BELIA adalah tonggak dan penerus generasi sesebuah masyarakat. Mereka
mempunyai keupayaan luar biasa memandangkan dari segi tenaga, mereka
sangat kuat dan keupayaan yang cukup jauh untuk mereka membina kekuatan.
Di samping itu, golongan belia mudah dipengaruhi cara berfikir dan corak
hidup sesebuah masyarakat yang di anggap mereka sebagai masyarakat maju
dan berjaya. Asas penilaian itu disandarkan kepada kemajuan ekonomi
semata-mata.
Rata-rata masyarakat terbabit adalah masyarakat luar dimana cara hidup
mereka berbudayakan corak hidup ‘hedonisme’, iaitu corak hidup yang
mengutamakan kepuasan hawa nafsu. Corak hidup demikian memberi keutamaan
dan keluasan kebebasan mutlak kepada individu untuk berperanan dalam
kehidupan masyarakat.
Pendekatan kepada corak kehidupan sedemikian akan mengundang banyak
permasalahan kepada kestabilan dan kebajikan masyarakat keseluruhannya.
Dalam lingkungan usia yang suka mencuba, belia tanpa asas pandangan
hidup yang luhur dan meyakinkan, mudah dipengaruhi oleh pemikiran dan
budaya ‘hedonisme’.
Kebebasan hidup tanpa ikatan adalah sesuatu yang dekat dengan minat
belia. Yang menjadi kebimbangan ialah corak hidup sedemikian bukan saja
membinasa upaya dan kehidupan mereka, bahkan boleh menjadi golongan
masyarakat yang menggugat dan meroboh budaya sebuah masyarakat berakhlak
dan bertamadun.
Bukan sekadar itu, mereka turut pada akhirnya menjadi bebanan kepada keutuhan keseluruhan masyarakat terbabit.
Dalam menangani kemungkinan belia Islam dipengaruhi budaya yang
berbahaya dan boleh membantut kemajuan ummah, beberapa langkah berkesan
perlu diberi perhatian dalam membimbing hala tuju belia Islam dalam
konteks pembangunan belia di negara ini.
Pertama, belia Islam perlu memiliki pandangan hidup yang syumul
berkaitan dengan Islam itu sendiri. Pengamatan sedemikian akan
mewujudkan belia berwawasan serta dapat berperanan secara sesuai dan
berdaya maju.
Islam hendaklah difahami dan diyakini sebagai sistem penyusunan umat
manusia dalam membina sebuah tamadun mulia dan tinggi bersesuaian dengan
sifatnya yang menepati nilai kemanusiaan sejagat. Islam perlu dihayati
bukan sebagai reaksi kepada kemusnahan tamadun sekular semasa, bahkan
pada awal lagi ia diutuskan untuk memberi rahmat kepada keseluruhan umat
manusia termasuk yang bukan beragama Islam.
Prinsip Islam dalam menyusun dan membangun masyarakat adalah bersesuaian
dengan nilai kemanusiaan yang membolehkannya menangani perubahan cara
hidup dan ruang tempat yang berbeza. Di atas semangat kebenaran,
keadilan dan kasih sayang, pendekatan Islam akan sentiasa sesuai dan
berdaya maju. Kefahaman kepada Islam secara mendalam ini perlu
diusahakan melalui sistem pendidikan negara.
Aspek kedua membabitkan pembinaan keutuhan akhlak di kalangan semua
lapisan masyarakat Islam khususnya belia. Akhlak belia yang tinggi akan
menjadi asas kepada perjuangan dan cita-cita hidup mereka ke arah
menjayakan keluhuran Islam. Ia melahirkan keikhlasan dan ikatan emosi
seseorang kepada perjuangan Islam.
Akhlak tidak boleh difahami sebagai perilaku individu yang jujur dan
lurus semata-mata, ia harus dilihat dalam rangka lebih luas membabitkan
perjuangan ke arah mendaulatkan nilai kebenaran dalam semua aspek
kegiatan kehidupan. Ia turut meliputi usaha dan peningkatan ibadat untuk
menyuci niat dan sikap serta memiliki sifat ehsan kepada saudara
manusia yang lain dalam menjalani urusan hidup.
Kemuncak kepada penghayatan akhlak ialah anggota masyarakat akan
berusaha melaksana nilai dan semangat keadilan dalam penyusunan hidup
bermasyarakat dan bernegara.
