Wednesday, 25 April 2018

INSTITUSI KELUARGA BAHAGIA ASAS KEUTUHAN NEGARA BANGSA



OLEH:
DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN



PENDAHULUAN


Institusi keluarga adalah tiang utama dalam haluan untuk membina keutuhan sesebuah negara bangsa. Negara akan lemah jika institusi kekeluargaan rakyatnya dibelenggu masalah sumbang mahram, tidak menghayati amal agama, fanatik dengan hiburan, tidak berfokus untuk menggapai gemilang dalam kerjaya, mengalami krisis komunikasi dan tidak membudaya amalan hidup saling hormat menghormati. 


KECEMERLANGAN BERMULA DARI RUMAH


Semua manusia yang waras dapat menerima hakikat betapa setiap kejayaan sebenar adalah bermula dari rumah. Manakala asas kerukunan sebuah institusi keluarga adalah sahsiah mulia misalnya penyayang, sabar, bertolak ansur, empati, bernas, jujur, setia dan mesra. Ia ada disebut dalam ajaran agama Hindu yang bermaksud; 

“Jika seseorang isteri sentiasa berwajah berseri-seri, nescaya seluruh rumah akan kelihatan bercahaya, namun jika ia tidak berwajah sedemikian maka akan kelihatan suramlah rumahtangga itu”. (Kitab Manawa Dharma Sastra, 26)

Begitulah juga ajaran agama Hindu menjelaskan dengan satu ungkapan yang bermaksud;
“Jika kaum wanita dalam sesebuah rumahtangga itu tidak dihormati, maka rumahtangga itu akan hancur seluruhnya oleh satu kekuatan yang ghaib”. (Kitab Manawa Dharma, 58)
Berdasarkan maklumat di atas, nyata bahawa kunci membina institusi kekeluargaan yang unggul ialah dengan bersikap memuliakan kaum wanita yang terdiri daripada ibu, anak perempuan dan saudara perempuan.

Manakala ajaran agama Kristian pula ada menyatakan berdasarkan satu ungkapan iaitu “Isteri tunduk kepada suami dan suami mengasihi isteri” – Kolose, 18-19. Jelasnya, agama Kristian berfahaman bahawa manusia adalah dicipta oleh tuhan. Oleh itu, tuhan lebih mengenal setiap manusia berbanding manusia itu mengenali dirinya sendiri. Maka setiap wanita atau isteri di dunia ini memerlukan perkara yang sama iaitu ingin dihormati, disayangi dan dilindungi. Jika ada salah satu darinya yang dilanggar oleh suami, maka ia akan mengakibatkan kemurkaan tuhan.

Rumahtangga yang cemerlang menurut agama Kristian juga bercirikan ‘Anak taat kepada orang tua dan orang tua jangan sakiti hati anak” – (Kolose, 20-21). Jelasnya, rumah tangga akan harmoni dan bebas daripada krisis komunikasi jika setiap ahli keluarga saling menghormati dan menjaga hati antara satu dengan lain. Tanpa daya tindakan yang saling santun menyantun, berbudi bahasa dan menjaga hati, akan menyebabkan persekitaran komunikasi yang stres dan saling membenci. Akhirnya, matlamat memiliki rumahtangga bahagia akan rencat dan mustahil dapat merealisasi slogan kata positif iaitu “Rumahku Syurgaku”.



