Monday, 14 November 2016

MENANGANI SUAMI BARAN



OLEH : Cr. Ahmad Kamal bin Ariffin, Phd.(012 6650387)


PENDAHULUAN
Suami baran atau  pemarah adalah ibarat parasit atau racun yang akan merosakkan kebahagiaan hati seorang wanita yang menjadi isterinya. Kemudian, ia akan berjangkit kepada anak-anak. Anak-anak akan mengalami tekanan perasaan. Isteri dan anak-anak akan menjadi rasa tidak selamat. Mudah mengalami kemurungan dan imej diri akan kelihatan berserabut, tidak ceria dan lemah semangat. Justeru, suami baran atau pemarah juga merupakan ayah yang baran. Suami, ayah atau lelaki yang panas baran tergolong dalam kalangan lelaki yang rendah moral dan tidak berkualiti. Lelaki yang rendah moral dan tidak berkualiti memang ada di muka bumi ini. Kewujudannya jika tidak dibendung atau dirawat boleh menimbulkan banyak masalah psikososial dalam kalangan masyarakat.

ISU
Seorang lelaki yang menjadi suami dan ayah dalam sesebuah keluarga bersikap panas baran adalah kerana;
1.      Dia tidak berilmu dari aspek sahsiah seorang suami
2.      Dia mungkin ada pengetahuan, namun dia tidak amalkan
3.      Dia pentingkan diri sendiri. Lebih suka memenuhi hawa nafsu sendiri dari segi makan minum, fesyen dan hiburan.  Akibatnya hatinya mati. Maka terbentuk jiwa yang keras, tidak berperi kemanusiaan dan mudah mengamuk di dalam  rumah jika ada sesuatu perkara yang mengguris hati dan meniriskan duit poketnya.
4.      Dia sedang alami dua penyakit merbahaya. Satu sakit poket, kedua sakit penyakit misalnya sakit jiwa, sakit hati, sakit pinggang, sakit kulit dan seumpamanya.

Banyak isu yang berupa krisis dan konflik  rumahtangga dalam kalangan rakyat kita yang berfokus kepada sikap suami misalnya;

1.      Suami pukul isteri
2.      Suami maki hamun isteri
3.      Suami tekan perasaan isteri di rumah
4.      Suami panas baran
5.      Suami terlalu kuat buruk sangka
6.      Suami dera anak
7.      Suami maki hamun anak
8.      Suami boros berbelanja
9.      Suami utamakan kawan-kawannya berbanding keluarga
1.  Suami banyak skandal

Jika kita perhalusi, memang ia berpunca daripada hati kalangan lelaki atau suami atau ayah yang lemah dari segi nilai iman, baik hati, penyabar dan ihsan terhadap dirinya sendiri dan orang lain. Orang lain disini bermaksud terhadap pihak isteri, anak-anak dan ahli keluarganya. Ia selari sebenarnya dengan Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul darah. Jika darah itu baik,maka baiklah seluruh tubuh badan itu. Jika ia buruk, maka buruklah seluruh tubuh badan itu. Maka ianya adalah hati”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

FORMULA PENYELESAIAN MASALAH
Umumnya, masyarakat sangat berharap supaya pendidikan psikologi rumahtangga didedahkan supaya semua pasangan yang ingin berkahwin diberi kursus dengan tujuan;

1.      Mencegah sikap negatif dalam kalangan suami dan isteri
2.      Mencegah perceraian
3.      Mencegah krisis rumahtangga
4.      Membentuk institusi keluarga yang bahagia
5.      Melahirkan anak-anak yang sihat dari segi jasmani, emosi, rohani dan inteleknya.

Pendidikan psikologi rumahtangga bahagia dapatlah digambarkan misalnya melalui hasrat nurani anak-anak melalui bait lagu nasyid kumpulan Sarjana  berikut;

Sedamai taman Firdausi
Limpahan kasih sayang sejati
Seharum semerbak kasturi
Mengharum hidup insani

Indanya damainya
Keluarga yang bahagia
Itulah idaman impian setiap insan
Yang dahagakan belaian
Serta kasih dan sayang.

Oh ayah oh ibu dengarlah rintihan
Dan luahan hatiku yang dahagakan  kasih
Jiwaku terasa terseksa ketandusan kasihmu
Marilah kita bina bersama-sama
Keluarga bahagia.

