Wednesday 13 September 2017

PUSAT ASUHAN PERTIWI

Sistem ejaan Rumi bahasa Melayu yang baharu dikuatkuasakan pada 16 Ogos 1972. Hal ini bermakna bahawa sudah 43 tahun sistem ini digunakan. Namun begitu, kita dapati banyak sekali kesalahan ejaan yang masih berlaku. Kemungkinan besar pengguna bahasa masih keliru, maka pengejaan perkataan tertentu kadang-kadang betul dan kadang-kadang salah. Hal ini dikesan pada surat rasmi, kertas cadangan, risalah, dan sebagainya, serta pada papan tanda di jalan raya dan di premis perniagaan.
Yang sering kita temukan ialah kesilapan ejaan kata majmuk. Antaranya ialah tengahari, samada, aturcara, dan alatulis. Sehingga Ogos 1972, kesemuanya memang dieja secara bercantum, tetapi mengikut peraturan ejaan baharu, kata-kata majmuk tersebut hendaklah dieja secara terpisah, iaitu tengah hari, sama ada, atur cara, dan alat tulis
Perkataan daripada bahasa Arab juga masih mengelirukan pengguna bahasa Melayu. Kita selalu menemukan perkataan Ramadhan, wudhuk, redha, dan sebagainya. Mengikut sistem ejaan Rumi baharu, gabungan huruf “dh” tidak digunakan lagi, sebaliknya menggunakan “d” sahaja. Ejaan yang sepatutnya ialah Ramadan, wuduk, dan reda. Hal ini menimbulkan pertikaian kerana sebutan Arabnya sudah hilang dan dikhuatiri akan menimbulkan makna yang berbeza daripada istilah asal. Oleh itu, bunyi [dh] dibolehkan dalam penyebutan, tetapi [d] hendaklah diguna pakai dalam penulisan.
Demikian juga dengan tanda koma di atas (’) yang sesekali masih digunakan oleh pengguna bahasa Melayu tertentu, antaranya wudhu’, isya’, dan ijtima’. Dalam sistem ejaan Rumi baharu, (’) bukanlah huruf, tetapi tanda bacaan yang mempunyai peranannya yang tersendiri. Dengan itu, bentuk itu digantikan dengan huruf “k”, menjadikan ejaannya ialah wuduk, isyak, dan ijtimak. Selain itu, terdapat juga perkataan yang tidak menggunakan “k”, misalnya ulama’, sepatutnya dieja ulama sahaja.
Kesalahan ejaan terdapat juga pada perkataan melibatkan tanda sempang (-). Contohnya, ko-kurikulum, anti-dadah, dan pra-bayar tidak memerlukan tanda sempang, sebaliknya perlu dieja kokurikulum, antidadah, dan prabayar. Selain itu, ejaan ko kurikulum, anti dadah, dan pra bayar yang digunakan oleh sesetengah pengguna juga merupakan kesalahan ejaan. Bentuk ko, anti dan pra itu dirapatkan dengan perkataan yang mengikutinya kerana bentuk-bentuk tersebut tidak boleh berdiri sendiri.
Perkataan yang memerlukan tanda sempang pula tidak diletakkan tanda tersebut,  antaranya ke59, 80an, dan 1990an. Bentuk perkataan-perkataan tersebut mencantumkan huruf dengan angka. Peraturan bagi keadaan itu ialah kesemuanya perlu diletakkan tanda sempang di antara huruf dengan angka yang digunakan, menjadi ke-59, 80-an, dan 1990-an. Selain itu, ada juga yang mencantumkan huruf kecil dengan huruf besar, seperti kehendakNya, seMalaysia, dan proArab. Ejaan kesemua perkataan tersebut perlu menggunakan tanda sempang di antara huruf kecil dan huruf besar, iaitu kehendak-Nya, se-Malaysia, dan pro-Arab.
Satu lagi kesalahan ejaan yang ketara ialah ejaan bagi kata berimbuhan. Masih kita temukan ejaan di kawal, di guna, di tukar, dan sebagainya. Sepatutnya kata berimbuhan tersebut dieja dikawal, diguna, dan ditukar, kerana di ialah imbuhan, iaitu bentuk yang tidak dapat berdiri sendiri dan perlu dicantumkan dengan perkataan yang mengikutinya. Bentuk itu berbeza daripada di sini, di kedai, dan di atas, kerana di tersebut ialah kata sendi nama yang bermaksud tempat dan dapat berdiri sendiri. Penggunaan ejaan yang tepat wajar dititikberatkan oleh semua pengguna bahasa Melayu. Sekiranya timbul kekeliruan, hal tersebut boleh diatasi dengan merujuk pakar bahasa Melayu, atau buku panduan ejaan atau kamus yang berwibawa. Kita harus membiasakan diri berbahasa dengan betul dalam semua aspek bahasa, dan berusaha untuk membetulkan kesilapan yang biasa kita gunakan dari semasa ke semasa. Hal ini akan memelihara keharmonian bahasa kita dan dapat menggambarkan jati diri atau jiwa bangsa kita. Bahasa Jiwa Bangsa.

