Wednesday 14 September 2011

MENGAWAL AMARAH


KAWAL PERASAAN MARAH

``KALAU kita merasakan tindakan orang lain menyebabkan kita rasa tercabar sekali gus boleh menimbulkan kemarahan, ada baiknya kita maklumkan kepadanya.
``Jelaskan kepada individu terbabit supaya orang terbabit mengawal tindakannya bagi mengurangkan darjah kemarahan kita,'' demikian saranan Pakar Perunding Psikiatri, Jabatan Psikiatri, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Azhar Md. Zain.
Ini kerana, kemarahan yang tidak dikawal boleh menyebabkan seseorang bertindak di luar batasan hingga mendera orang lain.
Penderaan, boleh bermula dari rasa marah yang tidak terkawal sekalipun puncanya amat kecil. Secara fitrahnya, memang amat sukar untuk sesiapa pun memendam rasa marah dan ia perlu dikeluarkan. Tetapi, kemarahan harus dilontarkan dengan cara positif.
``Setiap orang seharusnya bijak dan tahu mengawal perasaan marah. Kemarahan yang tidak terkawal mengakibatkan individu terbabit melepaskannya kepada orang lain dalam bentuk mencederakan mangsa secara fizikal seperti penderaan,'' jelas beliau ketika mengulas kes penderaan seorang pembantu rumah oleh majikannya baru-baru ini.
Sehubungan itu, Dekan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan itu memberitahu, penting bagi setiap individu mengenali tanda-tanda jika kemarahan akan timbul dalam diri.
Azhar menasihatkan, individu yang ingin marah supaya menjauhkan diri daripada orang yang menyebabkan timbulnya perasaan marah tersebut.
``Tetapi, jika sudah marah, tiada apa yang boleh dilakukan. Bagaimanapun, kita boleh didik diri dengan melepaskan kemarahan mungkin dalam bentuk kata-kata.
``Bukannya secara fizikal dengan menyerang orang lain,'' katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan kemarahan seseorang boleh memuncak sekiranya ada tindak balas daripada pihak yang satu lagi.
Sebagai contoh, katanya, jika pembantu rumah dimarah oleh majikannya atas kesilapan yang dilakukan, jangan cuba `melawan' atau menjawab.
Keadaan ini memanglah boleh menyemarakkan kemarahan. Dalam keadaan ini, orang yang dimarah seharusnya mendiamkan diri atau tidak memberi sebarang tindak balas.
``Biasanya, apabila ada tindak balas atau sebelah pihak cuba melawan, kemarahan seseorang semakin memuncak,'' katanya.
Begitu juga individu yang dimarahi, dia mungkin akan menjadi terlalu takut. Apabila dalam keadaan takut, kemungkinan untuk melakukan kesilapan juga tinggi.
Azhar menjelaskan, semasa dalam keadaan yang terlalu marah memang agak sukar seseorang mengawal keadaan.
Kemarahan, hingga membawa kepada penderaan disifatkan sebagai satu kepuasan kepada tuan punya diri.
``Mungkin, individu terbabit terlalu geram, hingga tidak dapat mengawal perasaan marahnya dengan melakukan sesuatu tindakan di luar perikemanusiaan,'' kata beliau.
Hakikatnya, kata beliau, siapa pun tahu dan faham mendera sehingga mengakibatkan kecederaan itu memang sesuatu yang tidak wajar.
Tetapi, apabila kemarahan menguasai diri dan untuk melepaskan rasa geram yang membuak-buak, seseorang boleh hilang pertimbangan.
Punca yang menyebabkan seseorang marah hingga membawa kepada berlakunya penderaan secara fizikal membabitkan tiga faktor.
``Ini termasuklah, si pendera, yang didera dan persekitaran. Jadi, tidak wajar untuk menyalahkan sebelah pihak apabila kes-kes seumpama ini berlaku,'' jelasnya.
Jika penderaan membabitkan kes-kes pembantu rumah, ada kemungkinan, ia berpunca daripada sikap pembantu itu sendiri.
Antaranya, mungkin terlalu lembap melakukan kerja-kerja rumah atau selalu membuat silap yang akhirnya mengundang kemarahan majikannya.
Kebetulan, kemungkinan majikannya pula seorang yang garang, panas baran atau mengalami gangguan mental.
``Kebiasaannya, walaupun seorang pembantu rumah itu agak lembap dalam melakukan kerja-kerja rumah atau tidak begitu mahir, kepada orang yang normal mereka masih boleh mengawal tindakannya.
``Tetapi, gabungan tidak dapat mengawal rasa marah dan kemungkinan ada gangguan mental, maka terjadilah kes-kes seumpama ini,'' katanya.
Kemarahan hingga membawa seseorang bertindak mendera berlaku gabungan tiga faktor iaitu diri si pelaku, mangsa dan persekitaran.
Si pelaku, berkemungkinan seorang yang panas baran, ada masalah personaliti, kemurungan atau psikosis.
Menurut Azhar, kemurungan yang ekstrem boleh menjadikan sesetengah penghidapnya terlalu sedih, manakala sebahagian yang lain cepat marah.
Begitu juga psikosis, atau gangguan bipolar. ``Mereka tidak dapat membezakan antara yang betul dengan tidak betul.
``Pada tahap yang tinggi, pesakit biasanya cepat marah, kekuatan tenaga meningkat dan orang lain perlu mengikut kata mereka,'' ujarnya.
Beliau menambah, faktor persekitaran seperti keluarga, suami atau jiran-jiran juga menyebabkan si pelaku mengalami tekanan.
Selain itu, katanya, cara seseorang dibesarkan turut memainkan peranan. ``Mereka yang pernah didera masa kecil, akan melakukan cara yang sama apabila dewasa kerana itulah `model' yang pernah mereka lihat,'' kata beliau.
Mengulas keadaan mangsa, Azhar menyarankan supaya mangsa diberi rawatan kaunseling atau psikoterapi setelah kecederaan fizikalnya sembuh.
Ini kerana, parut yang kekal pada tubuh bukan saja mengakibatkan mangsa berasa rendah diri. Malah, mangsa akan mengalami trauma yang berpanjangan setiap kali ingatan pada peristiwa datang dalam fikiran.
Rumusannya, janganlah mudah marah. Kawallah diri anda daripada marah. Sikap pemarah merosakkan imej dan peribadi. Bagi yang ingin berubah, tahniah diucapkan. Semoga sentiasa sabar, bahagia dan berani untuk berubah menjadi lebih tenang, sabar dan bijaksana dalam tindakan. Biarlah orang terkejut melihat diri anda menjadi baik, lebih baik dan sangat baik dari masa ke semasa. Amin.

Salam ukhwah daripada Presiden EMMC Malaysia, 0112 6650387, emmcresourcesmalaysia@yahoo.com

No comments:

Post a Comment