Jelasnya, bukan pihak isteri sahaja yang dahagakan kasih sayang dan role model kepimpinan yang mulia (mahmudah) daripada seorang suami dan bapa dalam sesebuah keluarga, malah yang lebih penting adalah oleh kalangan anak-anak.
Pada hemat saya, berdasarkan hadis Nabi SAW, bahawa kunci kebahagiaan rumahtangga adalah hati yang suci. Hati manusia hanya Allah yang boleh membolak balikkannya. Allah yang jaga hati manusia. Soal hati memang sulit untuk dikuasai melainkan berkat doa dan latihan kendiri yang utuh/gigih  tanpa mengenal putus asa.

Para suami dan isteri yang telah membaca atau terbaca hasil penulisan saya ini bolehlah berazam untuk menjadi insan yang soleh/solehah dengan melalui proses gerak tindak berikut;

1.      Adakan solat sunat hajat. Mengadulah kepada Allah akan belas rahmat bantuan dari-Nya. Pesan Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “ Pergilah pada hamba, lalu aku timpakan pelbagai ujian kepadanya kerana aku ingin mendengar rintihannya kepada-Ku” – Hadis Qudsi Riwayat Tabrani).
2.      Baiki, bina dan latih hati sendiri untuk menjadi insan bertakwa. Makanan hati ialah mengaji AlQuran dan baca tafsirnya, banyakkan bersedekah, berbuat baik kepada ibubapa dan guru-guru, menghadiri majlis-majlis ilmu agama di surau/masjid, membaca buku yang bagus-bagus, melihat keindahan alam berupa air lautan dan hidupan flora dan fauna yang pelbagai di dalam hutan.
3.      Berdoa terus minta Allah buka hati suami menjadi insan yang soleh/bertakwa. Orang soleh dia tidak panas baran.  Namun, atas sifat manusia yang lemah, tidak sempurna, maka dia jua mudah lupa. Ibarat kata orang Putih “ I’m not perfect, I know that. I make mistakes, I know I do…and I know that I will always love you…….”.Begitulah…..
4.      Orang lelaki yakni suami kelemahannya ialah pujuk rayu. Gunakan skill pujuk rayu tahap bidadari di syurga dengan objektif supaya suami teringat betapa Allah maha esa, Allah murka kepada suami yang bersikap baran terhadap isteri dan anak-anak, Allah kasih kepada hambanya yang penyayang terhadap isteri dan anak-anak. Selangi kata-kata pujuk rayu anda itu dengan pelukan dan usapan kasih sayang di tubuh suami anda.
5.      Tingkatkan daya ketundukan dan penghormatan isteri terhadap suami khususnya tatkala meraikan kepulangan suami dari bekerja di luar. Elak sikap suka buruk sangka, membebel dan mengungkit-ungkit akan kefungsian anda yang kononnya isteri ada hak, dah masak, dah kemas rumah, dah tolong cari duit, dah itu ini dan seumpamanya. Ia disebut kunci kepada krisis rumahtangga berpunca daripada komunikasi yang tidak berkesan di dalam rumahtangga.

Insya Allah, dengan mengamalkan 5 perkara mahmudah yang saya cadangkan diatas, akan terbitlah hati berikut:

1.      Hati yang sahih (Qalbun Sahih) yakni hati yang suci, bersih dan bebas daripada segala gangguan yang menyebabkan terhalangnya manusia melaksana perintah Allah dan bersikap lemah lembut terhadap isteri dan anak-anaknya.

Kemudian, akan bebaslah seseorang suami atau insan itu daripada 2 jenis hati berikut iaitu;

1.      Hati yang mati ( Qalbun Mayyit) yakni hati yang bersifat degil, angkuh dan mudah marah (ammarah). Orang yang miliki hati begini dianya malas untuk laksanakan solat dan amalan ibadah. Manusia yang miliki hati begini dia disukai iblis. Dia mudah terjerumus menjadi ahli neraka di akhirat kelak. Di dalam syurga, orang didalamnya ketika di dunia tidak langsung panas baran dan melakukan kekerasan terhadap orang lain dari segi perkataan dan juga perbuatan.
2.      Hati yang sakit ( Qalbun Maridh) yakni hati yang masih mempunyai harapan untuk hidup bahagia namun dalam hati nya itu masih wujud benih-benih penyakit ammarah atau panas baran. Mereka begini iman dan sahsiah nya tidak mantap. Sekejap OK sekejap Ko. Suami atau  orang macam ini tidak bagus.