ILMU KEBAHAGIAAN

Menurut Sayyidina Ali bin Abi Thalib RA, 7 Kunci
Kebahagiaan adalah :

1. Jangan membenci siapapun, walau ada yg menyalahi hakmu.
2. Jangan pernah bersedih secara berlebihan, sekalipun problem memuncak.
3. Hiduplah dalam kesederhanaan sekalipun serba ada.
4. Berbuatlah kebaikan sekalipun banyak musibah.
5. Perbanyaklah memberi walaupun anda sedang susah.
6. Tersenyumlah walaupun hatimu sedang menangis.
7. Jangan memutus doa untuk saudara mukmin.

Tuesday 12 September 2017

PSIKOLOGI KOMUNIKASI DALAM KEPIMPINAN ORGANISASI




OLEH : Dr. Ahmad Kamal bin Ariffin. 
TEL : 012 6650387

1. Manusia lazimnya amat suka mempersoalkan hasil kerja orang lain, dan, suka pula mempertahankan hasil kerja sendiri. Ada pula kalanya mereka tidak tahan menerima kritikan, bahkan marah apabila dikritik.

2. Ada kalanya perkara yang dipersoalkan itu amat remeh (superficial) sifatnya – yang tidak menjejaskan apa yang telah dihasilkan. Ingat, mencari kesempurnaan adalah suatu usaha yang hampir mustahil dapat dicapai kerana setiap apa yang telah dibuat ataupun dihasilkan masih ada ruang untuk diperbaiki lagi. Inilah konsep orang Jepun, iaitu “kaizen”.

3. Apabila diberi peluang untuk memberi komen, lazimnya komen itu bertumpu terhadap perkara yang negatif semata-mata – jarang benar yang memberi pujian ataupun galakan.

4. Mencari salah dan silap orang lain memang mudah, dan amat suka dilakukan. Apakah yang menyebabkan perkara ini berlaku sukar difahami – mungkin juga hasil budaya yang sudah lapuk dan sekiranya demikian maka sikap ini perlu diubah.

5. Mencari alasan untuk menyakinkan orang lain akan kebenaran sendiri sering berlaku, dan ada kalanya sehingga “menegakkan benang basah” - setiap orang akan mempertahankan “logo hidup masing-masing”dan logo kumpulan.

6. Apa yang kita lakukan (buat) sukar ataupun susah untuk dipersetujui ataupun diterima oleh semua ataupun setiap orang. Ada yang menyokong dan ada yang membantah, menolak, mencerca, dan sebagainya. Oleh yang demikian, kita perlu belajar memberi pandangan yang membina. Elakkan daripada menggunakan kata tanya, “mengapa?” Cuba gunakan kata-kata yang membina, yang menggantikan, mencerminkan, mengelokkan lagi. Perkataan “mengapa”, “kenapa”, kalau digunakan biasanya akan meneyebabkan ataupun menggerakkan orang yang ditanya memberi “alasan” untuk mempertahankan pendapat, ataupun hasil kerja yang dibuatnya. Sifat manusia ini dinamakan “helah bela diri.”

7. Bila kedua-dua pihak sanggup berunding maka satu persetujuan bersama akan terhasil – yang memuaskan kedua-dua pihak, dan dengan demikian maka timbullah kata sepakat (concensus) melalui muafakat, mesyuarah, perbincangan yang sihat di mana akan timbul situasi “menang-menang” (win-win situation).

8. Dalam pekerjaan kita sehari-hari, kita hendaklah mengelakkan daripada melihat yang buruk (negatif) sahaja kerana dalam apa hal sekalipun ada kebaikan dan keburukan.