Menurut Islam, bahawa rumahtangga akan berjaya dibina dengan aman bahagia apabila setiap pasangan punyai kesedaran akan tujuan ikatan perkahwinan dimeterai. Mengenainya, Islam menjelaskan bahawa diantara tujuan ikatan perkahwinan dimeterai ialah;

  1. Untuk meningkatkan ibadah
  2. Untuk membina akhlak yang luhur
  3. Untuk menegak rumahtangga Islami
  4. Untuk memenuhi tuntutan naluri manusia
  5. Untuk membentengi diri daripada maksiat
  6. Untuk memperolehi keturunan yang soleh

MASALAH SOSIAL

Kini, media massa sering melaporkan berita wujudnya gejala sumbang mahram, haruan makan anak, ponteng sekolah, kes perceraian yang berleluasa, gejala buli di sekolah, gejala membuang anak, ketagih bermain basikal lajak, ketagih bahan lucah dan krisis ketagih dadah dalam kalangan masyarakat kita. Paling mendebarkan, isu sosial tersebut bukan sahaja berlaku di dalam bandar, malah juga di luar bandar di seluruh negara. Ia bukan sahaja melanda institusi keluarga yang berstatus sosial ekonomi (SSE) yang senang atau sederhana, malah juga melanda institusi keluarga kalangan rakyat yang susah lagi miskin. Justeru, amat mustahak wujudnya satu suara yang kuat berupa gagasan dan gerak tindak kemasyarakatan yang berfokus oleh kalangan pemimpin UMNO untuk memimpin rakyat (kerjasama PIBG sekolah, NGO dan agensi kerajaan dan swasta yang prihatin) bagi mengatasi dan membasmi masalah tersebut dari terus menular. Jelasnya, kita masih tidak terlewat.  Namun jika dibiarkan, masa depan tamadun bangsa Melayu kita akan kelam, Islam akan dipandang sepi dan kita dilihat lemah dalam menginterpretasi makna “Insan Bijaksana” yang telah disabda oleh Nabi Muhammad Saw – (HR Muslim).

NILAI HIDUP BERAGAMA

Seterusnya, kegawatan nilai sahsiah yang melanda ummah boleh memberi natijah negatif berupa tirisnya penghayatan hidup beragama, terlalu mengejar wang dan harta, mudah terpengaruh dengan hiburan, fesyen dan gaya hidup moden. Misalnya laporan JAIS (2017) menjelaskan terdapat banyak kalangan rakyat Selangor kini dirundung stress, kemurungan dan kebimbangan dalam hidup. Manakala bentuk masalah yang menjadi punca isu psikososial dalam institusi kekeluargaan rakyat Selangor kini ialah;


1.    Isu kerjaya

2.    Isu seksual

3.    Isu kesihatan

4.    Isu kewangan

5.    Isu tidak solat

6.    Isu berbeza pendapat

7.    Isu berbeza budaya hidup

8.    Isu tak bertanggungjawab

9.    Isu pergaulan bebas (sosial)

10. Isu komunikasi tidak berkesan

11. Isu campur tangan pihak ketiga

Natijah daripada beberapa masalah utama seperti di atas, telah berlaku banyak kes perceraian rumahtangga dalam kalangan rakyat Selangor. Jumlahnya amat membimbangkan. Jika tidak dibendung, dikhuatiri akan timbul pelbagai isu masalah sosial dalam kalangan generasi akan datang. Para pemimpin pula akan dilihat tidak empati dan tidak bijak jika gagal melihat masalah keruntuhan institusi keluarga ini perlu dipulih dan dibina  segera. Andaian kita ialah, jika seorang penjenayah seperti Botak Chin atau Ismail Kerbau (1990 an) boleh mencemaskan perasaan rakyat Malaysia pada suatu masa dahulu kesan perbuatan jenayah mereka. Maka cuba kita bayangkan jika bilangan manusia perosak pada masa akan datang bilangannya lebih daripada 10 orang, 50 orang atau 100 orang. Kesan negatifnya pasti amat besar dan boleh menggugat keamanan emosi dan spiritual rakyat sejagatnya.

