Sunday 2 February 2014

PSIKOLOGI KONSEP KENDIRI UNGGUL DALAM KALANGAN KANAK-KANAK

Pernyataan dibawah adalah merupakan kaedah bagi membina konsep kendiri kanak-kanak atau anak yang berkeyakinan tinggi;

1)    Usah cepat membantu anak dalam pelbagai perkara.  Semua ibu bapa sayangkan anak-anaknya.  Tetapi usah jadikan rasa sayang sebagai alasan untuk cepat membantu mereka.  Bukanlah salah membantu anak-anak kita tetapi ada ketikanya anak-anak perlu diberikan peluang mencuba dan melakukan kesilapan.  Dari kesalahan dan kesilapan inilah mereka belajar.   Ketika anak masih bayi, apabila dia mula pandai berjalan maka dia mula belajar naik tangga.  Biasanya ibu bapa akan terus dukung anaknya dan bawa naik ke tingkat atas sebab takut anak jatuh.  Ibu bapa yang prihatin sebaliknya akan mengawasi dan membiarkan anak-anaknya menapak satu anak tangga ke anak tangga yang lain.  Dari situ anak itu belajar.  

2)    Biarkan anak dimarahi guru apabila mereka lakukan kesalahan.  Ada ibu bapa yang sanggup menghantar buku latihan anaknya semula ke sekolah kerana bimbang anaknya nanti dimarahi guru atau didenda.  Mungkin jika itu kesalahannya yang pertama maka kita hulurkan bantuan dengan menghantar buku itu ke sekolah.  Tetapi bagaimana pula kalau masalah yang sama dilakukan oleh anak berulang kali?  Bermakna anak kita sudah membentuk satu tabiat tidak bertanggung jawab.  Oleh itu biarkan anak dimarahi dan didenda oleh gurunya.  Dari situ dia akan belajar.  Biar dia menjadi seorang yang berani menerima kesalahan dan berhadapan dengan risikonya.  Sebagai ibu bapa usah campur tangan.

3)    Berikan anak-anak peluang bergaul.  Dunia internet hari ini meluaskan pergaulan anak-anak.  Mereka boleh kenal sesiapa sahaja melalui laman sembang, facebooktwitter dan seumpamanya.  Namun begitu, pergaulan bentuk ini tidak sama seperti pergaulan secara langsung.  Anak-anak tidak boleh dikurung di rumah dan dihalang dari keluar bersosial.  Biarlah anak berkawan asal sahaja kita tahu siapa rakan-rakannya, ibu bapa mereka, aktiviti yang dilakukan serta lokasi pertemuannya.  Dalam masa yang sama lakukan pemantauan sebab kita tidak mahu anak-anak terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat.  

4)    Dedah anak-anak dengan aktiviti lasak.  Aktiviti-aktiviti lasak seperti ‘flying fox’, panjat dinding batu, berkuda, memanah, berenang dan seumpamanya dapat meningkatkan keberanian dalam diri anak.  Bayangkan di barat ada aktiviti ‘bungee jumping’.  Aktiviti ini memerlukan kaki kita diikat dan kemudian terjun dari satu kedudukan yang tinggi langsung ke bawah.  Pasti menakutkan dan menggerunkan.  Tetapi apabila selesai mencubanya pastilah keberanian diri meningkat.  Malah di Malaysia kini sudah ada aktiviti ‘bungee jumping’ ini.  Sebenarnya banyak lagi aktitivi yang boleh dilibatkan bagi menguji keberanian anak-anak.  Misalnya adakah anak kita berani naik ‘roller coaster’ atau sentiasa mengelak.  Jadikanlah anak kita seorang yang lasak dan berani kerana ia penting dalam pembentukan jati diri mereka.

5)    Bawa anak ke majlis orang dewasa.  Berikan anak-anak bergaul dengan orang tua atau mereka yang lebih dewasa dari usianya.  Berikan dia ruang bertanya dan bercerita.  Pengalaman ini akan menjadikan dia seorang yang berani berdepan dengan orang ramai nanti.  Ada ibu bapa yang masih berpegang pada kepercayaan bahawa membawa anak-anak ke majlis orang tua sebagai kurang adab.  Kita tengoklah apa bentuk majlisnya itu. Memang ada yang tidak sesuai di bawa anak.  Tetapi kalau majlis menyambut bayi, hari lahir, kenduri kendara, perkahwinan dan sebagainya maka bawalah mereka bersama.

6)    Latih anak mengambil risiko.  Anak-anak perlu dilatih agar berani mengambil risiko.  Mengambil risiko bukanlah bermakna melakukan sesuatu pekerjaan secara membuta tuli atau meletakkan dirinya pada kedudukan yang membahayakan.  Ada bezanya melakukan kerja bahaya dengan kerja berisiko.  Memanjat pokok itu kerja berisiko.  Tetapi kalau bergayut di dahan tinggi tanpa sebarang langkah keselamatan itu adalah kerja berbahaya.  Begitu juga memberi peluang anak remaja belajar membawa motosikal itu adalah kerja berisiko.  Tetapi membiarkannya membawa motosikal tanpa memakai topi keledar dan memecut laju itu kerja berbahaya.  Anak-anak perlu tahu beza antara risiko dan bahaya.

7)    Bercakap secara positif.  Bagi menanam keberanian dalam diri anak, ibu bapa perlu bercakap secara positif dan sentiasa menunjukkan pada anak yang kita yakin serta percaya akan kebolehan dirinya.  Anak-anak juga perlu tahu dan sedar yang ibu bapanya bersedia menerima kekurangan, kesalahan dan kesilapan yang dilakukannya dengan hati yang terbuka asasl sahaja mereka belajar sesuatu dari pengalaman itu.  Sifat terbuka ibu bapa penting bagi menjadikan anak-anaknya seorang yang berani mencuba dan bertindak.

No comments:

Post a Comment