9. Penilaian yang kita buat hendaklah objektif sifatnya – tidak serong ataupun berat sebelah.

10. Sekiranya berlaku perbezaan pendapat kita harus menerima hakikat bahawa orang lain berhak berbeza pendapat dengan kita, sebagaimana juga kita berhak berbeza pendapat dengan orang lain.

11. Mempertahankan ataupun membela hak dan kepercayaan kita memang wajar lagi baik. Tetapi, kita hendaklah juga mendengar dan menimbangkan dengan terperinci setiap apa yang disarankan, disampaikan, kepada kita sebelum kita membuat keputusan yang “muktamad”. Sekiranya kita tersilap maka kita dapat membetulkan sebarang kesilapan yang telah kita buat.

12. Ingat, tidak ada orang yang tidak melakukan kesilapan dalam hidupnya. Apabila berlaku kesilapan maka kita harus memperbaikinya segera – membetulkan sebarang kesilapan kita.

13. Orang yang tidak sanggup menerima, mengaku dan membetulkan kesilapannya akan melakukan sesuatu yang merugikan dirinya.

14. Melakukan sesuatu yang merugikan diri adalah suatu perbuatan yang bukan sahaja merugikan diri sendiri bahkan dianggap sebagai “dahlah bodoh, sombong pula.”

15. Ada juga terdapat orang yang suka “menyuluh waktu siang”. Persetujuan yang telah dicapai dan yang disaksikan masih dipersoalkan – demikianlah peri laku manusia!

16. Dalam muafakat perlu ada bertolak ansur – inilah yang dikatakan situasi “menang-menang” – (Win-Win Situation).

17. “Kenapa, kenapa, kenapa .... jadi kegemaran orang yang bertanya. Ini meminta penjelasan, alasan kepada sebab. Lebih elok sekiranya digunakan:

-Bagaimana kalau ................
-Apa kata ................................
-Saya fikir lebih elok ............


18. Dalam perbincangan di antara kedua-dua kumpulan seseorang wakil telah dilantik untuk mewakili kumpulan masing-masing. Setelah selesai perbincangan dan persetujuan ada pula yang masih mempersoalkan “kenapa” wakilnya tidak terlebih dahulu berbincang dengan kumpulan sebelum sebarang keputusan dibuat. Persoalannya, bukankah mereka mewakili kumpulan dan sebarang keputusan yang dibuat wajar diterima – kalau tidak maka hakikat perwakilan tidak berfungsi. Sebelum melantik seseorang itu sebagai wakil ada baiknya diputuskan sebulat suara, dan apabila sudah dilantik maka wakil itu memiliki mandat untuk membuat keputusan sebagai wakil kepada kelompok. Itulah yang dikatakan “penurunan kuasa”(delegation of power).

19. Sebarang keputusan yang dibuat adalah lebih baik daripada tidak membuat keputusan.

20. Dalam perundingan ada kesanggupan memberi dan menerima. Hanya dengan demikian sahaja akan timbul situasi “menang-menang.”

21. Sekiranya perwakilan tidak menjalankan tugas seperti sepatutnya maka kesilapan ini juga harus diletakkan kepada mereka yang memilih perwakilan itu sendiri. Itulah sebabnya kita harus bijak melantik wakil (pemimpin).

PSIKOLOGI WANITA BERJAYA DAN GAGAL MENURUT PERSPEKTIF ISLAM.





OLEH : Dr. Ahmad Kamal bin Ariffin.

Sejarah telah mencatat beberapa nama wanita terkemuka yang di antara mereka ada yang dimuliakan Allah dengan syurga, dan di antara mereka ada pula yang dihinakan Allah dengan neraka. Moga tulisan yang kerdil ini boleh memberi ibrah (pelajaran) bagi kita, khususnya kaum wanita Melayu Malaysia yang terkenal kuat berusaha. 

Wanita Yang Beriman 

Sabda Rasulullah SAW
 :
"Seutama-utama wanita ahli syurga adalah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Maryam binti Imran dan Asiyah binti Muzahim." (HR. Ahmad) 

1. Khadijah binti Khuwailid

Dia membesar dalam lingkungan keluarga yang terhormat dan memiliki akhlak yang mulia, sifat yang tegas, karakter yang tinggi, dan mampu menghindari hal-hal yang tidak terpuji sehingga kaumnya pada masa jahiliah menyebutnya dengan ath thahirah (wanita yang suci).
Dia merupakan orang pertama yang menyambut seruan iman yang dibawa Muhammad SAW tanpa banyak membantah dan berdebat, bahkan ia tetap membenarkan, menghibur, dan membela Rasulullah SAW ketika semua orang mendustakan dan menghina beliau. Khadijah R.A telah mengorbankan seluruh hidupnya, jiwa dan hartanya untuk kepentingan dakwah di jalan Allah. Ia rela melepaskan kedudukannya yang terhormat dalam kalangan bangsanya dan turut sama merasakan tekanan dan hinaan yang dikenakan pada keluarganya.