Kita boleh mengambil fakta laporan bilangan kes perceraian dalam kalangan ummat Islam di Selangor (JAIS, 2017) sebagai pengajaran iaitu seperti jadual berikut;


TAHUN
JUMLAH PERCERAIAN
2011
5694
2012
6098
2013
6083
2014
6928
2015
8167
Jumlah
32970

Manakala menurut Datuk Acryl Sani Abdullah (Utusan Melayu, 7 Mei 2017), telah berlaku peningkatan jenayah samun, ragut dan pecah rumah yang ketara di Selangor.  Menurut beliau, untuk mencegah masalah moral, akhlak dan jenayah dalam kalangan masyarakat, ia boleh dimulakan dengan pendidikan kesedaran membina sahsiah dan akhlak yang mesti bermula di dalam rumah lagi”.
Akibat kurangnya amalan hidup beragama, banyak kalangan rakyat khususnya generasi muda yang hilang fokus terhadap matlamat sebenar kehidupan iaitu untuk beribadah. Ini ditegaskan oleh Allah di dalam al Quran yang bermaksud “Dan aku tidak jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaku (al Zariyat : 56). Manakala Ibnu Taimiyyah pula menjelaskan bahawa setiap insan mesti perbaiki lisan dan perbuatannya dari masa ke semasa selari dengan makna ibadah kepada Allah.  Persoalannya, banyak laporan daripada pihak JAIS (2018) yang menyatakan  bahawa rakyat kita masih banyak yang tidak jelas akan makna tanggungjawab sebagai seorang ibu, bapa atau anak dengan nilai sahsiah yang sebaik mungkin. Apa yang berlaku kini lebih kepada kalau dirujuk mengenai soal peranan ia lebih ibarat harapkan pagar, pagar makan padi. Manakala kalau dirujuk kepada soal daya usaha mencari rezeki pula ia boleh diibaratkan sebagai hangat-hangat tahu ayam”. Natijahnya, banyak bangsa Melayu kini lebih menjadi sebagai pemerhati kejayaan orang bukan menjadi pemilik kepada kejayaan seseorang.



Manakala isu seterusnya ini lebih utama lagi iaitu isu tiada kesedaran mengenai kepentingan matlamat hidup. Pesan Pendeta Za’aba (1969), hidup tanpa matlamat adalah ibarat kapal yang belayar tanpa nakhoda. Sebab itu banyak anak bangsa kita kelas kelihatan di banyak lokasi sama ada di dalam bandar mahupun di dalam kampung, yang suka hidup habiskan masa dengan melepak, bermain carrom, memancing ikan, bermain judi, tidur di sepanjang hari dan asyik menyanyi dari awal pagi hingga lewat malam tanpa menghiraukan solat, mencari rezeki atau menambahkan kemahiran / ilmu peribadi.

KEPENTINGAN  KELUARGA BAHAGIA

Ironinya, keluarga yang bahagia adalah memiliki pemimpin keluarga (ayah dan ibu) yang berperibadi mulia misalnya;
1.    Gigih bekerja
2.    Tidak pemarah
3.    Berkasih sayang
4.    Bercakap lemah lembut
5.    Menjaga solat berjemaah
6.    Mengamalkan membaca al Quran
7.    Ringan tulang untuk membersih dan menghias rumah





