Tuesday 9 January 2018

PENGURUSAN KEWANGAN KELUARGA MUSLIM




OLEH:
DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN
PAKAR KAUNSELING KELUARGA
TEL : 012 6650387
EMEL : abbaakba@yahoo.com

 
 




PENDAHULUAN

Banyak usahawan berfalsafah bahawa “Duit bukanlah segala-galanya namun segala-galanya memerlukan duit”. Pada hari ini, jika kita pergi ke bandar-bandar besar di Malaysia, ambil sebagai contoh Kuala Lumpur, jika kita tidak ada sejumlah duit dalam poket, maka susahlah kita untuk bergerak. Di Kuala Lumpur hari ini, kehidupan kalangan warganya sungguh mencabar dan menekan. Contohnya jika kita hendak letak (parking) kereta, buang air kecil atau besar, mendapat khidmat motivasi, kaunseling, konsultasi kerjaya dan seumpamanya semua mesti kena ada modal yakni duit. Nak bergerak dan berbincang di restoren, kafeteria dan seumpamanya mesti ada modal duit. Memang ada yang percuma namun kebanyakannya 100% kena bayar. Oleh itu, tanpa duit yang cukup, perjalanan hidup  kita di Kuala Lumpur menjadi sukar, perit dan memenatkan perasaan. Kita akan penat berfikir dan menelan perasaan akibat dibebani kos kewangan untuk menghadapi ranah hidup yang tidak dijangka lagi semacam tidak terkawal. Disebabkan itu, kita mesti belajar untuk mengurus dan merancang kewangan diri dan keluarga kita. Objektifnya ialah untuk mengelak diri daripada tersepit hidup dengan isu dibelenggu hutang keliling pinggang, di buru Ah Long dan kecelaruan emosi.



ILMU URUS WANG KENDIRI DAN KELUARGA

Perkara utama ialah soal berkat. Sumber duit yang berkat menjamin kecukupan duit dan kebahagian hidup. Duit yang berkat sifatnya lambat habis (Hamka, 1968). Kegunaan dan penggunaan duit pula sentiasa pada laluan jalan yang diredai Allah. Ia contohnya tidak berlaku pembaziran, berbelanja atas dasar keperluan dan boleh pula bersedekah di surau/masjid meskipun sedikit. Maka, sebagai ingatan buat kita bahawa Allah telah berfirman maksudnya;
“Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya dia akan mengadakan baginya jalan ke luar dan memberinya rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakinya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu”- (Surah At Talaq : 2-3).
Seterusnya, saya bawakan satu kata bijak pandai Melayu yang menyebutkan bahawa “Orang yang gagal merancang sebenarnya merancang untuk gagal”. Kini, terdapat banyak berita dalam akhbar yang melapor mengenai lemah urus kredit dalam kalangan rakyat kita punca gagal lunas pembayaran. Seterusnya dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (2017) bahawa rakyat berbelanja sejumlah RM 4 bilion  setahun beli rokok. Natijahnya kerajaan terpaksa tampung kos tinggi rawat penyakit akibat rokok. Jika saya terbalikkan mesej laporan itu, jadilah ia begini “Ahli keluarga tanggung kos tinggi untuk seorang ayah beli rokok untuk hisap rokok setahun. Kemudian, ahli keluarga memikul beban kos tinggi untuk merawat seorang bapa berpenyakit akibat merokok”.
Ilmu bijak mengurus kewangan keluarga bermaksud berupaya merencana hal ehwal kewangan keluarga supaya bijak membelanja wang dengan;

1.      Teratur
2.      Bermakna
3.      Berobjektif
4.      Sesuai dengan keperluan dan matlamat keluarga.

Apabila kita mengurus dan membelanja wang dengan bermatlamat, bijak dan betul, maka akan terbentuklah Hayaatan Toyyibah (kehidupan yang baik)., bebas dari cengkaman hutang piutang seterusnya akan menikmati kebebasan kewangan (financial freedom).

