Wednesday 3 January 2018

ILMU PSIKOLOGI KEIBUBAPAAN KE ARAH MENJADI CAKNA MUSLIM




 Oleh : 
Dr. Ahmad Kamal bin Ariffin.
Pengasas
Pusat Asuhan Pertiwi Malaysia.

PENDAHULUAN

Menurut seorang pakar motivasi barat terkenal bernama Dale Carnegie (1988), lumrah hidup manusia, tidak semua orang akan selesa dan memahami diri kita. Malah, kadang kadang, manusia sendiri tidak memahami hakikat kehendak dan kemahuan dirinya sendiri. Umumnya, kesan berfikiran negatif asyik bergantung kepada persepsi orang terhadapnya, maka banyak manusia cenderung menjadi bersikap pasif, moron, terlalu sensitif dan membazir masa. Menjadi asyik berfikir apa yang mesti atau sepatutnya orang buat kepada dirinya. Dia sebenarnya akan hidup merugi dari segi masa, tenaga dan nilai diri. Peduli mengenai isu ini,  Saidina Ali bin Abi Thalib R.A menyatakan bahawa “Allah menyayangi orang-orang yang mengetahui kadar dirinya, dan tidak melewati batas perjalanannya, menjaga lisannya dan tidak mensia-siakan masa dan umurnya”.

BERFIKIR SECAR RASIONAL

Ya benar! Manusia umumnya suka dirinya dihormati dan dihargai. Apabila manusia merasa dirinya tidak dihormati dan dihargai, maka dia cenderung untuk merasa tidak puas hati dan kecewa. Ia kesan daripada pemikiran tak rasional. Cuba kita tanya diri sendiri, siapa kata diri kita mesti dihormati dan dihargai. Hakikatnya, manusia tidak boleh mengawal perasaan dan pemikiran orang. Hakikatnya, hanya Allah yang dapat kawal pemikiran dan hati manusia. Manusia lain termasuk diri kita tidak mampu. Bagi menangani isu tersebut, kita harus belajar berfikir secara rasional. Albert Einstein (1950) pernah berkata “The only real valuable thing is rational thinking”. Alasan mengenainya diungkap oleh cendikiawan Korea Selatan,  Ha Joon Chang (2003) seperti berikut “Rational thinking is an important aspect of human nature, but we have imagination, we have ambition, we have irrational fear, we are swayed by other people, we get indoctrinated and we get influenced by advertising”. Maka pemikiran dan hati kita mesti kita rasionalkan menurut panduan al Quran dan al Hadis sebab kita mukmin (orang Islam). Panduan dan pedoman jalan penyelesaian setiap cabaran  ummat ini mesti dipelajari oleh setiap kita.

Bagi atasi masalah tersebut juga, kita perlu bertindak dan berfikir secara rasional dan kreatif. Hakikatnya, manusia kurang berpengaruh dan menang dalam seni berkawan kerana tiada ilmu, kemahiran dan daya tarikan ketika berkomunikasi. Kemahiran lisan atau komunikasi harian yang berkesan sangat penting. Untuk berjaya dalam semua urusan hidup, asasnya adalah komunikasi berkesan. Di antara kemahiran komunikasi berkesan adalah ;