KESIMPULAN

Sikap panas baran jelas merupakan terbit daripada hati yang lalai. Kelalaian menjadikan manusia termasuk para suami lupa akan hakikat dirinya sekadar hamba Allah yang lemah. Lupa akan hakikat hidup di dunia ini adalah sementara.  Umumnya hayat hidup manusia di muka bumi ini sekitar 63 tahun sahaja. Ikut usia Sunnah Nabi SAW. Jelasnya, hidup didunia ibarat jambatan ke akhirat. Ibnu Umar R.A telah berkata, bahawa Rasullullah SAW telah bersabda yang maksudnya “Jadilah kamu didunia ini seolah-olah kamu adalah orang asing atau sebagai orang yang melalui sesuatu jalan”.  Seterusnya, Ibnu Umar  telah menjelaskan bahawa “Apabila kamu berada di waktu petang, janganlah kamu menungu di waktu pagi. Dan jika kamu berada diwaktu pagi, janganlah kamu menunggu diwaktu petang. Manfaatkan kesihatanmu sebelum sakitmu dan hidupmu sebelum datangnya kematianmu. Jelasnya, kunci melembutkan hati manusia ialah iman dan takwa. Allah adalah kekuatan. Untuk mencari kekuatan maka carilah Allah. Ibarat kata orang Inggeris “God’s pleasure, blessing and guidance”.

SUAMI GILA GAJET



OLEH : Cr. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN, Phd.(012 6650387)

PENDAHULUAN

Gajet berasal daripada perkataan Bahasa Inggeris “Gadget”. Dalam kamus DBP,  gajet bermakna peralatan. Manakala perkataan gajet bagi penulisan ini merujuk kepada peralatan komunikasi zaman  kini yang berasaskan penggunaan telefon bimbi. Ia kini  sedang menjadi  keperluan utama generasi manusia zaman kini.  Umumnya, gajet ialah hasil teknologi duniawi, serba canggih, menyeronokkan dan kononnya segalanya di hujung jari. Umumnya, penggunaan gajet berkenaan menjurus kepada gajet telefon bimbit dan komputer bimbit yang berteknologi tinggi. Ia boleh berfungsi  menghantar mesej, kertas kerja, buku perkhidmatan, e-mel, surat menyurat, gambar, video dan seumpamanya. Dengan sifat hujung jari yang cekap menaip, para pengguna gajet akan menikmati pelbagai sumber hasilan informasi, hiburan dan gambar yang boleh memberi kesan motivasi intrinsik dan ekstrinsik kepada pengguna. Malah ia juga boleh memberi kesan positif dan juga negetif kepada para pengguna. Namun, ia jelasnya banyak bergantung kepada setakat mana tinggi atau rendahnya iman seseorang itu, khususnya kepada kalangan para suami.


ISU

Paparan media massa di dalam negara dan juga luar negara menjelaskan ada banyak isu yang muncul lantaran sikap suami yang dilihat negetif dari segi penggunaan gajet berkenaan. Namun, sebelum saya menjelaskan isu-isu negetif berkaitan salah caragaya penggunaan gajet, saya jelaskan dahulu akan kebaikan gajet kepada para pengguna khususnya kepada kalangan suami. Kebaikan  gajet dari segi kegunaannya adalah sebagai:

1.      Alat komunikasi
2.      Alat keselamatan
3.      Alat pencarian maklumat
4.      Alat bantu belajar
5.      Alat bagi penggunaan ibadah

Manakala kesan negetif gajet terhadap kalangan suami  ialah;

1.      Memudahkan suami terlibat dalam skandal
2.      Mengkhayalkan suami dari segi gambar dan video porno
3.      Ketagih dengan aktiviti melayari dan menggunakan aplikasi whattapps, keek, youtube, instagram, twitter dan facebook.
4.      Mengurangkan kemesraan suami isteri
5.      Merosakkan minda dan jiwa suami
6.      Menjadikan suami hidup dalam khayalan dan membazir masa dengan bermain gajet.
7.      Menjadikan suami cepat marah
8.      Menjadikan suami bersikap pentingkan diri sendiri

PUNCA

Punca berlakunya masalah suami ketagih gajet adalah disebabkan  tirisnya ilmu mengenai konsep kepimpinan sebagai seorang suami. Sebab itu Imam Al Ghazali berpesan “Menuntut ilmu adalah takwa. Menyampaikan ilmu adalah ibadah. Mengulang ilmu adalah zikir. Mencari ilmu adalah jihad”. Lantaran tirisnya ilmu mengenai ketrampilan suami dalam menggunakan gajet di rumah, maka timbullah isu suami ketagih gajet disebabkan;

1.      Suami lemah dari segi ilmu disiplin pengurusan masa
2.      Suami tidak jelas peranan sebagai suami, ayah dan role model kepada seisi keluarga.
3.      Suami tidak matang dari segi  memain peranan dan tanggungjawab sebagai suami
4.      Suami mementingkan kepentingan hawa nafsu sendiri
5.      Suami kurang penghayatan hidup berilmu agama dan mengamalkan ilmunya, selari dengan tuntutan agama.

