Friday 24 February 2017

CINTAI BAHASA MELAYU



Orang Jawa mencari benang,
Mencari benang di atas bukit;
Orang jauh jangan dikenang,
Lama-lama jadi penyakit.


Orang mengail di Teluk Bulang,
Apalah umpannya si kulit duku;
Jangan bermain kekasih orang,
Nyawa tersangkut di hujung kuku.


Patah jarum dalam peti,
Buat menjahit kain bertimbun;
Nasihat sepatah kurang dimengerti,
Rupanya penawar beribu tahun.


Padi muda jangan dilurut,
Kalau dilurut patah batangnya;
Hati muda jangan diturut,
Kalau diturut susah datangnya.


Bawa mari ke kedai Cina,
Kerana itu buah dagangan;
Hidup kita biar sempurna,
Kerana dunia ini adalah tumpangan.


Beras kisar mudik ke hulu,
Tanak pulut santan durian;
Tak ada orang menyesal dahulu,
Banyak orang menyesal kemudian.


Bukan tidak saya katakan,
Merbuk biasa makan di papan;
Bukan tidak saya katakan,
Buah mabuk jangan dimakan.


Bukit Jertih berhutan buluh,
Tempat raja pergi memburu;
Minta selisih malaikat empat puluh,
Janganlah saya diberi malu.


Orang hulu memalu nobat,
Nobat dipalu kayu berangan;
Fikir dahulu sebelum buat,
Kalau dibuat menyesal jangan.


Angin teluk menyisir pantai,
Hanyut rumpai di bawah titi;
Biarlah buruk kain dipakai,
Asal pandai mengambil hati.

Buah pelaga makan dikikir,
Dibawa orang dari hulu;
Sebarang kerja hendak difikir,
Supaya jangan mendapat malu.

Hendak belayar ke Teluk Betong,
Sambil mencuba labuhkan pukat;
Bulat air kerana pembetung,
Bulat manusia kerana muafakat.

Pakai baju warna biru,
Pergi ke sekolah pukul satu;
Murid sentiasa hormatkan guru ,
Kerana guru pembekal ilmu.

Jangan pergi mandi di lombong,
Emak dan kakak sedang mencuci;
Jangan suka bercakap bohong,
Semua kawan akan membenci.

Jikalau tuan mengangkat peti ,
Tolong masukkan segala barang;
Jikalau anak-anak bersatu hati .
Kerja yang susah menjadi senang .

Asam kandis mari dihiris ,
Manis sekali rasa isinya ;
Dilihat manis dipandang manis ,
Lebih manis hati budinya .

Selasih tumbuh di tepi telaga ,
Selasih dimakan si anak kuda;
Kasih ibu membawa ke syurga,
Kasih saudara masa berada.

Masuk hutan pakai sepatu,
Takut kena gigitan pacat;
Kalau kita selalu bersatu,
Apa kerja mudah dibuat.

Orang haji dari Jeddah
Buah kurma berlambak-lambak
Pekerjaan guru bukanlah mudah
Bagai kerja menolak ombak

Pinang muda dibelah dua
Anak burung mati diranggah
Dari muda sampai ke tua
Ajaran baik jangan diubah

Asal kapas menjadi benang
Dari benang dibuat kain
Barang yang lepas jangan dikenang
Sudah menjadi hak orang lain

Kapal Anjiman disangka hantu
Nampak dari Kuala Acheh
Rosak iman kerana nafsu
Rosak hati kerana kasih

Tingkap papan kayu bersegi
Sampan sakat di Pulau Angsa
Indah tampan kerana budi
Tinggi darjat kerana bahasa

Bintang tujuh sinar berseri
Bulan purnama datang menerpa
Ajaran guru hendak ditaati
Mana yang dapat jangan dilupa

Parang tajam tidak berhulu
Buat menetak si pokok Ru
Bila belajar tekun selalu
Jangan ingkar nasihat guru

