Oleh :
Dr. Ahmad Kamal bin Ariffin, 012 6650387
Pengasas
Pusat Asuhan Pertiwi
Malaysia.
PENDAHULUAN
Diantara ciri utama kemahiran keibubapaan yang terbaik mengikut perspektif Islam dan juga selari dengan ilmu kaunseling keluarga ialah sikap kasih sayang dan empati. Dengan sikap kasih saying dan empati, setiap kelemahan dan kelebihan sikap dalam kalangan kanak-kanak akan dilihat secara ihsan. Dengan sikap ihsan, ibubapa dan penjaga akan mudah memberi ruang dan peluang kepada kalangan kanak-kanak seluruh negara berkembang matang dan celik ilmu tanpa lempar salah, hinaan, nistaan dan kebencian. Bak kata orang Inggeris “Keep calm and do not teach your children to hate”.
HAK KANAK-KANAK
Di dalam agenda Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Sedunia, dinyatakan dengan jelas bahawa diantara hak kanak-kanak sedunia adalah mereka berhak membuat salah dan menerima bimbingan dengan kasih sayang lantaran salah silap yang telah dilakukan oleh mereka. Kanak-kanak memang sikapnya cenderung mengikut rasa, perasaan dan emosional. Mereka cenderung tersilap dalam berkomunikasi misalnya menipu untuk selamat, bertangguh kerja kerana untuk berseronok dengan kawan-kawan dan cenderung meniru watak-watak protagonis dan antagonis yang mereka minati di dalam rancangan-rancangan filem di kaca televisyen mahupun di pawagam.
Berhubung dengan perkara ini, jelasnya tiada seorang pun kanak-kanak yang dipinggirkan dan semua kanak-kanak mempunyai empat hak utama iaitu;
1. Hak kehidupan
Semua kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup. Mengenainya, orang dewasa hendaklah memelihara kanak-kanak agar mereka boleh hidup dan membesar dengan persekitaran yang terjamin 3 K (Kesihatan, Kebersihan dan Keselamatan).
2. Hak perlindungan
Orang dewasa khususnya ibubapa dan penjaga hendaklah memberi perlindungan kepada kanak-kanak. Perlindungan ini mencakupi aspek pendidikan pencegahan dari segi (dadah, rokok, pergaulan bebas, maksiat mata, bermain alat elektronik tanpa kawalan dan budaya hidup hedonism).
3. Hak perkembangan
Orang dewasa khususnya ibubapa dan penjaga hendaklah memberi perhatian dari aspek perkembangan anak-anaknya mencakupi hak;
3.1 Mendapat pendidikan formal di sekolah
3.2 Melakukan kegiatan sukan permainan dan badan beruniform
3.3 Menyertai program motivasi dan lawatan sambil belajar anjuran pihak sekolah dan PIBG
Kegiatan dan program perkembangan sama ada anjuran pihak sekolah mahupun komuniti masyarakat boleh membina keseimbangan kanak-kanak dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
4. Hak penyertaan
Orang dewasa khususnya ibubapa dan penjaga hendaklah memberi ruang dan peluang kepada setiap anaknya untuk hidup bermasyarakat. Jangan bersikap mengongkong kerana kanak-kanak itu mempunyai pelbagai kod personaliti berbeza misalnya ada yang bersifat Realistic, Investigative, Artistic, Social, Enterprising dan Conventional. Maksudnya, setiap kanak-kanak perlukan kemahiran bersosial untuk mengelak diri daripada penyakit;
4.1 Tidak yakin diri
4.2 Mudah tertekan
4.3 Tidak ada kemahiran bergaul
4.4 Takut untuk mempertahankan pendapat
4.5 Takut untuk memberi pendapat
4.6 Tidak berdaya memimpin diri dan orang lain
4.7 Gagal menguasai persekitaran sosialnya.
KEMAHIRAN MENDIDIK ANAK-ANAK
Mendidik anak-anak biarlah dengan niat baik, ilmu dan jiwa. Ada satu kata hikmat orang Barat yang berbunyi “ The way we talk to our children becomes their inner voice”. Jika kita mendidik anak secara kasar, ikut perasaan dan marah-marah, maka dikhuatiri anak-anak cenderung untuk berkembang menjadi seorang remaja yang pembengis, pemberontak dan bersikap ganas di sekolah.