Al Quran telah memberi banyak panduan berhubung caragaya untuk membina institusi keluarga bahagia. Ia bertujuan untuk membina sahsiah dalam kalangan suami isteri. Berikut adalah dalil-dalil al Quran mengenai perkara tersebut iaitu;
  1. Suami hendaknya menyedari bahawa isteri adalah suatu ujian dalam menjalankan agama. (At-Taubah: 24)
  2. Suami hendaknya menyedari bahawa isteri adalah suatu ujian dalam menjalankan agama. (At-Taubah: 24)
  3. Seorang isteri boleh menjadi musuh bagi suami dalam mentaati Allah dan Rasul-Nya. (At-Taghabun: 14)
  4. Hendaknya sentiasa berdoa kepada Allah meminta menjadikan isterinya wanita yang solehah. (AI-Furqan: 74)
  5. Diantara kewajiban suami terhadap isteri, ialah: Membayar mahar, Memberi nafkah (makan, pakaian, tempat tinggal), Menggaulinya dengan baik, berlaku adil jika beristeri lebih dari satu. (AI-Ghazali)
  6. Jika isteri berbuat ‘Nusyuz’, maka dianjurkan melakukan tindakan berikut ini secara berurutan: (a) Memberi nasihat, (b) memisah kamar tidur, (c) Memukul dengan pukulan yang tidak menyakitkan. (An-Nisa’: 34) … ‘Nusyuz’ bermaksud: Kedurhakaan isteri kepada suami dalam hal ketaatan kepada Allah.
  7. Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah, yang paling baik akhlaknya dan paling ramah terhadap isterinya/keluarganya. (HR Tirmizi)
  8. Suami tidak boleh kikir/kedekut dalam menafkahkan hartanya untuk isteri dan anaknya.(Ath-Thalaq: 7)
  9. Suami dilarang bersikap kasar terhadap isterinya. (HR Tirmizi)
  10. Hendaklah jangan selalu mengikut sahaja kepada saranan isteri dalam kehidupan rumah tangga. Sebaiknya terkadang menyelisihi mereka. Dalam menyelisihi mereka, ada keberkatan. (Baihaqi, Umar bin Khattab ra., Imam Hasan Basri)
  11. Suami hendaknya bersabar dalam menghadapi sikap buruk isterinya. (Abu Ya’la)
  12. Suami wajib menggauli isterinya dengan cara yang baik. Dengan penuh kasih sayang, tanpa kasar dan zalim. (An-Nisa’: 19)
  13. Suami wajib memberi makan isterinya apa yang dia makan, memberinya pakaian, tidak memukul wajahnya, tidak menghinanya, dan tidak berpisah ranjang kecuali dalam rumah sendiri. (Abu Dawud).
  14. Suami wajib selalu memberikan pengertian, bimbingan agama kepada isterinya, dan menyuruhnya untuk selalu taat kepada Allah dan Rasul-Nya. (AI-Ahzab: 34)
  15. Suami wajib mengajarkan isterinya ilmu-ilmu yang berkaitan dengan wanita (hukum-hukum haid dan istihadah). (AI-Ghazali)
  16. Suami wajib berlaku adil dan bijaksana terhadap isteri. (An-Nisa’: 3)
  17. Suami tidak boleh membuka aib isteri kepada siapapun. (Nasa’i)
  18. Apabila isteri tidak mentaati suami (derhaka kepada suami), maka suami wajib mendidiknya dan membawanya kepada ketaatan, walaupun secara paksaan. (AIGhazali)
Ternyata dengan begitu banyaknya dalil-dalil naqli dan aqli yang mengingatkan para suami dalam hal menjaga adab dan tatasusila terhadap kaum wanita atau isteri, menunjukkan betapa menjadi suami bukanlah mudah. Ia adalah berkaitan soal kepimpinan, akhlak dan pengorbanan.

KESIMPULAN

Sebarang langkah dan tindakan pihak kerajaan bagi memperkasa institusi kekeluargaan adalah amat di tuntut oleh syarak. Institusi keluarga adalah pusat asasi membina negara bangsa. Islam menegaskan betapa walau besar apa sekalipun pangkat seseorang wanita yang bekerja di luar rumahnya, maka di dalam rumah, beliau tetap akan menjadi orang nombor dua. Sembari itu, tugas seorang ibu adalah sebagai pengasuh dan ia adalah peranan yang sangat mulia disisi Allah Taala. Maka ternyata, kunci kebahagian hidup berumahtangga ialah adanya komunikasi berkesan antara seisi keluarga dan saling bermaafan apabila berlaku salah dan silap. Tingkat proses kemaafan pula ialah Al Afwu (memaafkan orang apabila diminta), As Shofhu (memaafkan orang meskipun tidak diminta) dan Al Maghfiroh (meminta keampunan dari Allah untuk orang lain). Akhirnya, tentulah sikap sabar yang paling dituntut agama kerana Allah telah menegaskan maksudnya “Dan (ingatlah) apabila Tuhanmu memaklumkan “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatku) maka sesungguhnya azabku sangat pedih” (Surah Ibrahim : 7).