Hari malam gelap-gelita
Pasang lilin jalan ke taman
Sopan santun budaya kita
Jadi kebanggaan zaman berzaman

Pergi berburu sampai ke sempadan
Dapat Kancil badan berjalur
Biar carik baju di badan
Asalkan hati bersih dan jujur

Dalam semak ada duri
Ayam kuning buat sarang
Orang tamak selalu rugi
Macam anjing dengan bayang

Baik-baik mengirai padi
Takut mercik ke muka orang
Biar pandai menjaga diri
Takut nanti diejek orang

Ke hulu membuat pagar
Jangan terpotong batang durian
Cari guru tempat belajar
Supaya jangan sesal kemudian

Padi muda jangan dilurut
Kalau dilurut pecah batang
Hati muda jangan diturut
Kalau diturut salah datang

Orang Daik memacu kuda
Kuda dipacu deras sekali
Buat baik berpada-pada
Buat jahat jangan sekali

Dayung perahu tuju haluan
Membawa rokok bersama rempah
Kalau ilmu tidak diamalkan
Ibarat pokok tidak berbuah

Kalau kita menebang jati
Biar serpih tumbangnya jangan
Kalau kita mencari ganti
Biar lebih kurang jangan

Adik ke kedai membeli halia
Emak memesan membeli laksa
Jadilah insan berhati mulia
Baik hati berbudi bahasa

Pantai Mersing kuala Johor
Pantainya bersih sangat mashyur
Pohonkan doa kita bersyukur
Negara kita aman dan makmur

Tuan Mahmud bermain tombak,
Dang Kasuma menangkap tupai;
Kalau takut dilambung ombak,
Jangan berumah di tepi pantai.

Sayang Musalmah memakai tudung,
Tudung dipakai sebelah kiri;
Apa dikenang kepada untung,
Untung tak untung diri sendiri.

Ambil bertih dari hulu,
Isi mari di dalam balang;
Bersihkan laman kita dahulu,
Baru bersihkan halaman orang.

Anak tiung anak ketitir,
Anak balau terlompat-lompat;
Barang dikendong habis tercicir,
Barang dikejar haram tak dapat.

DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN, KB.PA (012 6650387)




Tarikh Lahir : 05.05.1975
Asal : Seremban, N.Sembilan


Pendidikan;

1. SPM dan STPM - SMA DATO KLANA, SEREMBAN, N. SEMBILAN, SMKA MIRI, SARAWAK, SMKA SHEIKH HAJI MOHD SAID SEREMBAN, N. SEMBILAN

2. B.eD HONS - UPM

3. M.eD - UM

4. PhD - UM

5. ADVANCE DIPLOMA - CITY & GUILDS, UK



Pengalaman kerjaya;

1. OPERATOR AIR COND SAMSUNG (1994) 
2. KERANI PERMODALAN NASIONAL BERHAD (1995)
3. GURU / WARDEN ASREMA SMK SEKSYEN 18, SHAH ALAM (KPM) (1999-2006)
4. PENOLONG PENGARAH DISIPLIN (2007)
5. PENOLONG PENGARAH KAUNSELING HEM (2007-2011)
6. PENOLONG PENGARAH AKADEMIK (2012)
7. PENYELIDIK PHD DI FAKULTI PENDIDIKAN UNIVERSITI MALAYA (2013-2016)
8. KETUA PENOLONG PENGARAH, PUSAT DIPLOMASI BAHASA DAN BUDAYA - IDFR, KEMENTERIAN LUAR NEGERI (2016-2019)
9. PAKAR RUJUK PENGURUSAN KAUNSELING KPM (2006 HINGGA KINI)
10. PAKAR RUJUK PELATIHAN HAKIM BAHAS ALA PARLIMEN BAHASA MELAYU, KPM (2003 HINGGA KINI)
11. PAKAR KAUNSELING KELUARGA - KOLUMNIS BEBAS MAJALAH MINGGUAN WANITA, KARANGKRAF (2016 HINGGA KINI)
12. PAKAR RUJUK MODUL KURSUS KAUNSELING, EMCEDD DAN PPUM (2015 HINGGA KINI)
13. PAKAR RUJUK MODUL KAUNSELING KENDIRI, HUSHIM MOTIVATIONAL DAN ZAKAT SELANGOR (2003 HINGGA KINI)
14, PAKAR RUJUK KERTAS KONSEP DAN KESANTUNAN BERBAHASA DALAM PENULISAN CADANGAN - INFOTECH QUEST MALAYSIA (2006 HINGGA KINI).