Daripada 5 punca yang saya nyatakan diatas, perkara utama yang menjadi punca adanya suami lemah personaliti akibat gila gajet meskipun berada di rumah adalah perkara nombor 3 iaitu suami tidak matang dari segi peranannya sebagai suami dan ayah kepada anak-anaknya.
Kesan daripada sikap suami gila gajet, isteri di rumah akan berasa kekurangan dari segi;
1.      Sentuhan jasmani (Kemesraan akan kurang. Suami lebih banyak masa pegang gajet berbanding pegang isteri)
2.      Sentuhan rohani (Isteri kurang bimbingan rohani. Sebab  hati suami dah menjadi keras. Suami kurang atau tidak mampu memberi bimbingan kata-kata rohani kepada isteri dan anak-anak. Sebab suami sendiri tak betul dan kurang penghayatan rohani dalam jiwanya)
3.      Sentuhan emosi ( Hubungan mesra dan kekeluargaan menjadi kurang. Suami lebih stress kepada isu dan masalah yang ditumpunya pada bahan-bahan dalam gajet).
4.      Sentuhan intelek (Kurang majlis ilmu di dalam rumah. Suami tidak membudayakan aktiviti berbincang mengenai sesuatu yang bersifat ilmu duniawi dan ukhrawi bersama isteri dan juga anak-anak).
Jelasnya, kesan gila gajet menjadikan pihak suami hidup dalam dunia tersendiri. Malah ada suami yang bukan sahaja mengabaikan keperluan jasmani, emosi, rohani dan intelek isterinya di rumah, malah dirinya sendiri boleh terabai misalnya mengabaikan makan minum, kurang tidur, mata jadi rosak, sakit-sakit saraf badan dan hidup bagaikan “zombie” yang tidak ada empati terhadap diri sendiri dan orang lain. Mungkin atas kesedaran akan wujud kesan negetif gajet, Albert Einstein (1967) telah mengingatkan generasi muda pada hari ini dengan menyatakan “I fear the day that technology will surpass our human interaction. The world will have a generation of idiots”.

Dari aspek kesihatan diri pula, kajian dari Universiti Arizona, Amerika Syarikat (2015) mendapati sikap gila gajet dalam kalangan suami boleh memberi kesan negetif dari segi 7 perkara berikut;
1.      Sindrom suka menukar gajet  dari semasa ke semasa
2.      Susah hendak tidur malam
3.      Sindrom stress emosi
4.      Kegemukan
5.      Telinga rosak
6.      Mudah mendapat penyakit hati
7.      Mudah mendapat penyakit asma
Malah, dapatan kajian tersebut juga mendapati kotoran berkuman pada gajet telefon bimbit miliki kuantiti 10 kali ganda lebih banyak dibandingkan di bilik mandi. Seterusnya, rumusan kajian tersebut menyatakan sikap gila gajet dalam kalangan manusia dikenali sebagai nomophobia (no-mobile-phone-phobia), iaitu tanpa gajet seseorang itu mudah terasa sangat kekurangan, tertekan dan cemas.

FORMULA PENYELESAIAN MASALAH

Bagi mengatasi masalah tersebut, berikut adalah langkah-langkah yang perlu diamal dan dilakukan oleh pihak isteri;