Wednesday, 4 April 2018

MENANGANI ISU KETIDAKPERCAYAAN DALAM KALANGAN PASANGAN




OLEH:

DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN
PENGASAS
PUSAT ASUHAN PERTIWI MALAYSIA

  
PENDAHULUAN

Terlalu banyak isu kaunseling keluarga yang saya kendalikan mutakhir ini berkisar mengenai krisis ketidakpercayaan kepada pasangan masing-masing. Ada suami tak percayakan isteri. Ada isteri yang tak percayakan suami. Ketidakpercayaan dari aspek kesetiaan, kejujuran dan keikhlasan sebagai suami mahupun isteri. Jelasnya, isu tersebut banyak berlaku dalam kalangan pasangan yang berkerjaya, masih muda dan berpendidikan tinggi pula. Malah, semakin tinggi pendidikan, tinggi pendapatan, tinggi pembacaan, semakin tinggi pula bentuk dan jenis kes-kes yang menimbulkan ketidakpercayaan kepada pasangan mereka. Ada pasangan menjadi marah, benci, dendam, trauma dan memfailkan perceraian di mahkamah Syariah. Banyak kaunselor perkahwinan terkesan dan tertekan juga untuk merangka strategi dan teknik kaunseling keluarga terbaik untuk membantu menangani masalah yang sedang dialami pasangan berkenaan. Persoalannya, bagaimana isu tersebut boleh timbul? Apakah pula solusinya? Saya jelaskan berdasarkan pengalaman saya sebagai kaunselor “kaunseling keluarga”.



PUNCA KRISIS KETIDAKPERCAYAAN TERHADAP PASANGAN
Hakikatnya, isu yang menjadi krisis ketidakpercayaan terhadap pasangan masing-masing sebenarnya berpunca daripada masalah sikap. Soal sikap sangat ditekankan oleh  junjungan Nabi Muhammad Saw. Kisah sahabat Nabi Muhammad Saw bernama Abu Musa Al Asya’ari bertanya kepada baginda Rasullullah Saw “Wahai Rasullullah, siapakah orang Islam yang paling utama? Maka Rasullullah Saw menjawab; Seorang muslim yang kaum muslimin selamat dari gangguan sikapnya pada lisan dan tangan”. – (Muttafaqun Alaihi). Sehubungan dengan itu, bahawa sikap negatif dalam kalangan pasangan pada hemat saya adalah yang merujuk kepada;
1.   Kelalaian dalam beribadat
2.   Hilang kesetiaan akibat terpedaya dengan godaan orang lain
3.   Kecuaian pasangan yang tak fokus kepada pasangan masing-masing
4.   Lupa amanah bagi menjaga kebajikan jasmani, emosi, rohani dan intelek pasangan
5.   Lupa akan pengorbanan pasangan sedari awal perkenalan hingga ke jinjang perkahwinan.
Kita mesti sedar bahawa setiap  insan memiliki ego, maruah, perasaan, impian dan daya tindakan tersendiri. Layanan dan perhatian yang mereka terima adalah cerminan daripada nilai akauntabiliti, empati dan sikap peduli akan pasangan mereka sendiri. Maka apabila berlaku sikap kecurangan dan tak bertanggungjawab terhadap pasangan, timbul persoalan siapa paling banyak buat silap? Bahawa sikap negatif yang menimbulkan ketidakpercayaan pasangan bukan sahaja ada pada personaliti kaum Adam, malah ia juga ada pada kaum Hawa. Mengenainya, banyak alim ulamak dan pakar kaunseling keluarga memberi ingatan seperti berikut;
“Mencegah lebih baik daripada merawat”
“Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya”
Ghalibnya, banyak pasangan suami isteri dalam kalangan rakyat kita tidak cukup mapan iman dan motivasi kendiri bagi berdepan dengan ujian;
1.  Tekanan kewangan keluarga
2.  Tekanan hawa nafsu seksual
3.  Tekanan bersosial dengan rakan sekerja
4.  Tekanan fesyen dan hiburan di luar rumah
5.  Tekanan caragaya hidup moden yang bersifat hedonism

