OLEH:
DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN
PENGASAS
PUSAT ASUHAN PERTIWI MALAYSIA
PENDAHULUAN
Terlalu
banyak isu kaunseling keluarga yang saya kendalikan mutakhir ini berkisar
mengenai krisis ketidakpercayaan kepada pasangan masing-masing. Ada suami tak
percayakan isteri. Ada isteri yang tak percayakan suami. Ketidakpercayaan dari
aspek kesetiaan, kejujuran dan keikhlasan sebagai suami mahupun isteri. Jelasnya,
isu tersebut banyak berlaku dalam kalangan pasangan yang berkerjaya, masih muda
dan berpendidikan tinggi pula. Malah, semakin tinggi pendidikan, tinggi
pendapatan, tinggi pembacaan, semakin tinggi pula bentuk dan jenis kes-kes yang
menimbulkan ketidakpercayaan kepada pasangan mereka. Ada pasangan menjadi
marah, benci, dendam, trauma dan memfailkan perceraian di mahkamah Syariah.
Banyak kaunselor perkahwinan terkesan dan tertekan juga untuk merangka strategi
dan teknik kaunseling keluarga terbaik untuk membantu menangani masalah yang
sedang dialami pasangan berkenaan. Persoalannya, bagaimana isu tersebut boleh
timbul? Apakah pula solusinya? Saya jelaskan berdasarkan pengalaman saya
sebagai kaunselor “kaunseling keluarga”.
PUNCA KRISIS KETIDAKPERCAYAAN TERHADAP PASANGAN
Hakikatnya,
isu yang menjadi krisis ketidakpercayaan terhadap pasangan masing-masing sebenarnya
berpunca daripada masalah sikap. Soal sikap sangat ditekankan oleh junjungan Nabi Muhammad Saw. Kisah sahabat
Nabi Muhammad Saw bernama Abu Musa Al Asya’ari bertanya kepada baginda
Rasullullah Saw “Wahai Rasullullah,
siapakah orang Islam yang paling utama? Maka Rasullullah Saw menjawab; Seorang
muslim yang kaum muslimin selamat dari gangguan sikapnya pada lisan dan
tangan”. – (Muttafaqun Alaihi). Sehubungan dengan itu, bahawa sikap negatif
dalam kalangan pasangan pada hemat saya adalah yang merujuk kepada;
1.
Kelalaian dalam beribadat
2.
Hilang kesetiaan akibat
terpedaya dengan godaan orang lain
3.
Kecuaian pasangan yang tak
fokus kepada pasangan masing-masing
4.
Lupa amanah bagi menjaga
kebajikan jasmani, emosi, rohani dan intelek pasangan
5.
Lupa akan pengorbanan pasangan
sedari awal perkenalan hingga ke jinjang perkahwinan.
Kita mesti
sedar bahawa setiap insan memiliki ego,
maruah, perasaan, impian dan daya tindakan tersendiri. Layanan dan perhatian
yang mereka terima adalah cerminan daripada nilai akauntabiliti, empati dan sikap
peduli akan pasangan mereka sendiri. Maka apabila berlaku sikap kecurangan dan
tak bertanggungjawab terhadap pasangan, timbul persoalan siapa paling banyak
buat silap? Bahawa sikap negatif yang menimbulkan ketidakpercayaan pasangan
bukan sahaja ada pada personaliti kaum Adam, malah ia juga ada pada kaum Hawa.
