Wednesday, 1 May 2019

ILMU PENGETAHUAN ASAS MEMBINA JATI DIRI DALAM KALANGAN ANAK-ANAK


OLEH :

DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN 

PENDAHULUAN

Anak-anak bakal menjadi pemimpin pada masa depan. Jika kita ingin melihat bagaimana keadaan rupa kepimpinan kendiri dalam kalangan anak-anak  kita pada masa depan, maka kita tengoklah keadaan anak-anak kita hari ini. Ia ibarat seperti kita melihat akan sepohon pokok. Sepohon pokok itu hakikatnya menjadi sumber kebajikan kepada mahkluk. Ia sama ada dari kalangan manusia mahu pun haiwan. Sepohon pokok dengan melalui benih yang baik, kemudiannya akan berkembang tumbuh menjadi akar tunjang yang kuat. Itulah asas penting bagi tumbuhnya sepohon pokok. Ia merupakan satu analogi kepada proses perkembangan jati diri setiap insan.

MEMBUDAYA SEMANGAT CINTAI ILMU PENGETAHUAN

Asas utama bagi memiliki jati diri unggul ialah ilmu pengetahuan. Rasullullah Saw telah bersabda maksudnya;

“Orang yang paling baik antara kamu ialah mereka yang mempelajari Al Quran dan mengajarnya kepada orang lain.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Al Quran adalah peliti ilmu. Al Quran adalah panduan hidup yang telah diturun oleh Allah buat sekalian manusia. Untuk maju dan selamat hidup di dunia dan akhirat, setiap manusia mesti ikut panduan yang telah digazet oleh Allah di dalam al Quran. Jelasnya, diantara ilmu yang mesti diberi penekanan terhadap anak-anak ialah belajar bahasa Arab kerana dengan nya kita dapat memahami maksud Al Quran.  Dengan ilmu bahasa Arab, kita dapat mengetahui maksud kebanyakan kitab-kitab ilmu agama Islam yang telah ditulis oleh kalangan ulamak muktabar di dalam bahasa Arab. Bahasa Arab juga adalah  bahasa yang mesti digunakan ketika kita solat. Sembahyang tidak boleh dilaksana dengan mengguna bahasa selain daripada bahasa Arab. Ibrahnya ialah jati diri kita akan terbina dengan penguasaan ilmu yang bersepadu melalui ibadah solat.

Ilmu-ilmu lain yang perlu dikuasai ialah ilmu tentang  Ulum Al Quran, Ulum Al Hadis, sejarah Nabi Muhammad  SAW, perundangan dalam Islam, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Kejuruteraan, Kesihatan dan seumpamanya. Dengan ilmu pengetahuan yang mantap akan lahirlah modal insan yang berketerampilan dan mempunyai jati diri yang unggul. Manusia menjadi kelihatan unggul kerana miliki imej yang mantap daris segi pencapaian akademik, bakat istimewa, kepakaran, sumbangan terhadap negara dan seumpamanya.

Seorang cendikiawan bernama Mustafa Mashur (1989) telah menyatakan bahawa untuk memiliki jati diri, seseorang itu perlu menguasai dan mendalami ilmu pengetahuan seperti berikut;

“Ia hendaklah mendalami ilmu agama serta berusaha untuk menambahkannya dan memahami masalah-masalah yang berlaku dalam kalangan orang Islam serta sentiasa menyebarkan pengetahuan dan kepakarannya. Ia hendaklah juga memantapkan bidang pengkhususannya...”

Allah Taala telah berfirman  (Al Zumar : 9) maksudnya;

“Katakanlah Wahai Muhammad apakah sama antara mereka yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui”.

Anak-anak yang memiliki jati diri unggul lazimnya mempunyai karakter yang sentiasa mengamalkan ilmu yang telah dipelajarinya. Ia selari dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud;

“Tidaklah seseorang itu dipanggil alim sehingga amalannya menurut   ilmunya.”    (Sahih Muslim)

MEMBACA MENJANA JATI DIRI UNGGUL

Membaca adalah jambatan ilmu. Dengan membaca, manusia berkembang tumbuh untuk menjadi insan yang berkarisma dan miliki jati diri.  Pelajar yang tekun dan berfokus midannya untuk menuntut ilmu umumnya miliki jati diri unggul. Ironinya, insan yang memiliki jadi diri tidak mudah terpedaya dengan gejala negatif orang lain dan tidak mudah terpengaruh dengan bisikan nafsunya. Penekanan tentang kepentingan amalan membaca bagi menjana jati diri unggul ini ada ditegaskan oleh Allah di dalam Al Quran (Surah Al Alaq : 1-5) yang bermaksud;

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan engkau yang menciptakan (sekelian makhluk). Dia mencipta manusia dari segumpal darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang maha pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dan mengajar manusia apa yang mereka tidak ketahui”.