Rata-rata orang Islam memahami dan masih menganggap bahawa memiliki
akhlak yang mulia akan membentuk individu menjadi seorang yang lurus dan
jujur dalam menerajui hidup dan pekerjaannya dengan tidak banyak
menimbulkan keburukan kepada masyarakat.
Kefahaman yang demikian menganjurkan kepada individu semoga membina
perilakunya saja dan tidak ingin berperanan dalam membaiki dan membangun
akhlak masyarakat. Sebagai insan yang bersifat individu sosial, sikap
sedemikian tidak menepati peranan seorang Islam positif. Umat Islam
perlu bersama dalam urusan menyusun masyarakat dengan semangat untuk
membina.
Pada masa ini, rata-rata akan bersetuju bahawa akhlak belia Islam
khususnya di Malaysia perlu ditingkatkan untuk perubahan positif demi
memajukan negara. Amalan rasuah, menipu, menindas, memfitnah dan
memiliki beberapa sifat lain yang hina, perlu dikikis dan dihapuskan.
Sifat ini adalah penghalang kepada semua bentuk kemajuan.
Arus kebendaan yang begitu ketara melanda masyarakat kita pada masa ini
perlu dibimbing moga kejayaan ekonomi sesetengah golongan membawa kepada
sumbangan membangun kebajikan masyarakat dan bukan ke arah memusnahkan
sifat kemuliaan kemanusiaan bermasyarakat.
Perpaduan masyarakat akan rapuh jika golongan kaya melupai tanggungjawab
sosial yang jelas dituntut oleh Islam. Pada contohnya, prinsip
‘memperoleh keuntungan melalui tanggungjawab sosial’ wajib dihayati oleh
golongan korporat Muslim.
Ia sangat menepati hasrat akhlak Islam. Golongan korporat Muslim yang
berjaya perlu berperanan positif untuk meningkat kebajikan hidup ummah
keseluruhannya. Melalui usaha itu, ia akan memberi teladan baik kepada
generasi belia mempelajari bahawa asas akhlak tetap sesuai dalam
memperoleh kejayaan dalam urusan perniagaan.
Akhlak Islam mendidik umatnya bahawa dalam menguasai harta ia harus
menganggap harta itu hanya sebagai amanah Allah. Justeru, harta yang
dimiliki perlu dibelanja dan dilabur demi mendapat keredaan Ilahi.
Ia tidak seharusnya menjadi matlamat mengumpul harta sebagai muktamad
dalam kehidupannya. Perspektif ini yang membezakan antara akhlak Islam
dengan fahaman sekular. Islam menganjur kepada hak pemilikan dengan
disertai kepada tanggungjawab keagamaan kepada kebajikan masyarakat.
Belia Islam yang berakhlak tidak patut membisu dengan amalan masyarakat
yang bercanggah dengan nilai Islam. Amalan rasuah, menyalahguna kuasa
dan menindas golongan awam yang miskin perlu dihapuskan.
Mereka perlu menangani persoalan itu dengan menyertai usaha membina
masyarakat dan bukan menjauhkan diri daripada membaiki keruntuhan
masyarakat. Gelanggang jihad termasuk berusaha membina akhlak
masyarakat. Dengan mantapnya akhlak masyarakat negara akan dapat
menjayakan agenda pembangunan yang sejati.
Dalam era semasa, sama dengan keperluan silam, tamadun manusia perlu
kepada pencapaian kemajuan ekonomi masyarakat dan negara yang mantap.
Rasulullah SAW begitu bimbang jika kemiskinan melanda masyarakat.
Baginda sentiasa mendoakan moga-moga cubaan itu dijauhi. Usaha untuk
memajukan ekonomi ummah perlu berpanjangan.
Tambah lagi dalam keadaan semasa adalah menjadi satu tuntutan bagi
sesebuah negara khususnya negara Islam seperti Malaysia berusaha untuk
memajukan ekonomi negara, bukan sekadar untuk menyelesaikan keperluan
asasi rakyat tetapi hendaklah berusaha dengan penuh perancangan untuk
mencapai taraf ekonomi maju yang mampu membolehkan negara menghayati
kemerdekaan pada hakikat sebenar dan seterusnya boleh mempengaruhi
perjalanan orde baru dunia.
Jika hasrat ini tidak dianggap sebagai suatu tuntutan pada masa ini,
keluhuran Islam tidak mungkin dapat dicapai dan dilaksana. Dalam era
semasa di mana kuasa ekonomi sangat penting, pelaksanaan dan penghayatan
Islam akan hanya dapat diwujudkan daripada kedudukan kekuatan ekonomi
umat Islam.
No comments:
Post a Comment