Apabila pasangan sudah hilang kepercayaan, akan timbullah isu;
1.  Penistaan
2.  Penghinaan
3.  Pergaduhan
4.  Perseteruan
5.  Pertelingkahan
6.  Akhirnya boleh bercerai berai
Umum memaklumi, bahawa kehidupan di bandar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Bahru, Seremban dan seumpamanya banyak menguji iman kalangan ahli masyarakat khususnya kalangan pasangan yang sudah berkahwin bagi terlibat dengan aktiviti maksiat, kecurangan dan kelalaian terhadap tanggungjawab diri terhadap pasangan masing-masing. Misalnya, jika ada kalangan pasangan yang bekerja sebagai usahawan MLM, ejen insuran, pegawai pemasaran, wartawan, jurujual dan seumpanya, banyak ujian berupa godaan daripada pelbagai pihak yang terpikat dan terpesona dengan kelebihan rupa paras dan penampilan yang dimiliki.
Menurut Nabi Muhammad Saw, tidak ada perkara halal yang paling dibenci oleh Allah Taala melainkan perceraian (HR Muslim). Sedangkan pahala membina ikatan pernikahan bagi setiap pasangan muslim sama nilai pahala nya dengan membina sebuah masjid. Maka bayangkan jika sebaliknya yang berlaku. Sungguh mendukacitakan bukan sahaja buat junjungan Nabi Muhammad Saw malahan buat kita semua kaum muslimin. Justeru, isu ini sangat penting untuk diambil iktibar dan pengajaran buat setiap pasangan muslim kita di Malaysia khususnya dan dunia amnya.



CARA MENDAPAT KEPERCAYAAN OLEH PASANGAN

Sebenarnya, untuk miliki kepercayaan pasangan tidaklah sukar, sulit atau misteri.  Ia bermula dengan keyakinan tinggi dalam diri sendiri. Kita mesti yakin kita boleh menjadi pasangan yang soleh, mulia dan berwibawa, tanpa menunggu pasangan masing-masing berbuat kebaikan terlebih dahulu kepada diri kita. Inilah yang ditegaskan dalam pepatah Melayu lama;
“Berharap kepada anak, buta mata sebelah
Berharap kepada orang, buta mata keduanya”

Ironinya, kepercayaan pasangan  boleh dibina dengan amalan-amalan terpuji seperti berikut;

1.   Setiap pasangan mesti bersolat jemaah. Mengenainya, pihak suami mesti pimpin solat jemaah. Jangan pula suruh isteri yang jadi imam. Ini pun boleh timbulkan ketidakpercayaan terhadap wibawa seseorang suami. Bercakap sebagai seorang muslim tetapi tidak mampu pula jadi imam. Masalah banyak berlaku dalam kes begini jika seseorang suami itu miliki isteri yang jauh lebih tinggi ilmu keagamaannya sebaliknya si suami  sebelum kahwin banyak berlakon kononnya terampil sebagai seorang yang warak, namun realitinya naïf dari segi pengetahuan agama khususnya dalam bab ibadah solat.
2.   Setiap pasangan mesti menjauhkan diri daripada sikap yang banyak Syaz (kejanggalan) misalnya berubah sikap asyik pulang lewat ke rumah, asyik marah-marah, kurang membelai pasangan, sudah tidak romantik seperti sebelumnya dan tidak peka lagi dengan tarikh-tarikh penting buat pasangan masing-masing misalnya tarikh lahir dan tarikh hari berkahwin untuk majlis meraikannya bersama.
3.   Setiap pasangan mesti berusaha untuk memantapkan imej diri dari hari ke hari. Misalnya mesti berusaha mantapkan daya komitmen diri untuk memasak, membersih rumah, membasuh baju dan melayan pasangan dengan bersungguh-sungguh. Niatkan demi untuk meraih pahala sebanyaknya dan untuk mendapat reda Allah. Keberkatan Allah dekat kepada orang yang berbuat baik dengan sungguh-sungguh kepada pasangan masing-masing.