Membaca adalah berkaitan rapat dengan maksud belajar. Dengan membaca, kita belajar memahami dan mengetahui banyak perkara sama ada yang telah berlaku ataupun belum berlaku. Bagi menjelaskan lagi, menurut Imam al Ghazali,  bahawa teknik belajar yang berkesan adalah seperti berikut;

1.      Banyakkan diam
2.      Fokuskan diri dengar
3.      Berusaha untuk faham
4.      Sentiasa membina amal
5.      Tidak lokek untuk sebar

Jelasnya, apabila seseorang pelajar berada dalam majlis ilmu di dalam kelas bersama seseorang guru, maka hendaklah dirinya diam sambil mendengar kata bicara guru. Seterusnya mesti fokus akan perhatian minda dan hatinya semasa menuntut ilmu. Ia bertujuan agar mudah memahami intipati pengajaran dan pembelajaran bersama guru. Manakala setelah faham akan sesuatu pelajaran, hendaklah diamalkan sama ada dengan cara mengulang-ulang sebut ataupun latihan yang berterusan. Apabila telah yakin dan sedar akan dirinya telah menguasai akan sesuatu topik pembelajaran, maka alangkah baiknya akhlak seseorang pelajar itu untuk berkongsi kemahiran dan ilmu bersama rakan-rakan sebayanya yang lain dengan menyebarkannya secara ikhlas dan kasih sayang. Ilmu pengetahuan menurut Saidina Ali bin Abi Thalib k.w sifatnya unik. Ilmu pengetahuan jika dikeluarkan akan bertambah, sebaliknya harta jika dikeluarkan akan berkurang.

Jati diri adalah terkait dengan sifat, sahsiah, perwatakan, personaliti dan karisma seseorang. Orang yang miliki jati diri unggul pula adalah merujuk kepada imej seseorang yang miliki persona yang hebat seperti berikut;

1.      Berwajah manis, tenang dan menawan. Meskipun kulitnya hitam, namun dia tetap dilihat menawan lantaran seri mukanya, bersih halus kulitnya, senyuman terukir tanda bahagia dan lirik matanya redup menyerlahkan keluhuran hatinya.
2.      Tutur katanya teratur, lontaran ideanya penuh tertib dan caragaya komunikasinya ringkas tetapi mantap, intonasinya sederhana namun sedap untuk didengar.
3.      Gerak tangan dan kakinya sentiasa terbuka dan bersahaja. Dia berjalan dengan langkah yang tenang dan jelas hala tujunya.
4.      Dia seorang pendengar yang setia dan sentiasa mengangguk tanda hormat dan memotivasi akan orang yang menjadi lawan bicaranya.
5.      Kalimat ucapannya sentiasa menyandarkan rasa syukur kehadrat tuhan. Mendorong orang lain yang berbicara dengannya agar beringat bahawa segala perkara sama ada baik atau buruk semuanya ada hikmah dan segalanya datang daripada kehendak tuhan.

Dengan adanya 5 trait dimensi jati diri di atas, seseorang itu akan mengekalkan imej seorang yang berjati diri dengan nilai positif keberkatan hidup berikut;

1.      Hidupnya bertambah senang pada hari ini berbanding semalam dengan keadaan semakin bertambah bertakwa
2.      Dia kekal istiqamah dengan jati diri yang yang unggul tersebut

Dengan adanya jati diri, seseorang tidak mudah terpengaruh dengan elimen-elimen hidup zaman moden kini yang boleh menjerumus seseorang remaja mahupun belia ke dalam situasi negatif berikut;

1.      Fanatik dengan fesyen namun apologetik terhadap mencari duit (Duit maksudnya doa, usaha, ilmu dan tawakal)
2.      Fanatik dengan kecantikan zahir namun apologetik terhadap kecantikan batin (iman dan jiwa)
3.      Fanatik dengan hiburan sukan namun apologetik terhadap amal ibadah
4.      Fanatik dengan wang ringgit namun apologetik terhadap belajar dahulu sebelum bekerjaya.
5.      Fanatik dengan politik namun opologetik terhadap makna melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sebelum betul-betul terjun dalam berpolitik, wajib dahulu betul-betul faham ilmu akidah, syariah, muamalat, fekah dan siasah ummah.