MESEJ PENTING AGAR KEWANGAN KELUARGA BERKAT

Sembari itu, kita juga mesti berhati-hati dalam hal riba kerana melakukan riba dalam pengurusan kewangan keluarga boleh mendatangkan kesempitan kewangan pada hari muka. Ingatlah, bahawa Allah telah berfirman “Orang-orang yang memakan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan setan kerana gila, yang demikian itu kerana mereka berkata jual beli itu sama dengan riba. Padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.” (Al Baqarah : 275).
Berhubung dengannya juga, Allah berfirman maksudnya “Wahai orang-orang yang beriman. Bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa-sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang beriman. Jika kamu tidak melaksananakannya, maka umumkan perang dari Allah dan Rasulnya. Tetapi jika kamu bertaubat, maka kamu berhak atas pokok hartamu. Kamu tidak berbuat zalim (merugikan) tidak dizalimi (dirugikan). (Al Baqarah : 278-279).

Kadang-kadang, banyak kalangan kita ummat Islam perlu diingatkan bahawa kehidupan kewangan mereka jadi huru hara, lemah dan selalu tidak cukup duit kerana caragaya kehidupan mereka yang banyak terlibat dengan maksiat, dosa dan noda. Maksiat, dosa dan noda yang dilakukan sama ada dengan niat atau tidak sengaja, jika tidak dielak dan ditaubati, boleh mengundang murka Allah. Mengenainya, Nabi Muhammad Saw telah bersabda maksudnya “ Jauhilah kamu akan tujuh dosa besar iaitu Syirik, Sihir, Membunuh Tanpa Hak, Makan Harta Anak Yatim, Makan Riba, Lari Dari Medan Perang (kerana takut) dan Menuduh Perempuan Yang Suci Dengan  Zina (tanpa saksi yang adil) (HR Bukhari dan Muslim).
Untuk menjelaskan lagi kehidupan mengurus kewangan keluarga muslim, saya tunjukkan contoh perancangan strategiknya seperti gambarajah di atas;





Dengan adanya perancangan stategik kewangan keluarga Muslim ini akan menjamin masa depan hidup berkeluarga yang  sejahtera dan selamat daripada masalah “Sakit Poket dan Sakit Penyakit” yang tidak kunjung selesai. Jelasnya, tanpa perancangan strategik kewangan keluarga, keadaan hidup kita tak ubah bagai layang-layang terbang terputus talinya. Persis ibarat kapal kontena yang belayar tanpa nakhoda. Entah ke mana nasib keluarga kita tidaklah terjangka keadaan masa depannya. Tak ubah bagai “Untung sabut timbul untung batu tenggelam”. Akan jadi macam hidup segan mati tak mahu. Maka lima (5) dimensi  perancangan strategik kewangan di atas jelas menyentuh norma dan latar kehidupan berkeluarga dalam kalangan masyarakat muslim kontemporari. Ia memimpin kita untuk peduli akan aspek kebajikan hidup insan berkeluarga dengan merujuk “status” terhadap misalnya seorang bayi, kanak-kanak, remaja, awal dewasa, dewasa, ibubapa, jkita/balu hinggalah buat warga tua yang menjadi ahli keluarga sendiri..
Dengan adanya pengurusan kewangan yang strategik, banyak tanggungjawab kewangan misalnya;

1.      Kos telefon
2.      Beri ibubapa
3.      Minyak kereta
4.      Kos makan minum
5.      Bil elektrik dan air
6.      Bayar sewa / ansuran rumah
7.      Belanja keperluan anak-anak
8.      Mampu diurus dengan efektif. Maksud efektif disini ialah kita mampu untuk;

8.1       Menyimpan di bank
8.2       Bebas daripada tekanan kewangan

Disamping itu, jangan lupa untuk mengambil peduli mengenai “Aset” dan “Liabiliti”. Aset bermaksud sesuatu sumber wang yang masuk ke dalam poket kita. Manakala Liabiliti bermakna sesuatu yang mengeluarkan wang kita dari poket sendiri – (Robert T. Kiyosaki, 2010). Pengajarannya, jauhkan diri daripada menyimpan “Liabiliti” sebaliknya berusahalah untuk memperbanyakkan “Aset” diri dan keluarga. Contoh-contoh “Aset” misalnya kita adakan banyak;

