Tuesday, 9 January 2018

TEKNIK MENGHADAPI IBU MERTUA YANG SUKA MENGONGKONG





OLEH:
Dr. Ahmad Kamal bin Ariffin

Sila hubungi saya di talian 012 6650387 untuk perkhidmatan motivasi dan kaunseling keluarga.






PENDAHULUAN

Terlalu kerap saya mengendali sesi kaunseling individu yang berkaitan masalah anak menantu dengan ibu mertuanya. Ia berpunca daripada sikap ibu mertua yang masih terbawa-bawa sikap lamanya sebagai ibu yang “psiko perisau” hingga jadi terlalu kasih, empati, ambil peduli, sensitif tinggi hingga anak menantunya rasa tiada privasi, terkongkong  sampai terbit rasa benci.  Isu ini sangat bahaya jika tidak ditangani kerana ia boleh mewujud krisis rumahtangga.  Malah, ada yang sampai jadi isu perceraian akibat sikap ibu mertua yang mengongkong anaknya walhal anaknya sudah ada kehidupan sendiri (berumahtangga) sebagai suami mahupun isteri.

TEKNIK HADAPI SIKAP IBU MERTUA YANG MENGONGKONG

Untuk menjadi seorang yang Versatile (serba boleh), Berdiplomasi  (bertolak ansur) dan Ceria, kita mesti ada ilmu. Khusus kepada pihak suami dan isteri khususnya kepada pasangan suami isteri yang masih muda, ilmu macam mana nak jadi suami atau isteri yang versatile, diplomasi tinggi, ceria sampai jadi kelihatan “Gojes” hebat berkarisma di mata ibu mertua.

Untuk menjelaskan teknik hadapi sikap ibu mertua yang mengongkong, saya jelaskan berdasarkan gambarajah seperti berikut;










Pertama saya huraikan maksud Versatile iaitu merujuk kepada imej seseorang (anak menantu) yang memiliki pelbagai kebolehan misalnya kebolehan berkomunikasi berkesan, bijak sesuaikan diri, pandai ambil hati orang tua dan cekap mengurus kebajikan seisi keluarga khususnya bidang masak memasak. Orang yang versatile pasti mudah menambat hati orang lain, khususnya ibu mertua. Ini digambarkan dengan  merujuk kepada  pantun Melayu klasik yang berbunyi;

Angin teluk menyisir pantai
Hanyut rumpai di bawah titi
Biarlah buruk kain dipakai
Asal pandai mengambil hati.

Para alim ulamak zaman dahulu misalnya Imam Al Farabi bukan sahaja bijak dan tangkas versatile berdakwah, memotivasi, memasak di rumah, malah beliau juga seorang yang handal bermain muzik, hebat dalam bidang Matematik, Fizik, Sains, Al Quran, Al Hadis, Balaghah, Geologi dan ilmu mantik.

Kedua saya huraikan maksud berdiplomasi iaitu merujuk kepada seorang anak menantu yang miliki sikap bertolak ansur dan memahami akan mesej tersurat dan tersirat ketika berkomunikasi dengan ibu mertuanya. Dia sedar tanpa ibu mertua, nescaya dia tak akan miliki pasangannya (anak kepada ibu mertuanya). Dia sedar betapa besarnya jasa ibu mertua dalam proses mendidik anak-anaknya hingga berjaya menjadi seorang dewasa yang berkerjaya, sihat dan bertanggungjawab sebagai hamba Allah. Malah, junjungan besar Nabi Muhammad Saw seorang yang terkenal di seluruh dunia ini sebagai seorang yang paling terhebat dalam sejarah dunia dalam bidang diplomasi hubungan antara kerajaan, antara kabilah, antara ahli perniagaan dan kalangan ahli keluarga baginda. Baginda menyerlahkan kehebatan baginda berdasar kisah perjanjian Hudaibiyah, perjanjian Aqabah, Perundingan Khaibar, Perjanjian dengan Puak Yahudi Fadak dan Taima’, Perjanjian dengan Penduduk Ghatfan, Perjanian dengan penduduk Tsaqif, Perjanjian dengan Puak Najran, Piagam Madinah,perjanjian dengan Bani Juhainah, Perjanjian dengan Bani Dhamrah, perjanjian dengan Bani Mudlij, Perjanjian Baiatul Ridwan,berdiplomatik dengan Raja Habsyah, Rome dan Parsi dan juga dengan pemimpin puak Arab Quraish dari suku Bani Tamim dan Bani Taim.