Merupakan;
  • Pakar Motivasi
  • Kaunselor Profesional
  • Kolumnis Majalah Mingguan Wanita, Karangkraf
  • Penulis Buku Kaunseling Keluarga
  • Penulisa Buku Kepimpinan Pendidikan HEM
  • Pakar Penyeliaan Pengajaran dan Motivasi Guru
  • Pengasas, Pusat Asuhan Pertiwi, Malaysia (2003)







































Tuesday 14 February 2017

BAHAYA SIKAP BOHONG DALAM MEMBINA MAHLIGAI PASANGAN BAHAGIA


OLEH :

DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN, 012 6650387
Pusat Asuhan Pertiwi
Kuala Pilah.

PENDAHULUAN


Menurut Prof Hamka (1949), bohong sama maksudnya khianat. Dalam bahasa Melayu, perkataan bohong sama maksudnya dengan menipu. Menurut orang bijak pandai, orang berbohong selalunya akan rasa untung sekejap sahaja. Kelak, dia akan mengalami banyak kerugian dari segi jasmani dan emosi. Dia akan dibenci, diragui dan hilangnya kebahagiaan yang dikecapinya, barang seketika. Ada pantun Melayu lama berbunyi;
Jangan pergi mandi di lombong,
Emak dan kakak sedang mencuci;
Jangan suka bercakap bohong,
Semua orang akan membenci.


PUNCA PEMBOHONGAN DALAM KALANGAN PASANGAN BERUMAHTANGGA


Kini, banyak kes kaunseling yang berhubung dengan isu pasangan berbohong. Baik suami mahupun isteri, jelasnya turut terlibat dengan salahlaku pembohongan. Menyedari bahaya bohong dalam berumahtangga, maka saya pilih tajuk ini untuk tatapan para pembaca. Moga ia diambil pengajaran. Bahawa dapatan daripada kes-kes kaunseling keluarga yang saya kendalikan mendapati ada suami dan isteri melakukan pembohongan disebabkan;


1. Ingin selamatkan diri daripada dimarahi atau diceraikan
2. Ingin memastikan dirinya dapat meneruskan tindakan yang dilakukan itu tanpa prasangka
3. Ingin kepuasan diri

Diantara perkara-perkara yang menjadi pokok persoalan berkaitan kes pembohongan dalam hubungan suami isteri ialah;

1. Mengenai kewangan
2. Mengenai skandal
3. Mengenai kesihatan

Banyak kalangan suami isteri dalam masyarakat kita didapati tidak jelas akan bahaya berbohong dalam kehidupan berumahtangga. Ketirisan kefahaman mengenainya adalah kesan daripada;

1. Lupa akan nasihat para guru agama, moral dan juga ibubapa
2. Lalai dengan kemewahan hidup
3. Gagal menahan sabar dengan kesulitan hidup

Bagi mengatasi kesulitan, kekurangan dan tekanan perasaan kendiri, maka banyak kalangan pasangan suami isteri dalam masyarakat kita kini yang melakukan pembohongan terhadap pasangan masing-masing. Ada juga kes pasangan masing-masing yang membohongi pasangannya mengenai sumber makanan dan wang yang dibawa pulang ke rumah. Makanan itu dibeli hasil daripada wang rasuah atau curi, sebaliknya dikatakan kepada pasangan masing-masing hasil berkat daripada kerja yang jujur dan halal. Mereka lupa akan Allah yang melihatnya. Mereka lupa akan malaikat Rakib dan Atid yang mencatat segala amal perbuatannya. Begitulah cabaran kita mendidik ummah kita kini, bagi memastikan masyarakat hidup jujur dan harmoni.