1.      Doa. Berdoa dengan ikhlas dan bersungguh akan menjadikan pihak isteri menjadi lebih tenang dan bertawakal kepada Allah.
2.      Takwa. Berusahalah sehingga suami mendapat celik akal (kesedaran) bahawa imej suami yang bertakwa ialah dia lebih banyak masa pegang Al Quran dan sangat sikit masanya diperuntukkan untuk aktiviti menggunakan gajet ketika di dalam rumah bersama ahli keluarga khususnya isteri.
3.      Komunikasi. Cakaplah dengan suara dan intonasi yang paling lembut dan terbaik terhadap suami. Jangan lawan dan bercakap kasar terhadap suami. Sebaliknya bimbing dan ingatkan suami akan peranannya. Ia bagi membasmi sikap suami asyik main telefon bimbit samada di dalam bilik tidur, majlis makan malam seisi keluarga, bersantai depan televisyen dan telefon bimbit sentiasa didalam genggaman termasuklah ke dalam tandas.
4.      Tabah. Jangan berputus asa bagi mengingat dan membimbing suami supaya bersikap matang dan bebas daripada budaya gila gajet.
5.      Yakin. Sikap yakin akan kemampuan diri bagi mengubah suami agar tidak gila gajet. Justeru, berusahalah tanpa mengenal erti putus asas.
6.      Sopan. Suami akan mudah mendengar nasihat isteri  jika pihak isteri miliki peribadi yang lemah lembut namun sangat kuat dari segi mengamalkan gaya hidup muslimah. Misalnya pakaian menutup aurat, memuliakan suami dan anak-anak, tekun dalam menjaga makan minum, kesihatan, kebajikan bathin suami, pakaian seisi keluarga dan harta benda suami di dalam dan luar rumah. Fitrah para suami akan mudah cair dan setia nuraninya jika pihak isteri miliki konsep kendiri yang baik seperti diatas.
7.      Fitrah. Kena ingat sentiasa mengenai fitrah manusia. Misalnya adalah fitrah bahawa setiap manusia ada kelemahan. Setiap manusia berhak mendapat nasihat dan kasih sayang daripada sesiapa sahaja khususnya daripada seorang isteri kepada suami tercinta. Fitrah manusia sangat mudah tersentuh hati apabila mendapat nasihat dan layanan yang penuh kasih sayang, jauh daripada kata-kata berupa penghinaan dan marah-marah.

 
KESIMPULAN

Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Allah tidak menurunkan penyakit kecuali diturunkan penawarnya” (Riwayat Bukhari). Masalah suami gila gajet sebenarnya bukan masalah rumit untuk diperbaiki. Ia soal personaliti yang “matang” atau “belum matang”. Matang adalah soal istimewa dalam nilai konsep kendiri seseorang suami. Ada suami yang baharu berumur 20an namun nilai konsep kematangan kendirinya sangat bijak, matang dan jauh kehadapan. Sebaliknya ada suami yang sudah berumur 50an namun nilai konsep kendirinya tidak matang. Ia tidak jaga solat, terlalu suka bermain dan habis masa dengan aktiviti mengguna gajetnya. Natijahnya, pihak anak isteri menjadi meluat, sedih hati dan rasa tidak dihargai oleh pihak suami/ayah tersebut. Oleh itu, pihak isteri punyai peranan besar bagi menyedar dan memotivasi pihak suami agar berubah menjadi lebih matang. Apabila matang atau sedar diri, maka dia akan berubah menjadi lebih banyak beramal ibadah, melayan isteri dan anak-anak. Masanya akan berfokus kepada membuat amal kebajikan untuk ahli keluarganya samada di dalam atau diluar rumah. Isteri boleh memainkan peranan untuk mengubah sikap suami. Namun jika isteri tidak sanggup untuk berusaha keras  bagi mengubah sikap negetif  suami sendiri, maka pastinya orang lain tidaklah boleh diharapkan. Usaha tangga kejayaan. Yakin boleh.

Monday, 7 November 2016

RED HOT CHILLI

BELIA adalah tonggak dan penerus generasi sesebuah masyarakat. Mereka mempunyai keupayaan luar biasa memandangkan dari segi tenaga, mereka sangat kuat dan keupayaan yang cukup jauh untuk mereka membina kekuatan.

Di samping itu, golongan belia mudah dipengaruhi cara berfikir dan corak hidup sesebuah masyarakat yang di anggap mereka sebagai masyarakat maju dan berjaya. Asas penilaian itu disandarkan kepada kemajuan ekonomi semata-mata.

Rata-rata masyarakat terbabit adalah masyarakat luar dimana cara hidup mereka berbudayakan corak hidup ‘hedonisme’, iaitu corak hidup yang mengutamakan kepuasan hawa nafsu. Corak hidup demikian memberi keutamaan dan keluasan kebebasan mutlak kepada individu untuk berperanan dalam kehidupan masyarakat.

Pendekatan kepada corak kehidupan sedemikian akan mengundang banyak permasalahan kepada kestabilan dan kebajikan masyarakat keseluruhannya.
Dalam lingkungan usia yang suka mencuba, belia tanpa asas pandangan hidup yang luhur dan meyakinkan, mudah dipengaruhi oleh pemikiran dan budaya ‘hedonisme’.

