Tuesday 17 January 2017

ISTERI WORKAHOLIC SUAMI PANIC


OLEH:
DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN
PAKAR KAUNSELING KELUARGA
PUSAT ASUHAN PERTIWI
KUALA PILAH
emmcresourcesmalaysia@yahoo.com
012 6650387

PENDAHULUAN

Menurut Cambridge Dictionary, “workaholic” bermaksud seseorang yang suka bekerja kuat dan merasa serba tidak kena jika tidak bekerja. Manakala “panic’ pula bermaksud seseorang yang merasa bimbang dan takut akan sesuatu hingga menjadikan dirinya tidak tenang. Dalam kontek penulisan kali ini, saya ini jelaskan mengenai sikap isteri yang terlalu kuat bekerja di luar rumah hingga menjadikan suaminya risau dan tidak selesa terhadap isterinya. Huraian mengenai perkara ini diharap akan membantu masyarakat kita di abad ke 21 kini bagi menikmati hidup berkeluarga yang dinamik, bahagia dan berilmu pengetahuan.


HUKUM

Bekerja adalah ibadah dan sunnah Nabi Muhammad SAW.  Setiap ummat Islam yang waras akalnya dan sempurna pancainderanya diwajibkan bekerja bagi mencari rezeki yang halal. Tujuan bekerja adalah bagi menampung keperluan dan kebajikan diri sendiri dan orang lain misalnya untuk kebajikan isteri dan anak.  Pekerjaan yang halal dan mulia adalah bercirikan;

1.      Perkara yang halal
2.      Jauh daripada fitnah
3.      Bebas daripada rasuah
4.      Jauh daripada maksiat
5.      Selari dengan syariat misalnya dapat tunaikan solat dengan sempurna

Manakala pekerjaan yang haram dan dimurkai Allah adalah bercirikan;

1.      Perkara yang haram
2.      Mengundang fitnah
3.      Melibatkan rasuah
4.      Mengundang  maksiat
5.      Melanggar syariat misalnya tidak memberi ruang kepada diri untuk menunaikan solat 5 waktu dengan sempurna.


HUKUM ISTERI BEKERJA
Syariat menjelaskan tidak berdosa bagi isteri bekerja diluar rumah. Asasnya adalah mendapat izin daripada suami. Namun, bagi memastikan kerukunan keluarga, keselamatan diri dan hidup aman bahagia bebas daripada krisis, maka pihak isteri mesti mengambil perhatian mengenai perkara-perkara berikut;
1.      Pastikan ketrampilan berpakaian mengikut syariat
2.      Pastikan caragaya komunikasi kamu di tempat kerja dengan sopan dan elakkan diri daripada dieksplotasi dan dipersepsi salah oleh orang lain.
3.      Pastikan bahawa masalah ditempat kerja tidak dibawa ke rumah
4.      Pastikan tadbir urus kebajikan suami dan anak adalah keutamaan
5.      Pastikan persona diri kamu adalah sebagai isteri, ibu dan wanita yang solehah. Bukan wanita yang ammarah (pemarah) dan cepat melatah.

PUNCA ISTERI WORKAHOLIC
Setiap wanita ada keistimewaannya yang fantastik. Isteri yang dilihat sebagai wanita  “workaholic” misalnya adalah merupakan ciri wanita idaman yang menjadi dambaan setiap lelaki yang normal di seluruh alam dunia yang fana ini. Ia adalah kerana wanita “workaholic” memberi impak kepada setiap lelaki yang bergelar suami dari segi;
1.      Meringankan bebas kewangan suami
2.      Menghasilkan persekitaran rumah yang bersih
3.      Membentuk budaya keluarga yang berdisiplin dan jelas matlamat hidup berkeluarga
4.      Mempunyai kebijaksanaan bagi mencari rezeki dan menyimpan wang
5.      Mempunyai sikap kental menghadapi cabaran hidup
6.      Mempunyai karakter ringan tulang dan peka dengan perkembangan psikososial masyarakat sekitarnya.

