Monday 18 December 2017

ILMU KEIBUBAPAAN UNTUK TANGANI ISU ANAK GADIS DI SEKOLAH YANG BERCINTA DENGAN SUAMI ORANG



OLEH : DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN, 012 6650387


  PENDAHULUAN

Dewasa ini, saya banyak dihubungi oleh kalangan ibubapa yang stres sebab tak tahu apa strategi “utuh” untuk tolong anak gadisnya yang masih bersekolah namun “kemaruk” bercinta dengan suami orang di luar sana. Antara realiti dan fantasi, ia memang sudah terjadi dan sukar ditangani tanpa minda berjiwa dan akal budi bestari. Demikianlah getusan “jumhur” guru bimbingan dan kaunseling di sekolah. Adapun isu bercinta dengan suami orang dalam kalangan remaja perempuan yang masih bersekolah menengah terbukti memang boleh mengundang konflik. Konflik tersebut mencakupi konflik personal diri dan konflik dengan ibubapa serta seisi keluarga. Umumnya, remaja perempuan yang masih bersekolah mesti memberi tumpuan kepada pelajaran di sekolah. Apabila mereka terlibat dengan dunia percintaan dengan suami orang (sama ada sedang bekerja atau telah dibuang kerja), maka ditakuti akan menimbulkan masalah krisis kendiri dalam kalangan remaja sendiri misalnya hilang fokus terhadap pelajaran, masalah pergaulan bebas/maksiat dan menimbulkan persepsi negatif oleh ahli masyarakat setempatnya.

KONFLIK

Berikut adalah konflik-konflik yang sering berlaku natijah daripada percintaan dengan suami orang;

1.  Konflik dengan isteri  kekasih hati
2.  Konflik dengan ibubapa sendiri
3.  Konflik dengan diri sendiri

NASIHAT

Pada hemat saya, memang wajarlah anak perempuan yang masih bersekolah dinasihati dari semasa ke semasa. Dia mesti dinasihat dengan merujuk kepada beberapa perkara;

1.  Kemahiran berfikiran rasional
2.  Adab dan batas pergaulan di dalam Islam
3.  Kesan-kesan berkahwin dengan suami orang
4.  Kesan-kesan kepada seorang anak perempuan yang tidak mendengar nasihat ibubapanya

Berasaskan perkara diatas, adalah wajar pihak ibubapa menasihati anak perempuan sendiri dengan lemah lembut dan yakin. Dari segi psikologi, anak-anak perempuan akan mudah mendengar nasihat ibubapa dengan menggunakan kaedah bercakap secara jelas, ringkas, lembut dan kasih mesra. Iringan usaha bercakap dan menasihat mesti dikukuh dengan amalan solat hajat dan doa-doa yang berterusan. Nabi Muhammad Saw telah berpesan bahawa doa seorang ibu dan bapa sangat makbul. Seterusnya, barangkali pihak ibubapa tertentu memang sedari azali terkenal sebagai seorang ibubapa yang bercakap kasar dan  keras intonasinya, maka gunakanlah saat waktu yang mencabar tersebut untuk “berubah sikap”. Berubahlah sikap untuk menjadi ibubapa yang punyai sikap apabila “bercakap”, maka dia akan bercakap secara penuh hemah, lembut, intonasi tenang dan kata-kata yang bijaksana. Jangan dan elak dari sikap apabila bercakap, jangan;

1.   Menghina
2.   Mengutuk
3.   Mengherdik
4.   Mengungkit
5.   Menengking
6.   Menyumpah seranah
7.   Membanding banding
8.   Menjatuhkan ego anak


8 jenis caragaya bercakap diatas jika dilakukan, maka musnahlah objektif ibubapa untuk menolong dan membimbing anak perempuan itu. Ia bukan membantu sebaliknya merosakkan konsep kendiri anak. Anak perempuan itu akan jadi bertambah kusut, keliru dan rosak perasaannya. Jika tidak dirawat dan dipulih, dia boleh jadi meroyan, histeria dan MID (Mental Illness Disorder).


