OLEH:
DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN
PAKAR KAUNSELING KELUARGA
PUSAT ASUHAN PERTIWI
KUALA PILAH
emmcresourcesmalaysia@yahoo.com
012 6650387
PENDAHULUAN
Menurut
Cambridge Dictionary, “workaholic” bermaksud seseorang yang suka bekerja kuat
dan merasa serba tidak kena jika tidak bekerja. Manakala “panic’ pula bermaksud
seseorang yang merasa bimbang dan takut akan sesuatu hingga menjadikan dirinya
tidak tenang. Dalam kontek penulisan kali ini, saya ini jelaskan mengenai sikap
isteri yang terlalu kuat bekerja di luar rumah hingga menjadikan suaminya risau
dan tidak selesa terhadap isterinya. Huraian mengenai perkara ini diharap akan
membantu masyarakat kita di abad ke 21 kini bagi menikmati hidup berkeluarga
yang dinamik, bahagia dan berilmu pengetahuan.
HUKUM
Bekerja adalah
ibadah dan sunnah Nabi Muhammad SAW. Setiap
ummat Islam yang waras akalnya dan sempurna pancainderanya diwajibkan bekerja
bagi mencari rezeki yang halal. Tujuan bekerja adalah bagi menampung keperluan
dan kebajikan diri sendiri dan orang lain misalnya untuk kebajikan isteri dan
anak. Pekerjaan yang halal dan mulia
adalah bercirikan;
1. Perkara yang halal
2. Jauh daripada fitnah
3. Bebas daripada rasuah
4. Jauh daripada maksiat
5. Selari dengan syariat misalnya dapat tunaikan solat
dengan sempurna
Manakala
pekerjaan yang haram dan dimurkai Allah adalah bercirikan;
1. Perkara yang haram
2. Mengundang fitnah
3. Melibatkan rasuah
4. Mengundang
maksiat
5. Melanggar syariat misalnya tidak memberi ruang
kepada diri untuk menunaikan solat 5 waktu dengan sempurna.
HUKUM
ISTERI BEKERJA
Syariat
menjelaskan tidak berdosa bagi isteri bekerja diluar rumah. Asasnya adalah
mendapat izin daripada suami. Namun, bagi memastikan kerukunan keluarga,
keselamatan diri dan hidup aman bahagia bebas daripada krisis, maka pihak
isteri mesti mengambil perhatian mengenai perkara-perkara berikut;
1. Pastikan ketrampilan berpakaian mengikut syariat
2. Pastikan caragaya komunikasi kamu di tempat kerja
dengan sopan dan elakkan diri daripada dieksplotasi dan dipersepsi salah oleh
orang lain.
3. Pastikan bahawa masalah ditempat kerja tidak dibawa
ke rumah
4. Pastikan tadbir urus kebajikan suami dan anak adalah
keutamaan
5. Pastikan persona diri kamu adalah sebagai isteri,
ibu dan wanita yang solehah. Bukan wanita yang ammarah (pemarah) dan cepat
melatah.
PUNCA
ISTERI WORKAHOLIC
Setiap wanita
ada keistimewaannya yang fantastik. Isteri yang dilihat sebagai wanita “workaholic” misalnya adalah merupakan ciri
wanita idaman yang menjadi dambaan setiap lelaki yang normal di seluruh alam
dunia yang fana ini. Ia adalah kerana wanita “workaholic” memberi impak kepada
setiap lelaki yang bergelar suami dari segi;
1. Meringankan bebas kewangan suami
2. Menghasilkan persekitaran rumah yang bersih
3. Membentuk budaya keluarga yang berdisiplin dan jelas
matlamat hidup berkeluarga
4. Mempunyai kebijaksanaan bagi mencari rezeki dan
menyimpan wang
5. Mempunyai sikap kental menghadapi cabaran hidup
6. Mempunyai karakter ringan tulang dan peka dengan
perkembangan psikososial masyarakat sekitarnya.
Sebaliknya,
tanpa sikap workaholic, seseorang wanita (isteri) itu akan kelihatan negatif
misalnya;
1. Bersikap pasif tidak pro aktif
2. Malas bekerja
3. Suka habiskan masa melakukan aktiviti tidak
berfaedah misalnya sibuk chatting menggunakan internet dan berwhattapps.