Peribadinya yang tenang membuatnya tidak tergesa-gesa dalam mengambil keputusan mengikuti kebanyakan pendapat penduduk negerinya yang menganggap Muhammad sebagai orang yang telah merosak budaya dan tradisi luhur bangsanya.

Kerana keteguhan hati dan keistiqomahannya dalam beriman inilah Allah berkenan menitip salamNya lewat Jibril untuk Khadijah dan menyiapkan sebuah rumah baginya di syurga.


Tersebut dalam sebuah hadits dari Abu Hurairah, ia berkata:

"Jibril datang kepada Nabi kemudian berkata: Wahai Rasulullah, ini Khadijah datang membawa bejana berisi lauk pauk, makanan dan minuman. Maka jika ia telah tiba, sampaikan salam untuknya dari Rabbnya dan dari aku, dan sampaikan khabar gembira untuknya dengan sebuah rumah dari mutiara di syurga, tidak ada konflik di dalamnya dan tidak pula ada kepayahan." (HR. Al-Bukhari).

Besarnya keimanan Khadijah pada risalah nubuwwah, dan kemuliaan akhlaknya sangat membekas di hati Rasulullah SAW sehingga beliau selalu menyebut-nyebut kebaikannya walaupun Khadijah R.A telah wafat. Diriwayatkan dari Aisyah, beliau berkata:

"Rasulullah hampir tidak pernah keluar dari rumah sehingga beliau menyebut-nyebut kebaikan tentang Khadijah R.A dan memuji-mujinya setiap hari sehingga aku menjadi cemburu maka aku berkata: Bukankah ia seorang wanita tua yang Allah telah menggantikannya dengan yang lebih baik untuk engkau? Maka beliau marah sampai berkerut dahinya kemudian bersabda: Tidak! Demi Allah, Allah tidak memberiku ganti yang lebih baik darinya. Sungguh ia telah beriman di saat manusia mendustakanku, dan menolongku dengan harta di saat manusia menjauhiku, dan dengannya Allah mengurniakan anak padaku dan tidak dengan wanita (istri) yang lain. Aisyah berkata: Maka aku berjanji untuk tidak merendah-rendahkannya selama-lamanya."

2. Fatimah

Dia adalah belahan jiwa Rasulullah, puteri wanita terpandang dan mantap agamanya, isteri dari lelaki ahli syurga iaitu Ali bin Abi Thalib.
Dalam sahih Muslim menurut syarah An Nawawi Nabi SAW bersabda: "Fatimah merupakan belahan diriku. Siapa yang menyakitinya, bererti menyakitiku."
Dia rela hidup dalam kefakiran untuk mengecap manisnya iman bersama ayah dan suami tercinta. Dia korbankan segala apa yang dia miliki demi membantu menegakkan agama suami. Fatimah adalah wanita yang penyabar, taat beragama, baik perangainya, cepat puas hati dan suka bersyukur.

3. Maryam binti Imran

Beliau merupakan figura wanita yang menjaga kehormatan dirinya dan taat beribadah kepada Rabbnya. Beliau rela mengorbankan masa remajanya untuk bermunajat mendekatkan diri pada Allah, sehingga Allah memberinya hadiah istimewa berupa kelahiran seorang Nabi dari rahimnya tanpa bapa. 

4. Asiah binti Muzahim

Beliau adalah isteri dari seorang penguasa yang zalim iaitu Fir'aun Laknatullah 'alaih. Akibat dari keimanan Asiyah kepada kerasulan Nabi Musa A.S, ia telah rela menerima siksaan pedih dari suaminya. Betapapun besar kecintaan dan kepatuhannya pada suami ternyata di hatinya masih tersedia tempat tertinggi yang ia isi dengan cinta pada Allah dan RasulNya. Syurga menjadi tujuan akhirnya sehingga kesulitan dan kepedihan yang ia rasakan di dunia sebagai akibat meninggalkan kemewahan hidup, budaya dan tradisi luhur yang terpadu dengan syariat Allah ia telan begitu saja bak pil kina demi kesenangan abadi. Akhirnya Asiyah meninggal dalam keadaan tersenyum dalam siksaan pengikut Fir'aun.