KESAN BERBOHONG


Kesan daripada membohong sebenarnya sangat buruk. Disamping dapat dosa, hati orang yang suka membohong juga akan rosak. Kerana membohong itu, hati menjadi jahat, zalim dan cenderung melakukan mencuri. Menyedari bahaya bohong itulah, orang-orang tua dahulu hasilkan ungkapan “Mula-mula membohong, lama-lama mencuri!”.

Ada satu pantun Melayu yang berbunyi;

Setali membeli kemenyan
Sekupang membeli papaya
Sekali kita berbohong
Seumur hidup orang tak percaya.

Begitulah kesan utama pembohongan atau berkata dusta. Prof Hamka (1949) adalah orang yang semasa hayatnya sering mengingatkan manusia supaya jangan berbohong. Katanya “Bohong sekali adalah laksana nila setitik dimasukkan ke dalam susu sebelanga. Bohong sekali kerap menjatuhkan harga seseorang di hadapan semasa manusia untuk selama-lamanya. Atau sebaik-baik keuntungannya, dia harus lebih dahulu membuktikan berpuluh kali kebenaran, baharulah bohongnya yang sekali itu daoat dipandang orang sebagai suatu kealahan, yang dapat dimaafkan. Orang yang berbohong itu, walaupun dia solat tunggang tunggik, solatnya itupun dilihat sebagai bohong pula”.

Nabi Muhammad SAW telah bersabda, maksudnya;

“Amatlah besarnya khianatmu jika engkau cakapkan kepada saudaramu suatu perkara, yang dia mengangka perkataanmu benar. Padahal engkau sendiri merasa bahawa engkau berbohong”. (HR Muslim).
Selama saya jadi kaunselor keluarga, saya dapati kesan membohongi pasangan dalam institusi keluarga akan menatijahkan perkara berikut;

1. Terbitnya rasa duka
2. Terbitnya krisis komunikasi perorangan
3. Terbitnya rasa ketidakbolehpercayaan
4. Terbitnya masalah kecelaruan emosi samada satu pihak atau keduanya
5. Terbitnya isu perceraian
6. Anak-anak tertekan
7. Kejelekitan pasangan menjadi terlerai
8. Terhakisnya kasih sayang
9. Hilang fokus membina keutuhan ekonomi institusi keluarga
10. Kebahagiaan hidup terhakis dan mungkin hilang


CARA MERAWAT PEMBOHONGAN KENDIRI


Mengenainya, Imam Al Ghazali pernah mengingatkan bahawa sikap bohong itu boleh dibasmi atau dirawati dengan sikap benar (jujur). Dan sikap benar itu ada 6 ciri iaitu;


1. Benar dalam berkata-kata
2. Benar dalam niatnya
3. Benar dalam azamnya
4. Benar dalam tindakannya
5. Benar dalam kerjayanya
6. Benar dalam penghayatan agamanya


Berdoa, bertaubat dan berusahalah supaya menjadi suami atau isteri atau insan yang jujur lagi benar dalam setiap tindakan. Itulah kendiri hamba Allah yang bertakwa.