1.      Kedai sewa
2.      Kedai niaga
3.      Kereta sewa
4.      Rumah sewa
5.      Pusat perkhidmatan

Sebaliknya elakkan ada “Liabiliti” misalnya;

1.      Kereta banyak tak dipakai
2.      Rumah kosong tidak pula disewa guna

Kemudian, suka saya peringatkan diri saya dan anda yang membaca makalah ini berhubung firman Allah Taala di dalam Surah Yusuf : Ayat 46-49, yang bermaksud “ Beliau mendatangi Nabi Yusuf lalu berkata Wahai Yusuf orang yang kami percayai! Beritahulah kepada kami apa maksud mimpi kami mengenai tujuh ekor lembu betina yang gemuk-gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu betina yang kurus-kurus dan tujuh butir gandum yang hijau (subur) dan tujuh lainnya yang kering”. Maka Nabi Yusuf berkata… “Supaya kamu bertanam selama tujuh tahun sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan tersimpan kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sukar, yang akan menghabiskan apa sahaja yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sukar), kecuali sedikit dari (himpunan gandum) yang kamu simpan. Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan dimasa itu mereka memeras anggur (tahun subur)”.

Moralnya, duit akan habis apabila diguna. Namun duit juga boleh berkembang dan memberi manfaat yang hebat kepada kita jika diurus dan diguna dengan bijak dan berhemat. Untuk menjadi bijak berbelanja, kita mesti banyak beringat dan ambil iktibar daripada kisah Nabi Yusuf di atas. Pepatah Melayu ada menyatakan “Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya”.

KESIMPULAN

Nabi Muhammad Saw telah bersabda maksudnya
“Tidak bertambah umur seseorang kecuali jika dia melakukan kebaikan, dan tidak ditolak qadar Allah (iaitu qadar al Mu’allaq) kecuali melalui doa, dan sesungguhnya seseorang itu ditahan rezekinya disebabkan dosa-dosa yang sentiasa dilakukannya (HR Ibnu Majah). Saya mendoakan agar hiduplah kita dengan membudaya semangat bermuamalat (berjual beli) mengikut syariat Islam. Insya Allah, tidak akan rugi hamba Allah yang hidupnya sentiasa ingat akan saat sukarnya hitungan Allah terhadap segala apa yang telah kita makan, minum dan pakai semasa hayat kita di dunia ini. Terlalu yakin dan perasan berteori bahawa hidup mesti “biar papa asal bergaya” adalah petanda betapa rosaknya akidah dan kaburnya fikrah kita akan tanggungjawab sebenar kita hidup di dunia yang fana ini. Akhirnya jangan lupa akan pesan Nabi Muhammad Saw bertujuan untuk pengukuhan (reinforcement) hidup berkat dilimpahi rezeki yang luar biasa hebat iaitu berdasarlam  8 amal zikir dan solat berikut;

1.      Membanyakkan membaca “La Hawla Wala Quwwata Illa Billah (HR at Tabrani)
2.      Membaca “La Ilaha Illallah Al Malikul Haqqul Mubin” (HR Abu Nu’aim dan Ad Dailami)
3.       Membaca  “Subhanallahi Wabihamdihi Subhanallahi Adziim” (HR Al Mustaghfiri)
4.      Membaca Surah Al Ikhlas (HR At Tabrani)
5.      Membaca Surah Al Waqiah (HR Al Baihaqi)
6.      Mempernyak Selawat Ke atas Nabi Muhammad Saw (HR Imam Bukhari)
7.      Melazimkan Istighfar (HR Muslim)
8.      Melaksana Solat Dhuha (HR Abu Hurairah)






No comments:

Post a Comment