OLEH : Dr. Ahmad Kamal Bin Ariffin, 012 6650387
Sebagai ibubapa yang penyayang lagi prihatin,
menjadi satu amalan mulia untuk memberi
perhatian dan merealisasi apa sahaja keperluan yang diperlukan oleh anak. Misalnya
keperluan makanan, pakaian, buku buku bacaan, telefon bimbit, komputer riba,
alatan permainan sukan dan seumpamanya. Ia adalah fitrah melihat sikap ibubapa
yang sentiasa mendaya usahakan dirinya demi keselesaan dan kebahagiaan
anak-anaknya. Begitulah juga fitrah
bahawa ibubapa ingin menjadi cemerlang dalam aspek mendorong dan mengasuh anak
menjadi anak soleh dan bagus dalam bidang akademiknya. Namun, cabarannya ialah
sejauhmana anak itu dapat meneruskan kesinambungan kecemerlangan akademiknya di
peringkat menara gading dan kerjaya. Bagi
memotivasikan anak untuk berjaya dalam pelajaran, banyak kalangan ibubapa cuba
sedaya upaya melengkapkan keperluan anak mereka. Kesan negatifnya, ada kalangan
ibubapa alami tekanan kerana tidak mampu menunaikan janji kepada anak setelah
bersetuju untuk merealisasikannya. Kita ambil maklum bahawa sikap jika tidak
tepati janji, maka hukumnya boleh menjadi berdosa. Perkara ini telah ditegaskan
oleh Allah Taala maksudnya;
“Wahai orang-orang yang beriman, tunaikanlah
janji-janji.”
(Surah Al-Maidah :1)
Mengambil hikmah
disebalik ayat Al Quran di atas, maka
adalah wajar kalangan ibubapa melunaskan
janji. Janji mestilah ditepati. Justeru, hendaklah ibubapa berhati-hati apabila
berjanji dengan anak-anak.
IBRAH DISEBALIK JANJI SEORANG IBUBAPA TERHADAP
ANAKA-ANAK
Hakikatnya, banyak benda
dan perkara ada kesan baik dan buruk. Ia memerlukan kajian dan pemikiran yang
jelas sebelum merancang dan berjanji. Apa yang penting kita mesti yakin pada
diri sendiri dan anak kita. Manusia
boleh jadi hebat dan selamat berasaskan
ilmu, pengamalan ilmu dan keimanan yang padu di di dalam dirinya. Sembari itu,
ilmu tanpa amal adalah sia-sia. Banyak kalangan ahli masyarakat kita kini sijil
akademik berjela, pangkat dan darjat disergam Nampak, namun sikap dan sahsiah
amat buruk hingga tergeleng kepada kita melihatnya. Janji mesti ditepati. Jika
tak yakin mampu menepati janji, maka jangan menjanjikan kepada anak sendiri.
Jika ibubapa tidak
menepati janji, kesannya ialah anak akan tercedera emosi, rasa rendah diri,
kecewa dan tidak mempercayai janji ibubapa
nya pada masa depan. Ambillah ingatan
bahawa Nabi Muhammad Saw telah bersabda maksudnya “Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga
keadaan. Jika ia berkata ia berdusta, jika ia berjanji ia mengingkari, dan
apabila diberi amanah (kepercayaan) ia mengkhianatinya.” (HR. Bukhari-Muslim) Anak secara
personal telah berhempas pulas belajar dan mencapai impiannya untuk meraih
keputusan peperiksaan (akademik) yang
cemerlang, hasil faktor motivasi yang pihak ibubapa telah berikan, misalnya berjanji
membelikan sebuah motosikal atau komputer riba atau jam tangan G Shock Casio.
Adapun menurut jumhur ulamak Islam, bahawa hukum menunai
janji itu ada 3 cabang iaitu;
1. Sunnah
untuk memenuhinya. Iaitu jika perkara yang dijanji tidak diperintahkan oleh
agama dan juga tidak mengandungi perkara mudharat tertentu jika ditinggalkan,
baik untuk diri sendiri atau orang lain. Misalnya, seorang anak berjanji kepada
ibunya untuk tidak lagi bermain Facebook
atau Whattapps di dalam rumah.
2. Sunnah
untuk tidak memenuhinya, jika janji yang dia buat sudah tidak relevan dengan
keadaan dan jika meninggalkan janji tersebut lebih besar manfaatnya. Misalnya
ketika seseorang berjanji untuk tidak melanjutkan pelajaran kerana ingin berniaga
sahaja, namun ibubapanya lebih meredhai
dia untuk teruskan pelajaran. Jika demikian, dia harus membayar kafarat atas
janji atau sumpah yang dia buat dengan berpuasa kafarat 3 hari berturut-turut.
3. Wajib
untuk meninggalkan janjinya, iaitu ketika janji yang dia buat bertentangan
dengan ajaran agama. Misalnya seorang ibu berjanji kepada anaknya jika anaknya
berjaya dapat semua “A” di dalam SPM 2018, dia akan berbogel di tengah padang
bolasepak.
TEKNIK MERASIONAL ANAK
Ibubapa
boleh atasi masalah timbulnya anak rasa kecewa, terkilan dan tidak mempercayai
ibubapa sendiri natijah tidak merealisasi janji ialah dengan sikap asertif
dalam komunikasi. Sikap asertif atau berterus terang tetapi sangat lunak,
mesra, logik dan tidak menyakitkan hati anak. Misalnya ibubapa boleh bercakap
kepada anak seperti berikut;
1. Ibu dan ayah nak minta maaf kepada Fauzi (contoh nama anak) sebab tak
dapat belikan jam tangan G Shock Casio tu. Sebab…..ibu dan ayah tak mampu. Duit
keluarga kita sekarang ni sangat kritikal. Duit ibu dan ayah dalam bank
sekarang ni pun sekadar cukup-cukup untuk baiki kereta kita yang sedang rosak
enjinnya tu…….Ibu dan ayah harap Fauzi memahami dan memaafkan ibu dan ayah……….
2. Gunakan nada suara yang lembut tidak menekan nekan suara.
3. Pastikan sebelum bercakap dengan anak itu, buat solat hajat dahulu agar
hati anak terbuka dan lembut hatinya untuk menerima ketidakmampuan ibubapa
untuk merealisasi janji terhadapnya
4. Bertawakal kepada Allah
5. Mesti bersikap sabar untuk hadapi apa sahaja respon daripada anak
samaada dari segi ekspresi rak wajahnya, refleksi perasaannya, persepsinya dan
juga barangkali kritikannya kepada ibubapa.
KESIMPULAN
Institusi keluarga yang cemerlang dihasilkan oleh persekitaran
komunikasi dalam keluarga yang benar, jujur dan tulus ikhlas. Dengan adanya
rasa sayang, hormat dan bertolak ansur, akan lahirlah sebuah keluarga yang
berdaya maju, aman bahagia dan diberkati
tuhan. Mengenai isu ibrah disebalik janji ibubapa terhadap anaknya, ia mesti
diambil pengajaran besar kerana sikap tidak menepati janji dalam kalangan
ibubapa terhadap anak adalah dilarang oleh tuhan. Malah Allah menyatakan bahawa
sikap memungkiri janji dalam kalangan manusia itu merupakan ciri karektor
syaitan yang pendosa. Jelasnya, Allah telah berfirman maksudnya “Mengingkari janji adalah sifat syaitan. “Padahal syaitan itu tidak menjanjikan
kepada mereka selain dari tipuan belaka.” (QS. An-Nisâ: 120).
No comments:
Post a Comment