KESIMPULAN


Hidup berumahtangga biarlah berobjektif untuk sama-sama berbahagia, saling melengkapi seterusnya dapat melahirkan zuriat yang unggul, terbilang yang dewasanya kelak menjadi insan yang soleh dan berbakti buat negara bangsanya. Rumahku syurgaku. Ia adalah satu ungkapan yang indah dan mampan. Persoalannya, bagaimana kita nak jadikan rumah kita ibarat syurga jika sikap kita mencerminkan ahli neraka, iaitu berbohong. Justeru, buanglah yang keruh ambillah yang jernih, nescaya indah peribadi. Memaafkan adalah sunnah Nabi Saw. Tetapi harga sebuah kemaafan tidaklah boleh sampai kita memaksa pasangan kita untuk menerima kebohongan kita “membabi buta”. Andai pasangan kamu tidak suka lagi kepada kamu lantaran sikap buruk kamu yang berbohong, misalnya mencuri, berzina atau khianat, maka dia minta fasakh atau ingin bercerai, maka kamu mesti terima dengan iman. Kalau dah jodoh tidak ke mana. Kalau dah tidak ada jodoh nak buat macam mana. Itu semua suratan takdir. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian dah tak berguna dah. Apa yang penting, hidup ini ada syarat, protokol dan etikanya. Jangan sampai bunuh diri kerana bohong, kerana ia pasti menjadikan kamu ahli neraka. Hanya dengan bertaubat nasuha, setiap ummah berpeluang untuk kembali menjadi hamba Allah yang bertakwa. Asas menuju taubat dan takwa adalah hati yang bersih dan jujur. Ia dirakamkan dalam pantun Melayu yang berbunyi;


Pergi berburu sampai ke sempadan
Dapat Kancil badan berjalur
Biar carik baju di badan
Asalkan hati bersih dan jujur

SEKIAN, TERIMA KASIH,
HARAPLAH SELAGI BERNAFAS.

Wednesday 1 February 2017

PERANAN HATI DALAM MEMBINA JIWA BAHAGIA




OLEH:
DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN, 012 6650387
PUSAT ASUHAN PERTIWI
KUALA PILAH

02 FEBRUARI 2017

PENDAHULUAN
Daripada mata turun ke hati. Hati adalah pusat kebahagiaan, ketulenan dan keunggulan personaliti setiap insan. Seseorang yang memiliki hati yang disebut sebagai tulus ikhlas, baik dan suci akan memiliki jiwa yang sihat, tubuh yang kuat dan semangat juang yang sentiasa positif. Hati juga di sebut kalbu. Menurut Nabi Muhammad SAW, maksudnya, “Didalam tubuh badan manusia ada seketul darah. Jika ia baik, maka baiklah seluruh tubuh badan manusia. Jika ia buruk, maka buruklah seluruh tubuh badan manusia. Maka ianya adalah kalbu (hati nurani) – (HR Muslim).

CABARAN HIDUP
Manusia yang hidup dalam abad ke 21 kini mengalami banyak cabaran. Cabaran hidup pula merujuk kepada ingatan oleh baginda Rasulullah SAW, sesudah tamat peperangan Badar, maka terdapat ujian yang lebih berat selepas peperangan itu, iaitu ujian berat melawan hawa nafsu sendiri. Dalam kontek kehidupan kita dewasa ini di Malaysia, dengan bermula di alam sekolah rendah, menengah hinggalah ke alam universiti, manusia itu mengalami pelbagai kesulitan dan dugaan. Di sekolah rendah sebagai contoh, anak-anak orang miskin atau sederhana akan menerima tekanan emosi sangat tinggi lantaran keperluan mencari pelbagai bahan rujukan yang memerlukan komputer dan internet sebagai alat bantu belajar mereka ketika di rumah. Meskipun serba kekurangan, mereka umumnya akan tetap berusaha sedaya upaya untuk merealisasikannya. Ia adalah caragaya proses pembelajaran baharu generasi murid era PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah) yang umumnya menggalak murid agar berupaya melaksana KBKK (kemahiran berfikir kreatif dan kritis) melalui kurikulum pengajaran dan pembelajaran (PdP) mereka di dalam bilik darjah. 

