Friday 16 September 2011

KEKAYAAN MENJADIKAN ANDA LEBIH KUAT DAN CEMERLANG


BARCELONA - Dua bintang baru Barcelona, Cesc Fabregas dan Alexis Sanchez meledakkan gol pada perlawanan pertama La Liga bagi membantu Barcelona meraih kemenangan besar ke atas Villarreal, 5-0 di Nou Camp, semalam.
Pemain yang baru dinobatkan sebagai pemain terbaik Eropah, Lionel Messi menjaringkan dua gol, manakala bintang Sepanyol Bawah 21 tahun, Thiago Alcantara menyumbangkan satu jaringan.
Kemenangan itu jelas memberikan tindak balas ke atas kemenangan besar seteru utama, Real Madrid yang membelasah Real Zaragoza 6-0 dengan Cristiano Ronaldo mencipta hatrik.
Di hadapan 75,000 penonton, jurulatih Barca, Pep Guardiola membuat kejutan menyimpan khidmat dua pemain utama skuad kebangsaan Sepanyol, Xavi dan David Villa di bangku simpanan dan menyenaraikan Fabregas beraksi dalam kesebelasan utama bersama Alcantara, Andres Iniesta dan Seydou Keita.
Dengan sejumlah besar ketiadaan pemain pertahanan termasuk Carles Puyol dan Gerard Pique serta penggantungan Daniel Alves, dia meletakkan Sergio Busquets serta Javie Mascherano dan Eric Abidal sebagai tiga pemain pertahanan tengah.
Selepas menguasai sebahagian besar perlawanan, Barca berada di hadapan pada minit ke-25 melalui gerakan bijak Alcantara yang merobek kubu Villarreal dengan melakukan rembatan rendah di penjuru gawang menewaskan Diego Lopez.
Bekas kapten Arsenal, Fabregas yang akhirnya kembali ke kelab lamanya pada bulan ini selepas lapan tahun berhijrah ke Arsenal, menjadikan kedudukan 2-0 selepas menerima hantaran Messi, menggelecek Lopez dan menolak ke dalam gawang yang kosong.
Dia yang sebelum ini menjaringkan gol pada perlawanan Super Eropah hasil gandingan menarik dengan Messi ketika mengatasi Porto 2-0 pada Jumaat lalu dan kombinasi mereka berdua dilihat cukup menjadi selepas dua perlawanan.
''Cesc tahu rakan sepasukannya dengan baik. Dia mempunyai personaliti yang kuat dan dia pernah menjadi kapten kepada pasukan yang ternama, " kata Guardiola.
Sanchez, yang merupakan satu lagi muka baru di Barca selepas berpindah dari Udinese, meletakkan Barca semakin selesa sebaik sahaja dua minit separuh masa kedua bermula. Dua lagi gol disumbangkan oleh Messi pada minit ke-52 dan 75.
Kekalahan besar Villarreal dan persembahan tidak menyakinkan Valencia pada Sabtu lalu, dua lagi pasukan dalam Liga Juara-Juara memberikan kesimpulan awal bahawa perebutan takhta liga mungkin antara Barca dengan Real pada musim ini.
Jurulatih Villarreal, Juan Carlos Garrido berkata, pada sidang media bahawa penguasaan mutlak Barca dan Real adalah kerana kedua-dua kelab itu jauh terlalu kaya jika dibandingkan pesaing La Liga yang lain.
Bajet tahunan Barca adalah sebanyak 430 juta euro (RM1.85 bilion) pada musim lalu dan jurangnya terlalu besar dengan Villarreal iaitu 70 juta euro sahaja (RM302 juta).
''Hari ini kami tidak berada di tahap terbaik di samping hakikat pasukan yang kita tentang ternyata lebih baik. Apa yang kami lakukan adalah mengucapkan tahniah kepada lawan dan mengakui bahawa mereka cukup kuat.
''Fakta yang paling mudah ialah pasukan lawan boleh letakkan Xavi dan Villa di bangku simpanan, itu sudah menggambarkan sejauh mana kekuatan mereka, " kata Garrido. - Reuters

No comments:

Post a Comment