Bidalan Melayu lama ada merakamkan;
“Hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih”. Setiap kebaikan adalah rahmat daripada Allah Taala. Manakala setiap keburukan adalah pilihan setiap manusia. Natijahnya buruk dan memberi kesan duka di hati. Sebab itu setiap pasangan yang mahu kebahagiaan dalam hidup mesti berusaha untuk menjadi seorang yang berperibadi baik dan berlumba berbuat kebajikan terhadap pasangan hidup mereka. Al Quran banyak merakamkan kata-kata kebaikan tersebut dengan  perkataan misalnya khair, hasanah, ihsan,  toiyibah, birr, amal salih, fadhilan dan fadhail. Manakala sikap buruk yang minimbulkan ketidakpercayaan terhadap pasangan masing-masing di sebut dalam Al Quran sebagai syar, su’, ithm, maksiat, fusuq, ‘isyan, fasad, fahisah, fahsya, munkar, radzilah dan radzail. Jelasnya, dalam satu hadis Nabi Muhammad Saw, baginda telah menyatakan seperti berikut iaitu maksudnya “Kebajikan itu ialah berkaitan sikap yang baik (mahmudah), manakala kejahatan (fasad) itu adalah sesuatu yang terbenam (rahsia) di dalam hati dan kamu tidak suka apabila orang lain mengetahuinya”. – (HR Muslim)
Tatkala menghadapi ujian misalnya berupa godaan, rayuan dan pujukan iblis jin dan manusia berniat jahat, seseorang itu akan berjaya mengatasinya dengan adanya sikap setia, iman yang kukuh, keberanian emosi untuk membuat keputusan yang betul dan efikasi diri yang tinggi untuk menjauhkan diri daripada terjebak dengan cinta palsu dan skandal yang boleh mengundang ketidakpercayaan pasangan hidup masing-masing.



KESIMPULAN

Setiap perbuatan baik pasti akan dibalas baik oleh Allah Taala. Tak perlu banyak retorik dan tindak licik (cunning) untuk membina kepercayaan dan kasih sayang oleh pasangan hidup kita. Memang seniman agung negara iaitu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ada berkata lagikan lidah boleh tergigit inikan pula suami isteri. Fitrah hidup ini, kita memang akan terdedah kepada konflik, persepsi, spekulasi, fitnah dan benci. Namun, sedarkah kita bahawa jika kita miliki hati yang bersih, pemaaf, cara bercakap yang sopan dan personaliti hidup yang mulia bermula di dalam rumah lagi, maka insya Allah pasangan kita akan hormati kita.  Dia akan rasa sentiasa bangga, selamat, ceria dan kagumi diri kita sebagai pasangannya. Dia juga akan sentiasa terbayang akan akhlak mulia kita. Sikap baik kita akan memberi kesan kepada seisi keluarga kita. Misalnya, kita rakyat Malaysia sedia maklum betapa Tun Sakaran Dandai mantan Ketua Menteri Sabah, sebagai seorang suami yang pengasih, ayah yang berwibawa  dan pemimpin rakyat Malaysia yang disegani dan dicontohi akan ketertiban apabila berbicara, karismanya dalam setiap tindakan dan biografi dirinya ternyata menunjukkan dia seorang insan yang berwibawa dan mendapat kepercayaan tinggi oleh pasangannya dan juga seisi keluarganya. Inilah yang diharapkan akan dicontohi sikap orang yang mulia dan berjaya ibarat kata “Kepimpinan Melalui Teladan”.