Tuesday, 17 January 2017

KEMAHIRAN KOMUNIKASI KELUARGA BAHAGIA

OLEH:
DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN
PAKAR KAUNSELING KELUARGA
PUSAT ASUHAN PERTIWI
KUALA PILAH 
012 6650387


PENDAHULUAN

Komunikasi positif asas kerukunan rumahtangga. Ciri keunggulan komunikasi adalah berasaskan cara bercakap, intonasi suara, ekspresi muka, penggunaan perkataan dan gerak bahasa badan. Melaluinya, akan memberi kesan kepada pihak lain yang menjadi lawan bicara kita. Justeru, jika seorang isteri atau suami menggunakan perkataan yang lucah, kasar dan menyakitkan hati pasangannya, boleh menimbulkan pertengkaran dan pergaduhan.  Banyak kes perceraian dan krisis rumahtangga berpunca daripada ketidakmampuan pasangan suami isteri berkomunikasi dengan positif terhadap pasangan masing-masing. Natijahnya, lahirlah isu tekanan emosi di tempat kerja, pekerja dilihat murung, murid di lihat suka menyendiri di sekolah, berubah sikap daripada aktif kepada pasif di tempat kerja dan seumpamanya lagi.

BUDAYA KOMUNIKASI POSITIF

Budaya bermaksud budi pekerti. Ia berasal daripada perkataan Sanskrit “buddayah” yang bermakna hal-hal yang berkaitan akal manusia. Manusia berakal sihat akan menghasilkan komunikasi positif atau mahmudah (terbaik) dan bukan negatif atau mazmumah (tercela). Berhubung perkara ini, budaya komunikasi positif adalah bercirikan;
1.      Penghormatan
2.      Penghargaan
3.      Prihatin
4.      Asertif
5.      Kasih sayang
6.      Empati
7.      Menolong
8.      Menghibur
9.      Memimpin

ELIMEN NEGATIF DALAM KOMUNIKASI KELUARGA

Hakikatnya, apabila setiap pasangan suami isteri membudayakan komunikasi dengan 9 nilai kendiri positif seperti diatas, maka insya Allah akan terhindar daripada elimen-elimen negatif seperti;

1.      Suka melakukan pelabelan, contoh “Awak memang suami yang lahanat……..otak udang dan memang tak boleh dipercayai!”. Seorang isteri melabel suaminya kerana dilihat melakukan perbuatan negatif.
2.      Suka menghina, contoh “Awak memang betina sundal………hampas dan tak boleh diharap!”. Seorang suami menghina isterinya.

3.      Suka mengugut, contoh “Saya dah tolong awak jaga anak dengan baik, masak makanan untuk awak, layan awak dengan bagus. Jadi, kalau awak tak belikan saya beg tangan “Coach” tu, saya akan menjerit setiap pagi!”. Seorang isteri mengungut suaminya.
4.      Suka merendah-rendahkan anak-anak, contoh  “Kau tu dah lah muka buruk. Janganlah pulak perangai pun kau burukkan dan pelajaran pun kau tak mantapkan. Nanti, kau bukan sahaja buruk, malah hina!”. – Seorang ibu merendahkan nilai diri anaknya.
5.      Suka mencabar-cabar dengan perkataan yang melukakan hati, contoh “Kau ingat badan kau besar, aku takut ke? Boleh jalanlah. Kalau kau berani, kau kawinlah lain…….!!”- Cabaran seorang isteri terhadap suaminya.

Alangkah baiknya, jika pasangan suami isteri dan seisi keluarga membudayakan caragaya komunikasi positif berlandaskan perkara berikut;

1.      Suka melakukan refleksi dengan bahasa yang santun, contohnya “Abang suami yang baik sebenarnya, namun abang bukan maksum. Sebab itu abang pun tidak lepas melakukan kesilapan. Ayang maafkan abang dan ayang yakin abang akan tidak akan melakukannya lagi”. Seorang isteri memberi refleksi perasaan dan pengalaman suaminya setelah melakukan satu kesilapan. Si isteri lebih meletakkan nilai keibuan, kemaafan dan pengharapan positif buat suaminya yang dikasihinya.

2.      Suka menghargai pasangannya, contoh “Sayang seorang isteri yang mulia. Sayang dah banyak berkorban untuk abang dan anak-anak. Jadi, abang percaya sayang memang boleh terus cemerlang selepas ini. Jika ada apa-apa masalah, sayang cakaplah dengan abang. Berterus-teranglah dengan abang. Insya Allah, abang boleh bantu”. Si suami memberi penghargaan kepada isterinya dengan ucapan pujian yang membina emosi diri isterinya”.

3.      Suka memotivasi pasangannya, contoh “Sayang seorang yang bijak dan kuat semangat. Abang yakin sayang boleh selesaikan tugasan tu dengan cemerlang. Seorang suami memotivasi isterinya yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana.

4.      Suka memberi keyakinan dan harapan buat anak-anaknya, contoh “Ibu sangat yakin semua anak ibu mempunyai potensi yang hebat untuk menjadi seorang yang berjaya pada masa depan. Apa yang penting, anak ibu semua mesti jaga solat dan rajin belajar. Jauhkan diri daripada sikap malas dan bertangguh kerja”.  Seorang ibu membina keyakinan diri kepada anak-anak agar mengamalkan gaya hidup sebagai pelajar yang rajin dan mengikut syariat.

