Monday 23 January 2017

KECELARUAN PERSONALITI PASANGAN DALAM INSTITUSI BERUMAHTANGGA



 OLEH:

DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN
012 6650387 /abbaakba@yahoo.com
PAKAR KAUNSELING KELUARGA
Pusat Asuhan Pertiwi
Kuala Pilah.



PENDAHULUAN

Setiap individu yang ingin atau sedang berkahwin mendambakan untuk memiliki pasangan hidup yang sihat zahir dan bathinnya. Ada yang telah berkenalan baharu berkahwin. Ada yang sebelum berkahwin telah lama bercinta. Malah ada jua yang setelah berkahwin baharu bercinta. Sebelum berakad nikah, mereka tidak mengetahui hati budi, caragaya berfikir, kepercayaan diri dan personaliti pasangan masing-masing. Namun, atas dasar restu pilihan ibubapa, mereka turutkan dan sedia bersatu mengikat ikatan perkahwinan. Mereka awalnya pasrah, berserah dan bertawakal. Setelah menikmati hidup sebagai pasangan suami isteri, beberapa hari kemudiannya, lebih kurang antara 7 hingga 14 hari, baharulah dilihat beberapa karektor tidak normal pada pasangan masing-masing. Ia terus dilihat, dinilai, diperhati dan difikirkan bagi membuat keputusan sama ada untuk merawatinya atau meninggalkannya. Saat itu, berlegar dalam kotak minda, ayat-ayat refleksi minda iaitu ikutkan hati mati, ikutkan rasa binasa dan ikutkan akal minda berjaya”.

MAKSUD KECELARUAN PERSONALITI
Kecelaruan personaliti bermaksud ketidakstabilan trait personaliti yang menimbulkan gangguan pada dirinya. Ia juga merupakan sikap atau tingkahlaku yang wujud dalam diri seseorang dan ia tidak selari dengan kebiasaan amalan budaya masyarakat setempatnya. Misalnya, sikap anak menantu memulia dan melayan kerenah ibubapa mertua adalah bagus dan sihat, sebaliknya sikap anak menantu tidak melayan ibubapa mertua dengan baik dan bercakap kasar dengan ibubapa mertua adalah tidak normal dan petanda adanya penyakit kecelaruan personaliti.

MANUSIA DAN JENIS KECELARUAN PERSONALITI
Jenis-jenis kecelaruan personaliti yang sering dialami oleh kalangan individu yang barangkali dialami oleh pasangan masing-masing adalah;