1.      Bina rapport (hubungan) dengan semua orang  (khususnya kepada ahli keluarga) dengan niat untuk membantu. Ingat, kita boleh bantu memberi kesan positif kepada orang lain dari segi ekspresi wajah, ketrampilan caragaya berpakaian, cara bercakap yang jelas dan lembut, sifat santun dan tingkahlaku penyayang.
2.      Ingat sentiasa tujuan hidup kita ialah untuk membantu diri sendiri dan orang lain, bukannya untuk mencari pengaruh dan keuntungan personal sendiri.
3.      Respon negatif daripada orang lain dilihat sebagai satu rahmat daripada Allah. Ia berguna untuk menjadikan kita rasa tawaduk dan rendah diri. Lagikan Nabi Noh a.s tidak dihargai dan dimuliakan pandangan dan sikapnya oleh isteri, anak-anak dan orang kampungnya. Bagaimana pula terhadap diri anda dan saya yang  merupakan insan biasa-biasa ini.
4.      Banyakkan mendengar apabila bercakap dengan orang. Tunjukkan minat dan hormat dengan memandang pada wajah orang tersebut dengan baik. Set dalam minda kita dahulu bahawa kita menghormati dan menghargai setiap pandangan nya.
5.      Cuba respon kata-kata orang lain yang bercakap dengan kita dari segi isi, perasaan dan pengalaman hidup melalui penceritaannya. Oleh itu, perhatian kita mesti fokus kepada nya.
6.      Apabila kita mengamalkan setting bercakap dengan sopan, banyak mengangguk, tidak suka mencelah sebaliknya banyak mengia atau menyokong, tidak menyilang tangan dan kaki ketika bercakap dengan orang lain, dan banyak senyum manis tkita gembira ketika bercakap, maka ia menjadikan lawan bicara kita itu rasa selamat dan gembira.
7.      Orang akan suka dan sentiasa teringin untuk berbincang dan menyokong pandangan kita pada asa akan datang kerana kita sendiri telah menunjukkan sikap terpuji dari segi komunikasi berkesan.

Dalam ilmu sejarah, banyak tokoh dunia yang terkenal, namun turut punyai musuh, dibenci oleh ramai orang dan ia termasuklah apa yang pernah dialami oleh para sahabat Nabi Muhammad SAW.  Misalnya Saidina Abu Bakar, Saidina Ali, Saidina Umar dan Saidina Uthman. Kini, kita sendiri sering melihat terdapat dalam kalangan pemimpin negara kita yang terserlah terampil dari segi ekspresi wajah dan hujah politik, namun terdapat juga orang ramai yang mencemuh dan mengutuk mereka.  Hujah mereka mengutuk dan membenci ialah kerana tidak berfikiran selari dengan mereka. Moralnya ialah kita juga perlu sentiasa bersedia untuk menerima kritikan atau tersalah tafsiran daripada sesiapa sahaja yang menjadi lawan bicara kita. Meninjau sikap dan akhlak para nabi dan rasul, mereka hidup dalam keadaan aman dan bahagia meskipun dihujani pelbagai rintangan dan ujian. Mereka tetap terus mengamalkan sahsiah yang selari dengan apa yang telah diperintahkan dalam Al Quran dan sunnah Nabi SAW. Mereka sentiasa percaya, bahawa setiap tindakan orang yang soleh adalah berasaskan niat suci mereka untuk mendapat;

1.      Hidayah Allah           = Petunjuk oleh Allah
2.      Irsyad Allah               = Pimpinan oleh Allah
3.      Tasdid Allah               = Sokongan oleh Allah
4.      Ta’jid Allah               = Bantuan oleh Allah

Sama ada di dalam rumah atau di luar rumah, setiap ibubapa mesti;

  1. Beriman
  2. Beramal
  3. Meyakini
  4. Bertawakal
  5. Fokus……. untuk bersiap siaga untuk menemui saat yang sukar iaitu masuk kubur dan terlebih sukar iaitu mencari bekal masuk kubur (Kata-kata Saidina Ali kepada sahabatnya Muaz bin Jabal).

Jangan mudah sakit hati, risau dan marah jika anak-anak bersikap kasar, malas belajar dan banyak main. Ingat bahawa setiap anak adalah milik Allah bukan milik kita. Kita hanya pemegang amanah Allah. Cara kita berdepan setiap kerenah, masalah dan kenegatifan sikap anak ialah dengan cara;

  1. Hikmah
  2. Teladan yang baik
  3. Terus berdoa

Menurut Nabi Muhammad Saw doa itu senjata setiap mukmin. Benar doa ada yang cepat dan lambat dimakbuli Allah. Maka disitulah cabaran untuk Allah nilai sejauhmana kalangan mukmin itu ikhlas dan sabar terhadap Rabbnya.