Kebebasan hidup tanpa ikatan adalah sesuatu yang dekat dengan minat belia. Yang menjadi kebimbangan ialah corak hidup sedemikian bukan saja membinasa upaya dan kehidupan mereka, bahkan boleh menjadi golongan masyarakat yang menggugat dan meroboh budaya sebuah masyarakat berakhlak dan bertamadun.

Bukan sekadar itu, mereka turut pada akhirnya menjadi bebanan kepada keutuhan keseluruhan masyarakat terbabit.

Dalam menangani kemungkinan belia Islam dipengaruhi budaya yang berbahaya dan boleh membantut kemajuan ummah, beberapa langkah berkesan perlu diberi perhatian dalam membimbing hala tuju belia Islam dalam konteks pembangunan belia di negara ini.

Pertama, belia Islam perlu memiliki pandangan hidup yang syumul berkaitan dengan Islam itu sendiri. Pengamatan sedemikian akan mewujudkan belia berwawasan serta dapat berperanan secara sesuai dan berdaya maju.

Islam hendaklah difahami dan diyakini sebagai sistem penyusunan umat manusia dalam membina sebuah tamadun mulia dan tinggi bersesuaian dengan sifatnya yang menepati nilai kemanusiaan sejagat. Islam perlu dihayati bukan sebagai reaksi kepada kemusnahan tamadun sekular semasa, bahkan pada awal lagi ia diutuskan untuk memberi rahmat kepada keseluruhan umat manusia termasuk yang bukan beragama Islam.

Prinsip Islam dalam menyusun dan membangun masyarakat adalah bersesuaian dengan nilai kemanusiaan yang membolehkannya menangani perubahan cara hidup dan ruang tempat yang berbeza. Di atas semangat kebenaran, keadilan dan kasih sayang, pendekatan Islam akan sentiasa sesuai dan berdaya maju. Kefahaman kepada Islam secara mendalam ini perlu diusahakan melalui sistem pendidikan negara.

Aspek kedua membabitkan pembinaan keutuhan akhlak di kalangan semua lapisan masyarakat Islam khususnya belia. Akhlak belia yang tinggi akan menjadi asas kepada perjuangan dan cita-cita hidup mereka ke arah menjayakan keluhuran Islam. Ia melahirkan keikhlasan dan ikatan emosi seseorang kepada perjuangan Islam.

Akhlak tidak boleh difahami sebagai perilaku individu yang jujur dan lurus semata-mata, ia harus dilihat dalam rangka lebih luas membabitkan perjuangan ke arah mendaulatkan nilai kebenaran dalam semua aspek kegiatan kehidupan. Ia turut meliputi usaha dan peningkatan ibadat untuk menyuci niat dan sikap serta memiliki sifat ehsan kepada saudara manusia yang lain dalam menjalani urusan hidup.

Kemuncak kepada penghayatan akhlak ialah anggota masyarakat akan berusaha melaksana nilai dan semangat keadilan dalam penyusunan hidup bermasyarakat dan bernegara.

Rata-rata orang Islam memahami dan masih menganggap bahawa memiliki akhlak yang mulia akan membentuk individu menjadi seorang yang lurus dan jujur dalam menerajui hidup dan pekerjaannya dengan tidak banyak menimbulkan keburukan kepada masyarakat.

Kefahaman yang demikian menganjurkan kepada individu semoga membina perilakunya saja dan tidak ingin berperanan dalam membaiki dan membangun akhlak masyarakat. Sebagai insan yang bersifat individu sosial, sikap sedemikian tidak menepati peranan seorang Islam positif. Umat Islam perlu bersama dalam urusan menyusun masyarakat dengan semangat untuk membina.

Pada masa ini, rata-rata akan bersetuju bahawa akhlak belia Islam khususnya di Malaysia perlu ditingkatkan untuk perubahan positif demi memajukan negara. Amalan rasuah, menipu, menindas, memfitnah dan memiliki beberapa sifat lain yang hina, perlu dikikis dan dihapuskan. Sifat ini adalah penghalang kepada semua bentuk kemajuan.

Arus kebendaan yang begitu ketara melanda masyarakat kita pada masa ini perlu dibimbing moga kejayaan ekonomi sesetengah golongan membawa kepada sumbangan membangun kebajikan masyarakat dan bukan ke arah memusnahkan sifat kemuliaan kemanusiaan bermasyarakat.

