Wednesday, 15 November 2017

PENDIDIKAN KEIBUBAPAAN - KEPENTINGAN SIKAP ASERTIF DIRI DALAM KALANGAN ANAK-ANAK REMAJA






Oleh :
DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN (KB.PA)


PENDAHULUAN

Banyak kalangan anak-anak remaja kini sedang mengalami perasaan takut dan risau jika keputusan mereka memilih bidang kerjaya yang mereka suka tidak mendapat sokongan daripada ibubapa mereka sendiri. Berhubung perkara berkenaan, sebenarnya untuk berjaya dalam bidang pendidikan dan kerjaya, tiga perkara penting yang perlu diketahui dan dikuasai oleh kalangan anak-anak remaja. Ia adalah minat, bakat dan potensi akademik. Tanpa bakat, minat dan potensi akademik, kalangan anak-anak akan sukar untuk menyakinkan ibubapa mereka. Begitulah juga sebaliknya. Kemahiran kendiri pula akan terhasil apabila seseorang itu selalu berlatih, melakukan dan menjayakan sesuatu perkara yang diminati dan diceburinya. Misalnya kemahiran dalam bidang matematik, bahasa Inggeris dan melukis sesuatu gambar.


MASALAH KOMUNIKASI DALAM INSTITUSI KELUARGA

Banyak masalah institusi keluarga yang sedang melanda kalangan ibubapa dan anak-anak remaja kita pada hari ini berkisar mengenai isu ketidaksetujuan ibubapa berhubung pekerjaan anak-anak pada masa depan. Misalnya, pihak anak hendak jadi guru. Sebaliknya pihak ibubapa pula inginkan anaknya menjadi seorang doktor.  Jika kita perhatikan secara mendalam, isu ini sebenarnya adalah salah satu dimensi krisis ketidakberkesanan komunikasi dalam kalangan seisi keluarga.

Pada hemat saya, untuk menyelesaikan masalah ini, anak-anak mesti belajar untuk bersikap asertif pada diri sendiri. Pertama, anak-anak perlu  berbincang dengan ibubapa secara baik dan berhemah. Jadilah anak yang bersikap asertif, meskipun susah untuk melakukannya.. Jelasnya, ia perlukan keyakinan dan kepercayaan mendalam pada diri sendiri. Prosesnya bermula dengan seseorang anak berupaya tunjukkan tingkahlaku yang tenang dan bijaksana ketika menyatakan ketidaksetujuan terhadap cadangan ibubapa sendiri.  InsyaAllah, anak-anak akan berjaya dalam usaha untuk belajar dan bekerja dalam bidang yang diminati demi masa depan yang bahagia. Ironinya, pekerjaan dan tindakan yang dibuat secara terpaksa akibat desakan dan kehendak ibubapa akan menimbulkan isu anak mengalami;

1.   Kesedihan jiwa
2.   Kemurungan diri
3.   Tekanan perasaan
4.   Ketidaksempurnaan hajat
5.   Kebencian terhadap ibubapa

Umumnya, setiap ibubapa sangat sayangkan anaknya. Mereka  mahu anaknya hidup bahagia dan berjaya miliki pekerjaan yang terbaik pada masa depan. Namun, umum mengetahui memang terdapat kalangan ibubapa yang terlebih dan melampau dalam mengawal dan mengurus anaknya. Ada kalangan ibubapa  bersikap “kuku besi” lalu merupakan punca utama masalah komunikasi terhadap anak sendiri. Jelasnya,  ada kalangan ibubapa yang sanggup menetapkan beberapa perkara penting yang sebenarnya adalah hak anak-anak untuk memilih misalnya;

1.   Memilih hobi
2.   Memilih pekerjaan
3.   Berkawan dan beriadah
4.   Memilih pasangan hidup
5.   Memilih bidang akademik di peringkat pengajian tinggi


ASERTIF DIRI

Di dalam ilmu kaunseling, ada satu kemahiran membina konsep kendiri unggul yang disebut kemahiran asertif diri. Maksud asertif ialah bersifat berani menyuarakan pendapat mereka dan  memperjuangkan hak-hak mereka tanpa menjejaskan hak-hak orang lain; sensitif  kepada hak-hak orang lain; melayani orang lain secara hormat; bersifat ikhlas terhadap diri sendiri dan orang lain.

Pengamal ilmu kaunseling percaya bahawa tingkah laku asertif dapat meminimumkan tekanan peribadi; mempertingkatkan keyakinan diri; mengekalkan hubungan intim dengan orang lain; memperbaiki keupayaan anak-anak untuk membuat keputusan; dan membantu anak-anak untuk  mencapai kecemerlangan dalam kerjaya dan kehidupan berkeluarganya pada masa depan .Jelasnya, bahawa tingkah laku asertif diri sebenarnya akan menyumbang kepada kesejahteraan emosi dan mentaliti seseorang khususnya anak-anak remaja. Perkara ini sangat penting diketahui dan diambil pengajaran oleh setiap ibubapa sebagai role model kepada setiap anaknya.  

