Sunday 28 January 2018

ADAB MENGHADAPI FITNAH LISAN










Oleh : Dr. Ahmad Kamal bin Ariffin, 012 6650387
Malaysia


PENDAHULUAN

Pada suatu hari, Nabi Muhammad SAW menyatakan kepada sahabatnya Muaz bin Jabal bahawa di dunia ini, terdapat tiga anugerah daripada Allah buat hambanya yang bertakwa. Pertama berupa anugerah pasangan hidup yang baik. Kedua orang yang baik. Dan ketiga kenderaan yang baik.

DILEMA SIKAP MANUSIA

Ada dalam kalangan warga kita merasa tidak selesa dengan orang lain. Mereka diuji dengan miliki orang yang tidak menepati piawai untuk menjadi orang yang baik. Misalnya suka memfitnah dan dengki dengan kelebihan yang kita ada. Ia lebih diburukkan lagi jika ia memberi kesan kepada keharmonian keluarga kita. Ia boleh menimbulkan rasa marah, benci dan tidak aman. Ia juga boleh memberi kesan kepada kerukunan institusi sesebuah keluarga.

Hakikatnya manusia lebih mengenali akal budi / peribadi ahli keluarga, adik beradik dan anak-anaknya sendiri. Jelasnya, anak adalah zuriat, harta dan amanah Allah. Anak adalah faktor yang boleh menjadikan ibubapa bahagia dan selamat hidup di dunia dan akhirat. Anak  yang soleh, doanya makbul dan boleh menyelamatkan ibubapanya di dalam alam barzakh. Anak yang soleh juga, akan menjadi penghibur hati setiap ibubapa ketika di dunia lagi. Misalnya cemerlang dalam sahsiah, kurikulum dan kokurikulum. Kecemerlangan anak-anak ketika di sekolah memberi impak positif kepada motivasi keibubapaan dalam kalangan ibubapa.

Begitulah juga adanya pasangan hidup, adik beradik, sahabat dan jiran yang mempunyai akhlak mulia. Mereka akan menjadi sumber inspirasi hidup yang membahagiakan ahli keluarga dan sesiapa sahaja yang hidup dengannya. Sabda Nabi Saw maksudnya “Sebaik-baik manusia ialah  mereka yang paling baik akhlaknya” – HR At Tabrani. Sembari itu, ada kata-kata pujangga Inggeris yang menyatakan seperti berikut “ Don’t live your life with hate in your heart. You’ll only be hurting yourself more than people you hate”.

MUHASABAH DIRI

Justeru, kita mesti tenang dan tabah dalam hadapi pelbagai rintangan hidup. Sebenarnya, setiap cabaran dan rintangan hidup ini, semua  daripada Allah. Allah bagi ujian  untuk kebaikan kita sebenarnya, Cuba kita banyakkan  muhasabah diri. Cuba kita koreksi diri untuk mengenalpasti punca setiap kejayaan dan kegagalan yang pernah kita alami. Kelak kita pasti merasa syukur tak terkata, betapa sebenarnya nikmat kebaikan yang telah Allah kurniakan kepada kita begitu besar. Kita pasti tidak mampu membalas segala jasa daripada Allah kepada kita. Firman Allah, maksudnya “Dan (Dia) menyempurnakan untukmu nikmat-Nya lahir dan batin” (Luqman: 20).

Berkata seorang Sufi bernama Muqatil, “Adapun (nikmat) yang lahir (nampak) adalah Islam, sedangkan yang batin adalah ditutupnya kemaksiatan yang dilakukan kalian.”

Kes kaunseling yang saya kendalikan banyak menyentuh isu kalangan ibubapa yang tidak mempercayai anak kandungnya sendiri. Jika kita sedang alami masalah sebegini, maka kita mesti semak dan nilai semula mengapa ibubapa kita tidak mempercayai kita? Tentu ada asas dan sebabnya. Adakah sebelum ini kita pernah melakukan sesuatu maksiat atau kemungkaran yang menjadikan ibubapa kita murka dan kecewa. Lalu apabila ada kalangan orang kita mengadu kepada ibubapa kita tentang sesuatu perlakuan kita yang negatif, maka adakah kita berhak merasa benci, marah dan tak puas hati? Jika sebegitu yang kita alami, apakah reaksi kita yang terbaik?

