Wednesday 4 October 2017

KEPENTINGAN PERANCANGAN STRATEGIK DALAM INSTITUSI KELUARGA BAHAGIA



OLEH;
DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN - 012 6650387




PENDAHULUAN

Kepimpinan  keibubapaan yang strategik  ialah merujuk kepada kalangan ibubapa yang mampu mengenalpasti dan jelas dengan persoalan berikut;

1.    Apakah urusan-urusan yang perlu ditumpukan untuk peningkatan kualiti setiap kalangan ahli dalam sesebuah keluarga?
2.    Bagaimana prestasi pendidikan anak-anak pada masa kini?
3.    Ke manakah hala tuju keluarga anda?
4.    Bagaimana cara dan cadangan anda untuk mencapainya?
5.    Apakah isu-isu kritikal yang dihadapi oleh kalangan ahli keluarga anda kini?
6.    Apakah budaya keluarga anda sekarang?
7.    Apakah yang anda pelajari daripada setiap kejayaan dan kegagalan yang dihadapi oleh setiap ahli keluarga anda?
8.    Jika anda dapat menentukan masa depan keluarga anda, apakah yang anda harapkan daripadanya?

BERSEDIA UNTUK BERUBAH

Sebuah institusi keluarga yang berdaya maju adalah sebuah keluarga yang dipimpin oleh ibubapa yang sanggup dan mampu menerima serta melakukan perubahan demi kebaikan jati diri dan imej institusi keluarganya. Perubahan pula lazimnya seringkali mengundang pelbagai tekanan dan cabaran. Ibarat laying-layang, ia senantiasa perlu tekanan udara untuk dia terbang lebih tinggi. Justeru, kepentingan pengurusan sebuah keluarga yang strategik adalah merupakan wadah yang dapat memberi peluang kepada penglibatan setiap ahli keluarga. Manakala proses pemikiran strategik akan mengurangkan tekanan hasil daripada perubahan tersebut.

Pengurusan strategik sebuah keluarga memerlukan penyelarasan dalam keputusan-keputusan yang berkaitan seperti berikut;

1.    Tahap kewangan keluarga
2.    Tahap pendidikan anak-anak
3.    Budaya komunikasi ahli keluarga
4.    Perkembangan psikososial ahli keluarga
5.    Amalan hidup  beragama setiap ahli keluarga


Pembentukan strategi untuk merancang bagi mencapai matlamat pengwujudan sebuah keluarga yang cemerlang dan bahagia perlu bermula dengan pembentukan strategi. Langkah-langkah strategi adalah seperti berikut;

1.    Mengadakan visi keluarga
2.    Menetapkan misi strategik keluarga
3.    Menentukan matlamat keluarga yang strategik





VISI KELUARGA

Visi keluarga yang terbaik adalah bercirikan perkara berikut;

1.    Realistik
2.    Ringkas dan jelas
3.    Tekal dan berterusan
4.    Terancang dengan rapi
5.    Bahasanya mudah difahami
6.    Konsisten dalam kenyataan dan tindakan
7.    Ada sasaran tarikh (tahun) untuk mencapainya
8.    Berupaya menyakinkan dan merangsang tindakan ahli keluarga
9.    Cara penyampaian yang bersesuaian dengan setiap ahli keluarga

Aspek menyampaikan visi keluarga merupakan satu proses yang sangat sukar dan penting dalam usaha untuk menjadikan visi tersebut sebagai visi yang dikongsi bersama oleh setiap ahli keluarga.
Kewujudan pelbagai visi boleh menimbulkan kekeliruan kepada kalangan ahli keluarga anda. Akibatnya visi keluarga anda tidak akan berjaya dicapai. Contoh satu visi keluarga yang berkualiti adalah seperti berikut;

“Keluarga Ahmad (nama bapa yang menjadi ketua keluarga) adalah sebuah keluarga Islam yang berilmu tinggi dan berdaya maju dalam bidang ekonomi menjelang tahun 2020.”

MISI KELUARGA

Misi keluarga adalah bermaksud langkah atau daya usaha untuk bertindak untuk mencapai visi keluarga anda. Misi sifatnya mesti jelas, mantap dan mampu menjana ke arah merealisasikan visi keluarga anda. Diantara ciri  misi keluarga yang berkualiti ialah seperti berikut;

1.    Mudah dan senang diingat
2.    Berkait rapat dan menyokong sepenuhnya visi
3.    Boleh menjadi budaya kepada setiap ahli keluarga anda
4.    Menjawab kepada persoalan bagaimana untuk mencapai visi keluarga anda

Contoh misi keluarga ialah seperti berikut;

Berusaha mencapai visi keluarga dalam aspek amalan hidup  beragama, gigih menimba dan menguasai ilmu pengetahuan, pengurusan dan amalan yang mantap dalam aspek kewangan, kebersihan dan komunikasi perorangan.


MENENTUKAN MATLAMAT STRATEGIK

Bagi mencapai misi bagi setiap sudut kehidupan khususnya hala tuju  kerjaya seisi ahli keluarga, maka matlamat strategik institusi keluarga mesti ada. Ciri-ciri matlamat strategik yang baik mestilah mencabar, boleh dicapai dan boleh diukur.  Dalam langkah menentukan matlamat strategik keluarga anda, dua proses utama yang terlibat ialah mengenalpasti isu-isu strategik dan membuat analisis dari segi kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman (ANALISIS SWOT).  Analisis  SWOT sangat membantu untuk memastikan tindakan anda bagi menacapai visi dan misi keluarga berjalan dengan lancar dan bersepadu.

KESIMPULAN

Perancangan stragtegik untuk mencapai visi dan misi keluarga amat penting diambil perhatian dan diamalkan oleh kalangan ibubapa yang ingin mewujudkan sebuah institusi keluarga yang bahagia. Ia baik untuk memastikan setiap ahli keluarga anda bebas daripada masalah kecelaruan emosi, masalah komunikasi dan konflik yang boleh merencatkan keharmonian sesebuah institusi keluarga. Selain perancangan strategik institusi keluarga yang berkaitan, pengurusan strategik sebuah institusi keluarga yang bahagia hanya akan boleh menjelma setelah pihak kepimpinan ibubapa melaksana plan tindakan yang telah dirancang dengan berkesan,  seterusnya melaksanakan pemantauan sejauhmana pelaksanaan sesuatu perancangan itu berjaya dilaksana dengan penuh motivasi, fokus diri dan ikhlas dari semasa ke semasa. Usaha berterusan dalam memastikan setiap ahli keluarga melaksana visi dan misi keluarga yang bahagia pasti akan menghadapi pelbagai rintangan berupa tekanan emosi, kecelaruan tingkahlaku, kegagalan, fitnah jiran taulan dan seumpamanya. Namun ia mesti dihadapi dengan sabar dan tawakal kerana ia adalah fitrah hidup manusia. Ia selari dengan apa yang telah ditegaskan oleh Allah Taala dalam al Quran yang bermaksud; “Maha Suci Allah Yang di tangan-Nyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu, yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya.” (QS al-Mulk [67]: 1-2)

No comments:

Post a Comment