Wednesday 19 October 2011

ILMU ATASI MENGANTUK



Masalah yang dihadapi oleh kita iaitu mengantuk serta menguap sebaik-baik sahaja
memulakan pembelajaran atau mengulang kaji pelajaran khususnya membaca nota sememangnya sering kali dihadapi oleh kebanyakan murid.
Kalaulah saya bertanyakan kepada para murid apakah pandangan mereka mengenai pelajaran, saya pasti ramai yang akan memberi maklum balas yang negatif. Perkataan seperti malas, tidak ada mood, boring akan terkeluar daripada bibir mereka. Jika ada jawapan yang agak positif, hanyalah tidak mahu menghampakan harapan ibubapa atau diterima oleh individu tertentu.
Murid berasa bosan dengan pelajaran kerana dikelilingi dengan buku pelajaran dan kerja sekolah sejak berumur tujuh tahun lagi. Alam persekolahan yang berorientasikan peperiksaan akan meninggalkan kesan negatif. Sebagai seorang murid, pelajaran tetap penting untuk ke mercu kejayaan di masa hadapan.  Perasaan jemu, bosan, malas serta sikap sambil lewa terhadap pelajaran bermula dengan minda yang negatif. Apa yang perlu dilakukan ialah :-

1. Bina sikap yang positif. Kejayaan seseorang sebenarnya 90% ditentukan oleh tindakan dan hanya 10% sahaja ditentukan oleh pengetahuan sedia ada. Sekiranya kita membaca terlalu lama tetapi tidak menumpukan perhatian, maka kita hanya membuang masa. Jadi perbaikilah diri supaya menjadi lebih bersungguh-sungguh dan bersikap positif.

2. Persediaan minda.
Sikap negatif adalah daripada minda sendiri yang negatif. Oleh itu minda perlu diubah menjadi positif. Gunakan satu kaedah yang dinamakan Saranan Kendiri iaitu pembentukan kata-kata positif seperti berikut:-
“Saya mesti berusaha dan menjadi murid cemerlang. Belajar adalah wajib untuk masa depan. Orang lain boleh berjaya, saya yakin saya juga boleh berjaya.

3. Persediaan perasaan.
Fikiran dan perasaan yang positif, memudahkan lagi kita memberi tumpuan kepada pelajaran. Kita akan berasa selesa kerana perasaan tidak diganggu dengan kata-kata negatif.

4. Persekitaran yang sesuai.
Apabila ingin belajar, kita perlu mencari tempat yang sesuai tanpa sebarang gangguan. Mental dan emosi yang terganggu akan menjejaskan tumpuan fikiran.

5. Ketepikan seketika masalah sampingan.
Sekiranya kita menghadapi masalah lain seperti perselisihan dengan rakan sebaya, masalah kewangan dan sebagainya, kita perlu berkongsi atau meluahkan masalah kita kepada ibu bapa dan juga guru kaunseling di sekolah. Ini boleh mengurangkan tekanan lantas memberi laluan untuk kita menumpukan perhatian kepada pelajaran. Jika tidak berjaya, lawanlah fikiran dengan mengenepikan seketika masalah tadi. Percayalah setiap kejayaan akan diperolehi atas dasar usaha walaupun bermula dengan usaha yang penuh keperitan.



No comments:

Post a Comment