Wednesday 6 September 2017

ILMU MEKANISME BELA DIRI BAGI MEMPERKASA INSTITUSI KELUARGA





OLEH:
DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN
PAKAR KAUNSELING KELUARGA
TEL : 012 6650387
EMEL : abbaakba@yahoo.com




PENDAHULUAN

Ilmu psikologi tingkahlaku penting untuk dipelajari oleh masyarakat kita. Ia bertujuan mencegah krisis dan konflik dalam rumahtangga. Dengan adanya ilmu psikologi tingkahlaku, membolehkan setiap pasangan membina sikap empati, toleransi dan menerima kekurangan pasangan masing-masing dengan reda dan hati terbuka. Kelak, akan wujudlah suasana komunikasi yang saling memaafi, spontan, mesra, harmoni dan menerima tanpa syarat. Setiap pasangan akan sering terasa selamat, selesa dan dihargai.  Berhubung perkara tersebut, dijelaskan bahawa diantara ilmu psikologi tingkahlaku yang perlu dipelajari oleh kalangan ahli masyarakat kita sama ada sudah dan belum kahwin iaitulah mengenai ilmu mekanisme bela diri.

MAKSUD MEKANISME BELA DIRI

Mekanisme bela diri bermaksud proses tingkahlaku seseorang yang dilakukan bertujuan bagi mengurangkan stress, kebimbangan dan ketidakyakinan diri. Ia boleh berlaku di pelbagai lokasi misalnya di dalam rumah, di tempat kerja, di pusat membeli belah, di dalam rumah ibadat dan seumpamanya.  Umumnya, mekanisme bela diri ini dilakukan secara tanpa sedar. Namun, mempelajari dan memakari kaedah penggunaannya akan menjadikan seseorang suami atau isteri itu hidup dalam ketrampilan, bijak berkomunikasi, arif untuk memberi refleksi perasaan, perhatian dan pandangan terhadap lawan bicaranya ketika bercakap sama ada di dalam mahupun diluar rumah.
Ironinya, sesiapa sahaja dalam kalangan individu yang mempunyai kemahiran dan ilmu mekanisme bela diri ini pada hemat saya akan punyai konsep kendiri yang kuat, profesional dan miliki imej yang mampan. Jelasnya, orang yang profesional menurut Prof. Hamka (1969) tidak mudah panik, bila bercakap penuh yakin, jika dikritik dia terima dengan hati terbuka, kepercayaan kendirinya kukuh dan ilmu pengetahuannya yang luas mengenai tingkahlaku manusia menjadikan dia sentiasa berupaya menguasai diri dan persekitarannya.

JENIS-JENIS MEKANISME BELA DIRI

Berikut adalah jenis-jenis ilmu mekanisme bela diri yang boleh dibaca, dipelajari, difahami dan dipraktikkan dengan tujuan untuk mengelak krisis dan konflik dalam rumahtangga. Malah, dengan mempelajarinya, seseorang itu akan bertambah cekap dalam membina seni berkomunikasi terhadap pasangan masing-masing khususnya dan anak-anak amnya demi pengwujudan institusi keluarga yang utuh bahagia sehingga ke hujung nyawa.  Ia adalah seperti berikut;
1.       Represi
Iaitu seseorang itu berupaya membuang, melupus atau melupakan pengalaman-pengalaman duka, pedih dan negatifnya pada masa lampau. Misalnya pernah dihina, difitnah, gagal dalam pelajaran dan seumpamanya. Dengan kejayaan melupa dan menyingkirkan perasaan dan kisah duka yang lampau, seseorang itu akan lebih fokus membina kehidupan yang hebat pada masa sekarang, hari ini dan akan datang. Pengajarannya ialah, sikap tidak yakin dan lemah semangat akibat kisah silam yang buruk tidak membantu membina efikasi diri bagi membina kejayaan dan kebahagiaan hidup berkeluarga pada masa depan. Setiap orang pernah buat silap dan pernah alami kegagalan. Dengan melakukan represi, akan timbul keyakinan, fokus diri dan motivasi dalaman diri yang hebat. Kesannya, wajah menjadi lebih ceria dan imej diri akan kelihatan sihat bertenaga. Pasangan pun seronok dan selesa lihat wajah anda yang ceria. Sebab “nothing to hide”.  Everything is ok.

