Tuesday 22 May 2018

ATASI KRISIS MEMILIH GILIRAN HENDAK BERAYA KE RUMAH IBUBAPA SIAPA MENJELANG 1 SYAWAL



OLEH :

DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN
PENGASAS
PUSAT ASUHAN PERTIWI  MALAYSIA



PENDAHULUAN


Sempena bulan Ramadan al Mubarak 1439 ini, suka saya membawa fikiran kita semua mengenai bimbingan oleh Allah Taala melalui baginda Nabi Muhammad Saw agar ummatnya berpuasa dan beribadah dengan baik dan sebanyaknya. Bulan Ramadan ini jelasnya mengandungi banyak keistimewaan yang perlu dihayati dan dinikmati. Sebagai muslim, sukacita saya mulakan mengenai fadhilat bulan Ramadan, disamping amal ibadah yang tersurat dan tersirat yang wajar kita ambil peduli demi menambah bekalan kita semua sebelum masuk kubur nanti. Inilah perkara utama menjadi pedoman pasangan suami isteri mithali, di sepanjang zaman.


RAMADAN ADALAH BULAN MENDIDIK KETAKWAAN


Umumnya, bulan Ramadan mendidik kita belajar menahan lapar, dahaga, marah dan semua perkara yang boleh membatalkan puasa. Kemudian kita belajar untuk bersabar dengan didasari sikap takwa kepada Allah. Ia boleh mendidik kita untuk mencapai ketakwaan kepada Allah. Allah telah tegaskan perkara ini di dalam al-Quran maksudnya;
“Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”. (Al-Baqarah;183)


RAMADAN ADALAH BULAN MEMBUKA PINTU SYURGA


Nabi Muhammad SAW seperti yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim menyatakan “Ketika bulan Ramadan, dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan kemudian syaitan akan dibelenggu. Maka peluang umat Muslim untuk menuju jalan yang lurus akan terbuka luas. Maksudnya di bulan Ramadan, umat Islam memiliki peluang luas untuk menuju ke syurga Allah SWT.


RAMADAN ADALAH BULAN MENGANDUNGI LAILATUL QADAR


Lailatul qadar merupakan malam yang lebih baik dan mulia daripada seribu bulan. Jumhur ulama berpendapat bahawa Lailatul Qadar berlaku pada sepuluh malam yang terakhir. Barangsiapa yang dapat berjumpa dengan Lailatul Qadar, dia adalah seorang yang beruntung kerana pahala amal ibadatnya ibarat beramal dan beribadat seribu bulan. Maka ia adalah satu rahmat Allah yang sangat besar buat umat Islam ini.


RAMADAN ADALAH BULAN PENGAMPUNAN 


Nabi Muhammad SAW seperti yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari menjelaskan bahawa barangsiapa yang menjalankan ibadah puasa dengan iman dan ihtisab (niat yang baik), nescaya akan diampuni dosa-dosa yang telah lampau. Maksudnya, jika kita bersungguh-sungguh dan berlumba-lumba melaksanakan ibadah di bulan Ramadan ini, maka dosa-dosa yang telah lalu akan diampuni oleh Allah sama ada ia dosa kecil atau besar.


RAMADAN ADALAH BULAN PENUH KEBERKATAN


Sebagaimana yang kita tahu, umat Islam memiliki kesempatan untuk berada di dalam bulan yang suci ini untuk mendapatkan keberkatan hidup sepanjang masa yang bernilai sama dengan seribu bulan. Biasanya umat Islam akan berlumba-lumba melakukan amalan untuk mendapatkan keberkatan dalam hidup mereka. Ramadan adalah bulan yang sangat mulia dan penuh keberkatan kerana umat Islam sentiasa berlumba-lumba untuk melakukan amal kebaikan untuk mendapatkan keredaan daripada Allah SWT dan mereka akan takut untuk melakukan perkara yang mungkar dan maksiat.

