Friday 9 September 2011

TEKNIK KOMUNIKASI - UNTUK USAHAWAN


TEKNIK  KOMUNIKASI

Sebagai seorang yang ingin berjaya sebagai usahawan, komunikasi perlu dikuasai. Untuk menguasai komunikasi, teknik penting.  Diantara teknik komunikasi yang menarik ialah:

1.                  Teknik merancang komunikasi
Komunikasi boleh dirancang. Kadang-kadang proses komunikasi menjadi mesti dirancang. Ianya penting. Anda berhadapan ketika berkomunikasi dengan pelbagai peringkat klien. Misalnya dengan jiran, rakan sekerja, kakitangan, pemimpin organisasi kerajaan dan bukan kerajaan, pemimpin masyarakat dan juga boleh jadi pembesar negara. Justeru, teknik merancang komunikasi penting. Dengan merancang sebelum berkomunikasi, anda akan peka akan kata panggilan ganti nama untuk klien anda. Gelaran-gelaran misalnya Datuk, Dato’, Datuk Seri, Tan Sri, Tun dan sebagainya mesti dikuasai untuk membantu menghasilkan sesi komunikasi yang berkesan. Jika tidak, proses komunikasi anda boleh gagal. Perlu diingat, kepekaan anda tentang kedudukan pangkat dan darjat dalam kalangan klien anda memberi impak kepada kejayaan proses komunikasi anda. Bayangkan, jika anda memanggil seorang yang lebih berusia dan berjaya dengan kata panggilan kau….kau….atau you….you…… sahaja. Jelas, ianya tidak menepati adab susila kita orang Timur. Lagilah untuk orang Melayu, anda wajar bertatasuli dengan kesantunan budi bahasa menjadi pendinding kemahiran komunikasi anda.

2.               Teknik pastikan klien selesa

Mulakan bicara dengan sapaan salam. Berikan senyuman terbaik anda kepada klien anda. Dalam Islam, Nabi Muhammad SAW menegaskan senyuman adalah sedekah. Dalam psikologi, senyuman boleh menyejukkan hati diri sendiri dan orang lain. Orang yang mudah memberi senyuman, disukai orang. Dia akan banyak kawan.  Pesaing perniagaan atau pekerjaan anda menilai anda sebagai seorang yang profesional. Di Malaysia, kita boleh mencontohi sikap Tun Dr. Mahathir b. Mohamad (mantan Perdana Menteri Malaysia) yang murah dengan senyuman dimana sahaja  beliau berada. Meskipun di kritik hebat dalam parlimen oleh pihak pembangkang, beliau menerima dan membalas kritikan sambil melemparkan senyuman. Ayat dalam kata-kata pula mestilah ringkas dan mudah difaham orang lain. Jangan mengguna bahasa kasar . Tingkahlaku fizikal pula santun dan berwajah tenang. Jika anda berusaha kearah perwatakan demikian, barulah anda miliki aura yang mampu membuatkan klien anda selesa berkomunikasi dengan anda.

3.               Teknik membina hubungan

Teknik komunikasi ini merujuk kepada cara anda menimbulkan kepercayaan kepada orang lain. Ini sangat penting. Orang jika tidak percaya dengan anda, mereka tak akan dengar dan berminat dengan idea pandangan anda. Pertama, pastikan persekitaran tempat anda untuk duduk bercakap itu bersih dan tenang (teraputik). Kedua, elak tempat berbau busuk. Ketiga, elak tempat yang dipenuhi gambar yang tidak elok misalnya gambar hantu, gambar lucah dan gambar menunjukkan mayat-mayat yang bergelimpangan ngeri akibat kemalangan, peperangan dan seumpamanya. Hari ini, ada banyak lokasi tempat makan minum  yang kononnya berniat untuk berkongsi kreativiti dan dekorasi, tapi hakikatnya menggganggu komunikasi. Anda tentu tak suka klien anda matanya meliar dan tidak fokus kepada anda ketika berbicara. Begitulah juga sebaliknya.

4.                  Teknik jarak komunikasi

Ruang amat penting ketika bercakap dengan orang lain. Klien anda akan selesa jika kedudukan jarak komunikasi anda dengan mereka antara 1 hingga 1.5 meter. Terlalu rapat, akan menimbulkan ketidakselesaan. Bau musuk mulut, badan dan pakaian anda ada kaitan dengan jarak komunikasi. Terlalu jauh jarak komunikasi pula akan menyulitkan klien anda untuk memahami isi bicara anda. Ekspresi wajah anda akan sukar untuk difahami. Akan hilang nilai makna kontak mata ketika komunikasi dan akhirnya akan mewujudkan suasana yang tidak membantu dalam proses komunikasi itu sendiri. Sebab itu, teknik menguasai jarak komunikasi sangat penting.  Mencegah lebih bijak daripada merawat. Anda perlu memahami bahawa falsafah ruang dalam komunikasi perorangan ini mencakupi faktor jantina, umur, agama, pendidikan , kaum dan status sosial kalangan klien anda. Justeru, memakari teknik jarak komunikasi akan membantu anda menjadi pembicara, pemimpin dan rakan usahawan yang bijak dalam komunikasi.