Perpaduan masyarakat akan rapuh jika golongan kaya melupai tanggungjawab sosial yang jelas dituntut oleh Islam. Pada contohnya, prinsip ‘memperoleh keuntungan melalui tanggungjawab sosial’ wajib dihayati oleh golongan korporat Muslim.

Ia sangat menepati hasrat akhlak Islam. Golongan korporat Muslim yang berjaya perlu berperanan positif untuk meningkat kebajikan hidup ummah keseluruhannya. Melalui usaha itu, ia akan memberi teladan baik kepada generasi belia mempelajari bahawa asas akhlak tetap sesuai dalam memperoleh kejayaan dalam urusan perniagaan.

Akhlak Islam mendidik umatnya bahawa dalam menguasai harta ia harus menganggap harta itu hanya sebagai amanah Allah. Justeru, harta yang dimiliki perlu dibelanja dan dilabur demi mendapat keredaan Ilahi.

Ia tidak seharusnya menjadi matlamat mengumpul harta sebagai muktamad dalam kehidupannya. Perspektif ini yang membezakan antara akhlak Islam dengan fahaman sekular. Islam menganjur kepada hak pemilikan dengan disertai kepada tanggungjawab keagamaan kepada kebajikan masyarakat.

Belia Islam yang berakhlak tidak patut membisu dengan amalan masyarakat yang bercanggah dengan nilai Islam. Amalan rasuah, menyalahguna kuasa dan menindas golongan awam yang miskin perlu dihapuskan.

Mereka perlu menangani persoalan itu dengan menyertai usaha membina masyarakat dan bukan menjauhkan diri daripada membaiki keruntuhan masyarakat. Gelanggang jihad termasuk berusaha membina akhlak masyarakat. Dengan mantapnya akhlak masyarakat negara akan dapat menjayakan agenda pembangunan yang sejati.

Dalam era semasa, sama dengan keperluan silam, tamadun manusia perlu kepada pencapaian kemajuan ekonomi masyarakat dan negara yang mantap. Rasulullah SAW begitu bimbang jika kemiskinan melanda masyarakat. Baginda sentiasa mendoakan moga-moga cubaan itu dijauhi. Usaha untuk memajukan ekonomi ummah perlu berpanjangan.

Tambah lagi dalam keadaan semasa adalah menjadi satu tuntutan bagi sesebuah negara khususnya negara Islam seperti Malaysia berusaha untuk memajukan ekonomi negara, bukan sekadar untuk menyelesaikan keperluan asasi rakyat tetapi hendaklah berusaha dengan penuh perancangan untuk mencapai taraf ekonomi maju yang mampu membolehkan negara menghayati kemerdekaan pada hakikat sebenar dan seterusnya boleh mempengaruhi perjalanan orde baru dunia.

Jika hasrat ini tidak dianggap sebagai suatu tuntutan pada masa ini, keluhuran Islam tidak mungkin dapat dicapai dan dilaksana. Dalam era semasa di mana kuasa ekonomi sangat penting, pelaksanaan dan penghayatan Islam akan hanya dapat diwujudkan daripada kedudukan kekuatan ekonomi umat Islam.

KAUNSELING BANGSA

Kekuatan apakah yang ada pada bangsa Melayu sehingga tiga kuasa Barat itu tidak berjaya memusnahkan negeri-negeri Melayu dan memecahkan bangsa Melayu menjadi suku-suku kaum atau ‘tribes’ yang tidak bernegeri seperti yang berlaku pada penduduk pribumi di Amerika, di Australia dan di New Zealand?

Kekuatan yang ada pada bangsa Melayu sepanjang sejarahnya ialah perpaduan. Ini timbul daripada adanya kesedaran di kalangan orang Melayu, di mana pun mereka berada, bahawa mereka adalah anggota dalam satu kesatuan sosiobudaya dan sosiopolitik yang disebut bangsa Melayu atau the Malay nation, kata Raffles.

Empat faktor yang membentuk perpaduan Melayu dan yang berjaya mengekalkan identiti bangsa Melayu sepanjang sejarahnya ialah: Bahasa Melayu, budaya Melayu, Islam, dan keterbukaan minda bangsa Melayu.

Kita tahu bahawa di rantau kita ini terdapat banyak sekali dialek Bahasa Melayu – dialek negeri dan dialek daerah. Tetapi, di atas segala dialek ini telah muncul satu ragam Bahasa Melayu yang kita sebut bahasa persuratan atau sekarang kita sebut Bahasa Melayu kebangsaan. Bahasa inilah yang menyatukan bangsa Melayu, tidak kira di manakah mereka berada, sama ada di Kelantan, di Kedah, di Johor atau di Negeri Sembilan.