Murid akan disaran oleh guru untuk mencari bahan rujukan pembelajaran dan kemudian menyiapkan tugasan kerja rumah yang perlu didokumentasikan. Hasil pendokumentasian tugasan kerja rumah itu kemudiannya akan dinilai oleh guru di sekolah. Maksudnya, murid sekolah rendah dan menengah (khususnya bagi murid PT3) perlu akan sebuah komputer dan printer untuk mereka menghasilkan tugasan yang telah diberikan oleh kalangan guru mereka. Bagi kalangan murid yang kurang upaya dari segi kemudahan pembelajaran seperti komputer, internet dan printer tersebut, maka apabila mereka sampai sahaja didalam bilik darjah, mereka akan tertekan sekali lagi dengan hasil kerja mereka yang tidak seberapa berbanding dengan murid yang datang daripada latar belakang keluarga yang kaya atau senang.  Mereka (murid yang berlatar belakang keluarga yang senang) mempunyai kemudahan peralatan bahan bantu belajar yang sofistikated dan lengkap untuk mereka menyiapkan tugasan oleh guru ketika di rumah. Sembari itu, kalangan murid yang berlatar belakang keluarga yang susah atau miskin, mereka akan mudah terasa rendah diri dan tertekan dari segi;
  1. Hasil printing warna yang dipersembahkan
  2. Hasil pendokumentasian tugasan kerja yang menarik, kemas dan berplastik

Maklumat isu psikososial berkaitan adalah perkara penting yang banyak dikongsikan oleh kalangan guru bimbingan dan kaunseling di sekolah rendah dan menengah  seluruh negara. Manakala seterusnya, perlulah diambil peduli oleh setiap pemimpin warga pendidikan, ibubapa dan PIBG yang prihatin, bahawa masalah tekanan untuk belajar dalam proses PdP ini juga sedang dan masih berlaku diperingkat menara gading (universiti). Pelajar yang terdiri daripada anak-anak orang susah atau miskin pasti akan menerima tekanan mental dan emosi yang tinggi. Mereka banyak belajar untuk hidup bertabah dan berdikari tatkala mereka sedang berjuang untuk tamatkan pengajian di IPT. Maklumat, panduan, ingatan, bimbingan dan bantuan perlu diberi kepada kalangan murid dan pelajar kita yang datang dari kalangan status SES yang rendah berkenaan bagi memastikan generasi masa depan yang berjiwa besar, sihat, berefikasi dan empati tinggi. Hanya murid dan pelajar yang benar-benar berhati suci, tabah dan fokus terhadap berfikir untuk mengatasi cabaran belajar sebagai pelajar yang serba kekurangan akan berjaya menggapai segulung ijazah yang diidamkan. Inilah yang saya perhatikan sedang berlaku dalam masyarakat kita dewasa kini.

PUNCA PENYAKIT HATI DALAM KALANGAN REMAJA KINI
Remaja adalah entiti penting dalam sesebuah keluarga. Setiap pasangan suami isteri, pasti mengidamkan anak yang membesar menjadi remaja yang sihat, berilmu dan berimej unggul dalam kalangan masyarakatnya. Anak yang cemerlang, pasti menguja dan membanggakan ibubapanya. Jelasnya, banyak penyakit hati manusia yang mengakibatkan munculnya isu kecelaruan personaliti, emosi dan disipin diri dalam kalangan remaja atau murid sekolah pada hari ini berpunca daripada;
  1. Masalah kewangan
  2. Masalah komunikasi
  3. Masalah tidak menjaga solat
  4. Masalah ekosistem keluarga yang negatif
  5. Masalah tidak jelas matlamat hidup

Jika kita perhalusi 5 punca masalah kendiri remaja di atas, ia adalah berpunca daripada soal hati yang;
  1. Tidak berfokus terhadap iman dan takwa
  2. Tidak dibajai dengan motivasi diri yang berterusan
  3. Tidak dikembang tumbuhkan dengan persekitaran yang membina, positif, berkasih sayang dan harmoni
  4. Tidak dimurnikan oleh sokongan gerak kerja pasukan pembimbing rakan sebaya dan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang berkesan di sekolah
  5. Tidak memiliki kalangan guru mata pelajaran biasa atau guru agama Islam atau guru pendidikan jasmani dan sukan yang benar-benar berkemahiran tinggi untuk menjadi sumber inspirasi yang sihat, mapan dan berdaya saing dengan di sekolah sebagai medan menimba ilmu dan di rumah sebagai medan untuk beribadah.