5.                  Teknik Penampilan Positif

Penampilan merujuk kepada beberapa elimen. Pertama merujuk kepada pakaian. Kedua ialah raut wajah. Pakaian anda mesti sesuai dengan tempat dan  siapa yang anda ingin bertemu dan berbincang. Umumnya, pakaian mesti sopan, kemas dan bersih. Manakala rauh wajah pula mesti ceria, bertenaga dan bersih. Bayangkan, apa perasaan orang lain jika anda hendak bercakap tentang moral, tetapi pakaian anda tidak sopan, terlalu seksi dan bercakap sambil menghisap rokok. Pasti klien anda tidak selesa dengan anda dan mereka mungkin tidak mahu mengadakan kerjasama dengan anda. Mungkin klien anda satu kepala dengan anda dalam caragaya berpakaian dan minat yang sama menghisap rokok sambil bercakap, namun buku ini ditulis berasaskan modus operandi untuk membantu  membina nilai dan adab hidup beragama dan berakhlak mulia dalam kalangan pelbagai generasi kalangan rakyat Malaysia.

6.                  Teknik ekpresi wajah

Anda akan cemerlang hidup jika berusaha miliki wajah yang cemerlang. Wajah cemerlang semua orang boleh miliki.  Untuk memilikinya, pertama mesti jangan tinggalkan solat. Orang yang solatnya sempurna, wajahnya bersih berseri. Kedua,ekpresi wajah adalah berkaitan dengan cara anda memandang, kedutan pada dahi dan warna pada pipi semasa bercakap atau meluahkan pandangan, berkongsi perasaan dan  pengalaman. Dalam psikologi komunikasi perorangan, mata adalah elimen penting dalam teknik ekspresi wajah. Antara kesan cara pandangan mata anda kepada orang lain adalah:
ü    memberi mesej sejauhmana anda bersungguh-sungguh
ü    memberi mesej penerimaan anda tanpa syarat
ü    memberi mesej kepercayaan anda
ü    memberi mesej tahap kesihatan anda
ü    memberi mesej kejujuran anda
ü    memberi mesej sifat empati anda
ü    memberi mesej sifat kepimpinan anda
ü    memberi mesej akhlak anda
ü    memberi mesej sifat penyayang anda
ü    memberi mesej sifat hormat anda
ü    memberi mesej anda menyokong
ü    memberi mesej anda seorang yang membantu

Selain dari itu, perkara penting pantang larang dalam teknik ini adalah pertama, jangan asyik-asyik melelapkan mata ketika berkomunikasi.  Kedua jangan meliar-liar mata memandang pelbagai objek di persekitaran tempat anda berbicara dengan klien. Ketiga, jangan pakai cermin mata hitam. Jika terpaksa pakai cermin mata hitam kerana keuzuran anda, mesti jelaskan kepada klien anda. Keempat, jangan melihat mata dan wajah klien anda terlalu tajam.  Semua perkara di atas adalah untuk elakkan halangan-halangan yang boleh mencacatkan objektif komunikasi yang berkesan.

7.                  Teknik prestasi tenaga kuat

Teknik ini sangat penting. Tenaga badan adalah cerminan tahap kesihatan anda. Badan sihat otak cergas. Untuk menguasai teknik ini, pertama anda mesti pastikan tidur yang cukup. Jika anda akan bertemu klien anda jam 8 pagi keesokkan hari, maka elakkan bekerja sampai lewat malam. Tujuannya untuk miliki tenaga fizikal yang kuat. Kedua, makan makanan yang berkhasiat setiap hari. Ketiga, pastikan gaya hidup yang sihat dan mempunyai jadual tertentu setiap seminggu untuk aktiviti riadah dan bersukan. Jika anda tidak memahami dan tidak peka akan kepentingan teknik untuk miliki tenaga badan yang kuat, anda akan tergolong dalam kalangan usahawan yang kelihatan lesu tak bermaya, cepat mengantuk dan akhirnya klien anda buat rumusan, anda tidak sesuai jadi pemimpin dan rakan kongsi seprofesion dalam kalangan mereka. Ada seorang usahawan di Kajang, Selangor memberitahu saya, Kawan adalah perniagaan. Perniagaan adalah kehidupan. Kehidupan adalah agama. Agama adalah kehidupan. Kehidupan adalah perniagaan. Perniagaan adalah Kawan. Oleh itu, menyedari akan pentingnya anda sebagai kawan, jadilah anda sebagai kawan yang terkenal bertenaga, sihat dan ceria.