Dari Abu Hurairah, Nabi SAW berkata:
"Fir'aun memukulkan kedua tangan dan kakinya (Asiyah) dalam keadaan terikat. Maka ketika mereka (Fir'aun dan pengikutnya) meninggalkan Asiyah, malaikat menaunginya lalu ia berkata: Ya Rabb bangunkan sebuah rumah bagiku di sisimu dalam syurga. Maka Allah perlihatkan rumah yang telah disediakan untuknya di syurga sebelum meninggal."
Wanita yang durhaka

1. Isteri Nabi Nuh

2. Isteri Nabi Luth 

Mereka merupakan figura dua orang isteri dari para kekasih Allah yang tidak sempat merasakan manisnya iman. Hatinya lebih condong kepada apa yang diikuti oleh orang banyak daripada kebenaran yang dibawa oleh suaminya. Mereka justeru membela kepentingan kaumnya kerana tidak ingin dimusuhi dan dibenci oleh orang-orang yang selama ini mencintai dan menghormati dirinya. 

Maka kesenangan sesaat ini Allah gantikan dengan kebinasaan yang ditimpa bersama kaumnya. Isteri Nabi Nuh ikut tenggelam oleh banjir besar bersama kaumnya yang menyekutukan Allah dengan menyembah patung-patung berhala, sedangkan isteri Nabi Luth ditelan bumi kerana azab Allah atas kaumnya yang melakukan liwath (homoseksual). 

Semua cerita ini telah Allah rangkum dalam sebuah firmanNya yang indah dalam surat At-Tahrim ayat 10-12, yang ertinya: "Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami, lalu kedua isteri itu berkhianat kepada kedua suaminya, maka kedua suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikitpun dari (siksa) Allah: dan dikatakan (kepada keduanya) : Masuklah ke neraka bersama orang-orang yang masuk (neraka). Dan Allah membuat isteri Fir'aun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata: Ya Tuhanku, bangunlah untukku sebuah rumah di sisimu dalam Syurga. Dan selamatkanlah aku dari Fir'aun dan perbuatannya, dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim. Dan Maryam puteri Imran yang memelihara kehormatannya, maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebahagian dari roh (ciptaan) Kami, dan dia membenarkan kalimat-kalimat Tuhannya dan kitab-kitabnya dan adalah dia termasuk orang-orang yang taat." 

Semoga kisah para wanita ini akan menjadi pelajaran bagi para wanita tahun 2017 ini untuk bermuhasabah diri, kira-kira saya termasuk golongan yang mana? Apakah golongan yang dicintai Allah atau yang dimurkaiNya? 

Bagi wanita yang belum berumah tangga, saat ini merupakan kesempatan besar baginya untuk memperbanyak amalan soleh dan mendekatkan diri pada Allah Taala, bukannya justeru menghabiskan masa mudanya dengan hura-hura dan kegiatan lain yang tidak bermanfaat. Dan bagi mereka yang sudah berumah tangga, selain menjaga keistiqomahannya dalam berIslam dia juga diberi beban tambahan oleh Allah Taala untuk membantu suami menjalankan urusan dunia khususnya agama. Isteri yang demikian merupakan harta yang paling berharga.
Dari kisah tatapan kali ini, kita juga boleh mengambil pelajaran bahawa dalam keadaan bagaimanapun, hendaknya ketundukan kepada syariat Allah dan RasulNya harus tetap di atas segala-galanya. Asalkan berada di atas kebenaran, kita tidak perlu takut dibenci oleh sesiapa sahaja manusia dimuka bumi yang fana ini. Kebaikan dan kealiman akan menjadikan anda Insya Allah mendapat cinta sejati .. cinta Allah Rabbul 'Alamin.

Haraplah Selagi Bernafas

Maafkanlah Saya

Sunday 10 September 2017

PAKAR MOTIVASI DAN KAUNSELING MALAYSIA



PAKAR MOTIVASI DAN KAUNSELING MALAYSIA
DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN
Tel : 012 6650387
Emel : abbaakba@yahoo.com









MEMBINA UMMAH DAN NUSA PERTIWI



HASIL TULISAN : DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN

"Keunggulan ummah bermula daripada institusi rumahtangga".