4. Suka berkhayal akan keperluan diri sendiri bukan
keperluan keluarga
5. Tidak peka akan kepentingan sikap keusahawanan bagi
mengukuhkan ekonomi keluarga
6. Tidak jelas akan peranan sebagai seorang muslimah
yang unggul (sebagai wanita, isteri, ibu dan seumpamanya).
KESAN
NEGATIF PADA SUAMI
Meskipun
isteri workaholic bekerja dikagumi dan diraikan oleh suami, namun jika tidak
mengikut protokol syariat, akan menimbulkan beberapa isu misalnya;
1. Isteri lambat pulang ke rumah
2. Suami meluat sikap eksyen isteri yang “workaholic”
3. Isteri memandang rendah akan kredibiliti suami
Apabila timbul
3 isu seperti diatas, maka ia akan menjadikan suami “panic”. Apabila suami
“panic”, maka akan timbullah isu;
1. Suami murung
2. Suami jadi pemarah
3. Suami cenderung melepak dengan rakannya di luar
4. Suami curiga akan kesetiaan isteri
5. Suami berdendam terhadap isteri
CARA
ATASI MASALAH
Semua masalah
ada jalan penyelesaiannya. Begitulah dengan setiap penyakit ada ubatnya.
Junjungan Nabi Muhammad SAW telah bersabda maksudnya“Setiap penyakit pasti memiliki ubat.
Bila sesuatu ubat sesuai dengan penyakitnya maka dia akan sembuh dengan seizin
Allah Taala” (HR. Muslim). Masalah hubungan suami
isteri retak kerana isteri “workaholic” suami “panic” adalah berpunca daripada
masalah komunikasi. Masalah komunikasi bermakna komunikasi suami isteri tidak
berkesan. Maka penawarnya ialah komunikasi berkesan. Komunikasi berkesan boleh
menangani masalah komunikasi suami isteri berasaskan perkara berikut;
1.
Setiap pasangan mesti tahu hak dan
tanggungjawab kendiri
2.
Membudaya sikap bercakap dengan kasih
sayang.
3.
Isteri mesti hormat dan taat setia
terhadap suami.
4.
Syurga isteri adalah tertakluk kepada redha
suami.
5.
Suami mesti menstrukturkan isterinya
dalam semua perkara. Jelaskan kepada isteri protokol yang diingininya berhubung
kehendak isteri yang ingin bekerja dan bekerjaya.
6.
Semua nasihat, bimbingan atau arahan
perlu berteraskan ilmu pengetahuan. Ia adalah akar kepada pengwujudan pasangan
suami isteri bahagia dan obor kepada pembangunan ekonomi dan kebahagiaan
sesebuah keluarga.
7.
Ingat sentiasa bahawa role model yang
terbaik dalam aspek komunikasi berkesan pasangan suami isteri adalah junjungan
utusan Allah iaitu baginda Rasul Nabi Muhammad SAW.
Ingatlah, baik suami atau isteri,
masing-masing ada perasaan dan maruah diri. Maruah dan perasaan manusia punyai
korelasi tinggi dengan nilai rasa selamat, jiwa bahagia dan minda bermotivasi
tinggi jika hidupnya dikelilingi oleh
manusia yang;
1.
Cakapnya senyum dan intonasi mendamaikan
orang
2.
Tindakannya sentiasa membantu dan
menggembirakan orang
3.
Lisannya tidak menghina dan memperlekeh
personaliti orang
4.
Sentiasa pemurah dengan makanan dan ilmu
pengetahuan perorangan
5.
Disenangi dan disayangi sekalian orang
DUIT ISTERI WORKAHOLIC
Pantang para isteri ialah sikap suami
pemboros dan menyusahkan poket isteri. Sikap suami yang pemboros dan tidak
rajin cari duit boleh menyebabkan isteri alami dua penyakit iaitu;
1.
Sakit poket
2.
Sakit penyakit (macam sakit jantung,
hati, mental dan kulit)
Sikap suami yang pemalas kerja dan
pemboros berbelanja boleh mengubah ketrampilan positif isteri workaholic
misalnya;
1.
Daripada cekap berfikir menjadi moron
“bodoh” berfikir
2.
Daripada ceria menjadi duka ekspresi
wajahnya
3.
Daripada pro aktif menjadi pasif
4.