Mengenainya, banyak alim ulamak dan pakar kaunseling keluarga memberi ingatan
seperti berikut;
“Mencegah lebih baik daripada merawat”
“Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya”
Ghalibnya,
banyak pasangan suami isteri dalam kalangan rakyat kita tidak cukup mapan iman
dan motivasi kendiri bagi berdepan dengan ujian;
1. Tekanan kewangan keluarga
2. Tekanan hawa nafsu
seksual
3. Tekanan bersosial dengan
rakan sekerja
4. Tekanan fesyen dan
hiburan di luar rumah
5. Tekanan caragaya hidup
moden yang bersifat hedonism
Apabila
pasangan sudah hilang kepercayaan, akan timbullah isu;
1. Penistaan
2. Penghinaan
3. Pergaduhan
4. Perseteruan
5. Pertelingkahan
6. Akhirnya boleh bercerai
berai
Umum
memaklumi, bahawa kehidupan di bandar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Bahru,
Seremban dan seumpamanya banyak menguji iman kalangan ahli masyarakat khususnya
kalangan pasangan yang sudah berkahwin bagi terlibat dengan aktiviti maksiat,
kecurangan dan kelalaian terhadap tanggungjawab diri terhadap pasangan
masing-masing. Misalnya, jika ada kalangan pasangan yang bekerja sebagai
usahawan MLM, ejen insuran, pegawai pemasaran, wartawan, jurujual dan
seumpanya, banyak ujian berupa godaan daripada pelbagai pihak yang terpikat dan
terpesona dengan kelebihan rupa paras dan penampilan yang dimiliki.
Menurut Nabi
Muhammad Saw, tidak ada perkara halal yang paling dibenci oleh Allah Taala
melainkan perceraian (HR Muslim). Sedangkan pahala membina ikatan pernikahan
bagi setiap pasangan muslim sama nilai pahala nya dengan membina sebuah masjid.
Maka bayangkan jika sebaliknya yang berlaku. Sungguh mendukacitakan bukan
sahaja buat junjungan Nabi Muhammad Saw malahan buat kita semua kaum muslimin.
Justeru, isu ini sangat penting untuk diambil iktibar dan pengajaran buat
setiap pasangan muslim kita di Malaysia khususnya dan dunia amnya.
CARA MENDAPAT KEPERCAYAAN OLEH PASANGAN
Sebenarnya,
untuk miliki kepercayaan pasangan tidaklah sukar, sulit atau misteri. Ia bermula dengan keyakinan tinggi dalam diri
sendiri. Kita mesti yakin kita boleh menjadi pasangan yang soleh, mulia dan
berwibawa, tanpa menunggu pasangan masing-masing berbuat kebaikan terlebih
dahulu kepada diri kita. Inilah yang ditegaskan dalam pepatah Melayu lama;
“Berharap
kepada anak, buta mata sebelah
Berharap
kepada orang, buta mata keduanya”
Ironinya, kepercayaan pasangan boleh dibina dengan amalan-amalan terpuji
seperti berikut;
1.
Setiap pasangan mesti bersolat
jemaah. Mengenainya, pihak suami mesti pimpin solat jemaah. Jangan pula suruh
isteri yang jadi imam. Ini pun boleh timbulkan ketidakpercayaan terhadap wibawa
seseorang suami. Bercakap sebagai seorang muslim tetapi tidak mampu pula jadi
imam. Masalah banyak berlaku dalam kes begini jika seseorang suami itu miliki
isteri yang jauh lebih tinggi ilmu keagamaannya sebaliknya si suami sebelum kahwin banyak berlakon kononnya
terampil sebagai seorang yang warak, namun realitinya naïf dari segi
pengetahuan agama khususnya dalam bab ibadah solat.
2.
Setiap pasangan mesti
menjauhkan diri daripada sikap yang banyak Syaz (kejanggalan) misalnya berubah
sikap asyik pulang lewat ke rumah, asyik marah-marah, kurang membelai pasangan,
sudah tidak romantik seperti sebelumnya dan tidak peka lagi dengan
tarikh-tarikh penting buat pasangan masing-masing misalnya tarikh lahir dan
tarikh hari berkahwin untuk majlis meraikannya bersama.
3.
