Wednesday 18 January 2012

KONSEP KENDIRI


KONSEP KENDIRI
Oleh :
AKBA

Apakah Konsep Kendiri ?

             Konsep kendiri merupakan satu cara bagaimana individu itu berpendapat dan membuat tanggapan terhadap dirinya sendiri. Ia mengandungi semua kepercayaan yang menentukan siapa anda dan apa yang anda fikirkan tentang diri anda sendiri. Justeru membentuk apa yang anda mungkin jadi nanti.

            Jika seseorang itu melihat dan percaya dirinya sebagai baik, bagus dan istimewa maka dia akan mula bertingkahlaku sebagai manusia yang baik, bagus dan istimewa. Akhirnya dia akan menjuruskan dirinya ke ambang kecemerlangan. Begitulah sebaliknya.

Bagaimanakah Konsep Kendiri Terbentuk?

            Konsep kendiri terbentuk melalui pengalaman yang dilalui dan bukan apa yang diwarisi. Hasil pengalaman yang dilalui semenjak bayi lagi akan membentuk pandangan dan sikap terhadap diri sendiri. Misalnya seseorang manusia itu sejak dari bayi lagi disiram dengan belaian kasih sayang dan dipupuk dengan kata ransangan yang positif seperti baik, comel, pandai, bagus dan sebagainya. Jelasnya keperluan menyayangi dan disayangi manusia ini terisi dan dipenuhi, maka dia akan bertingkahlaku positif dan mencapai success identity’ (identiti jaya).

 Ini dapat dilihat dengan jelas dikalangan pelajar sekolah.Kebanyakan pelajar yang cemerlang sahsiah dan akademiknya adalah dari kalangan pelajar yang mempunyai hubungan mesra dengan keluarga terutama ibubapa. Mereka sedar dirinya disayangi justeru mula mahu memikul tanggungjawab untuk menyayangi  dirinya sendiri membuktikan kasih sayang itu dengan kecemerlangan.

Manakala pelajar yang tidak mendapat perhatian dan kasih sayang baik dari persekitaran, keluarga terutamanya dari ibubapa  mereka sendiri, akhirnya akan membentuk ‘Failure identity’ (identiti gagal).

Mereka dapat merasakan dirinya terpinggir, terpulau dan tidak disayangi. Malah kadang-kadang mereka sering dilabel dengan gelaran-gelaran negatif seperti si bodoh, si degil dan sebagainya. Apatah lagi diberi nama yang melambangkan kehodohan, kebodohan dan kejelikan. Lebih dahsyat lagi bila mereka dijadikan objek untuk ditertawakan, dikeji dan didendam. Semua ini akan menyebabkan pelajar tersebut mula tidak menyayangi dirinya  dan enggan bertanggungjawab bukan sahaja kepada persekitaran malahan kepada dirinya sendiri.

Akhirnya mereka akan mula bertingkahlaku ikut suka, bercakap ikut suka dan mengambil apa sahaja ikut suka. Pelajar ini akan cuba mengekalkan label negatif yang diberi kepada sebagai simbol identiti gagal. Mereka tidak mempedulikan pandangan, perasaan dan reaksi dari orang lain. Jiwanya  seperti terkunci dan mindanya seperti mati

Kita perlu sedar bahawa manusia yang beridentiti gagal tidak akan terus hidup dengan identitinya yang negatif . Mereka boleh dan mampu mengubah identitinya setelah menyedari ada individu yang mereka sayangi dan mampu menyayangi mereka semula sebagai pembalasan. Manusia ini harus diberi peluang untuk hidup dan memperbaiki dirinya sendiri. Impaknya mereka akan mula sedar bahawa mereka adalah individu yang punyai harga diri dan perlu dihargai.Sesungguhnya tiada had untuk kita menyayangi orang lain tapi mesti ada batasan.