Di dalam ilmu kaunseling, ada disebut istilah mekanisme bela diri. Ada bukti dan kes kaunseling yang menunjukkan bahawa komunikasi perorangan dalam kalangan ahli masyarakat kita telah menunjukkan bahawa terdapat dalam kalangan manusia yang  “rasa tidak bersalah meskipun mereka telah membuat salah. Mereka berlakon seolah-olah mereka benar, baik dan bijak. Walhal kalangan orang dewasa  yang memerhatikannya sedar akan keburukan peribadinya. Justeru, aduan dibuat dengan objektif untuk mencegah  keburukan sikap negatif tersebut berpanjangan”. Terpulanglah kepada pihak berwajib untuk menanganinya.

STRATEGI MENGATASI MASALAH FITNAH

Namun, jika sebaliknya, maka saya  berikan strategi berikut bagi menyelesaikan konflik ini;

1.                  Kita  perlu membuat aduan kepada pihak yang berkepentingan. Bercakaplah dengan baik  dan jelaskan dengan hujah yang konkrit / berfakta bahawa kita adalah mangsa orang yang mulutnya jahat.
2.                  Kita wajib buktikan  yang diri  tidak bersalah. Seterusnya tunjukkan bukti bahawa orang itu berniat jahat dan ingin merosakkan keharmonian hidup orang lain.
3.                  Kita boleh guna perkataan seperti berikut;
           “Saya mengaku saya bukanlah insan yang sempurna. Namun saya berhak bercakap benar. Saya tidak lakukan perbuatan seperti yang dinyatakan olehnya. Saya tahu dosa yang besar jika membohongi ibubapa atau ahli keluarga saya sendiri”.
4.                  Boleh tunjukkan pernyataan positif  berupa ingatan daripada Allah Taala tentang hukum orang yang memfitnah dan orang yang tidak memeriksa terlebih dahulu sesuatu berita yang tidak jelas akan kebenarannya daripada seseorang yang lain;

Allah berfirman, maksudnya:-

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”. [Al Hujurat : 6].


KESIMPULAN

Marilah kita menilai pernyataan berikut. Tujuannya adalah untuk memuhasabah diri sendiri supaya boleh membina institusi diri dan keluarga yang aman damai, berkasih sayang dan mempercayai antara satu sama lain. Pernyataan tersebut berbunyi; “Wahai para penyebar berita palsu (fitnah)! Wahai para pendusta! Hai orang yang tidak senang melihat orang mukmin saling berbaik baik sehingga dipisahkan! Hai orang yang tidak suka melihat kaum mukmin aman! Hai para pencari aib orang yang baik! Tahanlah lidahmu, kerana sesungguhnya kamu akan diminta pertanggungjawaban kata-kata yang engkau ucapkan. Allah telah berfirman maksudnya;
“Tiada suatu ucapanpun yang diucapkan, melainkan ada padanya Malaikat pengawas yang selalu hadir”. [Qaf : 18].
Tahanlah lidahmu! Jauhilah perbuatan bohong dan janganlah menyebar fitnah! Janganlah menuduh kaum muslimin tanpa bukti, dan janganlah berburuk sangka kepada mereka! Seakan-akan aku dengan engkau, wahai saudaraku, berada pada hari kiamat; hari kerugian dan hari penyesalan. Sementara para seterumu merebutmu. Yang ini mengatakan “Engkau telah menzalimiku”, yang lain mengatakan “Engkau telah menfitnahku”, yang lain lagi mengatakan, “Engkau telah mengaibkanku”. Sementara engkau tidak mampu menghadapi mereka. Engkau mengharap kepada Rabb-mu agar menyelamatkanmu dari mereka, namun tiba-tiba engkau mendengar. Semoga Allah memberi taufik dan hidayah kepada kita semua. Sesungguhnya dengan hati, perasaan dan daya fikiran yang baik dan positif, insya Allah  kehidupan manusia akan bebas daripada penyakit jiwa dan kedukaan yang berpanjangan.  Amin.

No comments:

Post a Comment