OLEH : Dr. Ahmad Kamal bin Ariffin
PENGISIAN
Pada suatu ketika, baginda Nabi Muhammad Saw telah berpisah
selama sebulan daripada isteri-isteri baginda. Ia berlaku kerana salah seorang
daripada isteri baginda telah menyinggung perasaannya. Maka selama sebulan baginda
tinggal berseorangan dalam sebuah bilik di masjid. Kemudian, suatu khabar angin
telah tersebar dalam kalangan para sahabat yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad
Saw telah menceraikan isteri-isterinya. Apabila Umar R.A mendengar khabar angin
itu, dia pun berlari ke masjid. Setibanya di masjid ia dapati sahabat-sahabat Nabi
Saw sedang duduk termenung dengan kesedihan jelas terbayang di wajah mereka. Meninggalkan
mereka, Umar terus berjalan ke rumah anaknya Hafsah R.A yang menjadi isteri
Nabi Saw. Dia dapati Hafsah R.A menangis-nangis di dalam biliknya. Dia bertanya;
Mengapa kamu menangis? Bukankah selama ini aku telah melarang kamu supaya
jangan melakukan sesuatu yang mungkin menyinggung perasaan Nabi Saw?”.
Kemudian dia berjalan ke masjid sekali lagi. Kelihatan olehnya
beberapa orang sahabat sedang menangis berdekatan dengan mimbar. Di sini dia
duduk bersama-sama sahabat yang lainnya. Tetapi oleh kerana terlalu sedih, dia
bangun lalu berjalan ke arah bilik Nabi Saw yang terletak di tingkat atas
masjid itu. Lalu dia mendapati Rabiah R.A, seorang hamba, sedang menduduki
tangga ke bilik itu. Melalui Rabiah R.A, dia meminta izin hendak berjumpa
dengan Nabi Saw. Nabi tidak melahirkan sepatah kata pun sebagai menjawab permintaannya.
Permintaannya untuk menemui Nabi Saw dibuat beberapa kali dan hanya pada kali
yang ketiga sahaja baharu Nabi mengizinkan dia naik. Apabila dia masuk, dia
dapati Nabi Saw berbaring di atas sekeping tikar yang diperbuat daripada daun
pohon tamar. Kesan-kesan tikar itu jelas kelihatan pada kulit badan Nabi Saw.
Berdekatan dengannya pula terdapat sebuah bantal yang diperbuat daripada kulit
binatang yang disumbat dengan kulit-kulit pohon tamar.
Umar R.A bercerita;
“Saya menyampaikan salam kepadanya lalu bertanya : Sudahkah tuan
menceraikan isteri-isteri tuan?”. Baginda Nabi Saw menafikan perkara itu. Saya
berasa lega sedikit dan sambil berseloroh saya mengatakan; “Ya Rasullullah,
kita kaum Quraish selamanya telah menguasai wanita-wanita kita. Tetapi keadaan
berlainan sungguh dengan orang-orang Ansar. Mereka dikuasai oleh wanita-wanita
mereka sehingga wanita-wanita kita telah terpengaruh”. Nabi tersenyum mendengar kata-kata saya yang
lucu. Kemudian saya memerhatikan keadaan di dalam bilik itu. Saya lihat ada
tiga keping kulit binatang yang telah disamak dan sedikit barli di suatu sudut.
Selain daripada itu tidak ada sesuatu apa pun.
Saya lalu menangis. Lalu Nabi Muhammad Saw bertanya : Mengapa kamu
menangis? Saya menjawab : “Betapa tidak, ya Rasullullah. Saya sedih melihat
bekas-bekas tikar yang tuan tiduri di badan tuan dan sedih melihat keadaan
bilik ini. Semoga Allah mengurniakan tuan dengan bekalan-bekalan yang lebih
banyak. Orang-orang Parsi dan Romawi yang tidak menyembah Allah mempunyai raja
yang hidup mewah. Mereka hidup ditaman yang ditengah-tengahnya mengalir
anak-anak sungai sedangkan Pesuruh Allah hidup
dalam keadaan serba miskin. Semasa saya mengeluarkan kata-kata tersebut,
Nabi saw sedang bersandar dibantalnya. Kemudian baginda dengan serta merta
bangun lantas berkata “Wahai Umar, nampaknya kamu masih dalam keraguan. Kesenangan
dan keselesaan hidup yang bakal kita perolehi di akhirat nanti sudah tentu
lebih baik daripada apa yang terdapat di dunia ini. Kalau di dunia ini mereka
hidup mewah, keadaan akan berubah di akhirat kelak. Di sana kita yang akan
menikmati segala-galanya”. Mendengar kata-kata Nabi Saw saya berasa kesal lalu
berkata “Ya Rasulullah, berdoalah kepada Allah agar Allah mengampuni saya. Saya
telah bersalah dalam hal ini.
Sembari itu, seorang hamba Allah telah bertanya kepada isteri
baginda iaitu Aishah R.A mengenai tikar-bantal Rasullullah Saw.
Maka Jawab Aishah R.A ; “Ianya
terdiri dari sebuah bantal yang diperbuat daripada kulit binatang yang diisikan
dengan kulit-kulit pohon tamar”.
Soalan yang sama dikemukakan kepada Hafsah R.A. Dia menjawab “Ianya
terdiri dari sehelai kain terpal yang dilipat dua. Pada suatu hari, untuk
memberi keselesaan buat baginda Nabi Saw tidur, saya telah menghamparkan kain
itu berlipat empat. Pada keesokkan paginya itu baginda bertanya; “Apakah yang
awak hamparkan untuk saya malam tadi?”. Maka saya menjawab “Kain yang sama
tetapi berlainan lipatannya.” Lalu baginda berkata “Lipatkanlah seperti dahulu.
Keselesaan yang bertambah itu akan menghalangkan Tahajud”.
RUMUSAN
Demikianlah kisah Nabi Muhammad Saw yang menunjukkan betapa kita
perlu mencontohi akhlak baginda. Dunia ini tempat untuk kita beribadat. Dunia
ini tempat untuk kita buktikan kepada Allah bahawa kita hambanya yang bertakwa.
Allah akan membalas keadaan hidup yang luar biasa penuh nikmat dan ia
berkekalan selama-lamanya di akhirat kelak. Andai keadaan kita hidup di dunia
ini serba kekurangan, maka bersyukurlah. Sebab keadaan hidup baginda Nabi
Muhammad Saw sendiri memilih untuk zuhud, kurang makan dan jauhi diri daripada
kemewahan. Kekurangan makan minum dan tempat tidur pada Nabi Muhammad Saw
membantu baginda untuk gigih merintih, merayu, berdoa dan memohon ampun dan rahmat
daripada Allah Azza Wajalla. Kasihanilah sikap para saudara kita di Malaysia
yang hidupnya serba mewah kaya raya serba makan pakai cukup tetapi kita risau
amal ibadah mereka kurang. Paling kita risau hidup mereka penuh noda dan dosa
pula. Mungkin para masakin dan amilin yang kita lihat hidup serba dhaif,
makanan kurang, kenderaan buruk ditambah rumah mereka kecil, namun amal ibadah
mereka amat tinggi dan mereka amat dikasihi Allah pula, kesan sikap tawaduk dan
takwa.
No comments:
Post a Comment