Daripada bersikap tenang menjadi agresif
5.
Daripada suka memberi menjadi suka
meminta
Menurut
Sheikh Abdullah Ibn Jibreen (1990), wang gaji isteri yang bekerja adalah
100% miliknya. Suami tidak boleh ambil wang pendapatan yang telah isteri
usahakan melalui titik peluhnya. Namun, jika si isteri beri sebagai hadiah atau
niatnya untuk bantu tolong suami menjaga kebajikan seisi keluarga, maka halal
untuknya berbelanja dan menggunakannya. Allah Taala telah memartabat peranan
dan hak wanita dan para isteri pada kedudukan darjat yang tinggi. Bukan tugas
atau tanggungjawab wanita atau isteri untuk mencari nafkah untuk kebajikan
seisi keluarga, sebaliknya tanggungjawab tersebut wajib digalas oleh para suami.
Maka para suami yang soleh, “workaholic” dan melayan isteri dengan baik adalah
paling dikasih oleh Allah. Ia selari dengan sabda Rasulullah SAW yang
bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah
orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik
antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku." (HR al-Tirmizi.)
ISTERI ADALAH PELENGKAP HIDUP SEORANG
SUAMI
Hidup menjadi indah, bahagia dan penuh
dengan aroma rahmat ilahi jika setiap pasangan suami isteri berilmu mengenai
hak, peranan, motivasi keluarga, hala tuju hidup berkeluarga, suami isteri
bekerjaya, kewangan dinamik keluarga, kepimpinan dan latihan dalam keluarga dan
indahnya hidup bersyariat. Di Malaysia, kita sangat bertuah kerana Allah kurniakan
kita banyak personalia yang buah fikir, kepakaran dan ilmunya boleh menginspirasikan
untuk menjadi pasangan suami isteri yang bahagia misalnya Prof. Dr. Muhaya,
Datuk Dr. Fadzillah Khamsah, Tuan Haji Hushim Salleh dan Ustazah Datuk Siti
Norbahyah. Ikutilah seminar atau slot bicara ilmu di kaca TV bersama mereka.
Sama-sama buat dan ambil catatan. Nikmatilah hidup ini dengan semangat
keibubapaan dan menghargai setiap nikmat yang Allah telah kurniakan. Ingat
pesanan Allah dalam Al Quran mengenai isteri iaitu barangkali wujud pada diri
isteri itu sedikit kekurangan. Maka janganlah kamu terlalu berfokus kepada satu
yang kurang itu sedangkan pada dirinya wujud lebih banyak lagi kebaikan. Allah
telah berfirman maksudnya; “Kemudian bila kamu tidak menyukai
mereka (isteri-isteri kamu), (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak
menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (QS. An-Nisa’: 19)
KESIMPULAN
Isu
perceraian dalam kalangan pasangan suami isteri masyarakat kita pada waktu ini amat merisaukan pihak
kerajaan. Jika tidak dibendung, ia akan memberi kesan negatif kepada keutuhan
institusi keluarga negara dan keselamatan psikososial masyakat kita pada masa
depan. Akan
banyak timbul isu kalangan kanak-kanak yang jiwa mereka terganggu dan akan
menjadi trauma apabila dewasa iaitu takut berkahwin. Selain itu juga, anak -
anak akan kehilangan kasih sayang dari ibu atau bapa mereka. Disamping itu juga
mereka akan hilang tumpuan pelajaran dan sedikit sebanyak boleh merosak haluan kerja
mereka pada masa depan. Nabi Muhammad Saw telah
bersabda maksudnya “Sesuatu yang
halal tetapi paling dibenci Allah adalah perceraian” –(HR Abu Dawud). Justeru,
hormati dan muliakanlah dirimu dan perkukuhkanlah dirimu menjadi insan yang
bertakwa, tinggi ilmu, penyayang dan bersemangat tinggi untuk mencari rezeki
yang terbaik dan halal untuk dinikmati oleh pasanganmu dan anak-anak kamu.
Pastinya hidupmu tidak menyesal dikemudian hari. Jadilah insan yang
bertanggungjawab dan berilmu pengetahuan tinggi mencakupi pelbagai bidang
khususnya bidang keibubapaan. Dengannya, kamu akan berjiwa besar dan berwibawa.
No comments:
Post a Comment