Ketiga saya huraikan maksud ceria iaitu merujuk kepada konsep kendiri seseorang anak menantu yang baik, miliki jiwa yang luhur dan sentiasa membawa berita dan respon yang positif terhadap orang tua khsususnya ibu mertuanya. Anak menantu sebegini biasanya seorang yang berpegang kuat terhadap ajaran agama. Dia juga selalunya terdidik daripada latar belakang keluarga yang harmoni. Seandainya dia datang daripada pasangan suami isteri yang bercerai berai atau mangsa krisis ibubapanya, namun dia tetap menjadi seorang yang ceria berkat hasil bimbingan dan didikan para guru atau pendidik (murabbi) di sekolahnya dahulu yang bertakwa kepada Allah Taala. Orang bertakwa selalunya akan berhasil mendidik dan mentarbiah anak didiknya menjadi orang yang soleh lagi ceria pada masa dewasanya kelak. Nabi Muhammad Saw seorang yang sangat ceria. Di jelaskan oleh Saidatina Aishah bt Abu Bakar iaitu isteri baginda bahawa Nabi Muhammad Saw seorang Rasul yang ceria. Baginda sentiasa tersenyum mesra ketika membantu isteri baginda memasak, menampal pakaian yang koyak, melayan anak-anak, membersihkan rumah dan melayan para tetamu baginda. Baginda akan tetap ceria memaafkan orang lain yang pernah menyakiti dirinya misalnya berkat sikap ceria dan santun baginda, Umar al Khattab RA dan Thalhah RA mengangut agama Islam.

KESAN POSITIF SIKAP ANAK MENANTU YANG  VERSATILE, DIPLOMASI DAN CERIA

Menurut Prof Dr. Hamka (1975), apabila seseorang itu miliki imej diri yang versatile, berdiplomasi tinggi dan sentiasa ceria saat memberi layanan kepada orang lain, maka dia akan menjadi raja di hati sesiapa sahaja yang menyantuninya, mendekatinya dan berkeluarga dengannya.  Dengan itu, ia membolehkan anda mudah mempengaruhi ibu mertua anda dalam membina pandangan atau merancang sesuatu perkara yang tidak anda setujui. Jelasnya, kita mesti atasi masalah sikap ibu mertua yang mengongkong dengan seni imej diri yang versatile, berdiplomasi dan ceria ibarat menarik rambut dalam gandum.  Jangan bersikap seperti ibarat gunting dalam lipatan, api dalam sekam atau harapkan pagar, pagar makan padi. Menjadi menantu yang terlalu mudah Ammarah hingga karektor dilihat kasar seperti hantu, bercakap kasar tanpa malu hingga hidup tidak mendapat restu. Akan hilanglah berkat hidup dan akan timbullah masalah perceraian dan pertelingkahan yang boleh menjadi ibarat sang pendosa yang merobohkan sebuah masjid. Ingat pesan Nabi Saw bahawa besarnya pahala saat kita bernikah dahulu sama dengan pahala membina sebuah masjid. 

Jangan kita hidup ibarat habis madu sepah dibuang. Mesti ada kepandaian melihat hidup dengan belajar hayati maksud ingatan Allah di dalam al Quran bahawa setiap orang yang beriman pasti akan diuji Allah.  Firman Allah dalam al Quran maksudnya;

“Allah tidak memberi ujian (bebanan) kepada seseorang itu melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya” – (Al Baqarah : 286).

Justeru, ujian hidup berdepan sikap negatif ibu mertua itu mesti dihadap dengan norma nilai akhlak. Hadapinya dengan akhlak, ikut lunas syariat dan jelas bahawa sikap versatile, berdiplomasi dan ceria itu adalah sunnah Nabi Muhammad Saw. Nabi Muhammad Saw mendidik kita agar berjiwa besar. Apa ertinya muda jika tidak sanggup bersabar dengan kerenah orang tua (ibu mertua anda). Resmi orang tua semakin berusia semakin keanak-anakkan sikapnya (Pandangan jumhur pakar psikologi). Ia berlaku begitu kerana mereka perlukan bantuan, sokongan dan perhatian daripada kalangan anaknya yang masih muda belia. Arahan-arahan yang orang tua kita berikan itu sebenarnya akan pudar dan hilang begitu sahaja jika kita pulang ke rumah mereka, ziarahi mereka sekerap mungkin, bawakan hadiah-hadiah tertentu  misalnya pakaian baharu, makanan tambahan yang berkualiti, buku-buku yang disukainya, jam tangan, menghantar mereka laksana umrah dan seumpamanya. Apabila hati mereka sudah anda tawan, maka mudahlah anda untuk memberi pandangan sambil menolak sesuatu cadangannya. Ia  hakikatnya mudah untuk disebut namun banyak orang tak mampu berlembut  sebaliknya suka buat ribut. Terasa sukar nak  berbuat baik sebab kelemahan hati sendiri yang tak biasa (canggung) untuk berakhlak baik  (mahmudah) terhadap ibu mertua sendiri. Maka sang Iblis Daasim (iblis merosak perpaduan institusi keluarga) akan tertawa terbahak-bahak atas kejayaannya membisik hasutan iblis agar hidup kita bersengketa sesama anak beranak, suami isteri, anak menantu dan seumpamanya. “Yes! Life is like a game. But you must be a good and smart player”