1.      Kecelaruan paranoid
Iaitu seseorang yang suka menyoal orang lain tentang nilai kesetiaannya atau kepercayaan pasangannya terhadap dirinya. Pengidap paranoid juga seorang yang suka berkonflik dan berdendam dengan pasangannya jika dia teruk dikritik atau dicemuh. Mereka yang mengidap paranoid juga seorang yang pemarah dan mudah bersikap kasar terhadap pasangannya. Keadaan hidup seperti itu menyebabkan pasangannya rasa tidak selesa dan tertekan ketika berada di dalam rumah. 
2.      Schizoid
Iaitu seseorang yang tidak berminat dalam soal hubungan seks terhadap pasangannya. Seseorang pengidap schizoid juga tidak hirau akan pujian atau kritikan pasangannya. Mereka juga tidak suka bercakap banyak dengan pasangannya dan lebih suka menyendiri di dalam rumah misalnya di dalam bilik. Ia menyebabkan pasangannya rasa terabai dan kecewa. Komunikasi dalam keluarga menjadi hambar. Kedua-dua pasangan akan menghadapi banyak episod duka dalam kehidupan berkeluarga seperti ini.
3.      Schizotypal
Iaitu seseorang yang punyai caragaya bercakap yang tidak jelas, suka berkhayal dan terlalu banyak berilusi. Mereka yang mengidap schizotypal juga merupakan pasangan yang terlalu pendiam dan suka menyendiri, tiada kawan rapat dan terlalu suka bercakap perkara-perkara yang bersifat mistik,ilusi dan talipathy. Keadaan memiliki pasangan sebegininya menjadikan pasangan yang sebaliknya hidup dalam keadaan serba keliru ragu-ragu dan pening kepala memikirkan sikap pelik pasangannya. 
4.      Antisosial 1
Seseorang yang mengalami kecelaruan Antisosial 1 ini umumnya boleh berlaku sejak berumur atas 15 tahun. Ciri-ciri pengidap Antisosial 1 ialah jika bersekolah dianya selalu ponteng, mudah terlibat dengan gejala lari dari rumah, suka bergaduh dengan orang lain dengan menggunakan senjata merbahaya, mudah bersikap kejam terhadap binatang dan orang lain jika dia marah, suka membakar sesuatu objek dan suka menipu. Sikap negatif sedemikian akan menyebabkan pasangannya mudah berada dalam keadaan stres dan risau akan nasibnya pada masa depan.
5.      Antisosial 2
Seseorang yang mengalami kecelaruan Antisosial 2 ini juga umumnya boleh bermula sejak berumur 15 tahun. Diantara ciri-cirinya ialah tidak suka menerima sesuatu tanggungjawab sama ada di dalam atau di luar rumah, tidak suka kepada peraturan, suka ponteng kerja, suka berkelakuan kasar terhadap orang lain, tidak bertanggungjawab terhadap anak-anaknya dan mementingkan diri sendiri misalnya berkaitan makanan dan pakaian. Sikap sedemikian boleh menyebabkan pasangannya hidup menderita dari segi zahir dan bathin.
6.      Borderline
Seseorang yang mengalami kecelaruan Borderline sering mengalami tekanan emosi didalam hidupnya. Dia juga seorang yang mudah merasa kesunyian, seorang yang pemboros ketika berbelanja dan cenderung merasa untuk membunuh diri jika alami sesuatu stres. Tingkahlakunya mudah berada dalam keadaan tidak stabil dan hubungan interpersonalnya banyak bercirikan pemikiran yang melampau dan sifat kurang sensitif terhadap perasaan dan kebajikan pasangannya. Mereka juga mudah mengikut perasaan panas baran dan mudah bergaduh dengan pasangannya mahupun ahli keluarganya. Ia menyebabkan pasangannya rasa kecewa dan tidak selamat untuk terus hidup bersama  pasangannya.
7.      Histrionik
Seseorang yang mengalami kecelaruan histrionik suka kepada pujian dan penghargaan oleh orang lain khususnya daripada pasangannya. Mereka juga sangat mementingkan kecantikan fizikalnya dan sangat kecewa jika tidak diberi perhatian, pujian dan penghargaan oleh pasangannya. Mereka juga sangat pentingkan diri sendiri dan mudah marah jika apa yang diingininya tidak diperolehi. Apabila bercakap, pemikirannya tidak selari dengan apa yang dicakapkan. Jelasnya, mereka sering bercakap diluar topik perbincangan atau perbualan yang sedang dibincangkan bersama pasangannya. Sikap sebegini menjadikan pasangannya tidak selesa dan boleh menimbulkan krisis komunikasi perorangan.
8.      Narcissistic
Seseorang yang mengalami kecelaruan narcissistic umumnya bersikap pentingkan diri sendiri dan suka mengambil kesempatan terhadap pasangannya. Suka bercakap perkara yang bombastik sehingga dirinya kelihatan terlalu berangan besar macam Mat Jenin. Mereka juga suka bercakap besar dan syok sendiri seolah-oleh merekalah yang terbaik atau terhebat. Mereka juga bersikap agresif apabila mengkritik dan memalukan orang yang dikritiknya, termasuklah pasangannya ketika di dalam rumah. Mereka juga syok sendiri seolah-olah dirinya orang sangat berwibawa, justeru dia mahu pasangannya memberi penghormatan dan layanan istimewa.
9.      Avoidant
Seseorang yang mengalami kecelaruan Avoidant umumnya suka bercakap di depan orang ramai namun sangat takut untuk menjawab soalan daripada para peserta. Mereka juga suka bersikap membesar-besarkan sesuatu berita, menjadikan dirinya ibarat wartawan badut. Mereka juga sangat sensitif emosinya dan tidak suka menerima kritikan daripada orang lain. Apabila dirinya dikritik teruk, dia akan mudah untuk menangis, dan apabila sedang alami sesuatu tekanan hidup, dia akan mudah menampakkan masalahnya pada ekspresi wajahnya.  Pasangannya memerlukan kekuatan hati dan jiwa bagi menghadapi pasangan hidup yang sedang alami kecelaruan Avoidant ini.