STRATEGI MEMBENTUK BUDAYA MENCINTAI ILMU

Hendaknya, setiap kalangan ibubapa mesti menunjukkan minat membaca  yang positif di dalam rumah masing-masing. Tidak dinafikan betapa fitrah semua wanita di atas muka bumi ini suka akan kecantikan, kebebasan berbelanja dan melancong ke pelbagai destinasi yang menarik di seluruh dunia. Namun, setiap impian ada syaratnya. Begitu jugalah setiap barang, ia ada nilainya yang tersendiri. Tanpa keupayaan kewangan, kita akan terjerumus ke arah krisis emosi, nilai dan perasaan.

Membaca jambatan ilmu. Membaca adalah obor hemah. Orang berilmu lebih mulia disisi Allah berbanding yang tidak berrilmu. Malah, orang berilmu sering dikaitkan dengan sikap yang sopan, berbudi bahasa, tawaduk, tidak pemarah sebaliknya penyayang. Berikut disertakan panduan berguna untuk membentuk budaya mencintai ilmu;

1.      Ibubapa menunjukkan sikap suka membaca buku dan membawa anak-anak menghadiri majlis ilmu misalnya di surau, masjid, jemputan dewan orang ramai dan pelbagai agensi kerajaan mahupun NGO (Non Government Organisation) yang mengadakan seminar atau ceramah ilmu bertema misalnya bidang pendidikan kesihatan, motivasi kerjaya, pencegahan dadah dan inhalan, keluarga penyayang dan seumpamanya.
2.      Ibubapa sering menghadiah diantara satu dengan lain serta untuk setiap anak-anaknya sempena hari lahir dan seumpamanya berupa buku-buku yang berfaedah misalnya buku sejarah negara, sejarah pahlawan Melayu, ensiklopedia tamadun manusia dan seumpamanya
3.      Mengadakan satu sudut membaca atau perpustakaan mini di dalam rumah
4.      Ibubapa sentiasa memberi pesanan agar kalangan anak-anaknya memuliakan guru dan para alim ulamak.
5.      Ibubapa sentiasa menitipkan slogan “Tuntutlah ilmu daripada dalam buaian hinggalah ke liang lahad”.

KESIMPULAN

Anak-anak atau insan yang berilmu akan memiliki jati diri. Trait orang yang miliki jati diri unggul pula sifatnya mencintai ilmu, menghargai ilmu, memulia orang berilmu dan tidak kedekut ilmu. Jelasnya, dia tahu orang yang memberi lebih baik daripada orang yang menerima. Orang yang mengajar orang lain akan diberi limpah pahala berganda daripada Allah.  Insan yang berilmu bukan sahaja punyai jati diri malah akan disayang serta disanjung tinggi oleh kalangan ahli keluarga, rakan sebaya dan masyarakatnya.

CATATAN

"Saya sedang dalam usaha untuk membina Pusat Kaunseling Al Farabi yang mengguna pendekatan kaunseling Islam di Bangi. Dalam usaha ke arah itu, satu dana diperlukan sebagai kos penubuhannya yang berjumlah RM 3 juta. Kos berkenaan mencakupi pengwujudan sebuah pusat, kemudahan alatan sesi kaunseling individu dan kelompok, dewan majlis ilmu dan pejabat operasi yang terdiri daripada 5 orang staf. Justeru itu, saya merayu kepada YBhg Tan Sri, Dato', Datin, Tuan Puan muslimin muslimat yang sudi mewakaf sedikit dana kewangan untuk disalur kepada akaun EMMC RESOURCES : 8600369343, bagi  tujuan merealisasi kewujudannya. Semoga Allah merahmati tindak usaha kita semua, dalam usaha kita membina program motivasi dan kaunseling ke arah memperkasa budaya ilmu, keutuhan iman, kemenjadian amal dan semangat kasih sayang dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya dan masyarakat manusia global amnya. Amin