Setiap pasangan mesti berusaha
untuk memantapkan imej diri dari hari ke hari. Misalnya mesti berusaha mantapkan
daya komitmen diri untuk memasak, membersih rumah, membasuh baju dan melayan
pasangan dengan bersungguh-sungguh. Niatkan demi untuk meraih pahala sebanyaknya
dan untuk mendapat reda Allah. Keberkatan Allah dekat kepada orang yang berbuat
baik dengan sungguh-sungguh kepada pasangan masing-masing.
Bidalan
Melayu lama ada merakamkan;
“Hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih”. Setiap kebaikan adalah rahmat daripada Allah Taala. Manakala
setiap keburukan adalah pilihan setiap manusia. Natijahnya buruk dan memberi
kesan duka di hati. Sebab itu setiap pasangan yang mahu kebahagiaan dalam hidup
mesti berusaha untuk menjadi seorang yang berperibadi baik dan berlumba berbuat
kebajikan terhadap pasangan hidup mereka. Al Quran banyak merakamkan kata-kata
kebaikan tersebut dengan perkataan
misalnya khair, hasanah, ihsan, toiyibah, birr, amal salih, fadhilan dan
fadhail. Manakala sikap buruk yang minimbulkan ketidakpercayaan terhadap
pasangan masing-masing di sebut dalam Al Quran sebagai syar, su’, ithm, maksiat, fusuq, ‘isyan, fasad, fahisah, fahsya,
munkar, radzilah dan radzail. Jelasnya, dalam satu hadis Nabi Muhammad Saw,
baginda telah menyatakan seperti berikut iaitu maksudnya “Kebajikan itu ialah berkaitan sikap yang baik (mahmudah), manakala
kejahatan (fasad) itu adalah sesuatu yang terbenam (rahsia) di dalam hati dan
kamu tidak suka apabila orang lain mengetahuinya”. – (HR Muslim)
Tatkala
menghadapi ujian misalnya berupa godaan, rayuan dan pujukan iblis jin dan
manusia berniat jahat, seseorang itu akan berjaya mengatasinya dengan adanya
sikap setia, iman yang kukuh, keberanian emosi untuk membuat keputusan yang
betul dan efikasi diri yang tinggi untuk menjauhkan diri daripada terjebak
dengan cinta palsu dan skandal yang boleh mengundang ketidakpercayaan pasangan
hidup masing-masing.
KESIMPULAN
Setiap
perbuatan baik pasti akan dibalas baik oleh Allah Taala. Tak perlu banyak
retorik dan tindak licik (cunning) untuk membina kepercayaan dan kasih sayang
oleh pasangan hidup kita. Memang seniman agung negara iaitu Allahyarham Tan Sri
P. Ramlee ada berkata lagikan lidah boleh tergigit inikan pula suami isteri.
Fitrah hidup ini, kita memang akan terdedah kepada konflik, persepsi,
spekulasi, fitnah dan benci. Namun, sedarkah kita bahawa jika kita miliki hati
yang bersih, pemaaf, cara bercakap yang sopan dan personaliti hidup yang mulia
bermula di dalam rumah lagi, maka insya Allah pasangan kita akan hormati kita. Dia akan rasa sentiasa bangga, selamat, ceria
dan kagumi diri kita sebagai pasangannya. Dia juga akan sentiasa terbayang akan
akhlak mulia kita. Sikap baik kita akan memberi kesan kepada seisi keluarga
kita. Misalnya, kita rakyat Malaysia sedia maklum betapa Tun Sakaran Dandai
mantan Ketua Menteri Sabah, sebagai seorang suami yang pengasih, ayah yang
berwibawa dan pemimpin rakyat Malaysia
yang disegani dan dicontohi akan ketertiban apabila berbicara, karismanya dalam
setiap tindakan dan biografi dirinya ternyata menunjukkan dia seorang insan
yang berwibawa dan mendapat kepercayaan tinggi oleh pasangannya dan juga seisi
keluarganya. Inilah yang diharapkan akan dicontohi sikap orang yang mulia dan
berjaya ibarat kata “Kepimpinan Melalui
Teladan”.
No comments:
Post a Comment