Monday 12 September 2011

SISWA SISWI PERUBATAN YANG GAGAH BERANI


Salam ukhwah. Alhamdulillah, pada hari ini, 12092011, jam 1045am, sejumlah 70 orang  remaja Melayu terbang ke Universiti Tanta, Alexandaria, Mesir untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Saya mengiringi guru dan mentor saya Ahamid Awang Bungso, berserta isteri dan anak - anaknya (Mira - bakal  terbang ke Mesir) bongsunya Anne di KLIA. Anaknya bakal Doktor Perubatan, insya Allah 6 tahun lagi (tempoh pengajian disana).
Seawal jam 0900am, saya dah sampai dan memerhatikan gelagat remaja dan ibubapa yang berkumpul untuk memberi sokongan moral. Turut bersama pegawai penyelaras daripada lantikan Kementerian Pengajian tinggi Malaysia untuk mengepalai rombongan mahasiswa berkenaan.
Kebanyakan ibubapa dan sanak keluarga mahasiswa berkenaan menangis kesedihan. Mereka terlalu berat untuk berpisah dan membenarkan anak-anak remaja mereka belajar ke Mesir dengan alasan suasana politik pemerintahan kerajaan Mesir khususnya dan pemerintahan kerajaan Arab Timur Tengah amnya yang tidak aman dan banyak berlaku pemberontakan politik.
Kalangan sanak saudara termasuk saya menitiskan air mata. Turut keluar air mata pekerja bangla dan indon di sisi kumpulan keluarga bakal mahasiswa perubatan berkenaan. Entah mengapa punca mereka melinang air mata, cuba saya telusuri benaknya.
Saya akhirnya dapat menelaah, bahawa anak-anak remaja Melayu itu cukup besar jiwanya. Anak mentor saya, Mira itu diceritakan ibunya, Kak Maya, bahawa anaknya telah meletakkan azam belajar ke Mesir sedari umurnya 17 tahun lagi. Ertinya, anak gadisnya itu seorang yang telah ada cita- cita kerjaya dan berjiwa pemberani untuk meredah kesukaran dan keperitan hidup, hanya sanya untuk berjuang mendamba ilmu untuk berjaya menjadi seorang doktor.
Saya dapat bayangkan, mereka se 70 remaja Melayu itu cukup pemberani dan berjiwa pejuang. Mereka semua langsung tidak menampakkan rasa risau ke sana (Mesir), meskipun Mesir terletak dalam lingkaran negara sejiran dengan negara paling tidak aman hari ini iaitu Somalia dan Libya.
Benarlah sabda  Nabi Muhammad SAW, maksudnya "Barang siapa keluar dari rumah, bersusah payah untuk menimba ilmu pengetahuan, nescaya Allah akan memudahkan dirinya ke syurga" (Hadis riwayat Muslim).
Perjalanan remaja berkenaan cukup memenatkan. Memakan masa lebih daripada 10 jam. Mendarat dahulu di ibukota Bahrain, dan akan menyambungkan perjalanan ke ibukota Mesir, keesokkan harinya. Saya tabik ala tentera Malaysia kepada mereka semua dan mereka tak ubah bergerak dan bertindak umpama srikandi negara dalam medan pendidikan.
Pesanan ayah Mira kepada anaknya "Kakak bila disana tumpukan pada pelajaran. Teguhkan niat kita ke sana untuk berjaya dengan menggenggam ijazah cemerlang dalam bidang perubatan. Makanlah makanan yang halal dan bersederhana. Jangan mudah terpengaruh dengan orang yang berperangai buruk. Jadilah diri  sendiri. Berbaiklah kepada orang lain. Insya Allah jika kita berkelakuan sopan, baik dan mengikut tuntutan agama, kita akan selamat walau dimana sahaja berada"- lebih kurang begitulah kongsi guru saya itu.
Semoga Allah Taala memberikan banyak kekuatan iman dan ihsan kepada semua mahasiswa berkenaan dan juga ibubapa / ahli keluarga mereka. Amin, Ya Rabbal Alamin - Presiden EMMC Malaysia / emmcresourcesmalaysia@yahoo.com / 012 6650387.

No comments:

Post a Comment