Thursday, 16 November 2017

TRAIT PERSONA SUAMI YANG HEBAT



OLEH : DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN (KB : PA)
012 6650387
abbakba@yahoo.com

PENDAHULUAN
Suami adalah pemimpin kepada isteri dan anak-anaknya. Ironinya, banyak orang boleh jadi suami namun tidak semua orang boleh menjadi suami yang hebat. Suami yang hebat memiliki personaliti unggul yang memukau jiwa dan raga isterinya. Menyedari kepentingan nilai seorang suami yang memukau tersebut, perlu diterang dan disuluh kelok minda rakyat Malaysia, bertujuan membantu kalangan lelaki yang sudah berkahwin atau belum khususnya, juga buat kalangan wanita yang sudah berkahwin mahupun belum berkahwin amnya, buat memuhasabah kendiri, demi membina mahligai cintai yang aman bahagia.

TRAIT PERSONALITI SUAMI YANG LEMAH

Dalam pemerhatian dan pengalaman kendiri saya sebagai kaunselor, kebanyakan wanita yang telah berkahwin mengadu akan ketidakbahagiaan mereka lantaran berpunca sikap suami yang miliki trait personaliti berikut;


1.      Tidak romantik

2.      Tidak sabar sebaliknya pemarah

3.      Tidak bangun malam untuk solat tahajud

4.      Tidak mengambil berat akan keselamatan isteri

5.      Tidak berjimat sebaliknya pemboros berbelanja

6.      Tidak pimpin isteri dan anak-anaknya bersolat jemaah

7.      Tidak cekap mencari duit buat kegunaan seisi keluarga

8.      Tidak menunjukkan kepimpinan sebagai pencinta masjid/surau

9.      Tidak bersikap lembut sebaliknya mengasari isteri juga anak-anak

10.  Tidak peka akan kesihatan kendiri misalnya perokok tegar dan suka melepak diluar sehingga  pagi baharu pulang ke rumah.

IMEJ SUAMI YANG HEBAT

Realitinya, suami akan kelihatan berimej hebat pada pemerhatian isterinya apabila dianya senantiasa menampakkan imej sebagai suami yang penyayang, bijak membelai minda dan emosi isteri, pendengar yang setia, suka memberi pelbagai hadiah istimewa kepada isteri tanpa dijangka, sering memberi nasihat dengan kata-kata yang ringan namun membina jiwa dan terserlah ketrampilannya sebagai seorang suami yang gigih lagi berfokus mencari rezeki yang mampan dan halal buat  kebajikan isteri dan seisi keluarganya. Senyuman seorang suami yang baik pekerti  pula akan menserlahkan lagi imej romantik seseorang suami  kerana suami yang memukau pasti memiliki senyuman yang menampakkan nilai keimanan, ketulusan, kesetiaan, kegigihan dan ketekunannya untuk memimpin si isteri agar menjadi hamba Allah yang bertakwa dan beramanah demi untuk kesiapsiagaan menghadapi alam sakaratul maut.

Seterusnya, tidak kisah sama ada seseorang suami itu seorang yang kaya atau miskin harta, seorang suami yang hebat zahir dan batinnya akan menjadikan junjungan Nabi Muhammad Saw sebagai ikon contoh hidupnya setiap waktu. Dia sedar, setiap wang ringgit, harta waima ilmu pengetahuan yang tersemat utuh dalam kotak minda dan nuansa hatinya, disandar penuh kesedaran bahawa itu semua milik Allah, anugerah Allah dan ujian daripada Allah. Dia seorang pembaca dan pencinta ilmu yang luas, maka dia tahu dan maklum, ada banyak tokoh-tokoh para nabi dan rasul, para sahabat nabi juga para pemuka negara kita Malaysia ini, yang kebanyakannya berasal daripada kalangan insan yang hidupnya serta sederhana, ada yang yatim piatu, ada yang anak raja, anak menteri, anak petani dan banyak lagi. Namun, latarbelakang kehidupan yang pelbagai itu tidak sedikitpun menjadikan mereka alpa untuk membentuk konsep kendiri yang patuh syarie dan menyantuni isteri dan seisi keluarganya.  