Jika terdapat dalam institusi keluarga anda yang miliki anak perempuan masih bersekolah menengah yang bercinta dengan suami orang, maka sering timbul isu sejauhmana kebaikannya jika pihak ibubapa pergi menemui kekasih (gelap) anak berkenaan. Idea menemui kekasih anak anda yang sudah berkahwin itu, maka ianya adalah terpulang kepada pihak ibubapa. Komen saya, jika menemuinya, kita tidak tahu sejauhmana dia menghormati nasihat kita. Jika pihak anda sebagai ibubapa tidak bertemu  dan berbincang secara baik dengannya, maka pada hemat saya ia tetap tidak menjamin kejayaan kepada pihak anda. Apa yang lebih penting, anda berusaha sungguh-sungguh untuk selamatkan anak perempuan anda daripada terdedah kepada risiko dianiayai secara mental dan emosi seandainya pihak isteri kekasih anak anda itu mengetahuinya. Jika tidak dibanteras, ia mungkin mendedahkannya kepada keadaan menimbulkan perasaan negatif kepada isteri kekasih anak anda itu misalnya kecewa, musykil, benci, dendam dan sengsara.

Sesungguhnya, pada hari ini, terdapat banyak kes anak-anak gadis dalam kalangan masyarakat kita mengalami pelbagai gangguan emosi dan masalah sosial akibat bercinta dengan lelaki yang sudahpun berkahwin.  Insya Allah, dengan melihat setiap masalah  secara positif dan menanganinya menggunakan kemahiran komunikasi yang bijaksana, disamping doa dan amal mahmudah yang tidak pernah berputus asa, pihak anda selaku ibubapa prihatin pasti akan berjaya membantu anak perempuan itu untuk kembali taat kepada ibubapa sendiri dan boleh membuat keputusan yang matang dan futuristik.

PERANAN REMAJA

Sebagai generasi muda remaja yang punyai banyak peluang untuk maju jaya, sewajarnya mereka perlu bijak membuat keputusan dan merancang masa depan. Janganlah  kita lupa betapa sebagai  ummat Nabi Muhammad SAW kita perlu ada rasa malu dan membina maruah diri yang tinggi. Maruah dan imej kendiri positif mesti dibina dan seterusnya tunjukkan kepada kedua ibubapa dan diri kita sendiri, betapa kita boleh menjadi insan yang bukan sahaja bermanfaat kepada diri sendiri, malah juga kepada orang lain. Seterusnya, sama ada kepada pihak ibubapa, mahupun kepada pihak anak perempuan, apa sahaja masalah yang timbul, jalan penyelesaiannya akan menjadi sangat mudah apabila kita sebagai “muslimin dan muslimat”  agar menggunakan pendekatan akhlak yang mahmudah dalam proses  berkomunikasi khususnya untuk berbincang bagi menangani sebarang masalah. Asasnya ikut peraturan syarak dan elakkan daripada ikut hati dan perasaan semata-mata. Buat semua anak perempuan, lupakah “kamu” akan segala jasa ibubapa yang telah berpenat lelah memelihara dan menjaga keselamatan “kamu” sejak baharu lahir. Hanya kerana cinta yang tidak direstui ibubapa, sanggupkah kalangan anak-anak perempuan di luar sana menderhakai ibubapa kandung sendiri? Allah hu Akbar. Allah hu Akbar. Allah hu Akbar.

KESIMPULAN

Telah dijelaskan kesan dan akibat bercinta diantara “pelajar perempuan dengan suami orang”. Sebaik-baik anak ialah dia bersikap lunak terhadap kehendak ibubapanya, sebab dia mengerti erti kenang budi dan mentaati ibubapa sendiri. Sebaik-baik ibubapa ialah dia tidak “dayus” hingga tergamak memendam rasa, berjiwa takut hingga tak berani mempertahankan hak dan maruahnya sendiri demi masa depan anak gadisnya yang masih bersekolah. Maka ada baiknya kita renung makna tersirat disebalik Sabda Nabi Muhammad SAW  berikut iaitu maksudnya;

“Sukakah aku beritahu padamu orang yang diharamkan masuk neraka? Baginda melanjutkan ucapannya bahawa neraka itu haram ke atas sesiapa yang lembut, ringan, tenang dan baik budi.” (HR Tirmizi). 

Buanglah yang keruh, ambillah yang jernih, nescaya akan teguhlah peribadi.

No comments:

Post a Comment