Monday 18 December 2017

SOAL JANJI DAN MUNGKIRI JANJI DALAM HIDUP BERKELUARGA PENDAHULUAN






OLEH : Dr. Ahmad Kamal Bin Ariffin, 012 6650387



Sebagai ibubapa yang penyayang lagi prihatin, menjadi satu amalan mulia untuk  memberi perhatian dan merealisasi apa sahaja keperluan yang diperlukan oleh anak. Misalnya keperluan makanan, pakaian, buku buku bacaan, telefon bimbit, komputer riba, alatan permainan sukan dan seumpamanya. Ia adalah fitrah melihat sikap ibubapa yang sentiasa mendaya usahakan dirinya demi keselesaan dan kebahagiaan anak-anaknya. Begitulah juga  fitrah bahawa ibubapa ingin menjadi cemerlang dalam aspek mendorong dan mengasuh anak menjadi anak soleh dan bagus dalam bidang akademiknya. Namun, cabarannya ialah sejauhmana anak itu dapat meneruskan kesinambungan kecemerlangan akademiknya di peringkat menara gading dan kerjaya.  Bagi memotivasikan anak untuk berjaya dalam pelajaran, banyak kalangan ibubapa cuba sedaya upaya melengkapkan keperluan anak mereka. Kesan negatifnya, ada kalangan ibubapa alami tekanan kerana tidak mampu menunaikan janji kepada anak setelah bersetuju untuk merealisasikannya. Kita ambil maklum bahawa sikap jika tidak tepati janji, maka hukumnya boleh menjadi berdosa. Perkara ini telah ditegaskan oleh Allah Taala maksudnya;

“Wahai orang-orang yang beriman, tunaikanlah janji-janji.” 
                                                                 (Surah Al-Maidah :1)
Mengambil hikmah disebalik ayat Al Quran  di atas, maka adalah wajar kalangan ibubapa  melunaskan janji. Janji mestilah ditepati. Justeru, hendaklah ibubapa berhati-hati apabila berjanji dengan anak-anak.
IBRAH DISEBALIK JANJI SEORANG IBUBAPA TERHADAP ANAKA-ANAK
Hakikatnya, banyak benda dan perkara ada kesan baik dan buruk. Ia memerlukan kajian dan pemikiran yang jelas sebelum merancang dan berjanji. Apa yang penting kita mesti yakin pada diri sendiri dan anak  kita. Manusia boleh jadi hebat  dan selamat berasaskan ilmu, pengamalan ilmu dan keimanan yang padu di di dalam dirinya. Sembari itu, ilmu tanpa amal adalah sia-sia. Banyak kalangan ahli masyarakat kita kini sijil akademik berjela, pangkat dan darjat disergam Nampak, namun sikap dan sahsiah amat buruk hingga tergeleng kepada kita melihatnya. Janji mesti ditepati. Jika tak yakin mampu menepati janji, maka jangan menjanjikan kepada anak sendiri.
Jika ibubapa tidak menepati janji, kesannya ialah anak akan tercedera emosi, rasa rendah diri, kecewa dan tidak mempercayai  janji ibubapa nya pada masa depan.  Ambillah ingatan bahawa Nabi Muhammad Saw telah bersabda maksudnya “Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga keadaan. Jika ia berkata ia berdusta, jika ia berjanji ia mengingkari, dan apabila diberi amanah (kepercayaan) ia mengkhianatinya.” (HR. Bukhari-Muslim) Anak secara personal telah berhempas pulas belajar dan mencapai impiannya untuk meraih keputusan peperiksaan  (akademik) yang cemerlang, hasil faktor motivasi yang pihak ibubapa telah berikan, misalnya berjanji membelikan sebuah motosikal atau komputer riba atau jam tangan G Shock Casio.
Adapun menurut jumhur ulamak Islam, bahawa hukum menunai janji itu ada 3 cabang iaitu;
1.   Sunnah untuk memenuhinya. Iaitu jika perkara yang dijanji tidak diperintahkan oleh agama dan juga tidak mengandungi perkara mudharat tertentu jika ditinggalkan, baik untuk diri sendiri atau orang lain. Misalnya, seorang anak berjanji kepada  ibunya untuk tidak lagi bermain Facebook atau Whattapps di dalam rumah.
2.   Sunnah untuk tidak memenuhinya, jika janji yang dia buat sudah tidak relevan dengan keadaan dan jika meninggalkan janji tersebut lebih besar manfaatnya. Misalnya ketika seseorang berjanji untuk tidak melanjutkan pelajaran kerana ingin berniaga sahaja, namun ibubapanya  lebih meredhai dia untuk teruskan pelajaran. Jika demikian, dia harus membayar kafarat atas janji atau sumpah yang dia buat dengan berpuasa kafarat 3 hari berturut-turut.
3.   Wajib untuk meninggalkan janjinya, iaitu ketika janji yang dia buat bertentangan dengan ajaran agama. Misalnya seorang ibu berjanji kepada anaknya jika anaknya berjaya dapat semua “A” di dalam SPM 2018, dia akan berbogel di tengah padang bolasepak.

TEKNIK MERASIONAL ANAK
Ibubapa boleh atasi masalah timbulnya anak rasa kecewa, terkilan dan tidak mempercayai ibubapa sendiri natijah tidak merealisasi janji ialah dengan sikap asertif dalam komunikasi. Sikap asertif atau berterus terang tetapi sangat lunak, mesra, logik dan tidak menyakitkan hati anak. Misalnya ibubapa boleh bercakap kepada anak seperti berikut;
1.   Ibu dan ayah nak minta maaf kepada Fauzi (contoh nama anak) sebab tak dapat belikan jam tangan G Shock Casio tu. Sebab…..ibu dan ayah tak mampu. Duit keluarga kita sekarang ni sangat kritikal. Duit ibu dan ayah dalam bank sekarang ni pun sekadar cukup-cukup untuk baiki kereta kita yang sedang rosak enjinnya tu…….Ibu dan ayah harap Fauzi memahami dan memaafkan ibu dan ayah……….
2.   Gunakan nada suara yang lembut tidak menekan nekan suara.
3.   Pastikan sebelum bercakap dengan anak itu, buat solat hajat dahulu agar hati anak terbuka dan lembut hatinya untuk menerima ketidakmampuan ibubapa untuk merealisasi janji terhadapnya
4.   Bertawakal kepada Allah
5.   Mesti bersikap sabar untuk hadapi apa sahaja respon daripada anak samaada dari segi ekspresi rak wajahnya, refleksi perasaannya, persepsinya dan juga barangkali kritikannya kepada ibubapa.

KESIMPULAN
Institusi keluarga  yang cemerlang dihasilkan oleh persekitaran komunikasi dalam keluarga yang benar, jujur dan tulus ikhlas. Dengan adanya rasa sayang, hormat dan bertolak ansur, akan lahirlah sebuah keluarga yang berdaya maju, aman bahagia  dan diberkati tuhan. Mengenai isu ibrah disebalik janji ibubapa terhadap anaknya, ia mesti diambil pengajaran besar kerana sikap tidak menepati janji dalam kalangan ibubapa terhadap anak adalah dilarang oleh tuhan. Malah Allah menyatakan bahawa sikap memungkiri janji dalam kalangan manusia itu merupakan ciri karektor syaitan yang pendosa. Jelasnya, Allah telah berfirman maksudnya “Mengingkari janji adalah sifat syaitan. “Padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain dari tipuan belaka.” (QS. An-Nisâ: 120).

No comments:

Post a Comment