RAMADAN ADALAH BULAN YANG MEMILIKI PAHALA BERLIPAT GANDA

Ibadah yang telah dikerjakan di bulan suci Ramadan, Allah SWT akan melipat ganda balasan pahala dari apa yang umat Islam kerjakan dan balasan itu adalah sebanyak 70 kali ganda. Hal ini sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim. Oleh itu, umat Islam diseru supaya melakukan amal kebaikan dan amal jariah seperti bersedekah, solat sunat dan membaca al-Quran sebanyak  mungkin bagi menambah nilai pahala masing-masing.

RAMADAN ADALAH BULAN TURUNNYA AL-QURAN 

Pada tarikh 17 Ramadan merupakan hari Nuzul Quran iaitu telah diturunkan kitab suci al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW sebagai pedoman dan menjadi petunjuk bagi seluruh umat Islam untuk mencapai keredhaan Allah SWT. Hendaklah kita memperbanyakkan doa dan amalan di hari turunnya al-Quran agar kita mendapat keberkatan yang lebih. Ia ditegaskan oleh Nabi Muhammad Saw dalam sabdanya yang bermaksud “Barangsiapa beribadah (menghidupkan) bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharap pahala, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis lain yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa (Ramadan) adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa". Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu. Pada bulan ini (Ramadan), syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka (manusia) ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadan. Pada malam terakhir Ramadan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."


JANGAN CEMARI BULAN SYAWAL DENGAN ISU “BALIK KAMPUNG GILIRAN RUMAH IBUBAPA SIAPA

Umum memaklumi adanya isu menjelang syawal iaitu pada setiap tahun, pasangan suami isteri akan beraya di rumah ibubapa siapa menjelang 1 Syawal. Jika masalah ini tidak diatasi, ia boleh menyebabkan;
1.    Imej institusi keluarga muslim menjadi buruk
2.    Mengundang dosa sama ada kepada pihak suami mahupun isteri

CARA ATASI MASALAH

Masalah tersebut berpunca daripada kelemahan komunikasi. Maksudnya komunikasi tidak berkesan dalam kalangan suami isteri. Malah banyak juga dapatan pemerhatian saya bahawa pasangan suami isteri tersebut tidak jelas mengenai “role” dan “status” mereka sebagai seorang anak, isteri dan suami.
Kunci keberkesanan komunikasi ialah niat murni yang terbit daripada hati yang bersih. Maksudnya, suami isteri dalam kalangan rakyat kita mesti miliki hati yang bersih bagi mengelak masalah di atas. Dengan adanya hati yang bersihi, kita mudah wujudkan persekitaran;
1.    kemuliaan natijah sebuah kemaafan
2.    kebahagiaan natijah sikap kesyukuran diri yang tinggi
3.    kemurahan rezeki natijah sikap suka bersedekah meskipun dengan sepotong roti.


Seterusnya, nasihat saya ialah sebelum membuat keputusan untuk balik ke mana tahun ini, pasangan suami isteri mesti;

1.    Semak potensi kewangan institusi keluarga sendiri terlebih dahulu. Elakkan berhutang dan persepsi negatif oleh pihak ibubapa di kemudian hari.
2.    Bersikap asertif. Maksudnya berlaku jujur untuk menilai potensi keluarga sendiri akan rasional untuk pulang ke kampung atau sebaliknya. Ia mengambil kira kos pengangkutan, kesihatan keluarga dan potensi kewangan semasa kita. Justeru, jika tidak dapat pulang, maklumkanlah kepada kedua-dua pihak ibubapa dan ibubapa mertua masing-masing. Rasionalkan mereka mengapa tidak dapat pulang berhari raya pada tahun ini.
3.    Bersikap sabar dalam menghadapi persepsi, respon negatif mahupun kritikan daripada kedua-dua belah pihak ibubapa jika ada situasi seperti itu. Apa yang penting, jangan bersikap negatif dan melawan mereka. Ia disebut adab dan akhlak terhadap ibubapa.

UJIAN HIDUP BERUMAHTANGGA

Lumrah dunia, ada waktu kita senang dan ada waktu kita susah. Susah dan senang biarlah setiap pasangan suami isteri mengurus dan menyelesainya dengan sikap kasih sayang dan tolong-menolong. Jauhkan sikap ego, hipokrit dan penting diri dalam mengurus keluarga masing-masing.

