OLEH :
DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN, 012 6650387
Pusat Asuhan Pertiwi
Kuala Pilah.
PENDAHULUAN
Menurut Prof Hamka (1949), bohong sama maksudnya khianat. Dalam bahasa
Melayu, perkataan bohong sama maksudnya dengan menipu. Menurut orang
bijak pandai, orang berbohong selalunya akan rasa untung sekejap sahaja.
Kelak, dia akan mengalami banyak kerugian dari segi jasmani dan emosi.
Dia akan dibenci, diragui dan hilangnya kebahagiaan yang dikecapinya,
barang seketika. Ada pantun Melayu lama berbunyi;
Jangan pergi mandi di lombong,
Emak dan kakak sedang mencuci;
Jangan suka bercakap bohong,
Semua orang akan membenci.
PUNCA PEMBOHONGAN DALAM KALANGAN PASANGAN BERUMAHTANGGA
Kini, banyak kes kaunseling yang berhubung dengan isu pasangan
berbohong. Baik suami mahupun isteri, jelasnya turut terlibat dengan
salahlaku pembohongan. Menyedari bahaya bohong dalam berumahtangga, maka
saya pilih tajuk ini untuk tatapan para pembaca. Moga ia diambil
pengajaran. Bahawa dapatan daripada kes-kes kaunseling keluarga yang
saya kendalikan mendapati ada suami dan isteri melakukan pembohongan
disebabkan;
1. Ingin selamatkan diri daripada dimarahi atau diceraikan
2. Ingin memastikan dirinya dapat meneruskan tindakan yang dilakukan itu tanpa prasangka
3. Ingin kepuasan diri
Diantara perkara-perkara yang menjadi pokok persoalan berkaitan kes pembohongan dalam hubungan suami isteri ialah;
1. Mengenai kewangan
2. Mengenai skandal
3. Mengenai kesihatan
Banyak kalangan suami isteri dalam masyarakat kita didapati tidak jelas
akan bahaya berbohong dalam kehidupan berumahtangga. Ketirisan
kefahaman mengenainya adalah kesan daripada;
1. Lupa akan nasihat para guru agama, moral dan juga ibubapa
2. Lalai dengan kemewahan hidup
3. Gagal menahan sabar dengan kesulitan hidup
Bagi mengatasi kesulitan, kekurangan dan tekanan perasaan kendiri, maka
banyak kalangan pasangan suami isteri dalam masyarakat kita kini yang
melakukan pembohongan terhadap pasangan masing-masing. Ada juga kes
pasangan masing-masing yang membohongi pasangannya mengenai sumber
makanan dan wang yang dibawa pulang ke rumah. Makanan itu dibeli hasil
daripada wang rasuah atau curi, sebaliknya dikatakan kepada pasangan
masing-masing hasil berkat daripada kerja yang jujur dan halal. Mereka
lupa akan Allah yang melihatnya. Mereka lupa akan malaikat Rakib dan
Atid yang mencatat segala amal perbuatannya. Begitulah cabaran kita
mendidik ummah kita kini, bagi memastikan masyarakat hidup jujur dan
harmoni.
KESAN BERBOHONG
Kesan daripada membohong
sebenarnya sangat buruk. Disamping dapat dosa, hati orang yang suka
membohong juga akan rosak. Kerana membohong itu, hati menjadi jahat,
zalim dan cenderung melakukan mencuri. Menyedari bahaya bohong itulah,
orang-orang tua dahulu hasilkan ungkapan “Mula-mula membohong, lama-lama
mencuri!”.
Ada satu pantun Melayu yang berbunyi;
Setali membeli kemenyan
Sekupang membeli papaya
Sekali kita berbohong
Seumur hidup orang tak percaya.
Begitulah kesan utama pembohongan atau berkata dusta. Prof Hamka
(1949) adalah orang yang semasa hayatnya sering mengingatkan manusia
supaya jangan berbohong. Katanya “Bohong sekali adalah laksana nila
setitik dimasukkan ke dalam susu sebelanga. Bohong sekali kerap
menjatuhkan harga seseorang di hadapan semasa manusia untuk
selama-lamanya. Atau sebaik-baik keuntungannya, dia harus lebih dahulu
membuktikan berpuluh kali kebenaran, baharulah bohongnya yang sekali itu
daoat dipandang orang sebagai suatu kealahan, yang dapat dimaafkan.