2.       Sublimasi
Iaitu seseorang itu melepaskan tenaga, keinginan dan nafsu seks berlebihan atau agresif dirinya kepada satu tindakan yang positif dan bermanfaat buat diri dan orang lain. Misalnya dia lepaskan keinginannya untuk mengamuk terhadap pasangan kepada aktiviti berfaedah misalnya melukis gambar pemandangan, menulis lirik dan bait puisi yang menarik dan aktiviti menghafal sesuatu fakta ilmu. Pengajarannya ialah dengan adanya kemahiran dan kefahaman kaedah sublimasi ini, seseorang boleh menghindar dirinya daripada perlakuan yang negatif seperti mengamuk, onani tanpa ruhsoh dan mencedera orang lain. Sikap buruk jika dilihat orang, boleh mengakibatkan hilang rasa hormat orang terhadap diri sendiri.

3.       Pembentukan reaksi
Iaitu seseorang yang bersikap bertentangan dengan perasaan dan hatinya sendiri bertujuan untuk mengelak krisis dan konflik. Misalnya seorang isteri yang bersikap mesra dan melayan suaminya dengan penuh hormat dan peduli, namun realitinya dia sangat marah terhadap suaminya kerana terlalu boros berbelanja untuk membeli rokok dan pakaian personal. Pengajarannya ialah dengan sikap menjaga imej luaran yang manis,senyum dan mesra, ia boleh membantu wujudkan persekitaran keluarga yang aman dan sentosa. Ketidakpuasan hati terhadap sikap negatif suami itu akan dibincangkan pada hari lain, saat dirinya sudah tenang, rasional dan bersedia untuk menasihat suami dengan penuh kasih sayang, bukan nak marah-marah menengking.

4.       Projeksi
Iaitu sikap seseorang yang menyalahkan sesuatu perkara atau orang lain kerana tidak boleh terima kelemahan atau kesilapan sendiri. Misalnya seorang isteri yang menyatakan punca baju yang digosok itu koyak adalah disebabkan alat penggosok itu sudah rosak. Sedangkan realitinya berpunca daripada kecuaian isteri tersebut. Pengajarannya, sikap sebegini bertujuan supaya mengelakkan dirinya daripada dimarah atau ditengking oleh suaminya. Dia lebih arif dengan karektor suaminya. Justeru, dengan memberi alasan sebegitu, dia selamat daripada tertekan dengan lidah tajam dan sikap baran pasangannya.

5.       Pindahgantian
Iaitu sikap seseorang yang marah kepada seseorang namun dialihkan kemarahannya kepada orang lain yang tidak punyai kuasa berbanding dirinya. Misalnya seorang isteri yang tengah marah kepada suaminya, namun dialihkan kemarahan tersebut kepada sasaran lain iaitu kepada anaknya. Ia bertujuan untuk mengurang dan melepaskan kemarahannya. Pengajarannya, setiap pasangan berhak untuk bertindak sedemikian bagi mengurang dan menghilangkan kemarahan. Namun, ia mesti dielak  atau jangan diulang selepas membaca tulisan saya ini bagi menjauhi sikap murung dan kesedihan dalam kalangan anak-anak.