TRAIT PERSONALITI SUAMI YANG HEBAT

Allah telah memberi ingatan berdasar kepada al Quran, Surah Al Ahzab ayat 59 yang bermaksud supaya para suami menjaga pakaian pihak isterinya menepati syariat (menutup aurat). Para suami mesti merasionalkan para isterinya berhubung setiap perkara dan kebaikannya kepada si isteri. Misalnya menutup aurat supaya isteri itu kelihatan sebagai orang yang baik-baik dan mencegah dirinya daripada diganggu oleh lelaki yang berhidung belang. Daripada aspek psikologi wanita pula, suami yang hebat mesti ingat bahawa “Setiap isteri itu sangat berkeinginan untuk disayangi setiap masa, menjadi buah hati suaminya, dihargai dan dihormati.”. Begitulah juga seorang suami yamg hebat pada perspektif kaum wanita “Dia seorang suami yang menjadi ayah yang soleh dan teladan terbaik buat anak-anaknya. Suami yang hebat juga selalu membawa kegembiraan buat seisi keluarganya”. 

Bagi perspektif ilmu kaunseling Islam pula, terdapat 6 ciri umum trait personaliti suami yang hebat iaitu;


1.      Empati tinggi

2.      Bertanggungjawab

3.      Penyayang tidak pemarah

4.      Solatnya sempurna 5 waktu

5.      Berkemampuan menyara seisi keluarga

6.      Tabah menghadapi pelbagai dugaan hidup

7.      Penampilannya bersih sedap mata memandang


MUTIARA HIKMAH DARIPADA SAIDINA ALI BIN ABI THALIB RA BERHUBUNG PERSONALITI SUAMI YANG HEBAT


Kita adalah hamba Allah. Untuk selamat hidup di dunia dan akhirat, Allah utuskan Nabi Muhammad Saw (Rujuk Surah al Ahzab : Ayat 21) sebagai utusannya yang bertugas untuk membimbing dan memimpin semua ummat manusia agar berkelakuan selari dengan syariat Islam. Islam adalah agama yang datang atas rahmat Allah (Rujuk Surah Ali Imran : Ayat 19). Manakala al Quran adalah kitab suci yang dikurnia oleh Allah sebagai kitab panduan buat semua manusia untuk mengurus kemaslahatan hidup mereka di bumi ini (Rujuk Surah Al Fussilat : Ayat 44).. Nabi Muhammad Saw juga berkahwin, miliki isteri, punyai anak dan punyai nafsu atau naluri, sama seperti manusia lainnya. Ingat pesanan Nabi Saw yang bermaksud “Aku solat malam namun aku juga tidur. Aku berpuasa namun akunjuga berbuka, dan aku juga berkahwin. Maka barangsiapa yang membenci sunnahku maka dia bukan daripada kalanganku”.
(HR Bukhari dan Muslim).

Justeru, Saidina Ali bin Abi Thalib RA yang merupakan anak saudara Nabi Muhammad Saw telah menyatakan seperti berikut, sebagai panduan buat semua manusia khususnya kepada para suami yang hidup pada hari ini jadikan iktibar iaitu maksudnya;

“Tidak ada cacatnya  dalam pembicaraan dan perbuatan, tidak berpura-pura atau memberatkan sesuatu. Lebih-lebih lagi ketika di pasar, tidak membalas keburukan dengan keburukan, tetapi selalu sedia melupakan dan memaafkan kesalahan orang. Tangan beliau tidak pernah memukul seseorang atau sesuatu kecuali di dalam jihad fisabilillah. Tidak pernah beliau memukul khadam atau wanita, tidak mempunyai perasaan balas dendam terhadap kezaliman kecuali bila melanggar larangan-larangan Allah.