Bahasa Melayu kebangsaan inilah yang menjadi bahasa kerajaan Melayu sejak zaman kerajaan Melayu-Islam yang pertama di abad ke-12-13, iaitu kerajaan Samudera-Pasai di daerah Aceh sekarang. Sampai ke zaman pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu; Bahasa Melayu tetap kekal sebagai bahasa kerajaan Melayu di samping Bahasa Inggeris.

Faktor lain yang cukup penting dan berpengaruh sebagai pembentuk tamadun dan perpaduan bangsa Melayu sepanjang sejarahnya ialah agama Islam. Kita bernasib baik kerana Islam yang diterima dan diamalkan oleh orang Melayu ialah Islam menurut Sunnah Nabi.

Orang Melayu tidak dipecahkan oleh pelbagai mazhab, khususnya antara mazhab sunni dan ‘mazhab Syiah’, atau mazhab-mazhab lain seperti yang terdapat di beberapa negara Arab, misalnya di Lubnan, di Iraq, di Iran, bahkan juga di Pakistan yang menyebabkan negara-negara itu sentiasa menghadapi masalah berpecahan antara kaum berdasarkan mazhab; mereka berperang dan berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Akibatnya, pembangunan negara mereka terjejas. Kemajuan mereka dalam bidang apa pun terjejas. Negara mereka menjadi lemah dan mudah dijajah oleh kuasa luar.

Bangsa Melayu tidak mengalami masalah ini sepanjang sejarahnya. Walaupun mereka pernah dijajah namun perpaduan mereka, ‘solidarity’ mereka, tidak pecah – pepatah Melayu berkata, ‘bercerai kita roboh bersatu kita teguh’. Inilah semangat kebangsaan Melayu yang menyebabkan mereka dapat bersatu dalam satu gerakan kebangsaan di seluruh Tanah Melayu untuk menentang gagasan atau muslihat Malayan Union dalam tahun 1946.

Orang Melayu juga terkenal sebagai bangsa yang berminda terbuka dan kreatif. Mereka sangat toleransi terhadap kaum-kaum lain yang datang dari kawasan di luar ‘Dunia Melayu’. Ini merupakan ciri penting budaya Melayu. Pengalaman Melayu dalam sejarahnya bertembung dan berinteraksi secara kreatif, tidak secara pasif sahaja dengan tamadun luar dari India, dari dunia Arab-Islam, dari kawasan-kawasan di luar Tanah Melayu dan akhirnya dari Barat, membuktikan hakikat ini.

Itulah kekuatan yang ada pada bangsa Melayu dalam sejarahnya, iaitu perpaduan. Mereka bersatu melalui bahasa dan budaya yang sama dan melalui agama Islam. Kerana inilah orang Melayu berjaya membentuk diri mereka sebagai suatu bangsa atau nation, dan tidak berpecah kepada suku-suku kaum atau tribes yang mudah dipinggirkan sehingga akhirnya identiti mereka akan mudah dimusnahkan oleh kuasa-kuasa luar. Dato Onn Jaafar membangkitkan semangat Melayu seluruh Semenanjung, termasuk Singapura, berdasarkan seruan Alif, Ba, Ta. Alif bererti Agama Islam, ba bererti Budaya dan Bahasa Melayu, dan ta bererti Tanah Air Melayu. Inilah tiga alat yang ada pada bangsa untuk menentang gagasan dan muslihat Malayan Union.

Jadi pendapat saya usaha untuk membetulkan kesalahan dan kerosakan yang telah dilakukan oleh penjajah Inggeris di Tanah Melayu terhadap minda bangsa Melayu dan terhadap keadaan ekonomi, pendidikan, sosial dan politik atau kuasa mereka di Tanah Air mereka sendiri dan usaha untuk membina perpaduan kebangsaan sebagai asas kemajuan negara tidak akan berkesan jikalau usaha itu tidak didasarkan atas kekuatan bangsa Melayu yang telah ada pada mereka sejak dahulu. Pembangunan bangsa Melayu selepas merdeka tidak berguna kepada bangsa Melayu dan kepada negara jikalau pembangunan itu tidak dapat mengekalkan perpaduan Melayu atau jika pembangunan itu boleh membawa kepada perpecahan kaum Melayu.