Anak menantu yang bersikap versatile miliki imej hebat sebagai seorang  anak menantu  yang berupaya melayan ibu mertuanya dengan ciri;

1.   Bijak membuat refleksi
2.   Bijak membuat parafrasa
3.   Suka  dan sabar mendengar
4.   Bijak merumus hasil perbincangan
5.   Bijak menyoal dengan ayat yang lembut
6.   Cekap memimpin menuju hidup beragama
7.   Cekap membina ayat konfrantasi yang halus tidak menyakit hati ibu mertuanya

Anak menantu yang miliki “skill diplomasi” yang tinggi akan mampu “Merahsiakan pendapatnya tentang orang lain sehingga orang tak tahu siapa yang tidak disukainya”. Misalnya dia tidak suka kepada sikap ibu mertua, namun ibu mertuanya sendiri tidak tahu yang anak menantunya (misalnya menantu lelaki) itu tahu dan meluat dengan sikapnya yang kuat mengongkong isterinya. Tak suka sikapnya bukan orangnya. Dia menguasai dan memimpin institusi keluarganya dengan penuh diplomasi sehingga akhirnya dia berjaya bebas daripada kongkongan ibu mertuanya yang ternyata bersikap begitu bukan untuk merosak keluarganya. Cuma pendekatan ibu mertuanya sahaja yang lemah namun ia masih boleh diatasi. Diatasi dengan ilmu, iman dan amal diplomasi, bukan dengan “emosi”, “benci” dan amal “caci maki”.

Anak menantu yang ceria pula ibarat bintang yang menyinari hidup ibu mertuanya. Menurut Prof Dr. Hamka (1969), keceriaan itu datangnya dari hati yang suci. Hati menjadi suci kesan atau natijah daripada;

1.   Bersolat jemaah
2.   Mencintai masjid
3.   Memelihara solat
4.   Bersikap tawaduk
5.   Sumber rezekinya halal
6.   Hidup berlandas syariat
7.   Ihsan terhadap orang lain
8.   Suka berbakti kepada ibubapa
9.   Matlamat hidup jelas untuk selamat di akhirat
10.                Menjadikan Nabi Muhammad Saw sebagai role model

Dengan memiliki 10 asas kekuatan kendiri di atas, seseorang muslim itu pasti memiliki karisma imej wajah yang sentiasa ceria (tenang dan menyakinkan) orang yang bergaul dengannya.

KESIMPULAN

Hidup berkeluarga, bermertua meski “psiko perisau”, beripar duai, banyak saudara mara, berjiran tetangga dan akhirnya miliki sahabat dan kenalan yang ramai amat menguntungkan diri setiap kita jika dilihat pada kaca mata agama (positif). Korelasi natijahnya, beruntunglah seseorang yang saat jenazah mayatnya di bawa ke liang kubur, jenazahnya diiringi oleh banyak orang yang mengasihi dirinya. Persis ibarat pepatah harimau mati meninggalkan belang manusia mati meninggalkan nama. Namamu akan disebut, dikenang dan dijulang natijah perbuatanmu ketika hayatmu terkenal sebagai orang yang soleh, anak menantu yang versatile (boleh jadi imam, penghibur dan pembela keluarga), sentiasa berdiplomasi dengan sesiapa sahaja dan bersikap ceria walau dalam keadaan apa sekalipun. Sekalian manusia tidak mudah lupa akan budi pekerti insan yang mulia.

Pulau pandan jauh ke tengah
Gunung daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga


No comments:

Post a Comment