6.       Khayal
Iaitu sikap seseorang yang cuba atasi ketakutan atau ketidakyakinan diri dengan mengkhayalkan suatu keadaan yang hebat, gemilang dan pemberani. Ketika  itu, lupalah dia akan ketakutan atau ketidakyakinan diri yang sedang dialami hasil kaedah mengkhayalkan suasana persekitaran yang positif itu. Misalnya, keadaan seseorang ibu atau bapa yang sedang risau ketika menunggu keputusan peperiksaan UPSR anaknya di sekolah. Maka dengan teknik khayal tersebut, ia boleh mereda dan menimbulkan perasaan positif dalam nuraninya. Pengajarannya, kita memerlukan kemahiran untuk mengurus emosi bagi mengelakkan stress mahupun kebimbangan. Dengan adanya kemahiran khayal kendiri dalam menghadapi situasi yang mencabar, akan membolehkan seseorang mampu terampil di hadapan masyarakat dengan imej yang tenang. Ia bagus untuk mewujud suasana yang positif dan menjadikan orang disekitar kita rasa selesa dan selamat, khususnya buat pasangan masing-masing.

7.       Identifikasi
Iaitu sikap seseorang yang suka mendekati, bergaul dan berdamping dengan orang yang terkenal. Ia bertujuan bagi membina keyakinan kendirinya disamping bertujuan mendapat penghormatan daripada orang lain yang melihatnya.Pengajarannya ialah tidak salah jika seseorang suami atau isteri itu berkawan dan berhubung baik dengan seseorang yang terkenal sama ada dalam kalangan pemimpin mahupun selebriti. Namun, kita mesti ambil perhatian mengenai apakah objektifnya. Perlu diingat, diantara isi dengan kulit, kita hendaklah mengutamakan isi. Jika kulitnya sahaja kelihatan hebat namun isi kendiri seseorang itu kosong atau tidak berilmu dan tidak berbakat, maka lambat laun orang akan meluat dan tidak hormat. Ia boleh jadi ibarat sekadar melukut di tepi gantang. Hidup segan mati tak mahu. Pengajarannya, setiap orang tidak salah untuk mengguna pendekatan identifikasi ini namun biarlah diiringi dengan niat yang baik, pastikan diri sendiri penuh ilmu di dada dahulu dan sedia membantu diri sendiri dan orang lain yang memerlukan.

8.       Ganti rugi
Iaitu seseorang yang berusaha untuk menutup kelemahan dan kekurangannya dengan suatu daya tindak usaha yang boleh menimbulkan rasa teruja, hormat dan bangga orang lain terhadap potensi dirinya. Misalnya seseorang suami yang sedar dirinya bertubuh pendek dan tidak berbakat dalam memasak, sebaliknya dia berusaha sungguh-sungguh  untuk jadi pakar dan hebat dalam bidang kemahiran membaiki kereta dan permainan catur. Dengan ilmu dan kemahiran tersebut, dia dapat banyak kejayaan berupa sijil, hadiah dan wang ringgit.  Implikasinya, pihak isteri dan anak-anaknya menjadi bangga dan bertambah sayang kepadanya dari semasa ke semasa. Pengajarannya ialah mengupaya diri dengan kemahiran psikologi ganti rugi kendiri tidaklah salah. Namun, kita mesti pastikan sikap kita bukan bergantung dengan puji-pujian orang lain. Jika kita terus bergantung dengan pujian orang, dikhuatiri kita mengalami penyakit “gila pujian” dan ia tidak baik untuk kesihatan hati sendiri.

9.       Penafian
Iaitu sikap seseorang yang tidak mahu menerima hakikat akan kesilapan atau kelemahan dirinya sendiri. Sikap seseorang bagi mengguna pendekaran “penafian” bertujuan untuk mengelak stress diri daripada menerima kritikan, dipandang rendah dan hina. Pengajarannya, sikap seseorang bagi menggunakan teknik berfikir secara “penafian” ada baiknya. Misalnya, seseorang suami yang didapati gagal di dalam ujian memandu kereta tidak mengakui bahawa dianya seorang yang cuai dan kurang cekap. Sebaliknya diberi “penafian” dengan alasan faktor nasib tidak menyebelahinya. Justeru, dengan penuh yakin, bolehlah pihak suami keluar duit dan buat ujian memandu sekali lagi sehingga berjaya lulus.