Mengenainya, banyak laporan yang saya terima seperti berikut;

1.    Ada pasangan suami isteri dah lebih 10 tahun tak pulang beraya di rumah ibubapa pihak isteri. Alasannya kerana ibubapa pihak isteri “mulut seram”, suka membanding-banding dengan menantu yang lain kerana materialistik.
2.    Ada pasangan suami isteri yang dah lebih 15 tahun tak pulang beraya di rumah ibubapa suami kerana si isteri tidak disukai ibubapa suami.
3.    Ada juga suami isteri tak pernah membawa keluarganya pulang ke kampung ibubapa masing-masing untuk berhari raya lebih daripada 10 tahun disebabkan faktor jarak
4.    Ada juga suami isteri tak pernah membawa keluarganya pulang ke kampung ibubapa masing-masing untuk berhari raya lebih daripada 10 tahun disebabkan faktor masalah kewangan
5.    Ada juga suami isteri tak pernah membawa keluarganya pulang ke kampung ibubapa masing-masing untuk berhari raya lebih daripada 10 tahun disebabkan faktor merajuk.
6.    Ada juga suami isteri tak pernah membawa keluarganya pulang ke kampung ibubapa masing-masing untuk berhari raya lebih daripada 10 tahun disebabkan faktor krisis dengan adik beradik lain.


Bagi membina keutuhan institusi keluarga menjelang Syawal 1439 yang akan tiba, saya ingin ingatkan diri saya dan para pembaca yang saya kasihi dengan pernyataan berikut;
1.    Jangan kita lupa bahawa setiap suami punyai amanah bahawa ibunya lebih utama dari isterinya
2.    Jangan kita lupa bahawa setiap isteri punyai amanah bahawa suaminya lebih utama dari ibubapanya
3.    Jangan kita lupa bahawa setiap ibubapa punyai amanah bahawa anak perempuannya mesti mengutamakan suaminya dari ibubapanya
4.    Jangan kita lupa bahawa setiap suami punyai amanah bahawa mengutamakan ibubapanya sendiri melebihi isterinya
5.    Jangan kita lupa bahawa setiap anak lelaki punyai amanah bahawa tanggungjawab menjaga ibubapa tergalas dibahu mereka dan bukan pada anak perempuan
6.    Jangan kita lupa bahawa setiap anak perempuan punyai amanah bahawa dia lebih terikat dengan tanggungjawab kepada suami lebih dari ibubapanya sendiri.
Dengan mengamati dan memahami mesej yang tersurat dan tersirat daripada pernyataan di atas, ia pasti boleh membantu membina celik akal kepada kalangan peminat ruangan tulisan saya ini untuk mengemudi bahtera keluarga masing-masing dengan pedoman agama dan beramal sebagai insan celik agama. Elakkan mengurus keluarga secara syok sendiri, ikut emosi, lempar salah, cenderung fitnah dan nafsu ammarah semata-mata.

KONKLUSI

Tahap pengetahuan, pegangan agama dan status sosioekonomi seseorang akan mempengaruhi keputusan seseorang untuk membuat keputusan ke mana dia akan bercuti sempena 1 Syawal yang bakal menjelang tiba. Sembari itu, saya amat yakin para pembaca sudah jelas bahawa isu ini boleh ditanggapi dengan bijak apabila kita tahu “role” dan “status” kita pada hari ini. Insya Allah, dengan adanya pengetahuan mengenai kaedah untuk merancang dan memutuskan keputusan perjalanan kita menjelang 1 Syawal nanti, kita akan terus hidup peka bagi membina ikatan kasih sayang dengan semangat kesetiaan, kesedaran dan kepedulian mengenai erti sebuah kasih sayang, pengorbanan dan kepatuhan sebagai seorang hamba Allah, anak, menantu, suami, isteri dan mentor kepada banyak orang yang kita jagai dan pimpini walau dimana jua kita berada. Jadilah pemimpin yang berwibawa kerana sesungguh setiap insan adalah pemimpin di muka bumi Allah yang fana ini. Selamat berpuasa dan selamat berbahagia semua.