Sebaliknya, tanpa sikap workaholic, seseorang wanita (isteri) itu akan kelihatan negatif misalnya;
1.      Bersikap pasif tidak pro aktif
2.      Malas bekerja
3.      Suka habiskan masa melakukan aktiviti tidak berfaedah misalnya sibuk chatting menggunakan internet dan berwhattapps.
4.      Suka berkhayal akan keperluan diri sendiri bukan keperluan keluarga
5.      Tidak peka akan kepentingan sikap keusahawanan bagi mengukuhkan ekonomi keluarga
6.      Tidak jelas akan peranan sebagai seorang muslimah yang unggul (sebagai wanita, isteri, ibu dan seumpamanya).

KESAN NEGATIF PADA SUAMI
Meskipun isteri workaholic bekerja dikagumi dan diraikan oleh suami, namun jika tidak mengikut protokol syariat, akan menimbulkan beberapa isu misalnya;
1.      Isteri lambat pulang ke rumah
2.      Suami meluat sikap eksyen isteri yang “workaholic”
3.      Isteri memandang rendah akan kredibiliti suami
Apabila timbul 3 isu seperti diatas, maka ia akan menjadikan suami “panic”. Apabila suami “panic”, maka akan timbullah isu;
1.      Suami murung
2.      Suami jadi pemarah
3.      Suami cenderung melepak dengan rakannya di luar
4.      Suami curiga akan kesetiaan isteri
5.      Suami berdendam terhadap isteri

CARA ATASI MASALAH
Semua masalah ada jalan penyelesaiannya. Begitulah dengan setiap penyakit ada ubatnya. Junjungan Nabi Muhammad SAW telah bersabda maksudnya“Setiap penyakit pasti memiliki ubat. Bila sesuatu ubat sesuai dengan penyakitnya maka dia akan sembuh dengan seizin Allah Taala” (HR. Muslim). Masalah hubungan suami isteri retak kerana isteri “workaholic” suami “panic” adalah berpunca daripada masalah komunikasi. Masalah komunikasi bermakna komunikasi suami isteri tidak berkesan. Maka penawarnya ialah komunikasi berkesan. Komunikasi berkesan boleh menangani masalah komunikasi suami isteri berasaskan perkara berikut;

1.      Setiap pasangan mesti tahu hak dan tanggungjawab kendiri
2.      Membudaya sikap bercakap dengan kasih sayang.
3.      Isteri mesti hormat dan taat setia terhadap suami.
4.      Syurga isteri adalah tertakluk kepada redha suami.
5.      Suami mesti menstrukturkan isterinya dalam semua perkara. Jelaskan kepada isteri protokol yang diingininya berhubung kehendak isteri yang ingin bekerja dan bekerjaya.
6.      Semua nasihat, bimbingan atau arahan perlu berteraskan ilmu pengetahuan. Ia adalah akar kepada pengwujudan pasangan suami isteri bahagia dan obor kepada pembangunan ekonomi dan kebahagiaan sesebuah keluarga.
7.      Ingat sentiasa bahawa role model yang terbaik dalam aspek komunikasi berkesan pasangan suami isteri adalah junjungan utusan Allah iaitu baginda Rasul Nabi Muhammad SAW.

Ingatlah, baik suami atau isteri, masing-masing ada perasaan dan maruah diri. Maruah dan perasaan manusia punyai korelasi tinggi dengan nilai rasa selamat, jiwa bahagia dan minda bermotivasi tinggi  jika hidupnya dikelilingi oleh manusia yang;
1.      Cakapnya senyum dan intonasi mendamaikan orang
2.      Tindakannya sentiasa membantu dan menggembirakan orang
3.      Lisannya tidak menghina dan memperlekeh personaliti orang
4.      Sentiasa pemurah dengan makanan dan ilmu pengetahuan perorangan
5.      Disenangi dan disayangi sekalian orang

DUIT ISTERI WORKAHOLIC
Pantang para isteri ialah sikap suami pemboros dan menyusahkan poket isteri. Sikap suami yang pemboros dan tidak rajin cari duit boleh menyebabkan isteri alami dua penyakit iaitu;
1.      Sakit poket
2.      Sakit penyakit (macam sakit jantung, hati, mental dan kulit)
Sikap suami yang pemalas kerja dan pemboros berbelanja boleh mengubah ketrampilan positif isteri workaholic misalnya;
1.      Daripada cekap berfikir menjadi moron “bodoh” berfikir
2.      Daripada ceria menjadi duka ekspresi wajahnya
3.      Daripada pro aktif menjadi pasif
4.      Daripada bersikap tenang menjadi agresif
5.      Daripada suka memberi menjadi suka meminta