10.     Dependent
Seseorang yang mengalami kecelaruan dependent tidak mempunyai keyakinan diri bagi membuat sesuatu keputusan didalam keluarganya. Mereka juga mempunyai masalah dari segi ketidakyakinan terhadap diri sendiri dan sangat takut jika dimarahi atau ditinggalkan oleh pasangannya. Mempunyai egosentrik yang sangat rendah. Sangat tidak selesa jika tinggal dirumah seorang diri. Malah, mereka juga sangat takut untuk membuat sesuatu keputusan untuk dirinya. Pasangannya akan mudah rasa bosan dan akan hilang hormat terhadap kredibiliti pasangan hidup yang sebegini.
11.        Obsessive compulsive
Seseorang yang mengalami kecelaruan obsessive compulsive  cenderung untuk bersikap terlalu teliti terhadap sesuatu perkara atau tugasan yang diberikan sama ada buat dirinya atau pasangannya. Mereka juga seorang yang bersikap terlalu rigid, berkira dan berfikiran tertutup. Mereka juga seorang yang tidak suka kepada nilai amalan budaya yang baharu dan suka kepada perkara yang bersifat lama atau tradisional. Sangat suka mendominasi pasangannya dan syok sendiri merasa dirinya sahaja yang betul. Secara tidak rasional menganggap semua kerja mesti mengikut caranya sahaja dan tidak menghargai bakat dan potensi orang lain. Sikap sebegini menjadikan pasangannya mudah makan hati dan kecewa.
12.        Passive aggressive
Seseorang yang mengalami kecelaruan passive aggressive adalah seseorang yang suka membuang masa, menangguhkan kerja dan tidak fokus terhadap tanggungjawab yang telah diamanahkan buatnya. Mereka juga suka memberi alas an bahawa dia terlupa. Tidak suka diberi sesuatu arahan atau tanggungjawab dan menganggap orang lain lebih layak untuk melaksanakan tugas tersebut. Suka lari daripada topik perbincangan semata-mata kerana sikap malasnya untuk menjadi seorang yang lebih produktif. Pasangan sebegini sangat dibenci oleh pasangannya lantaran sikap malas dan tidak bertanggungjawab.


BAGAIMANA UNTUK MERAWAT 12 KECELARUAN PERSONALITI BERKENAAN

Jika pasangan anda jelas didapati ada masalah  kecelaruan personalit, maka dicadangkan bagi  mendapatkan bimbingan pakar misalnya kaunselor  keluarga, alim ulamak atau ahli psikiatris di hospital bagi menolongnya. Pertolongan boleh diadakan dengan objektif supaya dia;
1.      Mendapat celik akal
2.      Mengubah tingkahlaku
3.      Mengukuh imej
4.      Membina jati diri
5.      Membina konsep kendiri
6.      Mengukuh iman dan amal
Ada satu kisah yang dirujuk kepada ilmuwan terkenal dunia iaitu Ibnu Sina (seorang ulamak, ahli perubatan dan ahli sains ulung Islam).  Ibnu Sina pada suatu hari sedang berada di dalam majlis santapan diraja Sultan Turki. Tiba-tiba seorang pramusaji didapati tubuhnya kaku, matanya terbeliak besar dan susah untuk bercakap. Maka dibantulah oleh Ibnu Sina untuk proses kesembuhan. Ibnu Sina menggunakan pendekatan Terapi Psikologi bagi menyembuhkan kecelaruan emosi yang sedang dialaminya akibat terlalu rindu kejauhan terhadap pasangannya yang sedang berada di luar negara. Kaedah rawatannya tidaklah boleh saya jelaskan disini melainkan ia boleh dibincangkan melalui medium yang lain.
Hati yang mati, ego kendiri yang tidak terkawal dan perasaan buruk sangka yang keterlaluan boleh mengundang keceleruan personaliti. Bahawa tekanan hidup semasa
kecil dan krisis berat yang pernah dialami pada masa lalu juga boleh mengakibat kecelaruan personaliti kepada seseorang jika dianya tidak mempunyai;

1.                  Hati yang ikhlas
2.                  Jiwa yang tabah
3.                  Fikiran yang bersih
4.                  Semangat juang yang tinggi
5.                  Tidak mudah mengalah
6.                  Tidak dibantu

KESIMPULAN
Suatu hari, Nabi Muhammad SAW mengingatkan para sahabatnya dengan bersabda, maksudnya;“Kita baharu kembali dari satu peperangan yang kecil untuk memasuki peperangan yang lebih besar”. Maka para sahabat kaget lalu bertanya  “Peperangan apakah itu Ya Rasullullah”, maka jawab baginda Rasul SAW “ Peperangan melawan hawa nafsu” – Hadis riwayat Al Baihaqi. Ingatlah, bahawa kemarahan, kemalasan, keinginan, keghairahan dan kebertanggungjawab diri semuanya berasas kepada nilai nafsu. Nafsu ada 2 iaitu nafsu baik dan nafsu buruk. Jika kamu menolong memulih pasanganmu agar bebas daripada kecelaruan personaliti diatas, maka ia termasuk sikap yang mulia yang terbit daripada nafsu egosentrik yang positif (intrinsic motivation). Dan begitulah juga sebaliknya. Maka hendaklah kita semua saling melengkapi, tolong menolong dan bersatu padu bagi membina institusi keluarga bahagia yang bebas daripada kecelaruan personaliti. Dengan rasa empati  untuk mengambil kira faktor latarbelakang pasangan anda, insya Allah akan terbit rasa peduli dan kasihan belas terhadap dirinya. Ia ibarat mesej pantun Melayu lama,

Harum sungguh bunga kemboja
Bunga karangan cantik tersemat
Janganlah membaca kulit sahaja
Telitilah kandungan sehingga tamat.

-SEKIAN

No comments:

Post a Comment