takut kerana tugas itu sesuatu yang baru baginya
·         Berasa tugas berkenaan tidak penting.