Menurut definisi Akta Kanak-kanak (2001) iaitu “kanak-kanak adalah merupakan seseorang yang berusia di bawah umur 18 tahun”. Jelasnya, kanak-kanak itu terlalu perlukan teladan yang baik. Mereka masih mentah, kurang pengalaman hidup dan tidak masuk akal untuk kalangan ibubapa berkhayal bahawa anak-anak akan automatik jadi;
1. Berakhlak tanpa teladan ibubapa
2. Berilmu tanpa motivasi dari ibubapa
3. Berkasih sayang tanpa sikap lemah lembut dan santun didik hibur oleh ibubapa
4. Gaya hidup beragama tanpa amalan bersolat jemaah pimpinan seorang bapa yang takutkan Allah dan kasihi Rasulnya
5. Cermat dalam berbelanja tanpa ingatan berterusan pentingnya cermat berbelanja oleh ibubapa
Untuk membentuk karakter unggul dalam diri anak-anak, pihak ibubapa perlu;
1. Membawa anak-anak bersolat jemaah
2. Selepas solat berjemaah, sekali sekala, pihak bapa bolehlah beri tazkirah berupa nasihat yang baik-baik. Misalnya ingatkan anak agar bercakap benar, bertaubat jika melakukan sebarang dosa dan minta ampun kepada tuhan dan juga kepada orang lain termasuk ibubapa jika telah berlaku salah silap.
3. Memantau pergerakan dan aktiviti anak-anak misalnya ambil tahu jadual akademik hariannya di sekolah dan dirumah.
4. Memantau pembelajaran anak-anak di sekolah dan di rumah.
5. Membawa seisi keluarga membuat mesyuarat untuk berbincang dan merancang pelbagai program keluarga yang boleh memantapkan lagi sahsiah dalam kalangan ahli keluarga dan juga pengalaman komunikasi setiap ahli keluarga terhadap orang lain dan juga alam persekitarannya.
6. Menekankan nilai-nilai keagamaan di dalam sanubari dalam kalangan anak-anak, dengan tujuan agar masa depannya disayanggi orang ramai, berkat daya kepimpinan dan kemahiran komunikasi yang berkualiti.
7. Ingatkan sentiasa setiap ahli keluarga, bahawa bercakaplah benar meskipun perit, kerana ia adalah tuntukan agama.
8. Kembang tumbuhkan sikap ikhlas, empati dan ihsan dalam jiwa nurani anak-anak bertujuan membentuk konsep kendiri yang unggul.
Saya coretkan juga disini pesanan Luqmanul Hakim (Anak saudara kepada Nabi Ayub a.s) buat anak kesayangannya yang berbunyi;
“Wahai anakku
Apabila engkau sedang solat maka jaga baik-baik fikiranmu,
Apabila engkau berada di rumah orang lain maka peliharalah pandangan mu,
Apabila engkau berada ditengah-tengah majlis maka engkau jagalah lidahmu,
Apabila engkau hadir di majlis jamuan makan maka jagalah akhlakmu,
Ingatlah kepada Allah,
Lupakanlah baik budi mu kepada orang lain,
Lupakanlah segala kesalahan orang lain terhadap diri mu,
Ingatlah sentiasa kepada kematianmu”.
KESIMPULAN
Pepatah Melayu ada menyatakan, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Mendidik anak-anak, memerlukan iltizam dan disiplin yang tinggi. Namun, meskipun kasih dan sayang selaku ibubapa tinggi menggunung sekalipun, bukanlah sehingga sanggup berhutang gadai kononnya untuk kesempurnaan hak anak-anak. Biarlah berpada dalam memberi kecukupan kebajikan anak-anak disampai ambil peduli kata-kata bijak pandai seperti berikut “ Mendidik anak bukanlah hingga memberikan yang terbaik dalam kelebihan harta tetapi memberikan yang terbaik dalam kesederhanaan hidup beragama”.
No comments:
Post a Comment