Banyak kalangan remaja atau kanak-kanak tidak tahu menyuarakan pendapat peribadi secara ikhlas serta tidak mengetahui cara menolak dengan bijaksana permintaan orang lain termasuk oleh ibubapanya yang boleh mengganggu privasi dan hak kerjayanya. Seseorang kanak-kanak atau remaja boleh mengalami konflik diri disebabkan haknya untuk memilih kerjaya yang dia suka sebaliknya digugat oleh kemahuan dan kehendak peribadi ibubapa mereka sendiri. Jika tidak bersikap asertif, anak-anak boleh mengalami penyakit kecelaruan emosi dan hidup dalam keadaan kebimbangan. Umpama ibarat kata, tidur jadi tak lena dan mandi jadi macam tak basah.


Sebenarnya, setiap ibubapa boleh dirasionalkan dengan syarat, anak-anak perlu miliki nilai dan sikap asertif berkenaan. Insya Allah, sikap asertif akan menjadikan anak-anak kelihatan terampil berwibawa dan ia akan menjadikan pihak ibubapa yakin dengan kehendak cita-cita kerjaya anaknya. Seandainya pihak anak-anak berjaya mempengaruhi pemikiran pihak ibubapanya,  ia sekaligus akan mentransformasi caragaya ibubapa mereka untuk  berfikir secara  lebih adil, lateral, terbuka dan empati.

Bagi mengukuhkan lagi kefahaman pembaca berhubung soal nilai Kemahiran Asertif Kendiri dalam kalangan anak-anak remaja, berikut adalah perkara-perkara penting yang perlu diberi perhatian;

Setiap orang khususnya kalangan anak-anak remaja mempunyai hak-hak asasi berikut:

1.   Hak menyuarakan pendapat
2.   Hak menentukan cita-cita kerjaya sendiri
3.   Hak untuk membuat kesilapan atau menukar fikiran
4.   Hak untuk mengubah kehidupan berasaskan keinginan
5.   Hak memberitahu kepada orang lain bagaimana dirinya ingin dilayani
6.   Hak menanyakan soalan apabila diri sendiri tidak faham akan sesuatu perkara.
7.   Hak untuk tidak memberi justifikasi atau penjelasan mengenai tindakan atau emosi personal kepada orang lain.
8.   Hak menanyakan bantuan daripada orang lain tanpa mempunyai perasaan negatif tentang keperluan anda.

Petua-petua menjadi seorang yang asertif:

1.   Amalkan teknik kawal ammarah (perasaan mudah marah).
2.   Nyatakan keperluan atau ekspektasi anda secara spesifik dan ikhlas.
3.   Tentukan nilai-nilai anda serta apa yang penting dalam kehidupan anda.
4.   Beranikan diri untuk menyatakan pendapat anda secara ikhlas dan tepat.
5.   Pastikan permintaan anda adalah berpatutan dan tidak menjejaskan hak-hak asasi orang lain.
6.   Tetapkan matlamat yang realistik dan berusaha mencapainya tanpa menggangu atau menafikan matlamat-matlamat orang lain.
7.   Belajar menolak permintaan orang lain yang akan membebani perasaan, kerja atau fikiran anda secara bijaksana dan tanpa berasa salah.
8.   Amalkan teknik penegasan empati (empathy assertion) yakni memberitahu orang lain bahawa anda memahami kedudukan mereka dan apa yang anda masih mengharapkan mereka untuk lakukan.
9.   Gunakan teknik pernyataan ''Saya'' dan bukan pernyataan ''Awak''. Sebagai contoh, nyatakan ''Saya berasa malu apabila awak menyatakan perkara tersebut di depan khalayak ramai'' dan bukan ''Awak telah memalukan saya di khalayak ramai''.

a.   Nyatakan fakta sesuatu perkara dan elakkan pertimbangan atau kata-kata
b.  sindiran. Sebagai contoh, nyatakan ''Ini kali ketiga laporan anda lewat'' dan
c.   bukan ''Anda tidak boleh diharap kerana sentiasa lewat mengemukakan laporan kepada saya''.


KESIMPULAN

Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Begitulah dengan falsafah hidup bahawa tiada penyakit yang tidak boleh dirawat. Melainkan takdir Allah sahaja yang manusia tidak akan mampu mengubahnya. Dalam konteks isu ini, saya sangat percaya bahawa dengan teknik berkomunikasi secara asertif diantara pihak anak dan ibubapa,  tidak akan timbul masalah anak merasa tidak selamat untuk memilih dan memiliki cita-cita kerjaya idamannya sendiri pada masa depan atau apa sahaja yang berkaitan keperluan dan hak asasi mereka. Asasnya ialah kejayaan setiap orang untuk merasional dan memujuk orang lain khususnya ibubapa agar menerima keputusan pemilihan kerjaya anaknya  dengan penuh semangat kasih sayang dan empati. Setiap anak berhak memilih kerjaya masa depannya sendiri sesuai dengan minat, bakat dan potensi akademiknya. Apa yang penting, sebagai anak, mesti yakin dengan diri sendiri. Tanpa keyakinan diri, apa sahaja keputusan dan rancangan, tidak mungkin berjaya mencapai objektifnya.

No comments:

Post a Comment