5.      Suka memberi motivasi kepada anak-anak dengan perkataan yang positif. Contohnya “Alangkah baiknya kalau semua anak ibu berjaya dapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan di sepanjang tahun 2017 ini. Bukannya mengguna perkataan yang menekan contohnya “Semua anak ibu mesti dapat keputusan semua A dalam mata pelajaran di dalam peperiksaan di sepanjang tahun 2017. Perkataan “Mesti” adalah tidak membina. Sebaliknya gunakan perkataan “Alangkah baiknya”.

BUDAYA KOMUNIKASI  SIHAT

Pihak ibubapa dan seisi keluarga perlu mengamal dan membudaya komunikasi sihat supaya mencegah diri daripada 2 jenis penyakit merbahaya kepada kesihatan iaitu
1.      Sakit penyakit (misalnya sakit hati, jantung, hempedu dan kulit)
2.      Sakit poket (misalnya sakit jiwa kerana tiada wang ringgit bagi keperluan hidup). 

Komunikasi positif lawannya komunikasi negatif. Jika kita membudaya cara berkomunikasi yang negatif bukan sahaja menjadikan kita manusia yang dijauhi, malah juga dibenci. Kesan paling buruk jika anda seorang yang membudaya komunikasi negatif ialah ia akan menjadikan hidup anda sunyi, penuh tekanan dan tidak dihormati oleh pasangan anda dan juga anak-anak.
Manakala berdasarkan al-Quran, komunikasi disebut “al- qaul”. Dijelaskan dalam al-Quran bahawa budaya komunikasi yang sihat itu ada 6 jenis iaitu;

1.      Qaulan Sadiida (Surah Al Ahzab : 70) iaitu suami isteri dan seisi keluarga membudaya berkomunikasi dengan hujah yang jujur dari segi zahir dan bathin.
2.      Qaulan Baliighan (Surah AnNisa’ : 63) iaitu suami isteri dan seisi keluarga membudaya berkomunikasi dengan ayat yang jelas dan menepati tujuan percakapan itu diadakan. Maknanya tidak membebel dan menerawang kepada isu yang lain-lain atau diluar kontek isu utama yang hendak dibincang dan diselesaikan.
3.      Qaulan Maisuran (Surah Al Isra : 28) iaitu suami isteri dan seisi keluarga membudaya berkomunikasi dengan menggunakan ayat yang ringkas namun bermakna.
4.      Qaulan Ma’rufan ( Surah Annisa : 5) iaitu suami isteri dan seisi keluarga membudaya berkomunikasi dengan menggunakan ayat yang bijaksana penuh hemah.
5.      Qaulan Layyinan (Surah Thaha : 44) iaitu suami isteri dan seisi keluarga membudaya berkomunikasi dengan menggunakan perkataan yang halus dan lembut susunan kata bicaranya. Tidak menjela-jela sampai pasangan anda atau anak-anak anda pening sampai nak muntah.
6.      Qaulan Kariman (Surah Al-Israa : 23) iaitu suami isteri dan seisi keluarga membudaya berkomunikasi dengan menggunakan ucapan kata bicara yang memuliakan dan penghormatan. Jauhkan diri daripada mengguna perkataan merendah-rendahkan orang lain.

Budaya komunikasi yang sihat boleh membina institusi keluarga bahagia. Ia bukan sahaja boleh dipimpin oleh suami, isteri dan anak-anak, malah boleh juga terbina melalui bimbingan dan teladan daripada orang lain. Ia boleh dipengaruhi dan dibentuk oleh para guru di sekolah, para penceramah agama di surau dan masjid, melalui rancangan drama TV dan juga atas rahmah hidayah Allah. Apapun, setiap tindakan, amalan dan budaya hidup berkeluarga yang bahagia berpunca daripada ilmu pengetahuan. Ilmu perlu dicari, dipelajari dan dihargai. Tidak guna belajar jika kita tidak amalkan apa yang kita belajar. Adapun menurut Saidina Ali bin Abi Thalib “Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum (hakim) dan harta terhukum. Harta itu kurang apabila dibelanjakan tetapi ilmu bertambah apabila dibelanjakan”.

KESIMPULAN
Kesimpulannya, setiap perbuatan akan membentuk budaya hidup apabila ia menjadi amalan komunikasi seharian dalam kehidupan berumahtangga. Jika si suami di rumah berkomunikasi secara lisan atau bukan lisan dengan bercirikan nilai yang mahmudah (terbaik), maka setiap ahli keluarga akan terasa  dihargai, dimuliakan, dikasihi, diambil peduli, diperlukan dan diyakini. Asas kepada komunikasi positif adalah sejauhmana nilai iman, ilmu dan amalan ilmu yang dimiliki oleh seseorang. Ia memerlukan sikap prihatin, latihan dan niat hati nurani yang bersih. Dengan adanya niat dan hati nurani yang bersih, akan menjadikan seseorang suami atau isteri itu sangat istimewa, tempat bermanja dan sentiasa rasa selamat dengannya. Kalau boleh, setiap saat ingin bersama.

No comments:

Post a Comment