Tuesday 17 January 2017

SUAMI GILA GAJET


OLEH:
DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN
PAKAR KAUNSELING KELUARGA
PUSAT ASUHAN PERTIWI
KUALA PILAH
012 6650387

PENDAHULUAN

Gajet berasal daripada perkataan Bahasa Inggeris “Gadget”. Dalam kamus DBP,  gajet bermakna peralatan. Manakala perkataan gajet bagi penulisan ini merujuk kepada peralatan komunikasi zaman  kini yang berasaskan penggunaan telefon bimbi. Ia kini  sedang menjadi  keperluan utama generasi manusia zaman kini. Umumnya, gajet ialah hasil teknologi duniawi, serba canggih, menyeronokkan dan kononnya segalanya di hujung jari. Umumnya, penggunaan gajet berkenaan menjurus kepada gajet telefon bimbit dan komputer bimbityang berteknologi tinggi. Ia boleh berfungsi  menghantar mesej, kertas kerja, buku perkhidmatan, e-mel, surat menyurat, gambar, video dan seumpamanya.Dengan sifat hujung jari yang cekap menaip, para pengguna gajet akan menikmati pelbagai sumber hasilan informasi, hiburan dan gambar yang boleh memberi kesan motivasi intrinsik dan ekstrinsik kepada pengguna.Malah ia juga boleh memberi kesan positif dan juga negetif kepada para pengguna. Namun, ia jelasnya banyak bergantung kepada setakat mana tinggi atau rendahnya iman seseorang itu, khususnya kepada kalangan para suami.


ISU

Paparan media massa di dalam negara dan juga luar negara menjelaskan ada banyak isu yang muncul lantaran sikap suami yang dilihat negetif dari segi penggunaan gajet berkenaan. Namun, sebelum saya menjelaskan isu-isu negetif berkaitan salah caragaya penggunaan gajet, saya jelaskan dahulu akan kebaikan gajet kepada para pengguna khususnya kepada kalangan suami. Kebaikan  gajetdari segi kegunaannya adalah sebagai:

1.      Alat komunikasi
2.      Alat keselamatan
3.      Alat pencarian maklumat
4.      Alat bantu belajar
5.      Alat bagi penggunaan ibadah

Manakala kesan negetif gajet terhadap kalangan suamiialah;

1.      Memudahkan suami terlibat dalam skandal
2.      Mengkhayalkan suami dari segi gambar dan video porno
3.      Ketagih dengan aktiviti melayari dan menggunakan aplikasi whattapps, keek, youtube, instagram, twitter dan facebook.
4.      Mengurangkan kemesraan suami isteri
5.      Merosakkan minda dan jiwa suami
6.      Menjadikan suami hidup dalam khayalan dan membazir masa dengan bermain gajet.
7.      Menjadikan suami cepat marah
8.      Menjadikan suami bersikap pentingkan diri sendiri

PUNCA

Punca berlakunya masalah suami ketagih gajet adalah disebabkan  tirisnya ilmu mengenai konsep kepimpinan sebagai seorang suami. Sebab itu Imam Al Ghazali berpesan “Menuntut ilmu adalah takwa. Menyampaikan ilmu adalah ibadah. Mengulang ilmu adalah zikir. Mencari ilmu adalah jihad”. Lantaran tirisnya ilmu mengenai ketrampilan suami dalam menggunakan gajet di rumah, maka timbullah isu suami ketagih gajet disebabkan;

1.      Suami lemah dari segi ilmu disiplin pengurusan masa
2.      Suami tidak jelas peranan sebagai suami, ayah dan role model kepada seisi keluarga.
3.      Suami tidak matang dari segi  memain peranan dan tanggungjawab sebagai suami
4.      Suami mementingkan kepentingan hawa nafsu sendiri
5.      Suami kurang penghayatan hidup berilmu agama dan mengamalkan ilmunya, selari dengan tuntutan agama.

Daripada 5 punca yang saya nyatakan diatas, perkara utama yang menjadi punca adanya suami lemah personaliti akibat gila gajet meskipun berada di rumah adalah perkara nombor 3 iaitu suami tidak matang dari segi peranannya sebagai suami dan ayah kepada anak-anaknya.
Kesan daripada sikap suami gila gajet, isteri di rumah akan berasa kekurangan dari segi;
1.      Sentuhan jasmani (Kemesraan akan kurang. Suami lebih banyak masa pegang gajet berbanding pegang isteri)
2.      Sentuhan rohani (Isteri kurang bimbingan rohani. Sebab  hati suami dah menjadi keras. Suami kurang atau tidak mampu memberi bimbingan kata-kata rohani kepada isteri dan anak-anak. Sebab suami sendiri tak betul dan kurang penghayatan rohani dalam jiwanya)
3.      Sentuhan emosi( Hubungan mesra dan kekeluargaan menjadi kurang. Suami lebih stress kepada isu dan masalah yang ditumpunya padabahan-bahan dalam gajet).
4.      Sentuhan intelek (Kurang majlis ilmu di dalam rumah. Suami tidak membudayakan aktiviti berbincang mengenai sesuatu yang bersifat ilmu duniawi dan ukhrawi bersama isteri dan juga anak-anak).
Jelasnya, kesan gila gajet menjadikan pihak suami hidup dalam dunia tersendiri. Malah ada suami yang bukan sahaja mengabaikan keperluan jasmani, emosi, rohani dan intelek isterinya di rumah, malah dirinya sendiri boleh terabai misalnya mengabaikan makan minum, kurang tidur, mata jadi rosak, sakit-sakit saraf badan dan hidup bagaikan “zombie” yang tidak ada empati terhadap diri sendiri dan orang lain. Mungkin atas kesedaran akan wujud kesan negetif gajet, Albert Einstein (1967) telah mengingatkan generasi muda pada hari ini dengan menyatakan “I fear the day that technology will surpass our human interaction. The world will have a generation of idiots”.