8.                  Teknik Pergerakan Usahawan

Untuk menjadi usahawan yang hebat, berwibawa dan berkarakter, kuasai teknik pergerakan ini. Dalam psikologi tingkahlaku usahawan, cara anda berdiri, duduk, berjalan, berlari, melompat dan bersolat menggambarkan karakter orang berjaya atau sebaliknya. Apakah perkara penting yang berkaitan dengan perkara ini. Pertama, bila bercakap dengan orang lain sewaktu duduk berdepan, cara duduk anda mesti condong ke depan sedikit. Ini kerana dudukan anda cara begini mencerminkan anda seorang usahawan yang mesra, berfikiran terbuka dan bertanggungjawab. Sebaliknya, usahawan yang cara duduknya cenderung untuk bersandar dan menjauh kebelakang menunjukkan dianya seorang yang pentingkan diri, tidak mahu menolong dan tidak mahu menerima pandangan orang lain. Kedua, cara duduk kaki menyilang atau bersilang mesti dielakkan. Cara duduk kaki menyilang menunjukkan anda tidak menyokong klien anda dan tidak menunjukkan kemesraan. Kaki duduk menyilang juga menampakkan anda seorang yang ego dan sekaligus tidak membina proses komunikasi yang profesional dan teraputik. Ketiga, jangan berjalan terlalu laju atau terlalu perlahan, kerana ianya akan memberikan rasa tidak selesa kepada klien anda. Sifat berjalan terlalu laju atau terlalu perlahan menampakkan anda seorang yang tidak tenang dan terlalu emosional. Berjalanlah dengan cara mencontohi akhlak Nabi Muhammad SAW yang bersopan santun dan sederhana dalam pergerakannya. InsyaAllah, klien anda akan rasa selesa dan selamat dengan anda. 

9.                  Teknik Pergerakan Tangan dan Kaki

Semasa duduk berkomunikasi dengan klien, pergerakan tangan dan kaki adalah satu seni karakter usahawan. Justeru, para usahawan mesti sedar akan kelebihan fizikalnya. Orang yang miliki tangan yang cantik dan kuat, akan menjadikan klien lebih percaya dan minat akan dirinya. Dalam Feng Shui, bentuk fizikal tubuh badan manusia menjadi faktor utama membantu kejayaan seseorang usahawan. Namun, meskipun memiliki tangan yang nampak cantik dan kuat, beberapa pantang mesti difahami. Pertama, jangan bercakap sambil tangan menunjuk-nunjuk ke muka klien. Ini akan mengganggu proses komunikasi dan ianya juga sikap yang tidak berakhlak. Kedua, Jangan bercakap sambil menghayun-hayunkan kaki dan tangan, ini akan menampakkan ciri tidak matang dan  petunjuk negetif dari segi kestabilan emosi. Usahawan yang ingin cemerlang dan berjaya, mesti berlatih dan cuba memiliki karakter yang menarik dan berwibawa.

10.              Teknik senyuman

Keupayaan anda  untuk memberikan senyuman yang ikhlas ketika berkomunikasi dengan klien akan memberikan kesan yang positif dari aspek membina hubungan, menjana persahabatan, menerbit rasa kemesraan dan semangat untuk bekerjasama. Senyuman mengurangkan tekanan samada kepada diri sendiri dan orang lain. Sebab itu, senyuman sangat tinggi nilainya dari aspek psikologi.  Namun, dalam ilmu psikologi, senyum terbahagi kepada dua  jenis. Untuk menjadi usahawan berjaya, pengetahuan ini amat bermakna. Dengan adanya pengetahuan teknik senyuman ini, anda boleh membuat langkah susulan yang paling terbaik  merujuk kepada proses komunikasi perorangan di dalam kerjaya atau profesionalisme anda. Pertama, senyuman positif dan kedua, senyuman negetif. Senyuman positif memberi makna menyokong, gembira dan puas hati. Senyuman negetif  pula memberi makna menyindir, menyembunyikan tekanan, menutup rasa malu dan menyimpan rasa dendam.  Sebagai usahawan profesional, senyuman negetif perlu  dielakkan. Senyuman negetif menerbitkan gelombang perasaan tidak selesa kepada orang lain yang sedang berbual  dengan anda.

11.              Teknik nada suara

Perhatikan nada suara pemimpin atau tokoh negara daripada seluruh dunia. Apa yang sama dalam kalangan mereka ketika berkomunikasi. Kebanyakannya sama dari segi intonasi. Nada suara mereka sederhana, jelas, selesa dan membantu orang lain mudah dan faham akan setiap kata bicara mereka ketika bercakap. Teknik nada suara yang betul akan menimbulkan rasa selesa, minat dan suka orang lain untuk terus bercakap dengan anda. Sebabnya mudah sahaja, cuba bercakap dengan nada suara yang jelas, tenang dan sederhana. Sikap apabila bercakap menggunakan teknik nada suara yang  terlalu tinggi dan tidak sekata akan menimbulkan persepsi negetif daripada klien anda dengan andaian anda dilihat seorang yang ego, menunjuk-nunjuk pandai dan terlalu emosional untuk meraih perhatian daripada orang lain.

No comments:

Post a Comment