Membina konsep kendiri yang unggul kuncinya adalah pada hati yang subur dengan iman, ilmu dan amal. Tiga aspek sahsiah itu bukan mudah dimiliki. Namun, ia boleh dimiliki  berasaskan kepada sikap sabar, taat, berdisiplin dan fokus untuk mencapai cita-cita kerjaya masing-masing. Ia mesti bermula sedari alam sekolah tadika lagi. Ia boleh dibentuk laksana melalui konsep falsafah “berdikit-dikit lama-lama jadi bukit”. Disinilah letaknya peranan guru panduan kerjaya yang disebut oleh Datuk Seri Mohd Najib (mantan Menteri Pendidikan Malaysia) dalam tahun 2001. Kini guru panduan dikenali sebagai guru  bimbingan dan kaunseling sepenuh masa di sekolah rendah dan menengah seluruh Malaysia.

Seterusnya, bahawa pada suatu hari, baginda Rasullullah SAW telah menyatakan bahawa             “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras dan luaran kamu. Tetapi Allah melihat kepada hati kamu” (HR Muslim). Begitulah juga Saidina Ali RA telah menyatakan bahawa           “Bekas-bekas Allah di dalam dunia ini adalah hati”. Hati adalah tempat turunnya rahmat dan ilmu pengetahuan. Seterusnya, para alim ulamak Islam telah membahagikan hati kepada 4 jenis, iaitu;
  1. Hati yang tercemar; iaitu jenis hati manusia yang terdapat sifat yang disebut hasad dengki, angkuh, sombong, ujub dan takabur.
  2. Hati yang pecah; iaitu jenis hati manusia yang terdapat padat sifat manusia yang melakukan maksiat. Misalnya, setiap kali dia melakukan maksiat, maka dianya akan juga melakukan maksiat selepas itu. Misalnya maksiat tidak menutup aurat, suka mengumpat dan bergaul bebas.
  3. Hati yang tertutup; iaitu jenis hati manusia yang suka membangkang atau mempertikaikan peraturan Allah dan Rasulnya. Begitulah juga dalam keadaan hidup manusia pada masa kini, sikapnya suka mempertikai atau memperlekahkan peraturan atau hudud yang telah ditetapkan oleh Allah.
  4. Hati yang suci; iaitu jenis hati manusia yang jernih, bersih da menerima taufik dan hidayah daripada Allah. Pemilik hati yang suci ini adalah terdiri daripada manusia yang suka berbakti kepada ibubapa, menghadiri majlis ilmu, memuliakan orang lain dan sentiasa menurut perintah Allah dan menjauhi dirinya daripada maksiat.

KES KEGANASAN RUMAHTANGGA
Akibat daripada hati yang rapuh dan tidak beriman juga, boleh mengakibatkan manusia menjadi ganas, rakus dan kejam. Kita ambil contoh misalnya dalam tahun 2015, telah berlaku sebanyak 3,343 kes keganasan rumah tangga dan daripada jumlah itu, sebanyak 2,528 kes membabitkan golongan wanita. Manakala Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (02 Oktober 2015, Utusan Malaysia) pula menjelaskan bahawa jumlah tersebut berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang juga rakan strategik kementeriannya. Menurut beliau juga, kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan melibatkan penderaan fizikal, mental, seksual, sosial dan ekonomi hingga menyebabkan mangsa mengalami trauma yang rumit. Jelasnya, individu yang kukuh iman, sihat mental dan miliki konsep kendiri yang unggul tidak akan terlibat dengan kes keganasan yang berkaitan. Maka langkah proaktif sangat penting bagi membasmi masalah tersebut daripada terus berkembang dan membiak dalam institusi keluarga rakyat Malaysia ini.