Dari aspek kesihatan diri pula, kajian dari Universiti Arizona, Amerika Syarikat (2015) mendapati sikap gila gajet dalam kalangan suami boleh memberi kesan negetif dari segi 7 perkara berikut;
1.      Sindrom suka menukar gajet  dari semasa ke semasa
2.      Susah hendak tidur malam
3.      Sindrom stress emosi
4.      Kegemukan
5.      Telinga rosak
6.      Mudah mendapat penyakit hati
7.      Mudah mendapat penyakit asma
Malah, dapatan kajian tersebut juga mendapati kotoranberkuman pada gajet telefon bimbit miliki kuantiti 10 kali ganda lebih banyak dibandingkan di bilik mandi. Seterusnya, rumusan kajian tersebut menyatakan sikap gila gajet dalam kalangan manusia dikenali sebagai nomophobia (no-mobile-phone-phobia), iaitu tanpa gajet seseorang itu mudah terasa sangat kekurangan, tertekan dan cemas.

FORMULA PENYELESAIAN MASALAH

Bagi mengatasi masalah tersebut, berikut adalah langkah-langkah yang perlu diamal dan dilakukan oleh pihak isteri;

1.      Doa. Berdoa dengan ikhlas dan bersungguh akan menjadikan pihak isteri menjadi lebih tenang dan bertawakal kepada Allah.
2.      Takwa. Berusahalah sehingga suami mendapat celik akal (kesedaran) bahawa imej suami yang bertakwa ialah dia lebih banyak masa pegang Al Quran dan sangat sikit masanya diperuntukkan untuk aktiviti menggunakan gajet ketika di dalam rumah bersama ahli keluarga khususnya isteri.
3.      Komunikasi.Cakaplah dengan suara dan intonasi yang paling lembut
4.      Tabah. Jangan berputus asa bagi mengingat dan membimbing suami supaya bersikap matang dan bebas daripada budaya gila gajet.
5.      Yakin. Sikap yakinakan kemampuan diri bagi mengubah suami agar tidak gila gajet. Justeru, berusahalah tanpa mengenal erti putus asas.
6.      Sopan. Suami akan mudah mendengar nasihat isteri  jika pihak isteri miliki peribadi yang lemah lembut namun sangat kuat dari segi mengamalkan gaya hidup muslimah. Misalnya pakaian menutup aurat, memuliakan suami dan anak-anak, tekun dalam menjaga makan minum, kesihatan, kebajikan bathin suami, pakaian seisi keluarga dan harta benda suami di dalam dan luar rumah. Fitrah para suami akan mudah cair dan setia nuraninya jika pihak isteri miliki konsep kendiri yang baik seperti diatas.
7.      Fitrah. Kena ingat sentiasa mengenai fitrah manusia. Misalnya adalah fitrah bahawa setiap manusia ada kelemahan. Setiap manusia berhak mendapat nasihat dan kasih sayang daripada sesiapa sahaja khususnya daripada seorang isteri kepada suami tercinta. Fitrah manusia sangat mudah tersentuh hati apabila mendapat nasihat dan layanan yang penuh kasih sayang, jauh daripada kata-kata berupa penghinaan dan marah-marah.


KESIMPULAN

Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Allah tidak menurunkan penyakit kecuali diturunkan penawarnya” (Riwayat Bukhari). Masalah suami gila gajet sebenarnya bukan masalah rumit untuk diperbaiki. Ia soal personaliti yang “matang” atau “belum matang”. Matang adalah soal istimewa dalam nilai konsep kendiri seseorang suami. Ada suami yang baharu berumur 20an namun nilai konsep kematangan kendirinya sangat bijak, matang dan jauh kehadapan. Sebaliknya ada suami yang sudah berumur 50an namun nilai konsep kendirinya tidak matang. Ia tidak jaga solat, terlalu suka bermain dan habis masa dengan aktiviti mengguna gajetnya. Natijahnya, pihak anak isteri menjadi meluat, sedih hati dan rasa tidak dihargai oleh pihak suami/ayah tersebut. Oleh itu, pihak isteri punyai peranan besar bagi menyedar dan memotivasi pihak suami agar berubah menjadi lebih matang. Apabila matang atau sedar diri, maka dia akan berubah menjadi lebih banyak beramal ibadah, melayan isteri dan anak-anak. Masanya akanberfokus kepada membuat amal kebajikan untuk ahli keluarganya samada di dalam atau diluar rumah. Isteri boleh memainkan peranan untuk mengubah sikap suami. Namun jika isteri tidak sanggup untuk berusaha keras  bagi mengubah sikap negetif  suami sendiri, maka pastinya orang lain tidaklah boleh diharapkan. Usaha tangga kejayaan. Yakin boleh.

No comments:

Post a Comment