10.   Rosot kembali
Iaitu sikap seseorang yang memilih untuk bersikap seperti keanak-anakan (macam perangai kanak-kanak). Ia bertujuan untuk memastikan dirinya dapat perhatian, dimanja, tidak dibenci atau dimarahi. Misalnya sikap seorang isteri yang memberi respon terhadap persoalan oleh suaminya “Mengapa lauk ini tak sedap, masin dan macam ada sesuatu yang tak kena? Apa yang awak buat di dapur?”. Lalu dijawab oleh si isteri dengan suara yang manja, mengada-ngada dan keanak-anakkan. Natijahnya, si suami berubah sikap daripada terlalu marah bertukar jadi senyum dan tak jadi marah, sebaliknya ketawa ghairah gembira. Pengajarannya, sikap seseorang sama ada pihak suami atau isteri jika menggunakan teknik “rosot kembali” dalam menghadapi sesuatu konflik atau masalah dalam rumahtangga tidaklah berdosa atau lemah sifat sahsiahnya. Namun, ia perlu dilakukan dengan niat yang baik. Niat dan seni komunikasi yang menarik sangat penting bagi mengelak isu pihak suami atau isteri atau anak-anak bertambah meluat atau kecewa.

11.   Rasionalisasi
Iaitu sikap seseorang yang memberi alasan tertentu bertujuan untuk merasional orang lain supaya bersetuju dan menyokong pendapat dan keadaan dirinya sekarang. Misalnya, sikap seseorang suami yang memberi alasan bahawa “semua suami diluar sana juga balik lewat malam ke rumah sebab mencari rezeki yang halal”. Sedangkan realitinya, dia bukan lewat pulang ke rumah kerana bekerja, sebaliknya melepak atau bersembang dengan rakan-rakan sebayanya di restoren mamak diluar sana. Dengan alasan yang diberikan, dia harap isterinya boleh terima dengan fikiran yang rasional. Pengajarannya, bukanlah mudah untuk mengguna teknik “rasionalisasi” ketika memberi alasan kepada pasangan masing-masing bagi mengatasi sesuatu masalah atau isu, termasuk isu pulang lewat ke rumah. Kejujuran, keikhlasan dan kebertanggungjawaban adalah kunci kepada kejayaan untuk mengguna teknik perhubungan perorangan ini. Kebanyakan orang yang bijak tidak mudah terpengaruh dengan alasan yang tidak rasional kerana kelemahan dari segi isi, fakta dan perasaan orang yang memberi alasan tersebut.  

KESIMPULAN

Ilmu mekanisme bela diri jelasnya sangat baik untuk dipelajari dan difahami oleh setiap ahli masyarakat kita. Kita maklum bahawa setiap orang ingin miliki pasangan yang ideal, penyayang, bertanggungjawab dan kreatif dalam hal ehwal menjaga kebajikan, keharmonian dan keselamatan seisi keluarga. Ia ditambah lagi dengan laporan oleh Majlis Kaunselor Sedunia bahawa punca robohnya rumahtangga dan huruharanya sesebuah organisasi berpunca daripada masalah komunikasi yang tidak berkesan. Maka jalan keluar bagi membendung masalah dalam keluarga adalah ilmu psikologi komunikasi perorangan ini iaitu “Teknik Mekanisme Bela Diri Bagi Menjana Komunikasi Yang Berkesan Di Dalam Sesebuah Institusi Keluarga”. Realitinya, pen dan pisau jika dilihat dan diguna dengan niat yang baik akan menghasilkan produk yang baik dan bermanfaat buat semua orang. Sebaliknya, ia menjadi senjata membunuh dan menyakitkan tubuh insan jika di guna dengan niat dan tindakan yang negatif. Begitulah dengan ilmu mekanisme bela diri ini. Bacalah dan ambil pengajaran darinya. Setiap tindak tanduk manusia jelasnya punyai mesej yang tersirat disebalik yang tersurat. Sesungguhnya ilmu itu boleh datang dan pergi seiring dengan niat dan konsep kendiri kita.

No comments:

Post a Comment