PENYAKIT HATI DAN KAEDAH MERAWATNYA
Dewasa ini, media massa sering melaporkan banyak kes yang berpunca daripada sakit hati, kecil hati, makan hati dan kemudian terbitlah tragedi yang terhasil kerana sampai hati. Contohnya kes;
  1. Isteri memotong kemaluan suami
  2. Suami membunuh isteri
  3. Anak membunuh ibubapa
  4. Cucu membunuh datuk dan nenek
  5. Murid bergaduh di sekolah
  6. Guru ditumbuk di sekolah
  7. Guru bergaduh sesama guru di sekolah
  8. Murid mangsa buli
  9. Jiran bertumbuk dengan jiran
  10. Ahli dewan parlimen bercakaran
  11. Pemimpin masyarakat saling bertikam lidah

Tragedi, masalah dan krisis psikosial tersebut perlu dibasmi dan dicegah melalui pendekatan dakwah, kaunseling dan bimbingan yang berstrategi. Manakala strategi tersebut bukan sahaja perlu dijaya dalam bentuk pelaksanaan yang melibatkan sesebuah organisasi atau komuniti, malah ia juga mesti dikembangkan tumbuhkan dari aspek kesedaran kendiri setiap individu. Diantara kaedahnya ialah;
  1. Membudaya amalan taubat, bertaubat dan bertaubat nasuha (azam tidak ulangi lagi kesilapan lalu).
  2. Membudaya amalan membaca Al Quran dan maksudnya (di dalam rumah dan juga pejabat)
  3. Mempererat hubungan ukhwah semangat persaudaraan dalam kalangan keluarga dan rakan taulan
  4. Mengamal solat malam (Tahajud)
  5. Mengamal puasa sunat (Isnin dan Khamis)
  6. Banyakkan zikir (ingati Allah)
  7. Membaca bahan bacaan yang positif misalnya buku motivasi oleh Dr. Tuah Iskandar dan Dr. Abdullah Aidh Al Qarni.
  8. Banyakkan berfikir akan keesaan Allah. Lihatlah kebesaran Allah dengan adanya siang dan malam, adanya matahari, adanya air lautan yang dalam dan anda dikelilingi tumbuhan flora dan fauna menghijau yang saujana mata memandang.
  9. Mendapatkan khidmat kaunseling oleh pakar dalam bidang berkaitan.
  10. Mendampingi alim ulamak

KESIMPULAN

Kita ini semua dijadikan oleh Allah untuk menyembahnya, berjuang untuk syurganya dan mengelak diri daripada dihujam ke dalam api neraka di akhirat kelak. Kejayaan setiap orang berpunca daripada keadaan komunikasi yang terbit daripada hati-hati insan yang hidup di dalam sesebuah rumahtangga. Justeru, jika bahagia institusi keluarga, maka akan bahagialah seseorang itu diluar rumahnya. Hanya orang yang bertakwa akan nikmati nikmat kebahagiaan yang sebenarnya, sama ada ketika di dunia mahupun diakhirat kelak. Firman Allah dalam Al Quran (Surah Ar Raad : 28) maksudnya “ Orang-orang yang beriman itu hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah lah hati kamu menjadi tenteram”. Manakala junjungan besar Nabi Muhammad SAW telah bersabda maksudnya “ Perumpamaan orang yang mengingati Allah berbanding orang yang tidak mengingatinya adalah ibarat orang yang hidup berbanding orang yang mati”. (HR Bukhari). Manusia yang hatinya suci akan sentiasa berasa syukur dan cukup dengan apa yang dia telah ada, sebaliknya manusia yang hatinya kotor akan sentiasa berasa keperluannya belum tercapai, serba kekurangan dan mudah marah. Dia akan hidup derita akibat kesilapan dirinya sendiri yang tidak mahu berusaha memiliki hati yang suci dan berjiwa penyayang.