Tanda Konsep Kendiri Rendah dan Kesannya


            Manusia yang mempunyai konsep kendiri yang rendah dapat dilihat dari sikap dan tingkahlakunya yang mudah kecewa, sering menyalahkan orang lain, kerap mengelakkan diri dari berdepan dengan situasi sukar dan mudah terpengaruh dengan orang lain.

            Kesannya, individu ini akan membentuk penghargaan kendiri yang rendah dan cenderung untuk merasa bersalah meskipun pada hakikatnya dia tidak bersalah!. Dia enggan untuk mencuba sesuatu kerana takut kepada kegagalan. Malah, individu ini kelihatan sering merasa bimbing yang tidak menentu dan mudah berkecil hati serta merajuk.

            Impak lain yang jelas kepada manusia yang berkonsep kendiri rendah ini ialah dia kurang berkeyakinan dan berkebolehan untuk membuat tugasan yang lebih mencabar. Justeru dia tidak gemar kerja yang mencabar. Masalah besar yang dihadapi oleh manusia ini bukanlah pandangan orang lain yang negatif terhadap dirinya tetapi dia sendiri melihat dirinya negatif.

 

Tanda Konsep Kendiri Tinggi dan Kesannya


            Manusia yang mempunyai konsep kendiri yang tinggi selalunya berminat dan bermotivasi untuk belajar. Dia mempunyai matlamat diri dan masa depan kerjaya yang jelas. Kepuasan diri adalah penting bagi individu ini dalam membuat keputusan kerjaya.

            Individu ini percaya dia dilahirkan untuk berjaya, cekap dan berkebolehan. Dia dapat menahan perasaan kekecewaan dan mampu mempengaruhi persekitaran dengan baik. Jika dia bertindak , dia bersedia bertanggungjawab dan menerima risiko. Ini adalah kerana dia begitu menghargai dirinya sendiri serta menerima dirinya dengan positif.


Kesimpulan


            Konsep kendiri seseorang itu dapat dibentuk melalui pengalaman dengan persekitaran sejak dari bayi lagi. Ibubapa yang cekap akan membina perhubungan dalam keluarganya atas parameter saling percaya-mempercayai dan sayang menyayangi. Setiap sumbangan anaknya diterima tanpa menghukum atau sindiran sinis. Kadang-kadang kelihatan mereka melayan dan mendengar anak-anak mereka sebagai seorang sahabat. Ini akan meningkatkan lagi penghargaan kendiri anak itu kepada dirinya dan dapat membentuk potensi diri dengan menumpukan kepada kekuatannya sebagai manusia. Maka terpahatlah kata-kata ‘saya berbangga menjadi diri saya’ diminda anak cemerlang itu.

 Bertitik tolak daripada itu dia tidak lagi menghiraukan kutukan dari orang lain kerana dalam dirinya begitu kuat mendorong dan menyokong dalam menapis yang baik daripada yang buruk. Dia juga tidak terlalu mengharapkan puji-pujian orang lain kerana dia sedar hanya orang yang lemah sahaja yang sanggup membuat apa saja bagi mendapatkan pengiktirafan dan pujian walaupun terpaksa menggadai maruah diri.

            Kadang-kadang terdapat manusia yang menahan dirinya dari menuju kearah kecemerlangan. Mereka seakan-akan taksub dengan label seperti ‘saya nakal, saya tidak berguna, saya jahat’ dan sebagainya. Bagi membantu manusia seperti ini, mereka harus disedarkan bahawa mereka bukan dilahirkan untuk nakal, jahat atau tidak berguna, tetapi perlakuan nakal, jahat atau tidak berguna yang mereka sering lakukan memperlihatkan diri mereka seumpama itu. Apa yang perlu mereka ubah ialah perlakuan mereka yang negatif itu. Oleh itu kemahiran berkomunikasi kepada diri sendiri dan orang lain adalah penting bagi memastikan konsep kendiri seseorang itu cemerlang.

           

           


No comments:

Post a Comment