Orang yang berbohong itu, walaupun dia solat tunggang tunggik, solatnya
itupun dilihat sebagai bohong pula”.
Nabi Muhammad SAW telah bersabda, maksudnya;
“Amatlah besarnya khianatmu jika engkau cakapkan kepada saudaramu
suatu perkara, yang dia mengangka perkataanmu benar. Padahal engkau
sendiri merasa bahawa engkau berbohong”. (HR Muslim).
Selama saya
jadi kaunselor keluarga, saya dapati kesan membohongi pasangan dalam
institusi keluarga akan menatijahkan perkara berikut;
1. Terbitnya rasa duka
2. Terbitnya krisis komunikasi perorangan
3. Terbitnya rasa ketidakbolehpercayaan
4. Terbitnya masalah kecelaruan emosi samada satu pihak atau keduanya
5. Terbitnya isu perceraian
6. Anak-anak tertekan
7. Kejelekitan pasangan menjadi terlerai
8. Terhakisnya kasih sayang
9. Hilang fokus membina keutuhan ekonomi institusi keluarga
10. Kebahagiaan hidup terhakis dan mungkin hilang
CARA MERAWAT PEMBOHONGAN KENDIRI
Mengenainya, Imam Al Ghazali pernah mengingatkan bahawa sikap bohong
itu boleh dibasmi atau dirawati dengan sikap benar (jujur). Dan sikap
benar itu ada 6 ciri iaitu;
1. Benar dalam berkata-kata
2. Benar dalam niatnya
3. Benar dalam azamnya
4. Benar dalam tindakannya
5. Benar dalam kerjayanya
6. Benar dalam penghayatan agamanya
Berdoa, bertaubat dan berusahalah supaya menjadi suami atau isteri atau
insan yang jujur lagi benar dalam setiap tindakan. Itulah kendiri hamba
Allah yang bertakwa.
KESIMPULAN
Hidup berumahtangga
biarlah berobjektif untuk sama-sama berbahagia, saling melengkapi
seterusnya dapat melahirkan zuriat yang unggul, terbilang yang dewasanya
kelak menjadi insan yang soleh dan berbakti buat negara bangsanya.
Rumahku syurgaku. Ia adalah satu ungkapan yang indah dan mampan.
Persoalannya, bagaimana kita nak jadikan rumah kita ibarat syurga jika
sikap kita mencerminkan ahli neraka, iaitu berbohong. Justeru, buanglah
yang keruh ambillah yang jernih, nescaya indah peribadi. Memaafkan
adalah sunnah Nabi Saw. Tetapi harga sebuah kemaafan tidaklah boleh
sampai kita memaksa pasangan kita untuk menerima kebohongan kita
“membabi buta”. Andai pasangan kamu tidak suka lagi kepada kamu lantaran
sikap buruk kamu yang berbohong, misalnya mencuri, berzina atau
khianat, maka dia minta fasakh atau ingin bercerai, maka kamu mesti
terima dengan iman. Kalau dah jodoh tidak ke mana. Kalau dah tidak ada
jodoh nak buat macam mana. Itu semua suratan takdir. Sesal dahulu
pendapatan sesal kemudian dah tak berguna dah. Apa yang penting, hidup
ini ada syarat, protokol dan etikanya. Jangan sampai bunuh diri kerana
bohong, kerana ia pasti menjadikan kamu ahli neraka. Hanya dengan
bertaubat nasuha, setiap ummah berpeluang untuk kembali menjadi hamba
Allah yang bertakwa. Asas menuju taubat dan takwa adalah hati yang
bersih dan jujur. Ia dirakamkan dalam pantun Melayu yang berbunyi;
Pergi berburu sampai ke sempadan
Dapat Kancil badan berjalur
Biar carik baju di badan
Asalkan hati bersih dan jujur
SEKIAN, TERIMA KASIH,
HARAPLAH SELAGI BERNAFAS.