Seterusnya, saya panjangkan satu ungkapan berbunyi seperti berikut;

“Kepada siapa engkau akan memohon jika bukan kepada Allah? Kepada siapa engkau akan meminta jika bukan kepada pemilik segalanya? Kepada siapa engkau akan mencari perlindungan jika bukan kepada Allah? Pengatur langit dan bumi serta miliknya juga semua yang ada di keduanya, yang jika mengatakan tentang sesuatu….Jadilah maka jadilah sesuatu itu” – Pernyataan oleh Dr. Abdullah Azzam (1988).

Allah telah berfirman setiap hambanya akan diuji. Maka setiap hambanya yang sabar dengan ujian, Allah beri balasan pahala dan nikmat syurga. Bagi hambanya yang ingkar dan tidak sabar, maka kekallah dalam kejahilan dan balasan neraka menunggunya di akhirat nanti.

Sekali sekala, bukalah minda (empty your cup) sambil membayang apakah sikap kita yang;

  1. Pemarah
  2. Penjahat
  3. Pengkritik
  4. Prasangka
  5. Prejudis
  6. Perasan
  7. Pemalas……

menepati ciri para muallim, mursyid, murabbi, muaddib, mujahid dan mudarris yang akan mewarisi syurga di alam akhirat kelak? Cakap siang pandang-pandang cakap malam dengar-dengar. Persoalannya, apa yang kita wajib pandang dan dengar saat kita masih boleh bernafas dan waras pada saat ini? Yang mesti kita pandang ialah pandangan Nabi Muhammad Saw dan yang mesti kita dengar ialah ayat al Quran yang mendidik kita agar sentiasa bersikap dan bertindak seperti manusia yang sentiasa mengingati mati. Firman Allah  (Surah Al Munafiqun ayat 11) yang bermaksud;

“Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan kematian seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan”.

Ilmu psikologi ingat mati ini jika diamal boleh menjadikan seseorang ibubapa khususnya dan setiap anak-anak umumnya agar;

  1. Belajar dengan niat suci
  2. Berjalan dengan rendah diri
  3. Bekerja dengan patuh syar’ie
  4. Beribadah dengan sepenuh hati
  5. Berpolitik dengan dakwah Islami

Ada satu kalimat bijak pkitai Inggeris menyatakan “Whenever life sucks, remember you’re going to die someday”. Berhubung dengannya, beringatlah, bahawa awal kehidupan kita digelar si bayi dan akhir kehidupan kita digelar si mati.



KESIMPULAN

Sesungguhnya, kesulitan atau cabaran hidup menjadikan setiap manusia berkembang menjadi lebih bijak dan matang. Menurut Albert Camus (1957), “Kita tidak boleh mencipta pengalaman”. Kita mesti hadapi setiap cabaran dengan daya tawakal. Jelasnya, pengalaman adalah anugerah Allah bukan ciptaan manusia. Kita tidak dapat lari daripada masalah atau ujian, misalnya ujian miliki kawan yang tidak pandai jaga hati kita dan tidak mahu menerima pandangan kita atau memahami kita. Kita perlu amalkan sikap sabar dan berfikiran positif. Banyakkan masa kita untuk mencapai kejayaan yang kita impikan pada masa depan (berjaya di dunia dan akhirat). Jangan habiskan masa untuk berfikir tentang orang lain yang ternyata tidak dapat mengubah masa depan kita dan menjamin kebahagiaan kita. Isilah masa dengan berfikir dan berbuat perkara-perkara yang berfaedah. Ia ibarat kata pepatah orang Jepun yang berbunyi “Hidup umpama aiskrim, nikmatilah ia sebelum cair”.

No comments:

Post a Comment