Menurut  Sheikh Abdullah Ibn Jibreen (1990), wang gaji isteri yang bekerja adalah 100% miliknya. Suami tidak boleh ambil wang pendapatan yang telah isteri usahakan melalui titik peluhnya. Namun, jika si isteri beri sebagai hadiah atau niatnya untuk bantu tolong suami menjaga kebajikan seisi keluarga, maka halal untuknya berbelanja dan menggunakannya. Allah Taala telah memartabat peranan dan hak wanita dan para isteri pada kedudukan darjat yang tinggi. Bukan tugas atau tanggungjawab wanita atau isteri untuk mencari nafkah untuk kebajikan seisi keluarga, sebaliknya tanggungjawab tersebut wajib digalas oleh para suami. Maka para suami yang soleh, “workaholic” dan melayan isteri dengan baik adalah paling dikasih oleh Allah. Ia selari dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku."  (HR al-Tirmizi.)

ISTERI ADALAH PELENGKAP HIDUP SEORANG SUAMI
Hidup menjadi indah, bahagia dan penuh dengan aroma rahmat ilahi jika setiap pasangan suami isteri berilmu mengenai hak, peranan, motivasi keluarga, hala tuju hidup berkeluarga, suami isteri bekerjaya, kewangan dinamik keluarga, kepimpinan dan latihan dalam keluarga dan indahnya hidup bersyariat. Di Malaysia, kita sangat bertuah kerana Allah kurniakan kita banyak personalia yang buah fikir, kepakaran dan ilmunya boleh menginspirasikan untuk menjadi pasangan suami isteri yang bahagia misalnya Prof. Dr. Muhaya, Datuk Dr. Fadzillah Khamsah, Tuan Haji Hushim Salleh dan Ustazah Datuk Siti Norbahyah. Ikutilah seminar atau slot bicara ilmu di kaca TV bersama mereka. Sama-sama buat dan ambil catatan. Nikmatilah hidup ini dengan semangat keibubapaan dan menghargai setiap nikmat yang Allah telah kurniakan. Ingat pesanan Allah dalam Al Quran mengenai isteri iaitu barangkali wujud pada diri isteri itu sedikit kekurangan. Maka janganlah kamu terlalu berfokus kepada satu yang kurang itu sedangkan pada dirinya wujud lebih banyak lagi kebaikan. Allah telah berfirman maksudnya;Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka (isteri-isteri kamu), (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (QS. An-Nisa’: 19)



KESIMPULAN

Isu perceraian dalam kalangan pasangan suami isteri masyarakat  kita pada waktu ini amat merisaukan pihak kerajaan. Jika tidak dibendung, ia akan memberi kesan negatif kepada keutuhan institusi keluarga negara dan keselamatan psikososial masyakat kita pada masa depan. Akan banyak timbul isu kalangan kanak-kanak yang jiwa mereka terganggu dan akan menjadi trauma apabila dewasa iaitu takut berkahwin. Selain itu juga, anak - anak akan kehilangan kasih sayang dari ibu atau bapa mereka. Disamping itu juga mereka akan hilang tumpuan pelajaran dan sedikit sebanyak boleh merosak haluan kerja mereka pada masa depan. Nabi Muhammad Saw telah  bersabda maksudnya  “Sesuatu yang halal tetapi paling dibenci Allah adalah perceraian” –(HR Abu Dawud). Justeru, hormati dan muliakanlah dirimu dan perkukuhkanlah dirimu menjadi insan yang bertakwa, tinggi ilmu, penyayang dan bersemangat tinggi untuk mencari rezeki yang terbaik dan halal untuk dinikmati oleh pasanganmu dan anak-anak kamu. Pastinya hidupmu tidak menyesal dikemudian hari. Jadilah insan yang bertanggungjawab dan berilmu pengetahuan tinggi mencakupi pelbagai bidang khususnya bidang keibubapaan. Dengannya, kamu akan berjiwa besar dan berwibawa.


No comments:

Post a Comment