Bila seseorang melanggar larangan Allah, beliau marah semarah-marahnya, bila diharuskan memilih antara dua masalah, beliau selalu memilih yang paling mudah. Bila beliau berada di rumahnya, beliau menjadi orang biasa yang mencuci pakaian, memerah (susu)  kambing dan menolong akan dirinya sendiri. Beliau menahan lidah, kecuali untuk apa yang berguna. Beliau mengajarkan manusia agar saling mendekati dan jangan saling menjauhi. Beliau memuliakan orang yang dimuliakan oleh kaumnya, dan orang yang dimulaikan kaumnya itulah yang beliau angkat menjadi pemimpin mereka, menjaga keselamatan mereka. Selalu bermuka manis dan wajah berseri menghadapi sesiapa sahaja. Selalu memerhatikan akan keadaan sahabat-sahabatnya. Beliau selalu menilai baik setiap kebaikan dan memperkuatnya dan menilai buruk setiap kebaikan dan berusaha melenyapkannya. Selalu mendahulukan  orang yang lebih baik, yang paling baik menurutnya ialah orang yang paling umum nasihatnya, paling penting kedudukannya, paling baik sikapnya terhadap orang-orang yang melarat dan memberikan pertolongan. Dalam keadaan berdiri atau duduk beliau selalu ingat kepada Allah. Bila memasuki tempat orang banyak berkumpul, beliau ambil  tempat duduk yang terluang, dan begitulah yang beliau perintahkan kepada sahabat-sahabatnya. Beliau berkumpul, setiap orang diberikan kesempatan yang sama untuk bercakap, tidak pernah memandang seseorang yang duduk bersama ini lebih penting dari yang lain.  Terhadap sesiapa sahaja yang datang dan mengemukakan keperluan, beliau tanamkan kesabaran dan tidak putus asa agar orang itu dapat mengatasi sendiri. Setiap orang mendapat layanan yang baik, bila ada orang yang datang meminta tidak pernah ditolak dan bila ada yang ditolak selalu dengan perkataan yang halus, seolah-olah beliau adalah seorang bapa terhadap anaknya. Majlis beliau selalu merupakan majlis ilmu, malu, sabar dan amanah, tidak ada yang bersuara dengan suara keras, tidak pernah menyinggung kehormatan orang, tidak membuka aib orang, semua orang hadir dengan perasaan sama darjat, kelebihan seseorang adalah atas dasar takwa, yang tua dihormati dan yang muda disayangi, mementingkan orang yang harus mendapat bantuan dan menjaga perasaan orang yang baharu (asing).

Beliau adalah manusia yang paling pemurah, manusia paling benar perkataannya, bertabiat paling lunak, bergaul paling hormat, sesiapa sahaja yang melihat beliau pasti timbul rasa hormatnya, sesiapa yang bergaul dengan beliau pasti mencintainya. Orang berkata tentang keadaan beliau belum pernah sebelum atau sesudahnya melihat orang seperti beliau”.
(HR Tirmizi).
KESIMPULAN

Suami yang miliki persona ialah merujuk kepada karisma seseorang suami yang beriman dan berhati mulia. Keimanan menerbitkan hati yang suci dan kesucian hati menerbitkan perasaan yang harmoni dan keharmonian perasaan menghasilkan personaliti seseorang yang berwibawa. Seterusnya kewibawaan itulah yang merupakan aset utama seseorang suami untuk menjadi pemimpin yang dihormati dan dipatuhi oleh setiap ahli keluarganya khususnya isteri. Tanpa iman dan hati yang mulia, seseorang suami itu akan sukar untuk katanya dikotai, arahannya dipatuhi, pandangannya dipercayai, fikirannya dirujuk dan minatnya dihargai. Justeru, menurut al Quran (Surah al Baqarah : Ayat 269, Surah Saba’ :Ayat 6 dan Surah al Zumar  Ayat 9), menuntut ilmu itu adalah wajib bagi mereka yang ingin selamat hidup di dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment